Monday, 20 February 2012

^ USAH MELAMPAUI BATAS ^

USAH MELAMPAUI BATAS

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Rasulullah SAW selalu berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Kamu daripada fitnah dunia dan aku berlindung dengan Kamu dari azab kubur”. (Sahih Bukhari: 2610)

Allah SWT tidak pernah melarang hamba-Nya untuk mencari harta kekayaan serta pangkat dan darjat… tetapi segala pencarian tersebut tidak boleh dilakukan dengan dorongan daripada sifat tamak haloba dalam diri… yang boleh menyebabkan kita tidak mahu memberi peluang kepada orang lain untuk melebihi kita… bersederhanalah…

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang telah dihalalkan Allah SWT kepadamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Al-maidah:5:87)

Berusahalah untuk memupuk sifat qana’ah. Sifat qana’ah yang berjaya dipupuk dalam diri akan menghindarkan diri daripada dikuasai sifat tamak. Kita kena sedar, biarpun segala ikhtiar dan doa telah kita tumpahkan, ketentuan mutlak yang akan menentukan berjaya atau tidak adalah hak Allah SWT. Oleh itu, redhalah dengan segala pemberian-Nya, walaupun yang diperolehi adalah kegagalan. Allah yang mencipta kita. Dia lagi tahu apa yang terbaik untuk kita.

Sebab sifat qana’ah perlu ada dalam diri:
1. Supaya umat Islam tergolong dalam golongan orang-orang yang berjaya dan cukup rezekinya.

2. Supaya umat Islam sentiasa bersemangat untuk mencari rezeki yang halal tanpa rasa ragu dengan kemampuan yang dmiliki.

3. Sifat qana’ah dapat mendidik diri supaya sentiasa bersyukur kepada nikmat Allah SWT.

4. Supaya dapat mengikis sifat tamak dan haloba dalam usaha mencari dan memiliki harta serta pemberian Allah SWT yang lainnya.

5. Menerbitkan sifat tawakkal kepada Allah SWT dalam setiap usaha dan tindakan.

Rasulullah SAW juga melarang umatnya daripada bersifat dengki dan irihari melalui sabdanya: “Jauhilah sifat dengki kerana dengki itu memakan segala amalan kebajikan seperti api yang memakan kayu bakar.” (Sunan Abi Daud: 4257(Doif))

Hal ini adalah kerana sifat tersebut tidak membawa sedikitpun kebaikan kepada kita melainkan keburukan sahaja. Pelbagai bentuk kejahatan akan berlaku berpunca daripada sifat dengki dan irihati. Seharusnya kita sebagai manusia yang teguh imannya, turut merasa gembira apabila melihat orang lain mendapat kurnian daripada Allah melalui saluran rezekinya.

Kebahagiaan yang hakiki adalah apabila hati sentiasa beroleh ketenangan… ketenangan hanya boleh dirasai oleh orang yang mendapat ketenangan… dan mereka ini akan sentiasa redha dengan apa sahaja yang berlaku dalam hidupnya. Kadang-kadang mungkin kita terfikir… susahnya untuk memperoleh kebahagiaan… susahnya untuk mendapatkan ketanangan hati… kenapa ek? Salah satu punca yang menggugat ketenangan hati adalah sifat mazmumah. Sifat ini bukan sahaja akan memberi kesan dalam diri malah individu yang berada disekeliling kita juga… biasanya orang yang memiliki sifat mazmumah akan dijauhi oleh orang sekelilingnya.

Antara sifat mazmumah yang selalu menguasai diri adalah:

1. Pemarah
Marah adalah sifat yang amat mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak dalam diri manusia. Pernah dengarkan ungkapan La Taghdhob… yang bererti jangan marah. Setiap manusia yang normal diciptakan oleh Allah dengan sifat ini. Cuma ia bergantung kepada kebijaksanaan seseorang untuk mengawal emosi masing-masing… ubat untuk sifat ini adalah sabar. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar. Memang payah untuk bersabar sebab itu orang yang bersabar dijanjikan anugerah yang besar oleh Allah. Maka beruntunglah mereka yang bersabar.

2. Pendendam
Dendam adalah ibarat api dalam sekam. Tersembunyi dalam diri seseorang. Dendam berlaku apabila tidak memaafkan. Ada orang kata.. ”saya tak berdendam dengan dia.. tapi susah untuk memaafkan apa yang dia dah buat pada saya”. Walaupun orang yang berkata menafikan, hakikatnya itulah dendam… bila tidak memaafkan. Apabila kita sukar untuk memaafkan… maknanya kita menolak fitrah manusia yang dilahirkan dengan penuh kelemahan dan kekurangan.

3. Hasad dengki
Sifat ini juga tidak layak dimiliki oleh insan yang bergelar hamba Allah SWT. Bilakah berlakunya hasad dengki? Sudah tentunya apabila kita tidak senang melihat kesenangan atau kelebihan yang diperolehi oleh insan lain. Orang yang memiliki sifat ini juga tidak senang apabila ada orang lain yang mampu mangatasinya dalam apa jua perkara.

4. Bakhil
Apabila kita ada perasaan terlalu sayang dengan apa yang dimiliki dan merasakan kerugian yang amat besar seandainya memberi atau berkongsi dengan orang lain. Maknanya sifat bakhil telah ada dalam diri. Ingatlah… segala apa yang dimiliki sekarang hanyalah pinjamam daripada Allah… kita hanya peminjam. Yang bagi pinjam boleh mengambil apa sahaja yang dipinjamkan bila-bila masa sahaja..

Firman Allah SWT: “Kamu sekali-kali tidak akan dapat mencapai(hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu membelanjakan sebahagian daripada apa-apa yang kamu sayangi.” (Ali-Imran:92)

5. Tamak
Berlaku apabila kita merasakan tidak berpuas hati dengan apa yang kita miliki. Orang yang memiliki sifat ini tidak pernah merasakan cukup dengan apa yang mereka ada.

6. Tidak sabar
Apabila kita mudah melatah dengan apa yang berlaku disekeliling kita.. yakni ujian dan dugaan. Maknanya kita adalah seseorang yang tidak sabar. Orang yang tidak sabar mudah marah, mudah kecewa. Apabila diuji dengan sesuatu… cubalah kita mendidik diri agar tidak mudah melatah.

7. Ego
Ego adalah ibu segala sifat mazmumah. Orang yang memiliki sifat ini pantang dicabar sama ada dari sudut zahir atau batin. Sifat ini boleh mengukur ketaatan, dan keredhaan iman kita terhadap Allah. Sejauh mana kita boleh tunduk kepada apa yang telah ditentukan oleh Allah… sejauh itulah kita dapat menundukkan ego kita.

8. Riak
Manusia dikatakan memiliki sifat riak apabila sentiasa mencari-cari peluang untuk disanjung, dipuji malahan untuk disebut-sebut namanya. Ibarat kata pepatah..”Ayam berkokok, sekampung tahu..”

9. Cinta dunia
Mereka yang cintakan dunia adalah mereka yang akan sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa sahaja yang dicintai oleh mereka contohnya wanita, kereta mewah, pangkat, hobi dan apa-apa sahaja yang dapat memenuhi kehendaknya. Ingatlah.. dunia ini hanya persinggahan. Suatu masa nanti kita akan berangkat ke tempat yang kekal untuk didiami selamanya. Sama ada pada masa itu kita bersedia atau tidak.

Wallahu’alam…

No comments:

Post a Comment