MAAF
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sesungguhnya, ikatan yang dibina di atas nama Allah. Tuhan yang menggenggam segala jiwa makhluk-Nya. Kita akan diuji dengan pelbagai bentuk ujian semata- mata untuk Allah melihat adakah ikatan itu dibina atas nama Dia atau di atas kepentingan diri atau makhluk-Nya.
Tidaklah seorang manusia itu sempurna dan tidaklah pula ia dapat memuaskan hati seluruh makhluk yang berada disekelilingnya. Itu tanda kebesaran Allah, tanda Kebesaran dan sifat kesempurnaan-Nya tidak dapat di atasi oleh mana-mana makhluk yang dimiliki-Nya.
Kadang-kadang , kita terkedu, terduduk seketika apabila tindakan kita disalah ertikan oleh orang di sekeliling. Kita mempunyai alasan bertindak demikian. Alasan yang mungkin sukar untuk diluahkan, namun itu adalah untuk kebaikan semua, demi persahabatan itu tetapi rupanya sudah ada insan yang tawar hati, meluat dan marah kerana tidak mengetahui hal yang sebenarnya. Tidak pula menyelidiki. Makin menjauh...
“Sahabat.. andainya kau mengerti dan mengetahui apa sebenarnya disebalik tindakan itu, mungkin juga kau akan terduduk, menangis bersamaku." Oh... beratnya ujian persahabatan. Kadang- kadang sukar untuk menerima. Namun, kita jangan lupa dalam kesukaran menerima seseorang, mungkin dia juga sebenarnya sukar untuk menerima kita, dalam perasaan dilukai dan mungkin kita melukai dia sebelum ini, dalam rasa meluat mungkin dia juga sedang menelan rasa meluat terhadap kita.
Dalam rasa hati yang semakin tawar, mungkin juga dia sudah lama tawar hati dengan sikap kita, dalam rasa sukar memaafkan... mungkin dia juga sukar untuk memaafkan kita.
Sahabat adalah cermin. Seandainya buruk engkau menilai sahabat, sebenarnya engkau buruk dalam menilai dirimu. Seandainya kejahatan sahaja yang engkau temui pada seseorang itu.... hakikatnya engkau sedang menilai kejahatan yang ada pada dirimu.
Namun, insan itu mudah lupa dan perlu untuk diingatkan. Kadang-kadang kita tidak tersedar rupanya kita yang merosakkan persahabatan... bukan orang lain. Muhasabah diri.. Renungan buat diri dan juga buat sesiapa sahaja yang membaca pesanan ini.. Maafkanlah... kerana memaafkan itu sebenarnya membunuh dendam. Maka... ubatkanlah hatimu.
===semoga Allah memeliharamu dalam sebaik-baik jagaanNya===
Rasullulah Saw memberikan bimbingan, “Carilah alasan untuk memaafkan saudaramu walau hingga 70 alasan.” Seorang murid bertanya kepada gurunya, Imam Hasan Al-Basri, “Mengapa Rasullah menyuruh kita mencari 70 alasan untuk memaafkan?”. Jawab Hasan Basri, “Itu menunjukkan pentingnya memaafkan. Sebelum kita sampai pada 70 alasan kita belum dapat memaafkan, kita harus bersedih kerana memiliki hati sekeras batu."
No comments:
Post a Comment