Monday 6 February 2012

^ AMALKAN WUDUK ZAHIR DAN BATIN SEBELUM MELAKUKAN SOLAT ^


AMALKAN WUDUK ZAHIR DAN BATIN SEBELUM MELAKUKAN SOLAT

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Isam bin Yusof ialah seorang ahli ibadah (abid) yang sangat khusyuk dalam solat. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk. Dia selalu bertanya kepada orang yang di anggap lebih dalam ibadah untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk. Pada suatu hari, Isam menemui seorang abid bernama Hatim dan bertanya, "Wahai Abu Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat aku berwudhuk zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu?"

Hatim menjawab, "Wuduk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin ialah membasuh anggata dengan tujuh perkara :
1. Bertaubat.
2. Menyesali dosa yang di lakukan.
3. Tidak tergila-gila dunia.
4. Tidak mencari atau mengharap pujian orang (riya').
5. Meninggalkan sifat suka berbangga.
6. Meninggalkan sifat khianat dan suka menipu.
7. Meninggalkan sifat hasad dengki."

Bertaubat.
Dari Anas bin Malik ra., ia berkata : Saya mendengar Rasulullah SAW. bersabda : Allah berfirman maksudnya : “Wahai anak Adam ( manusia ), sesungguhnya selama kamu berdoa dan mengaharap kepadaKu, Aku memberi keampunan kepadamu terhadap apa (dosa ) yang ada padamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam seandainya dosamu sampai ke langit kemudian kamu minta ampun kepadaKu maka Aku memberi ampun kepadamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adaml, sesungguhnya apabila kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian kamu menjumpai Aku dengan tidak mensekutukan Aku dengan sesuatu niscaya Aku datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi”. (Hadis Riwayat Turmudzi).

Menyesali dosa yang di lakukan.
Seorang ahli sufi yang bernama Dzun Nun berkata, "Hakikat taubat ialah jika bumi yang luas ini terasa sempit bagimu. Sehingga engkau tidak melihat tempat yang boleh dihuni, dan keadaan ini semakin menyempitkan jiwamu."

Daripada Ibnu Masu’d radiallahu anhu berkata : "Sesungguhnya orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung,yang mana dia (sentiasa) rasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya,dan orang yang keji pula memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang berkata : dengan hanya begini sahaja (iaitu dengan hanya ditepis dengan tangan sahaja) maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang " (Hadis Riwayat Bukhari)

Tidak tergila-gila dunia.
Orang mukmin tidak tergila-gila hidup di dunia kerana dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir. Dan dunia inilah umpama tempat bermain-main. Diriwayatkan dari Abu Hurairah, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa sallam bersabda, “Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan surga bagi orang kafir”. (Hadis Riwayat Muslim)

Tidak mencari atau mengharap pujian orang (riya').
Kerisauan itu dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." 
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Riak ialah memperlihat atau menyempurnakan ibadat dengan tujuan mendapat pujian serta perhatian orang lain seperti solat, puasa dan sedekah.

Meninggalkan sifat suka berbangga (ujub dan sombong)
Orang yang terkena penyakit ujub akan memandang remeh dosa-dosa yang dilakukannya dan menganggapnya bagai angin lalu.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maksudnya : ”Sesungguhnya seluruh orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat bagaikan semut yang diinjak-injak manusia.” Ada seseorang yang bertanya: “Wahai Rasulullah, bukankah seseorang itu ingin agar baju yang dikenakannya bagus, sandal yang dipakainya juga bagus?” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah, dan menyukai keindahan, hakikat sombong itu ialah menolak kebenaran dan merendahkan orang lain.” (HR. Muslim dari Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu)

Awal hadis berbunyi: “Tidak akan masuk syurga orang yang terdapat sebesar biji zarrah kesombongan dalam hatinya".

Meninggalkan sifat khianat dan suka menipu.
Rasulullah SAW. menjelaskan perkara ini ketika ditanya oleh seorang sahabat ‘’ wahai Rasulullah SAW siapakah manusia yang terbaik ?" jawab baginda s.a.w. orang mukmin yang bersih hatinya ? tanya sahabat lagi ‘ apakah maksud orang yang bersih hatinya itu? ‘ jawab baginda SAW ialah yang bertakwa, bersih yakni tidak ada kederhakaan, pengkhianatan , dendam dan kedengkian ‘ (Hadis Riwayat Ibnu Majjah.)

Seseorang yang tipis dan tidak kuat imannya akan mudah dihinggapi penyakit hati (khianat) kerana penyakit ini muncul dari dorongan hawa nafsu yang jahat dan hasil dari godaan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan manusia .

Meninggalkan sifat hasad dengki.
Hasad dengki memakan kebaikan yang dimilikinya sebagaimana api membakar kayu yang kering. Ini yang dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Jauhkanlah (oleh kamu) dengki (hasad) kerana ia akan memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ketahuilah bahawa sifat-sifat seperti hasad dengki, sombong, takbur, mengumpat, riak dan membuat fitnah adalah seburuk-buruk dan sehina-hina sifat dan mendatangkan dosa besar. Sifat ini sangat-sangat dibenci oleh Allah SWT. Jika kita berhasad dengki dan mengadu domba diantara kawan, keluarga, sudah pasti akan menjadi kucar kacil dan huru hara hubungan diantara manusia. Sifat-sifat ini tidak dipandang ringan oleh agama kita ia itu Islam. 

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada dihadapanku, syurga disebelah belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam solat aku faham maknanya. Kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk. Aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan sepenuh ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Marilah kita amalkan wuduk zahir dan batin sepeti huraian di atas, kerana wuduk zahir yang sempurna akan memberi cahaya kepada wajah orang-orang mukmin di dunia dan akhirat. Wuduk yang sempurna dari segi batinnya juga akan membersihkan hati-hati mukmin dari sifat mazmumah dan hatinya sentiasa berhubung dan cinta kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment