Tuesday 28 August 2012

^ TAMAKKAH AKU..??


AKU INGINKAN KESEMUA CIRI-CIRI WANITA ITU.. 
ADAKAH AKU TAMAK ??

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya, lalu pilihlah perempuan yang BERAGAMA nescaya kamu bahagia." 

Tetapi aku tamak! Aku nak semua ciri-ciri ini, aku nak dia cantik, ada harta, dipandang mulia, dan juga solehah. Macamana cara untuk aku dapatkan semua ciri-ciri ini? Ada ke wanita yang sebegini dizaman ini? Sadaqarasulullah, Benarlah segala perkataan Rasulullah SAW itu. 

Rasulullah SAW mencadangkan supaya memilih yang BERAGAMA (Solehah dengan ertikata yang sebenar-benarnya) adalah kerana ada RAHSIA yang tersirat disebaliknya. 

APA RAHSIANYA? 

Wanita yang BERAGAMA seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW didalam konteks hadis diatas, adalah wanita yang benar-benar solehah, dan mentaati serta mempertahankan keimanannya kepada Allah SWT. 

Oleh itu, wanita yang sebegini pasti akan : 

1. BERHARTA 
Sebagai menyahut seruan ugama supaya berikhtiar dan berusaha untuk memiliki HARTA, kerana ingin menjalankan suruhan-suruhan dalam Islam yang menjurus kepada memiliki harta seperti : 
a) Bersedekah
b) Amal jariah, Derma, Wakaf, 
c) Zakat
d) Haji, Umrah
e) dan lain-lain yang relevan 

Oleh itu, wanita seperti yang dicadangkan oleh Rasulullah SAW akan memiliki ciri-ciri pertama iaitu BERHARTA. 

2. BERKETURUNAN (dipandang mulia)

[Surah An-Nisa' : 34]

Allah berfirman yang bermaksud: " Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar. "
[Surah An-Nisa' : 34]

Walau dari keturunan apa pun, dari latar belakang yang macamanapun, andainya wanita ini telah bertaubat, dan benar-benar taat dalam beragama, pasti Allah SWT akan mengangkat darjatnya dan dia tetap terpandang mulia dari sudut mana pun jua. Firman Allah SWT diatas jelas menunjukkan betapa Allah SWT memelihara wanita-wanita yang solehah ini. 

3. CANTIK 
Wajah yang sentiasa disentuh wudhu yang sempurna dan dipenuhi dengan ibadah-ibadah kerohanian seperti qiam dan lain-lain (yang dilakukan dengan ikhlas dan istiqamah), pastinya akan bercahaya, jernih dan menenangkan hati sesiapa yang melihatnya. Pasti mampu menjadi penawar dimata dan penyejuk dihati suami (Qurrata A'kyun). Kecantikan itu abstrak, ianya tidak bergantung hanya semata-mata kepada raut fizikal seseorang wanita, TETAPI ianya lebih banyak bergantung kepada MATA YANG MEMANDANGNYA! 

Nah! Oleh kerana aku tamak dan inginkan kesemua ciri-ciri yang disebutkan oleh Rasulullah SAW itu, maka ikutilah cadangan dan saranan yang telah dicadangkan oleh baginda SAW, iaitu, pilihlah yang TAAT BERAGAMA dan SOLEHAH.

Monday 27 August 2012

^ AKU INGIN BERUBAH ^


AKU INGIN BERUBAH

Ya Allah...
Syukur di atas nikmat pancaindera-Mu,
Dengan penglihatan,
Aku dapat melihat segala kekuasaan-Mu,
Mengagumi segala kebesaran-Mu. 

Namun...
Dengannya jualah,
Aku melakukan kemungkaran pada-Mu,
Menjerumuskan diriku ke lembah dosa,
Melihat pada yang tak sepatutnya,
Membuatkan diri ini alpa saat hidayah-Mu tiba. 

Seketika aku tersedar,
Mungkin belum terlambat,
Untukku pahatkan dalam diri,
Bahawa… 
Aku mahu berubah…!!!

Ya Allah…
Jika dulu aku angkuh di bumi-Mu,
Alhamdulillah…
Hidayah-mu mematahkan keangkuhanku,
Membangunkan sifat malu,
Yang selama ini tersorok dalam diri. 

Aku tundukkan pandanganku,
Yang selama ini meliar,
Aku timbulkan kekeliruan,
Pada teman-teman,
Aku tempis segala teguran sinis,
Aku tekadkan dalam kalbuku,
Bahawa… 
Aku mahu berubah…!!!

Ya Allah…
Jika dulu aku lalai dalam menunaikan hak-Mu,
Terleka dengan duniawi,
Terkadang aku abaikan ukhrawi.

Subhanallah…
Sesungguhnya kekuasaan-Mu yang paling agung,
Kau sedarkan aku di saat aku hanyut, 
Masih tak terlambat,
Untuk suatu perubahan.

Aku akur pada kekuasaan-Mu,
Lantas…
Aku laungkan dalam hatiku,
Aku mahu berubah…!!!

Ya Allah…
Aku pohon hidayah-Mu,
Duhai ayahanda & bonda, 
Sahabat-sahabat serta teman-teman,
Bantulah aku, Bimbinglah aku,
Dalam mencari cinta yang paling agung,
Cinta yang esa,
Sesungguhnya,
Aku mahu berubah…!!!

Wednesday 22 August 2012

^ BERSEDERHANA ITU KEKAYAAN YANG NYATA ^


BERSEDERHANA ITU KEKAYAAN YANG NYATA 

Mereka yang bersifat kesederhanaan dalam semua hal tidak akan menjadi miskin. 

Jika perlu MARAH, marahlah...tetapi usah terlupa dengan perkataan SABAR. 
Jika perlu MENANGIS, menangislah... tetapi usah terlupa dengan perkataan TENANG. 
Jika perlu PATUH, patuhlah... tetapi jangan sampai hilang KEMERDEKAAN. 
Jika mahu MISKIN, miskinlah... tetapi jangan terlalu miskin, nanti mudah menjadi KUFUR. 
Jika mahu KAYA, kayalah... tetapi jangan terlalu kaya sampai terlupa perkataan SEDEKAH. 
Jika mahu menjadi WARAK, lakukanlah ibadah sebanyak-banyaknya tetapi jangan terlupa keperluan DUNIA. 

Kalau mahu sebuah KERETA MEWAH, belilah... selagi mampu dan menepati keperluan SEMASA . 
Kalau mahu DUA BUAH RUMAH, belilah... asalkan jangan sampai tak tahu perkataan PUAS . 
Kalau mahu MENIMBUN HARTA, bekerja-keraslah... asalkan jangan sampai terlupa BERIBADAH . 
Kalau mahu BERHIBUR, berhiburlah... asal tidak SAKAN dan MENYALAHI SYARIAT . 
Kalau mahu memPERKATAKAN HAL ORANG, berkatalah… asalkan jangan sampai MENGUMPAT . 
Kalau mahu CEMBURU dengan kejayaan orang, cemburulah... asalkan anda pun BERUSAHA KUAT sepertinya . 

Hidup sederhana akan memastikan anda tidak akan miskin selama-lamanya. Bersederhanalah… dalam segala hal adalah titik kejayaan dalam semua perkara. Orang yang terlalu pandai kadang-kadang apabila bodoh... terus sasau. Orang yang terlalu kuat... kadang- kadang apabila lemah terus tidak berdaya. 

Binalah harta sebanyak-banyaknya tetapi jangan sampai anda menjadi hamba kepada harta. Binalah ibadah banyak-banyak, tetapi jangan sampai terlupa soal-soal dunia. Binalah kedudukan ditengah manusia, tetapi jangan sampai hilang kepercayaan orang dan tercalar maruah diri . Bukanlah seorang yang baik kalau beribadah sepanjang masa sedangkan untuk makan dan minumnya terpaksa meminta-minta. 

Seeloknya-eloknya... bersederhanalah dalam beribadah lantaran bekerja itu pun ibadah, membuang halangan dijalanan juga ibadah, menasihati orang juga ibadah . Orang yang bersederhana sentiasa dipandang dimata dunia. Dia tidak akan hina oleh kemelaratan dan tidak terlalu tersohor oleh kepopularitian. Dia terpandang sepanjang masa baik oleh orang yang hina mahupun orang yang mulia. 

Berkuasanya bersederhana bagaikan pakaian yang menjadi penebat pada rasa dingin dan panas yang membakar. Sayidina Ali RA berkata, " Berkhairatlah mengikut kemampuan dan janganlah menjadi keluargamu hina dalam kemiskinan. " Hendaklah bersedekah, jangan sampai jatuh miskin, menyimpan harta jangan sampai digelar Si Bakhil, beribadahlah jangan sampai semakin jahil. 

Kata Sayidina Ali RA lagi, " Insan tidak akan melihat kesalahan seseorang yang bersifat tawaduk dan lemah lembut. " Tawaduk dan lemah lembut adalah kesederhanaan yang nyata, membangkitkan kasih sayang dan menumbuhkan cinta tulus. Jika anda impikan penghormatan manusia, maka bersederhanalah dalam berbicara, berbatas-batas tatkala bergurau-senda dan menyimpan sebahagian kesukaan ketika terlalu gembira. 

Bersederhanalah... adalah jawapan kepada segala-galanya.

Thursday 16 August 2012

^ KETIKA HATI MUSLIMAH TERLUKA ^


~♥ KETIKA HATI MUSLIMAH TERLUKA ♥~ 

Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Ia akan menghapus air matanya dengan imannya. 
Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Ia akan menguatkan hatinya dengan ilmunya.
Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Hari-harinya akan ia penuhi dengan semangat perubahan lebih baik pada dirinya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Ia menari dalam doa permohonan ampunnya terhadap Rabbnya.
Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Wajah kusutnya tetap terlihat indah bagi dunia.
Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Bibir merahnya menyimpulkan senyuman untuk hidupnya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Matanya basah oleh lembutnya hatinya.
Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Dunia nya terasa akan berlanjut dan ia harus tegar.
Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Jiwa lembutnya sampaikan ketenangan pada hati kecilnya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Akal dan hatinya hadir untuk menanti kesedarannya.
Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Tangannya ia gunakan seperti kebiasaannya.
Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Tak akan ada perubahan dalam dirinya oleh hal-hal yang tidak berguna.

Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Ia gunakan kesedarannya untuk menjaga perasaan orang sekitarnya.
Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Air matanya dijadikan doa untuk keselamatan orang yang melukainya.
Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Jari-jemarinya bergerak untuk tetap menolong orang lain tanpa beban di hatinya.

Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Hidupnya tetap menjadi kebahagiaan bagi orang disekelilingnya.
Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Dia tetap meneruskan liku-liku hidupnya.
Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Kepercayaan dirinya tetap tak akan pudar.

Ketika hati seorang muslimah terluka, 
Ia dan dirinya tetap menjadi MUSLIMAH. ♥ 

˙·٠•●❤ Tabahkanlah HATIMU duhai MUSLIMAH disaat dirimu TERLUKA. Anggaplah ujian ini sebagai ANUGERAH TERINDAH dari-Nya. Kerana Dia ingin sentiasa dekat dengan dirimu. Insya-Allah, Allah SWT sentiasa bersamamu.❤●•٠·˙

Wednesday 15 August 2012

^ MUHASABAH RAMADHAN PENTING KETIKA INI... SALAM EIDULFITRI ^


SALAM EIDUL-FITRI MINAL AIDIL WAL FAIZEEN 

RAMADHAN terhimpun di dalamnya segala penawar untuk manusia, manusia yang hatinya sedang sakit. Alangkah malangnya jika kita gagal mendapat ubat tersebut buat bekalan hidup. Sesungguhnya tepat dan benar peringatan Rasul buat sahabatnya, supaya merebut peluang berada di bulan mulia ini. Persoalan yang patut kita umat bermuhasabah dan sejauh manakah tawaran ubat bagi segala penyakit yang melarat dalam jiwa manusia dipedulikan? Ada siapa yang peduli di kala Ramadhan berada di penghujung. Sedih untuk mengungkapkannya. 

Sahabat... sebenarnya saya malu pada Ramadhan untuk ucapkan selamat menyambut Hari Raya Eidil-fitri kerana saya seolah-olah melupai Ramadhan yang masih kita kecapi sekarang. Kerana saya juga sangat malu, apakah Ramadhan yang saya lalui ini adalah cukup sempurna? Kalau tidak apakah diri-ku berpeluang lagi ketemunya di tahun akan datang. Ampunilah hamba-Mu ini Ya Allah. 

Mampukah kita hadirkan rasa cinta beribadat sebulan di bulan Ramadhan, di kesebelas bulan di luar Ramadhan? Ketahuilah Allah SWT yang kita kenal di bulan Ramadhan adalah Tuhan yang sama kita berada di kesebelas bulan di luar Ramadhan. Mari kita nyahkan sikap itu dalam diri kita. 

Sahabat yang dikasihi kerana Allah… Ramadhan sudah sampai penghujungnya, bulan yang penuh keberkatan ini akan pergi meninggalkan kita. Bagi hati Mukmin, perginya Ramadhan membuat hati merasa sayu dan sedih, kerana kehadiran Ramadhan membawa seribu kebaikan dan kegembiraan iaitu mendapat rahmat Allah SWT, pengampunan dari segala dosa dan pembebasan dari siksaan api Neraka. Kelebihannya tidak ada pada bulan-bulan yang lain 

Sebulan kita menahan lapar. Ringan badan beribadah. Berlapar menutup pintu hasutan syaitan. Muslimin mengikis penyakit-penyakit hati seperti hasad, ego, ‘ujub, sum’ah, bakhil, buruk makan, cinta dunia dan panjang angan-angan. Membuang sifat malas dan berpoya, berpecah dan berseteru. 

Madrasah Ramadhan merupakan proses tarbiyyah dan tazkiyah pada hati, jiwa dan ruh kepada pembersihan sebenar yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Natijah dari segala proses di madrasah ini melahirkan hati yang bertaqwa kepada Allah SWT. Taqwa inilah merupakan pakaian orang Mukmin, pakaian inilah yang dipakainya untuk menghadapi sebelas bulan yang akan datang. 

Sahabat yang dimuliakan… Adakah Ramadhan kali ini, merupakan Ramadhan yang terbaik pernah sahabat rasai? Adakah segala amal ibadah, puasa, doa, munajat, tafakur, sedekah, bacaan al-Qur an yang sahabat laksanakan memberi kesan yang mendalam pada hati , jiwa dan perasaan dan benar-benar dapat merasai kemanisannya? Meningkat atau tidak meningkatnya tarbiyyah ruhiyah ini, berkesan atau tidak berkesannya proses tamrin ini bergantung pada peribadi masing-masing sejauhmana ia hayati Ramadhan. 

Berbahagialah sesiapa yang diubah perangainya oleh Ramadhan. Ia terlepas dari celaan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; " Terjauhlah (dari rahmat) sesiapa yang sempat bertemu dengan Ramadhan (tetapi tidak memperdulikannya) maka Allah tidak mengampunkannya. "
[Hadis Riwayat al-Hakim dari Kaab bin ‘Ujrah] 

Kita boleh muhasabah diri sendiri, kesan yang paling nyata adalah amal ibadah dan amal soleh yang kita laksanakan semasa Ramadhan akan dapat kita teruskan dan istiqamah pada bulan-bulan berikutnya , malah mungkin lebih baik lagi. Jika ini berlaku , ini bermakna ciri-ciri taqwa itu dapat kita perolehi. Taqwa itu ia tidak tersimpan didalam hati sahaja tetapi ia akan dilahirkan dalam berfikir, dalam tindakkan dan membuat keputusan, nampak jelas dalam peribadi, akhlak, tutur kata, pergaulan dan amalan hariannya. 

Apakah kita bertemu malam Lailatul Qadr? Yang pasti kita telah bertemu Lailatu Qadr hanya (insyaAllah) kita tidak mengetahui malam Ramadhan ke berapa dan bila saatnya berlaku! Maksud hadis Nabi SAW menyatakan bahawa sesiapa yang solat isyak dan subuh berjemaah disepanjang Ramadhan dia sebenarnya telah mendapat malam Lailatul Qadr. Dalam hadis yang lain menyatakan bahawa fadilat solat isyak berjemaah seolah-olah mendapat pahala mengerjakan solat separuh malam dan fadilat solat subuh berjemaah seolah-olah mendapat pahala mengerjakan solat sepanjang malam. Kita mohon kehadrat Allah SWT semoga keberkatan malam Lailatu Qadr tahun ini dapat memberi kesan pada hati, jiwa dan kehidupan kita yang lebih baik dan mendapat keredhan Allah SWT. 

Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut ketibaan bulan Syawal, hari kemenangan selepas sebulan berhempas pulas bermujahadah menundukkan hawa nafsu, di samping menahan diri dari lapar dan dahaga. 

Umpama kita berlayar di lautan luas, akan ada permulaan dan penamat. Tiada siapa menduga, antara perjalanan yang ditempuhi pelbagai bentuk ujian dan musibah perlu dihadapi. Kejayaan pelayaran tersebut bukan ditentukan pada permulaan seseorang tetapi di garisan penamat. Maka, selepas berjaya sampai sudah tentu ianya digambarkan suatu keindahan, kemanisan kerana walaupun sesulit mana rintangan, akhirnya berjaya melangkah ke destinasi utama. 

Begitu juga dengan penghidupan kita sebagai seorang hamba kepada Dzat Pencipta, Allah SWT. Kita bertatih daripada seorang kanak-kanak, seterusnya remaja aqel baligh, kemudian meniti ke usia dewasa, dan tua. Apakah kita yakin tua adalah penamatnya? Berbekalkan pendidikan, dan tarbiyah hidup dan penghidupan, maka kita faham serta mengimaninya bahawa alam kubur dan alam akhirat bakal berkunjung tiba. Justeru, amalan kita akan memilih satu antara dua, sama penamat di Syurga atau ke Neraka. 

Muhasabah Ramadhan penting ketika ini...

Dengan kedatangan Eidul Fitri ini bermakna hari kemenangan umat Islam, perlu disambut dengan rasa gembira dan bersyukur diatas kemenangan iman menakluki nafsu dalam bulan Ramadhan. Eid bermakna hari kejayaan dan Fitri bermakna fitrah iaitu nurani yang bersih. 

Kejayaan disambut pada Eidul Fitri, berkumandang takbir, tahmid dan tasbih. Hati Mukmin semakin akrab dan kasih terhadap Allah SWT, pancaran nur ibadah Ramadhan. Zakat fitrah dkeluarkan, tanda syukur menghabiskan Ramadhan dengan penuh adab. Berlapar sebulan menginsafkan ia tentang penderitaan orang miskin dan pelarian perang yang tertindas. Ia menunaikan solat sunat Eidul Fitri menyembah Zat Yang Agung, AllahSWT. Hari lebaran membuka ruang untuk bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, mengukuhkan persaudaraan dan persahabatan, kasih sayang dan berlemah lembut sesama Mukmin. Ia berkata didalam takbir, ‘ Tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Esa, yang benar pada janji-Nya, yang membantu hamba-Nya, yang memenangkan pejuang (agama-Nya) dan mengalahkan pakatan musuh-Nya, semua dengan sendiri-Nya. ’ 

Sahabat yang dihormati… Eidul Fitri disambut dengan sederhana. Sederhana dalam makanan dan perhiasan. Yang meriah ialah hati kerana iman yang diperolehi. Apa yang indah ialah kata-kata dan akhlak mulia yang dibina dalam Ramadhan, ucapan yang dianjurkan ialah : 

1. ‘Taqabbalallahu minkum ‘ bererti semoga Allah menerima amal kamu. 

2. ’Kullu ‘ammun wa antum bikhir’ bererti sepanjang tahun kamu dalam kebaikan. 

3. ’Minal ‘Aidin wal faizin. Bererti kamu tergolong di kalangan yang mulia dan berjaya. 

Tidak perlu bermuzik atau menonton filem yang menggiurkan syahwat. Sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud ; “ Perlakuan dosa pada hari Eid umpama membuat dosa pada Hari Mahsyar. " Ingatlah Eidul Fitri ialah satu ibadah bukan adat." 

Gemersikan suara merdu melantunkan utaian tasbeh, tahmed, dan takbirmengagungkan serta membesarkan Allah SWT. Petanda Syawal sudah melangkah mengambil posisi Ramadhan yang meninggalkan kita sebelum dipertamukan lagi pada masa akan datang... jaraknya yang jauh bukan satu alasan untuk bermalasan dalam mengandakan ibadat di bulan-bulan lain. Ibadat kita perlu diteruskan, amalan sunat perlu ditingkatkan. Apa salahnya, setiap hari kita mampu khatam satu juzu’ (bahagian) daripada al-Quran, kenapa tidak pada bulan lain. 

Hari Raya adalah Hari Kemenangan, Hari Kesyukuran dilipatan seni Ilahi. Raikan hari penuh mulia ini dengan kegembiraan, bukan kedukaan. Amalan yang paling dimuliakan, ringan tangan bukan sahaja dalam erti kata bantu membantu sesama muslim, pemurah, malah mampu melenturkan sikap ego dengan bermaaf-maafan. 

Rasullullah SAW bersabda: " Apabila dikumpulkan hamba-hamba (manusia) ketika (amalan mereka dihisab). Maka muncul lah suara yang menyeru : Bangkit dan dipersilakanlah masuk ke dalam syurga mereka yang mendapat ganjaran daripada Allah Taala... lantas ditanya siapakah mereka itu? Iaitu mereka yang pemaaf (sentiasa memaafkan kesalahan orang lain), maka mereka masuk ke dalam syurga tanpa hisab. "
[Hadith Riwayat at-Tabrani] 

Jadilah hamba kepada satu Tuhan Esa iaitu Allah SWT di ketika dan di mana kita berada, bukan kepada ‘tuhan-tuhan’ kecil yang membinasakan akhlak kita kerana tiada lagi sesuatu yang dibiasakan. Ramadhan biarlah datang menurut kefahaman kita bukan kerana sudah dibudayakan, manakala kita tetap sahaja berdaya-saing untuk terus bertaqwa di luar Ramadhan. 

Indahnya Ramadhan dapat berpuasa dengan penuh ketaatan... indahnya EidulFitri dapat saling memaafkan. Andai jari tak dapat bersentuh,tangan tak dapat bersalam, hendaknya batin kita tetap bertaut. Memohon keikhlasan untuk memaafkan semua salah, khilaf dan cela. 

Keindahan ramadhan tetap bersinar seiring datangnya hari yang fitri. Selamat Eidul Fitri 1433H Minal aidin wal faizin. Mohon maaf lahir dan batin terucap setulus hati untukmu sahabat.

TAQOBALALLAHU MINNA WA MINKUM, MINAL AIDIN WAL FAIDZINN.

Monday 13 August 2012

^ MISTERI ILAHI ^


MISTERI ILAHI

Segala puji bagi Allah yang menggerakkan hati dan jiwa manusia menuntut ilmu yang akan menghampirkan diri seorang hamba yang hina kepada Zat Yang Menciptakannya. Selawat dan salam buat Rasul Muhammad ... berselawatlah ke atasnya... yang tidak pernah alpa dan putus asa membimbing ummah sehingga kini agar menuruti jejak ke redha Ilahi. Serta buat ahli keluarga baginda yang suci dan mulia dan para sahabat yang menjadi tokoh-tokoh agung dan pemugar semangat perjuangan Islam sehingga Kiamat.

Untuk mengupas dan merasai keindahan malam Lailatul Qadr ini, saya merasakan tindakan paling tepat adalah dengan mengkaji dan memahami surah Al-Qadr. Surah yang mana diturunkan khas oleh Allah dalam rangka untuk mengangkat kemuliaan malam tersebut. Dalam keterbatasan ilmu memahami Al-Quran, yang terdaya oleh saya adalah dengan menyemak tafsir Al-Quran yang telah diterjemahkan dalam Bahasa Melayu (tafsir Ibnu Katsir dan tafsir Fi Zhilalil Qur’an). Sedikit sebanyak saya yakin banyak keindahan dan kesyahduan malam tersebut telah tertapis oleh keterbatasan saya ini. Namun ini tidak wajar dijadikan alasan untuk kita duduk sahaja tanpa mengkaji untuk merasai keindahannya. Maka mari kita terus belajar dan mengkaji. Dengan ilmu ini kita harapkan dapat menyuntik semangat dalam jiwa kita untuk terus mengabdikan diri kepada-Nya. Segala teguran dan tambahan maklumat amat dialu-alukan. 

Jom kita semak surah Al-Qadr: 
" Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan-Nya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. "
[Al-Qadr :1-5] 

Dalam ayat pertama surah ini, Allah SWT berfirman yang Dia menurunkan Al-Quran pada malam kemuliaan (Lailatul Qadr). Dan inilah fenomena yang menjadikan malam itu begitu mulia. Ibnu Abbas mengatakan:  " Allah menurunkan Al-Quran itu sekaligus (30 juz) dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah dilangit Dunia. Kemudian diturunkan secara bertahap, sesuai konteks realitinya dalam waktu dua puluh tiga tahun, kepada baginda Rasulullah SAW ."
[Tafsir Ibnu Katsir] 

Sahabat yang dikasihi... persoalannya : Ada apa pada Al-Quran yang menjadikan malam itu mulia? 

Al-Quran ini adalah penghubung antara bumi dan alam tertinggi. Al-Quran ini adalah penghubung antara Pencipta dengan hamba-Nya. Al-Quran ini adalah penghubung antara hidup di dunia yang sementara dengan kehidupan yang kekal di akhirat kelak. Tanpa ragu, setelah kewafatan Baginda Rasulullah SAW, Al-Quran inilah satu-satunya penghubung mutlak. Kegagalan menjiwai Al-Quran ini adalah kegagalan buat selama-lamanya. Maka malam itu mulia kerana pada malam itulah atas kasih dan sayang Allah SWT pada hamba-Nya, Dia menurunkan Al-Quran buat kita sebagai petunjuk sepanjang zaman. Penurunan Al-Quran pada malam itu juga disokong dengan beberapa ayat lain yang digarap di dalam Al-Quran seperti dalam surah Ad-Dukhan (44:2-3) dan surah Al-Baqarah (2:185). 

[Surah Ad-Dukhān : 2~3]

" Demi Al-Quran Kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). "
[Surah Ad-Dukhān : 2~3] 

[Surah Al-Baqarah : 185]

" (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur. "
[Surah Al-Baqarah : 185] 

Dalam ayat kedua, Allah mengutarakan persoalan: “Tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?” Syed Qutb dalam tafsirnya menghuraikan persoalan yang diberikan Allah ini adalah untuk mengangkat kemuliaan malam tersebut melampaui batas kemampuan fikiran manusia. Nada yang sama digunakan dalam surah Al-Haqqah (69:3) 

[Surah Al-Ĥāqqah : 3] 

yang bermaksud : " Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (Saat itu ialah hari kiamat). "
[Surah Al-Ĥāqqah : 3] 

Ayat ini adalah untuk menggambarkan kedahsyatan hari kiamat yang melampaui batas pemikiran manusia. Maka malam itu sebenar-benarnya begitu mulia di sisi Allah SWT melebihi yang dapat kita bayangkan. Moga kemuliaan malam itu dapat memotivasikan kita untuk beramal. 

Tidak cukup dengan itu, ayat ketiga dalam surah ini pula secara jelas menggambarkan malam itu adalah lebih baik daripada seribu bulan. Menurut Syed Qutb, kata bilangan yang digunakan dalam ayat ini tidak terbatas hanya pada seribu. Ianya digunakan untuk menggambarkan bilangan yang banyak iaitu ribuan bulan. Maka tidak hairanlah dengan kemuliaan dan nisbah malam itu, baginda Rasulullah SAW bersabda: " Barang siapa melakukan solat sunnah pada malam Lailatul Qadr kerana iman dan ihtisaban (ikhlas mengharapkan pahala dan keampunan Allah) maka diampunkan dosanya yang telah lalu. "
[HR Bukhari dan Muslim] 

Seterusnya, Ibnu Katsir menafsirkan ayat keempat ini menggambarkan banyaknya malaikat turun pada malam ini kerana banyaknya berkah yang terdapat padanya. Ini bertepatan sebagaimana mereka (malaikat) senang untuk turun saat Al-Quran dibacakan. Mereka juga gemar mengelilingi majlis-majlis ilmu yang penuh berkah. Saat-saat seperti inilah malaikat-malaikat sebagai tanda penghormatan akan mengepakkan sayapnya meliputi hamba-hamba Allah SWT yang sibuk mencari pengampunan dan rahmat daripada Allah SWT. Sahabat-sahabat, tidakkah ini keindahan yang sempurna? Seluruh alam merasakan keberkahannya. Pada malam itu juga telah ditetapkan segala urusan seperti hidup, mati, rezeki, nasib baik, nasib buruk dan sebagainya bertepatan dengan surah Ad-Dukhan ayat 4: 

[Surah Ad-Dukhān : 4]

" (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). "
[Surah Ad-Dukhān : 4] 

Lalu diakhiri surah ini, dengan fenomena fajar yang terbit dari ufuk timur. Syed Qutb dalam nada yang saya rasakan berbunga-bunga dengan keindahan Lailatul Qadr menafsirkan cahaya fajar yang dikatakan di akhir surah ini amat serasi dengan cahaya wahyu Al-Quran dan cahaya malaikat. Sejenak terbayang di fikiran saya keindahan terbit fajar. Cukup bening menggerakkan hati. Tiada kata yang dapat menggambarkan keindahan itu. 


Inilah sahabat, betapa indahnya malam itu. Malam permulaan turunnya Al-Quran sebagai cahaya yang menerangi kegelapan umpama terbit fajar yang meneragi kegelapan semesta alam. Maka benarlah firmannya dalam surah Al-Baqarah ayat 257 yang berbunyi: 

[Al-Baqarah : 257]

" Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. "
[Al-Baqarah : 257] 

Maka, tersingkaplah keindahan malam Lailatul Qadr ini. Marilah sama-sama kita memohon pada Allah di setiap akhir solat kita agar ditemukan dengan malam yang begitu mulia. Alangkah ruginya bagi seorang hamba andai seumur hidupnya tidak pernah bertemu dengan malam tersebut. Peluang masih terbuka luas untuk kita kerana Rasulullah SAW pernah bersabda: " Carilah Lailatul Qadr pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. "
[HR Bukhari dan Muslim]


Malam lebih baik dari seribu bulan,
Air membeku, 
Heningnya malam dan menunduknya pohon,
Malam yang penuh berkah,
Dimana dijelaskan atau ditetapkan,
Segala urusan dengan penuh kebijaksanaan,
Malam mulia yang tak diketahui seberapa besar kemuliaannya,
Tak mampu dijangkau akal fikiran kita,
Pada saat malam itulah,
Para malaikat turun ke bumi,
Dengan membawa kedamaiaan dan ketenangan. 

Mari berlumba untuk dapatkan malam nan mulia ini,
Perbanyaklah amalan wahai hamba Allah,
Perpanjangkan zikir,
Bertasbihlah setiap nafas berhembus,
Lakukan selalu amalan sunnah. 

Bacalah dengan nama Allah wahyu untuk segenap umat,
Maka ketenangan batin pun akan kita peroleh,
Adapun kedatangan malam mulia ini,
Akan terjadi bila pun di bulan ramadhan. 

Hanya Allah yang tahu dan itulah misteri Ilahi,
Sedangkan tanda-tandanya orang yang mendapatkan malam itu,
Mereka akan bertambah kebaikannya,
Solatnya semakin rajin ia tegakkan,
Semakin merasa dekat dengan Maha Pencipta. 

Orang yang dapatkan malam ini,
Dia akan semakin mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala,
Bertambah iman dan taqwanya,
Bilakah kita dapat bertemu dengan malam mulia itu?
Wallahu a’lam... ~

Sahabat... malam-malam yang disebut Rasulullah SAW itu kian hampir. Mari kita gandakan usaha dan amal agar tidak terlepas peluang keemasan itu kali ini kerana tiada siapa yang dapat memastikan kita dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Saya amat berharap dan berdoa agar kita dapat menemui malam yang begitu sempurna keindahannya pada Ramadhan kali ini. Jazakallahu khairan kathira.

Tuesday 7 August 2012

TEMPOH BERKAT UNTUK MULAKAN... ^


DHUHA TEMPOH BERKAT MULAKAN AKTIVITI KEHIDUPAN 

Assalamualaikum... syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat-Nya masih lagi kita dalam Islam dan Iman, insyaAllah dan selawat dan Salam keatas junjungan besar kita, pentarbiyah ulung, Nabi Muhammad SAW dan para pendukung Islam sekalian.... moga-moga Allah SWT menetapkan hati-hati kita dalam Islam dan Iman, dua nikmat terbesar yang tidak terhingga. 

Allah SWT dalam beberapa ayat Al-Quran bersumpah dengan waktu Dhuha seperti firman-Nya yang bermaksud: " Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang." 
[Surah Ash-Syams : 1] 


Bahkan ada surah khusus dalam al-Quran dengan nama Ađ-Đuĥaá. 


Yang bermaksud : " Demi waktu dhuha, Dan malam apabila ia sunyi-sepi - (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati. Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan? Dan didapati-Nya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik; Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya. "

Pada pembukaan ayat, Allah SWT berfirman yang bermaksud: " Demi waktu Dhuha." Imam ar-Razzi menerangkan bahawa Allah setiap bersumpah dengan sesuatu itu menunjukkan hal yang agung, hebat dan besar manfaatnya. 

Apabila Allah SWT bersumpah dengan waktu Dhuha, bererti waktu Dhuha adalah waktu sangat penting dan mustahak. Antara doa Rasulullah SAW yang bermaksud: " Ya Allah, berilah keberkatan kepada umatku pada waktu pagi (Dhuha). " 

Ini menunjukkan orang yang aktif dan bangun di waktu pagi (waktu Subuh dan Dhuha) untuk beribadat kepada Allah SWT dan mencari nafkah halal, ia akan mendapatkan keberkatan. Sebaliknya, mereka yang terlena dalam mimpi dan tidak sempat solat Subuh pada waktunya, tidak mendapat keberkatan itu. 

Abu Zar meriwayatkan hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: " Bagi tiap-tiap anggota tubuh kamu hendaklah dikeluarkan sedekah baginya setiap pagi. Satu kali membaca takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh berbuat baik adalah sedekah, dan mencegah kemungkaran adalah sedekah. Dan semua itu dapat diganti dengan dua rakaat solat Dhuha. " 
[Hadis riwayat Muslim] 

Aisyah menceritakan Rasulullah SAW selalu melaksanakan solat Dhuha empat rakaat. Dalam riwayat Ummu Hani yang bermaksud: " Kadang-kadang Rasulullah SAW melaksanakan solat Dhuha sampai lapan rakaat. " 
[Hadis riwayat Muslim] 

Waktu Dhuha adalah waktu yang Allah SWT sebutkan dalam al-Quran dan bersumpah dengannya. Ia tidak disebut dan tidak pula dijadikan sumpah kecuali memiliki hikmah tersirat di sebaliknya. Dhuha mempunyai erti permulaan siang atau awal terbitnya matahari. 

Allah menjelaskan bagaimana waktu siang semestinya digunakan untuk mengerjakan aktiviti yang produktif, seperti firman-Nya : 

[Surah An-Naba’ : 11] 

yang bermaksud: " Dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki "

Nabi Muhammad SAW pernah mendoakan orang seperti itu yang bermaksud: " Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada umatku pada waktu pagi mereka. " 
[Hadis riwayat at-Tirmizi] 

Allah juga menjelaskan bagaimana waktu malam seharusnya digunakan untuk beristirehat. Allah berfirman :

[Surah Al-'An`ām : 96] 

yang bermaksud: " Allah SWT jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. "

Begitulah Allah mengarahkan manusia untuk memanfaatkan putaran waktu dengan baik dan tepat. Dalam pada itu Allah mengingatkan manusia tidak terlena dalam aktiviti kerja mereka sepanjang siang dan beristirahat sepanjang malam. 

Pada malam hari, Allah membangunkan mereka supaya tidak cuai dalam beristirahat. Firman Allah SWT :

[Surah Al-'Isrā' : 79]

yang bermaksud: " Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. "

Kesimpulannya, Allah SWT dan Rasul-Nya mengingatkan apa pun aktiviti dikerjakan manusia sepanjang siang dan malam, seharusnya tidak melupakan ibadat kepada Allah.