Thursday 29 March 2012

^ KITA PENGEMIS NUR ILAHI ^


KITA PENGEMIS NUR ILAHI 

Kita adalah pembawa roh dari ufuk ke ufuk,
Yang terpenjara dalam penjara hitam pekat nafsu,
Kita hanyalah pengemis Nur Illahi yang sering kali tewas,
Dalam membersihkan cermin rohani,
Yang kalah dalam kesibukan duniawi,
Yang berperang dengan ego sendiri. 

Kebahagiaan dan kenikmatan dalam mengingati Allah itu, 
Sebenarnya adalah milik-Nya... bukan milik kita,
Sebaliknya,
Bersyukurlah di atas keizinan berzikir,
Yang di kurniakan kepada kita,
Sesungguhnya...
Istiqamah kita di dalam berzikir juga merupakan satu karomah.

Apabila roh sering didedahkan kepada undur-unsur batil,
Kensitifnya pada haq pasti akan hilang,
Dalam masa yang sama,
Kita merasakan diri mula menghitung permata,
Yang dulunya pernah kita miliki,
Hakikatnya bukan satu kehilangan,
Ianya tanda kasih sayang Tuhan, 
Kerana kita mungkin akan dianugerahi sesuatu yang lebih baik.

Walaupun roh diselubungi karut dosa,
Namun yakinlah...rahmat Allah masih ada.
Walaupun terlalu payah rasanya,
Tazkirah dan didikan Allah itu, ibarat air yang mengalir.

Hakikatnya, 
Kita memang tidak dapat lari dari semua itu, 
Kerana pada setiap denyut nafas manusia itu, 
Ada ketaatan atau maksiat, nikmat atau bala,
Setiap nafas itu menjadi satu wadah,
Untuk terjadinya ketetapan Allah.

Oleh itu, 
Kembalilah sebelum diri makin lupa arah rumahnya, 
Dan menjadi tidak terhingga rasa jauhnya.... ~

^ HATI EMAS ^


HATI EMAS 

Ramai orang yang punya akal tetapi malangnya ‘tidak berakal’. Maksudnya, mereka tidak menggunakan akal untuk berfikir. Padahal fikir itu ialah pelita bagi hati. Justeru di dalam Al Quran Allah sering mengingatkan manusia agar selalu berfikir, menggunakan akal untuk tadabbur akan ayat-ayat-Nya dan mengambil ibrah daripada segala kisah yang daripada Al Quran. 

Malangnya, sedikit sekali ‘orang yang berakal’ walaupun ramai yang mempunyai akal. Hingga dengan itu ramai manusia yang tidak terasa kebesaran Allah, terlindung oleh keegoaan dirinya. Tidak mahu bersyukur kepada Allah kerana terhijab oleh kudrat dirinya. 

Itu sekadar renungan awal. Seperti mana ada orang yang punya akal tetapi tidak berakal, maka begitulah ramai ‘orang agama’ tetapi tidak beragama. Maksudnya, dia punya latar belakang pendidikan agama – mahir dengan segala wahyu dan sabda, tetapi segala-galanya tidak memberi impak kepada perilaku dan akhlaknya. 

Kita sering bertemu dengan orang yang sedemikian. Kita kagum dengan latar belakang kelulusannya, cakap-cakapnya, malah kekadang ceramah-ceramah serta kuliahnya tetapi apabila kita mula mendekatinya… hati kita tertanya-tanya, apakah ini teladan beragama yang sebenarnya? 

Kekadang kita terkesima dengan individu-individu yang sederhana dan latar belakang pendidikan agamanya sangat minimum (bukan tidak ada langsung), tetapi lebih warak, istiqamah dan jujur dalam pergaulan. Dia tidak ‘berminyak air’. Apa yang dipaparkannya di hadapan dan di belakang orang adalah sama. 

Saya kagum dengan beberapa orang individu yang saya kenali dalam kehidupan ini yang begitu teliti dengan makanan yang hendak diambilnya, wang yang pernah dia berhutang, komen yang hendak dilontarkannya kepada seseorang, sangat menjaga lidah dan tawaduk dalam pergaulan. 

Ilmu agamanya tidak tinggi tetapi apa yang ada itu benar-benar diamalkan dan membekas (memberi impak) kepada peribadinya. Ilmu yang banyak tentulah penting. Tetapi bukan semua orang berkesempatan dan punya peluang untuk belajar di peringkat sarjana, master mahupun doktor apatah lagi profesor. 

Ramai yang hanya di tahap ‘lepas fardu Ain’… Namun Allah Maha Penyayang, kekadang ada manusia yang diberi ‘hati yang bercahaya’ berbanding ‘otak yang bergeliga’, hingga dengan itu sedikit ilmu yang ada mampu dimanfaatkan seoptimumnya. 

Sepanjang kembara dalam hidup ini , saya temui figur-figur yang bercakap bukan dari kepalanya, tetapi dari hati. Orang yang begini bercakap tulus dan telus. Tanpa bunga-bunga kata, tanpa kilasan bahasa. Cakapnya sungguh bersahaja. 

Kekadang dia tidak punya kelulusan atau jawatan yang tinggi. Namun body language – bahasa badannya (yang lebih jujur dan asli) – memancarkan cahaya keyakinan, keikhlasan dan kematangan. Jika orang lain hanya menyampaikan ilmu, tetapi dia menyampaikan hikmah. Pada saya mereka inilah ‘orang-orang kecil’ yang begitu besar dalam arena pendidikan. 

Memang ada ilmu yang tidak boleh diajar, tetapi hanya boleh dipelajari. Guru yang sebegini selalunya bukan mengajar dengan huruf dan angka tetapi dengan gerak hati dan rasa. Mereka hanya mengamalkan apa yang mereka tahu. Dan ‘murid-murid’ tidak rasminya belajar daripada teladan yang dapat dilihat. Bukan dengan mendengar, menulis atau membaca. Dewan kuliahnya luas, seluas bidang kehidupan. Ketika para profesor atau doktor mendefinasikan, mencirikan dan mengupas ilmu rumah tangga secara ilmiah, mereka secara ‘simple’ menyampaikan ilmu itu secara amaliah. 

Rajin-rajinkanlah menajam pandangan mata hati untuk mencari orang yang begini. Kehidupan mereka adakalanya sungguh sederhana tetapi sangat bahagia. Kejernihan wajah mengukir senyuman menjadikan kita tertanya-tanya apakah rahsia ketenangan mereka. Orang sibuk membeli katil dan tilam empuk, mereka puas dengan tidur yang lena. Orang lain sibuk dengan makanan lazat dan berzat, resipi itu dan ini, mereka makan seadanya tetapi sungguh berselera. Mereka punya ‘harta’ yang tidak akan dapat dirompak. Mereka juga punya kekayaan yang tidak mengundang caci-maki dan hasad dengki manusia. 

Mereka ini bukan selebriti yang tersohor atau produk program realiti agama yang semakin banyak ketika ini. Mereka ini terselit di tengah-tengah masyarakat tanpa ‘glamour’ dan gelaran. Mereka juga tidak diuar-uarkan dalam kitaran strategi promosi dunia pasaran kontemporari yang bernuansa Islam .Tegasnya, mereka ini tidak ada nilai komersial – tidak , cukup pakej, kata orang sekarang. Mereka ini hanya produk ‘universiti kehidupan’ – yang mendapat ijazah melalui mehnah dan mujahadah. Ya Allah, temukan kami dengan orang ini, manalah tahu mereka itulah pewaris hati Uwais Al Qarni yang doanya mustajab dan kata-katanya mujarab untuk merawat mazmumah yang masih bersarang dalam jiwa ini. 

Sahabat-sahabat... kekadang terlalu banyak untuk ditulis sehingga tidak mampu dituang oleh kata-kata dan bahasa. Makna kadang-kadang tercari-cari kata-kata kerana sering diungkapkan sesuatu yang indah hanya dapat dirasa tetapi sukar untuk diungkapkan. Ya, tiada kata secantik bahasa… untuk mengungkapkan segala perasaan. Namun, keindahan itu bukan hanya untuk dirasa, tetapi untuk dijelmakan dalam bentuk perbuatan dan tindakan. Ya Allah, jangan jadikan kami orang yang terhijab oleh rasa-rasa yang tidak keruan, disangka kebenaran rupa-rupanya bisikan syaitan! 

Sahabat-sahabat... ini adalah kisah protes hati saya terhadap orang agama yang tidak beragama. Yang tanpa sedar mereka (atau kita juga?) telah menjadi umpama ulu kapak (yang terbuat dari kayu) untuk menebang kayu. Pinta dijauhkan agar janganlah ‘orang agama’ menjadi fitnah terhadap agama. 

Namun, saya tidak mahu mencoret kisah marah. Justeru, menyedari bahawa diri ini juga acap kali terperangkap dalam tipuan yang sama. Lalu saya pintal-pintal rasa marah menjadi kisah kagum, harmoni bernada muhasabah. 

Wednesday 28 March 2012

^ MENYESALLAH SEBELUM MENYESAL!! ^


MENYESALLAH SEBELUM MENYESAL!! 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Anas bin Malik sabda Rasulullah s.a.w, “Apabila seseorang diletakkan di kuburnya, dan para pengantarnya telah kembali, sehingga ia mendengar suara langkah mereka, pada saat itu dua orang malaikat datang dan mendudukkannya." 

Keduanya lalu bertanya: 
“Bagaimana pendapatmu tentang laki-laki ini?” 
Maksudnya: Muhammad s.a.w. Jika ia seorang mukmin, ia akan menjawab dengan tegas, “Aku bersaksi bahawa ia adalah hamba Allah dan rasul-Nya.” 

Kedua malaikat ini lalu berkata, “Lihatlah tempatmu di neraka. Allah telah menggantikannya dengan tempat di syurga.” 

Adapun jika ia seorang munafik atau kafir, maka ketika malaikat itu bertanya: “Apa pendapatmu tentang laki-laki ini?” ia menjawab, “Aku tak tahu. Aku hanya mengikuti apa yang diucapkan manusia tentangnya.” Keduanya lalu membentak dengan kasar, “Engkau tak tahu dan tak membaca !” Ia lalu dipukul dengan godaman dari besi di (bahagian kepala) antara kedua telinganya. Dia memekik dan suaranya didengar semua makhluk selain jin dan manusia. 

Hadis ini berisi beberapa pengajaran penting yang mesti kita perhatikan untuk menyelamatkan diri kita dari azab kubur. Salah satunya kewajiban mempelajari agama, terutama yang berkaitan dengan akidah, sehingga mencapai keyakinan dan persaksian sepenuh hati (syahadah) atas kerasulan Muhammad Saw. Mengabaikan hal ini hanya akan mengundang hardikan Munkar dan Nakir, “Engkau tak tahu dan tak membaca!” 

Beberapa ulama hadis, antaranya Imam Badruddin Al-‘Aini dalam Umdatul Qari fi Syarh Sahih Al-Bukhari, mentafsirkan ucapan itu dengan “engkau tidak pernah meyakininya dengan istidlal (pemikiran sendiri), tidak pula (meyakininya dengan) mengikuti penjelasan ulama melalui buku-buku mereka.” Sehingga secara bebas, kita boleh menterjemahkan ucapan ini, “Engkau tidak tahu dan tidak pernah ingin tahu.” 

Singkatnya, ucapan ini sebuah celaan atas orang-orang yang tidak pernah mengindahkan akidah dan syariah sebagaimana perilaku sebahagian orang moden di masa kini. Bagi mereka, kulit wajah jauh lebih penting daripada agama. Jika satu jerawat saja tumbuh di hidung mereka, atau kerepot terlihat di bawah mata mereka, terasa dunia ini telah kiamat.

Apa pun mereka akan dilakukan untuk menghilangkan jerawat dan kerepot itu. Namun ketika akidahnya tercabar, keimanannya dipersoalkan, ia masih dapat makan dan minum dengan nikmat seolah-olah tidak pernah terjadi apa-apa. La haula wala quwata illa billah. 

Menyesallah Sebelum Menyesal 

Jawapan sempurna untuk soalan Munkar dan Nakir hanya dapat dilakukan dari sekarang. Iaitu dengan cara menyedari kekurangan yang terdapat di dalam sikap keberagamaan kita, lalu berusaha menyempurnakannya dengan sekuat tenaga. Mulailah menyesali kekurangan diri selagi penyesalan ini masih bermanfaat. Sebab apabila kita telah berpindah ke alam kubur, penyesalan sebesar apa pun sudah tidak bermanfaat lagi. 

Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Setiap yang meninggal dunia pasti menyesal. Jika dia orang baik, dia menyesal kerana tidak menambahkan kebaikannya. Jika dia orang jahat, dia menyesal karena tidak berhenti daripada kejahatannya.”

Fikir-fikirkanlah...

"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."
Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manafa'at kepada manusia lain.

Monday 26 March 2012

^ PANDAI BAHASA ARAB, PANDAI AGAMA? ^

PANDAI BAHASA ARAB, PANDAI AGAMA? 

Ada sebahagian kelompok manusia dia memang mahir berbahasa arab. Tetapi terdapat satu kelemahan pada dirinya. Iaitu dia gemar memperkecilkan orang lain yang tidak pandai berbahasa arab.

Dia menyatakan dan membuat seakan sebuah “standardize”, sekiranya mahu bercakap tentang perkara agama, mesti pandai bahasa arab, baru boleh baca kitab asli.

Tapi, peliknya, dia yang sudah mendabik dada pandai berbahasa arab itu sendiri pun malas mahu baca kitab arab dan melakukan rujukan rupanya. Buktinya adalah apabila diberikan rujukan atau footnote, dia tidak pernah tahu untuk menela’ah sendiri rujukan yang diberi. Cakap tak serupa bikin.

Kalau setakat pandai bahasa arab, Abu Jahal pun pandai berbahasa arab. Tetapi ke mana dia? Bagaimana juga Umaiyah bin Khalaf? Berapa ramai orang yang bijak berbahasa arab tetapi mati kafir dan tidak kurang juga yang sesat!

Adakah bahasa arab mestinya membawa manusia ke jalan yang benar? Tahukah kita di masa zaman Nabi bersama para sahabatnya, berapa ramai di antara mereka yang ummi (tidak tahu membaca)? Malah yang buta tidak dapat melihat pun ramai. Namun, hati mereka dipenuhi dengan keimanan dan tauhid yang murni.

Itulah hakikatnya, keimanan bukan ditentukan dari kebijaksanaan berbahasa Arab. Bukan juga dari kepetahannya berbicara. Tetapi kemahiran berbahasa arab tetap sebuah kelebihan. Jika kita menguasai bahasa Arab, gunakanlah dengan sebaiknya. Manfaatkanlah. Bukan malah menyesatkan diri sendiri dengan bersifat sombong yang bakal mengundang kesyirikan.

^ CINTA DAN RINDU DALAM ISLAM ^

CINTA DAN RINDU DALAM ISLAM 

TENTANG HATI 
Banyak orang bercakap tentang permasalahan cinta tapi tidak sesuai dengan yang sebenarnya. Atau tidak menjelaskan batasan-batasan dan maknanya secara syar’i. Dan seakan-akan yang membahas masalah ini mempunyai pemahaman yang salah bahawa ianya berkaitan dengan akhlaq yang rendah dan perzinaan, satu perkataan yang keji. Dan dikaitkan pula dengan zina hati. Hal ini adalah salah. 

Cinta dan rindu adalah sesuatu yang berkaitan dengan manusia yang memotivasi mereka untuk menjaga dan mendorong kehormatan dan kemuliaannya. Saya memandang pembicaraan ini yang terpenting adalah batasannya, penyimpangannya, kebaikannya dan keburukannya. Cinta dan rindu adalah dua kalimat yang ada dalam hati setiap manusia, dan mereka memberi makna tentang kedua-dua hal ini sesuai dengan apa yang mereka rasai. 

CINTA (AL-HUBB) 

Cinta, iaitu Al-Widaad yakni kecenderungan hati pada yang dicintai. Itu termasuklah amalan hati, bukan amalan anggota badan atau zahir. Pernikahan contohnya, tidak akan bahagia dan berfaedah kecuali jika adanya cinta dan kasih sayang yang lahir dalam hati-hati pasangan suami isteri. Dan kunci kepada tumbuhnya kecintaan adalah melalui pandangan. Oleh disebabkan itulah, Rasulullah SAW menganjurkan pada orang yang meminang untuk melihat pada yang dipinang agar sampai pada kata sepakat dan cinta. 

Sungguh telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Nasa’i dari Mughirah bin Su’bah r.a berkata: “Aku telah meminang seorang wanita.” Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadaku: “Apakah kamu telah melihatnya?” Aku berkata: “Belum.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Maka lihatlah dia, kerana sesungguhnya hal itu pada akhirnya akan lebih menambah kesesuaian dan kasih sayang antara kamu berdua.” 

Kebanyakan orang, lebih-lebih pemuda dan pemudi, mereka takut untuk menghadapi cinta kerana tanggapan bahawa cinta yang tumbuh di dalam hati itu adalah dosa dan mereka mengira diri mereka sedang bermaksiat, berzina hati, bahkan salah seorang di antara mereka memandang, bila hatinya condong pada seseorang bererti dia telah berbuat dosa. 

Kenyataannya, bahawa di sini banyak sekali kerancuan-kerancuan dalam pemahaman mereka tentang cinta dan apa-apa yang tumbuh dari cinta itu, di mana mereka beranggapan bahawa cinta itu suatu maksiat, kerana sesungguhnya dia memahami cinta itu dari apa-apa yang dilihatnya dari lelaki-lelaki rosak dan perempuan-perempuan rosak di kalangan mereka, yang mana mereka-meraka itu menegakkan hubungan yang tidak disyariatkan oleh Allah SWT. 

Mereka saling duduk, bermalam, bergurau mesra, saling menari, dan minum-minum, bahkan sampai mereka berzina di bawah semboyan cinta. Banyak orang mengira bahawa cinta tidak ada lain kecuali yang demikian itu. Padahal sebenarnya tidak begitu, justeru sebaliknya. 

Sesungguhnya kecenderungan seorang lelaki pada wanita dan kecenderungan wanita pada lelaki itu merupakan syahwat daripada syahwat-syahwat yang telah Allah SWT hiaskan pada manusia dalam masalah cinta. Ertinya Allah SWT menjadikan di dalam syahwat apa-apa yang menyebabkan hati lelaki itu cenderung pada wanita, sebagaimana firman Allah SWT: “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak…” (Beautified for people is the love of that which they desire - of women and sons) – ['Ali-’Imran: 14]

Allah SWT-lah yang menghiasi bagi manusia cinta pada syahwat ini, maka manusia mencintainya dengan cinta yang besar, dan sungguh telah tersebut dalam hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Diberi rasa cinta padaku dari dunia kalian: wanita dan wangi-wangian dan dijadikan penyejuk mataku dalam solat.” – HR Ahmad, Nasa’i, Hakim dan Baihaqi. 

Andaikan tidak ada rasa cinta lelaki pada wanita atau sebaliknya, maka tidak adalah pernikahan, tidak adalah keturunan dan tidak adalah keluarga. Namun begitu, Allah SWT tidaklah menjadikan lelaki cinta pada wanita atau sebaliknya supaya menumbuhkan di antara keduanya hubungan yang diharamkan, tetapi untuk menegakkan hukum-hukum yang disyari’atkan iaitu pernikahan seperti dalam hadis Ibnu Majah, dari Abdullah bin Abbas r.a berkata: telah bersabda Rasulullah SAW: “Tidak terlihat dua orang yang saling mencintai, seperti pernikahan.” Dan agar orang-orang Islam menjauhi jalan-jalan yang rosak atau keji, maka Allah SWT telah menyuruh yang pertama sekali agar menundukkan pandangan, kerana ‘pandangan’ itu kunci kepada hati, dan Allah SWT telah haramkan semua sebab-sebab yang membawa pada fitnah, dan kekejian, seperti berduaan dengan orang yang bukan mahramnya, bersalaman, berciuman antara lelaki dan wanita, kerana perkara-perkara ini dapat menyebabkan condongnya hati. 

Maka bila hati telah condong, dia akan sulit sekali menahan jiwa setelah itu, kecuali yang dirahmati Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menyeksa manusia dalam kecenderungan hatinya. Akan tetapi manusia akan diseksa dengan sebab jika kecenderungan itu diikuti dengan amalan-amalan yang diharamkan. 

Contohnya: apabila lelaki dan wanita saling memandang tanpa batasan atau berduaan-duaan, lalu cenderunglah hati kedua-duanya, sesungguhnya kecenderungan hati ini tidak akan menyebabkan kedua-duanya diseksanya, kerana hal itu berkaitan dengan hati, sedang manusia tidak bisa menguasai hatinya, akan tetapi, kedua-duanya diazab kerana apa yang mereka lakukan, iaitu memandang tanpa batasan dan berdua-duaan. Dan kedua-duanya akan dimintai pertanggungjawaban, dan akan diseksa juga dari setiap perkara haram yang mereka perbuat setelah itu seperti berciuman, bermesraan dan berzina. 

Adapun cinta yang tulus ikhlas dan murni, yang dijaga kehormatannya, maka tidak ada dosa padanya, bahkan telah disebutkan oleh sebahagian ulama seperti Imam Suyuthi, bahawa orang yang mencintai seseorang, lalu menjaga kehormatan dirinya dan dia menyembunyikan cintanya maka dia diberi pahala. 

Menjaga kehormatan diri itu sungguh sangat sukar. Yang paling selamat adalah menjauhi semua sebab yang menjerumuskan hati dalam persekutuan cinta. Daripada kedua-dua golongan ini (yang mencintai serta menjaga kehormatan dan yang mengelak daripada cinta), sungguh sangat sedikit mereka yang selamat. 

RINDU (AL-’ISYQ) 
Rindu itu ialah cinta yang berlebihan. Ada rindu yang disertai dengan menjaga diri dan ada juga yang diikuti dengan kehinaan. Maka rindu tersebut bukanlah hal yang tercela dan keji secara mutlak. Boleh jadi, orang yang rindu itu, rindunya disertai dengan menjaga diri dan kesucian, dan kadang-kadang ada rindu yang disertai kerendahan dan kehinaan. 

Sebagaimana telah disebutkan tentang cinta, maka rindu juga seperti itu, termasuk amalan hati, yang manusia tidak mampu menguasainya. Tapi manusia akan dihisab atas sebab-sebab yang diharamkan dan atas hasil-hasilnya yang haram. 

Adapun rindu yang disertai dengan menjaga diri padanya dan menyembunyikannya daripada orang-orang, maka padanya pahala, bahkan Ath-Thohawi menukil dalam kitab Haasyi’ah Marakil Falah dari Imam Suyuthi yang mengatakan bahwa termasuk dari golongan syuhada di akhirat ialah orang-orang yang mati dalam kerinduan dengan tetap menjaga kehormatan diri dan disembunyikan daripada orang ramai meskipun kerinduan itu timbul daripada perkara yang haram. 

Makna ucapan Suyuthi adalah orang-orang yang memendam kerinduan baik lelaki mahupun perempuan, dengan tetap menjaga kehormatan dan menyembunyikan kerinduannya sebab dia tidak mampu untuk mendapatkan apa yang dirindukannya dan bersabar atasnya sampai mati kerana kerinduan tersebut, maka dia mendapatkan pahala syahid di akhirat. 

Hal ini tidak aneh jika fahami kesabaran orang ini dalam kerinduan bukan dalam kefajiran yang mengikuti syahwat dan dia bukan orang yang rendah yang melecehkan kehormatan manusia bahkan dia adalah seorang yang sabar, menjaga diri meskipun dalam hatinya ada kekuatan dan ada keterkaitan dengan yang dirindui, dia tahan kekerasan jiwanya, dia ikat anggota badannya sebab ini di bawah kekuasaannya. 

Adapun tentang hatinya dia tidak bisa menguasai, maka dia bersabar atasnya dengan sikap afaf (menjaga diri) dan menyembunyikan kerinduannya sehingga dengan itu dia mendapat pahala. 

Wallahu a’lam... ~ Sumber

^ SEJUTA ALASAN CINTA ^

SEJUTA ALASAN CINTA 

Jika aku mencintaimu kerana sifatmu yang ceria,
Menjadi semangat yang menyala dalam hatiku,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Bila keceriaan itu kelam dirundum duka,
Seberapa muram cintaku padamu akan ada? 

Jika aku mencintaimu kerana kecantikanmu,
Meredupkan pandangan di mataku,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Saat kecantikan itu memudar ditempuh usia,
Seberapa pudarkah kelak cintaku padamu? 

Jika aku mencintaimu kerana keramahanmu,
Memberi kehangatan dalam setiap sapaanmu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Kiranya keramahan itu tertutup kabut prasangka,
Seberapa mampu cintaku memendam praduga? 

Jika aku mencintaimu kerana cerdasnya dirimu,
Membuatku yakin pada setiap pekerjaanmu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Tika kecerdasan itu hilang meniti usia,
Seberapa bijak cintaku untuk tetap bersamamu? 

Jika aku mencintaimu kerana sifat berdikari yang kau miliki,
Menyematkan rasa banggaku padamu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Di saat sifatmu yang manja menjengah,
Seberapa besar cintaku padamu untuk dibanggakan? 

Jika aku mencintaimu kerana sifat egomu,
Menambatkan rasa kagumku pada utuhnya pertahananmu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Andai tembok keegoaan itu berjaya kuruntuhkan,
Seberapa kuat cintaku yang tinggal? 

Jika aku mencintaimu kerana pengertian yang kau berikan,
Menumbuhkan ketenangan dengan kepercayaan yang kau tanam,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Kelak pengertian itu ditelan ego sesaat,
Seberapa banyak mampu ku mengerti cinta ini? 

Jika aku mencintaimu kerana luasnya kesabaranmu,
Menambah dalamnya rasa cinta semakin ku mengenalmu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Mungkin kesabaran itu mencapai batasnya suatu hari nanti,
Seberapa besarkah cintaku mampu memaafkan? 

Jika aku mencintaimu kerana keteguhan imanmu,
Bagai siraj yang benderang mengantarkan cahaya,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Kala iman itu jatuh merundum,
Seberapa berkurang akhirnya cintaku padamu? 

Jika aku mencintaimu kerana engkau yang telah kupilih sebagai cintaku,
Yang kan kupegang sepanjang hayat,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Saat hati ini tergoncang,
Seberapa mantapkah cinta ini untuk tetap setia? 

Biarpun sejuta alasan,
Tetap tidak mungkin cukup,
Membuat cintaku tetap bersamamu,
Melainkan jika aku mencintaimu kerana Ilahi,
Kerana Dia kan selalu ada,
Untuk menjaga keutuhan cinta ini,
Hingga kelak ku tak mampu lagi mencintaimu,
Kerana cintaku… berpulang pada-Nya.

Sunday 25 March 2012

^ CANTIK PADA NILAIAN LELAKI ^

CANTIK PADA NILAIAN LELAKI 

Memang betul semua lelaki mahukan pasangan yang cantik. Tetapi benarkah cantik itu yang akan mereka nilaikan apabila bergelanggang di pentas rumahtangga nanti? 

Semua orang tahu bahawa kecantikan itu satu nilai yang tinggi. Seorang yang mahu memilih perhiasan rumah, pasti akan dicari yang cantik. Pakaian juga begitu, nilainya pada cantik. Makin cantik, makin tinggi harganya. 

Dalam bab memilih pasangan, cantik memang dianggap sebagai nilai utama. Bahkan terdapat amalan dalam sesetengah masyarakat, semakin cantik si gadis maka semakin tinggi harga mahar dan hantarannya. 

Tetapi awas. Cantik pada nilaian seorang lelaki akan terus berubah apabila memasuki dunia perkahwinan. Dunia yang kerapkali menjadikan si cantik tidak menang dengan hanya bermodalkan cantik. Kerana itu perlu difahami dengan jelas, bahawa perkahwinan itu bukan hanya cerita dalam bilik tidur. 

Bukan hanya pada kemanjaan, lemah gemalai, ketawa mengusik, berwangi-wangian, bersolek, berdandan dan sebagainya. Perkahwinan adalah suatu ranjau yang luas. Tidak mungkin ditempuh dengan seronok-seronok sahaja. 

Maka si cantik yang hanya bermodalkan cantik, bakal tersepit apabila semakin lama menjadi ahli kepada dunia rumahtangga. 

Kalau sebelum berkahwin, rengekan manjanya sudah cukup menjadikan si lelaki mengalah, selepas berkahwin mungkin tidak lagi. Kalau sebelum berkahwin, berlagak comel itu dilihat sebagai comel, selepas berkahwin ia mungkin lebih ditafsirkan sebagai mengada-ngada. 

Jangan salah faham. Ia sama sekali bukan disebabkan oleh faktor bosan, jemu dan yang sewaktu dengannya. 

Ia soal praktikal. Soal realiti. Soal tindakan, bukan teori. 

Selepas berkahwin, cantik pada nilaian seorang lelaki bukan pada kecantikan fizikal atau luaran seorang isteri. Anda berdandanlah sehebat mana sekalipun, jika anda gagal menyelami perasaan sang suami, pada dia anda tiada erti. 

Semburlah perfume sebanyak mana sekalipun ke tubuh anda, jika anda tidak pandai mengurus atur rumah dan memastikan rumah anda kemas, bersih dan tersusun setiap masa, maka pada suami, anda seolah tiada erti. 

Kerana apa? Kerana mereka menganggap isteri mereka sebagai teman, kawan dan orang yang sama-sama berperanan. Bukan model. Bukan ratu. Bukan permaisuri. 

Tetapi anda mungkin beruntung jika takdirnya anda bersuamikan lelaki yang tahap sabarnya luar biasa. Mungkin pada satu tilikan, ia kelihatan seperti ‘kesabaran’ yang luar biasa. Tetapi pada tilikan yang lain, dia sebenarnya mungkin malas melayan sikap negatif anda, atau sentiasa mengalah walaupun tidak suka dengan perangai anda. Mungkin untuk jangka masa pendek, ia kelihatan ok. Tetapi untuk jangka masa panjang, perlu juga disedari bahawa pasangan anda itu manusia dan bukannya malaikat. 

CANTIK 
Saya bercakap tentang segelintir wanita yang suka menjadikan kecantikan mereka sebagai modal untuk bahagia. Maka saya katakan tidak. 

Besar mana sangatlah nilai cantik itu dalam rumahtangga? 

Malanglah kalau seorang gadis tidak kisah dengan kekemasan dirinya, kekemasan tempat tinggalnya, kemahiran membuat kerja rumahnya, kemalasan yang berakar umbi dalam dirinya dan segala perangai negatif yang lain, dengan beranggapan bahawa dia cantik, dan dia akan bahagia. Dia akan beroleh suami yang sayangkan dia dan tidak kisah dengan sikap negatif yang ada padanya. 

Saya katakan bahawa wanita sedemikian adalah wanita yang malang. Cuba anda lihat contoh. Seorang suami yang pulang dari kerja dalam kepenatan, dia bukan hanya mahukan senyuman anda di muka pintu, atau segelas air yang anda hulurkan. Dia mahukan anda memahami dirinya. Ada banyak cara lelaki minta difahami. Antaranya adalah dengan tidak menambahkan kepenatannya dengan soalan-soalan bodoh atau kerenah-kerenah yang menyakitkan hati. 

Tetapi bayangkan, kalau seorang isteri yang hanya cantik tetapi tidak cerdik dan tidak matang. Suami pulang disambut dengan senyuman menawan, pakaian cantik dan wangi semerbak. Tetapi belumpun sempat suami duduk di sofa, mulutnya sudah berceloteh itu dan ini. Katakan sebelum suami pulang tadi, ada berita buruk yang diterima atau ada masalah yang berlaku. Masa itu juga lah semuanya diluahkan pada sang suami, yang masih terkial-kial menghilangkan penat. 

Dalam situasi tersebut, pertengkaran mungkin terjadi. Waktu itu, dia tidak kisah pun walau anda secantik bidadari. 

Situasi yang lain. Suami seorang yang aktif, suka berfikir, banyak idea dan gemar berhujah. Suami sukakan percambahan idea dan mahukan teman berfikir yang matang. Bagaimana jika isteri hanya cantik, tetapi setiap lontaran suami tidak bersambut? Suami bercakap tentang perancangan keluarga, isteri hanya mengangguk dan mengiyakan. Suami bercakap tentang strategi kewangan keluarga, isteri hanya mengikut dan mengiyakan. 

Lama kelamaan, pertengkaran boleh berlaku. Dan waktu itu juga, cantik tiada makna. 

MATANG 
Percayalah, seorang suami memang mahukan yang cantik sebagai pasangan, tetapi hakikatnya dia LEBIH perlukan yang matang sebagai teman. 

Maka pokoknya di sini bukanlah pada anda itu cantik atau tidak cantik. Apa yang lebih utama adalah pembentukan diri, sifat dan sikap anda dalam menuju ke alam rumahtangga. Buanglah sifat negatif yang anda dan berusahalah membentuk kematangan dalam diri. 

Cuba belajar bertolak ansur dengan housemate atau roomate anda, kerana itu suatu latihan untuk anda bertolak ansur dengan pasangan anda nanti. Cuba belajar mengurus diri dengan teratur dan mengurus rumah atau bilik anda dengan konsisten, kerana itu juga suatu latihan untuk melengkapi kebahagiaan anda suatu hari nanti. 

Belajar dan terus belajar. Jangan selesa dengan kecantikan dan paras rupa, sehingga anda bodoh sombong untuk belajar dan terus ego untuk berubah. Kelak, anda sukar untuk bahagia. 

Justeru, artikel ini mengajak anda yang mungkin berada dalam situasi di atas, atau mengenali rakan-rakan yang sedang berada dalam kemelut di atas, supaya sama-sama kita sedar. Lebih-lebih lagi wanita, kebersihan diri dan tempat tinggal sebelum berkahwin perlu dititikberatkan. 

Ingat, anda akan beralih kepada sebuah kehidupan yang sungguh praktikal, bukan teori yang mengasyikkan!

Friday 23 March 2012

^ CINTA DALAM DIAM ^


CINTA DALAM DIAM 

Tatkala jatuh cinta pada seseorang, ikatlah hatimu dengan seerat-eratnya. Simpulkanlah ia dengan simpulan mati yang hanya dapat dibuka saat waktunya tiba. 

Sebelum mengorak langkah lebih jauh dengannya, cukuplah cintai ia dalam diam. Kerana diammu adalah bukti cintamu padanya. Kamu ingin memuliakannya, dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan terlarang. Kamu enggan mengaibkannya, dengan tidak mengajaknya berdua-duaan. 

Kerana diammu meletakkan sifat malunya di tempat yang sebetulnya, kerana malu itu penanda aras keimanan di hatinya. Kerana diammu menjaga kesucian dan ketenangan hatinya, menghindar dirinya daripada perkara-perkara yang merosakkan izzah dan iffahnya. 

Sebelum memulakan sesuatu yang terlarang, cukuplah sekadar mencintai ia dalam diam. Kerana diammu adalah petanda keikhlasanmu kepadanya. Kamu tidak ingin ia memilihmu lewat rupa parasmu atau manis ayatmu, sebaliknya kerana tulus hatimu. 

Kerana diammu adalah keadilanmu. Kamu mana mungkin melanggar hak-hak walinya yang terlebih dahulu mencintai ia tanpa balasan dan alasan. 

Kerana diammu adalah kekuatanmu yang menguatkan dia. Kamu tidak akan sekali-kali mencari dan menggali titik-titik kelemahan yang ada di hatinya sehingga ia tersungkur dicedera rindu. 

Kerana diammu adalah……. Kekuatannya! 

Masih ingatkah kamu akan kisah cinta Fatimah dan Ali? Kedua-dua mereka saling memendam perasaan yang mereka rasakan antara satu sama lain, dan akhirnya, mereka dipertemukan dalam syurga cinta dunia nan suci dan indah. 

Boleh jadi orang yang kamu cintai itu juga adalah orang yang telah ditentukan oleh Allah SWT untukmu. Kerana dalam diammu, tersimpannya kekuatan harapan, yang menyalakan keinginanmu, dan memungkinkan Allah SWT memenuhi harapanmu sehingga ianya dapat berbicara di dunia nyata. 

Bukankah Allah SWT itu Maha Hidup lagi Maha Mendengar? Sesungguhnya Allah SWT itu malu. Dia malu apabila seseorang hamba-Nya mengharap kepada-Nya, lalu Dia menghampakannya dan meninggalkannya dalam kerugian. 

Tapi kiranya kamu telah berusaha berharap sepenuh hati, namun jika dia memang bukan milikmu, moga Allah SWT, merentasi batas-batas waktu, menghilangkan ‘cinta dalam diammu’ itu dan menggantikannya dengan rasa yang lebih indah, pada orang yang tepat. 

Biarkan cinta dalam diammu itu menjadi memori tersendiri di sudut hatimu yang menjadi rahsia antara dirimu dengan Sang Kekasih Agung! 

Kerana diammu tanda tunduknya hatimu pada Sang Kekasih Agung. Sedangkan ikatan rumah tangga yang dimulai tanpa rasa tunduk dan patuh pada syariat-Nya tidak mungkin diredhai-Nya. Dan tidak mungkin akan melahirkan generasi umat yang tunduk patuh pada-Nya. 

Kerana diammu adalah bukti cintamu yang agung! 

“Wahai Allah, jadikanlah kami orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan jadikanlah di antara anak-anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya kepada-Mu sahaja kami meminta dan bergantung harap. Perkenankanlah harapan kami Ya Allah.”

^ ENGKAU MEMANG CANTIK KERANA KAU SEINDAH ISLAM ^

ENGKAU MEMANG CANTIK KERANA KAU SEINDAH ISLAM 

Wahai perempuan solehah!!! ... ketahuilah bahawa... 

Engkau memang cantik selagi kau menutup malu,
Engkau memang cantik selagi kau memelihara adab,
Engkau memang cantik selagi kau menjaga aurat,
Engkau memang cantik selagi kau menjaga batas.

Engkau memang cantik selagi kau waras berhias,
Engkau memang cantik selagi kau bersifat fitrah,
Engkau memang cantik selagi kau pantang menyerah,
Engkau memang cantik selagi kau terus bersolat.

Engkau memang cantik selagi kau lurus bertaubat,
Engkau memang cantik selagi kau jujur berilmu,
Engkau memang cantik selagi kau taat suami,
Engkau memang cantik selagi kau membaca Al-Qur’an.

Engkau memang cantik selagi kau beradab sopan,
Engkau memang cantik selagi kau kasih ibu bapa,
Engkau memang cantik selagi kau mendidik keluarga,
Engkau memang cantik selagi kau sabar dan tenang.

Engkau memang cantik selagi kau tegakkan Islam,
Engkau memang cantik selagi kau mencegah kemungkaran,
Engkau memang cantik selagi kau berniatkan Tuhan,
Engkau memang cantik kerana kau seindah Islam!

^ YANG AKU DAMBAKAN ^




YANG AKU DAMBAKAN.... 

Yang ku damba… 
Bukanlah harta yang tinggi menggunung, 
Walau harta mampu membahagiakan. 

Yang ku damba… 
Bukanlah pangkat yang tinggi melangit, 
Walau ia mampu menundukkan. 

Yang ku damba. 
Bukanlah ar-rijal yang menggugat ketenangan hatiku, 
Walau ia adalah fitrah. 

Yang ku damba… 
Hanyalah redha dan rahmat dari-Mu.

Kerana aku yakin,
Dengan redha dan rahmat-Mu, 
Segalanya akan ku perolehi, 
Dan ia adalah yang terbaik buatku… ~

^ JANGAN ABAIKAN HATI ATAU JIWA ^


JANGAN ABAIKAN HATI ATAU JIWA

Dengan akal sahaja seseorang itu tidak akan kenal Tuhannya. Kekuatan akal hanya sekadar tahu. Yang mengenal itu adalah hati. Lantaran itulah ramai ahli fikir tidak mengenal Tuhan, hanya sekadar tahu. Bahkan ada di kalangan mereka. yang tidak percaya wujudnya Tuhan. Hati atau jiwa itulah hakikat diri. 

Kalau hati atau jiwa tidak mati atau buta. Ia mampu mengenal Tuhan secara hakiki. Bahkan rasa bertuhan sentiasa hidup di dalam jiwa. Rasa itu akan dibawa ke mana-mana. Kerana itulah hati dikatakan raja di dalam diri. Akal hanya sekadar penasihat sahaja. Raja sudah tentulah orang yang paling cerdik. Kerana itulah ia mampu mengenal Tuhannya. Kecuali hati atau jiwa telah mati atau buta. Dibutakan atau dimatikan oleh akalnya sendiri. 

Makin cerdik akal, makin cepat buta atau mati jiwanya. Jika mengabaikan hati atau jiwa. Akal hanya menyuluh tapi hati atau jiwa menentukan. Akal hanya memberi panduan tapi hati meyakinkan. Kerana itulah semua anggota badan biar berfungsi. Dia akan menguatkan satu sama lain. 

Jangan hanya akal sahaja berfungsi... hati atau jiwa diabaikan.

Tuesday 20 March 2012

^ PEDOMAN LELAKI MUSLIM MENCARI WANITA SOLEHAH ^


PEDOMAN LELAKI MUSLIM MENCARI WANITA SOLEHAH 

Setiap makhluk diciptakan Allah berpasang-pasangan. Begitu juga Allah s.w.t. menciptakan manusia ada lelaki dan wanita. Kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain.Oleh itu Islam menggalakkan umatnya mengikat tali perkahwinan yang sah supaya akan melahirkan zuriat keturunan. Nabi s.a.w merasa bangga apabila melihat umatnya ramai di hari akhirat nanti, berbondong-bondong masuk ke Syurga. Perkahwinan adalah Sunnah Nabi s.a.w dan baginda tidak mengaku sebagai umatnya apabila ada di kalangan mereka enggan berkahwin tanpa mempunyai alasan yang dibenarkan oleh syarak. 

Persoalannya adalah bagaimana seorang Muslim dapat mengenalpasti ciri Muslimah sebelum nikah, kerana ia diperintahkan untuk menundukkan pandangan (shaddul bashar) terhadap wanita? Seorang yang soleh akan tetap menjaga ketinggian akhlak dan mengelakkan perhubungan yang tidak diizinkan syarak. 

Berikut adalah antara perkenalan yang perlu dan cara pendekatan yang dapat dilaksanakan : 

1. Mengetahui akhlak dan tingkahlaku Muslimah dalam kehidupan harian. 

Kehidupan harian yang dilalui setiap individu yang beriman dan beramal soleh digambarkan melaliu ciri-ciri berikut iaitu : 

a. Ibadah yang khusyu’ 

b. Berpakaian menutup aurat yang sempurna.(menutup seluruh tubuh melainkan muka dan dua tapak tangan). 

c. Cara percakapannya tidak dibuat-buat (mengada-ngada). 

d. Menjaga pandangannya (tidak melingas matanya memandang, terutamanya melihat pemuda yang bukan mahramnya). 

e. Bergaul dengan semua muslimah (tidak membataskan pada kriteria fizikal, seperti bergaul hanya yang sesama berbusana tertentu) dengan akhlak yang karimah. 

Pengamatan ini boleh dilakukan melalui pertanyaan kepada siapa yang mengenalinya.Harus diingat bahawa pengamatan ini hendaklah dilakukan dengan cermat, jangan sampai diketahui oleh Muslimah itu, bahawa ia sedang diperhatikan, kerana ini akan menyebabkan salah tingkah atau tindakannya jadi tak natural(bersahaja). 

2. Melihat keadaan rumah tangga keluarga wanita.

Hal ini adalah dibolehkan, semasa bertunang. Ia dapat dilakukan semasa menziarahi kedua orang tua kepada wanita yang dipinang. Ketika ini juga ia boleh menanyakan lebih lanjut mengenai wanita itu pada ahli keluarganya. Biasanya jika ia berasal dari keturunan yang baik dan taat agama akan melahirkan wanita yang solehah. Tetapi, harus juga diingat ada juga wanita solehah yang berasal dari keluarga yang kurang taat pada ajaran agama. 

3. Bagi lelaki Muslim yang memahami bahawa tanggungjawab terhadap agamanya tidak dipisah dengan usaha dakwah dan merasakan tidak mencukupi melalui dua perkenalan di atas, maka eloklah ditinjau juga setakat mana penglibatan wanita itu dan peranannya dalam kegiatan dakwah Islam. 

Bagi ibu bapa yang baik dan taat beragama, dasar pemilihan dan urusan jodoh anaknya berdasarkan agama yang utama. Namun bagi yang lalai dan silau dengan kilauan harta dan pangkat dunia faktor agama bukan lagi neraca pertimbangannya. Penjodohan dengan dorongan aspek duniawi sangat menyalahi ajaran Islam dan wajib ditolak. 

Sekiranya ibu bapa kita tergolong dalam golongan yang tidak menjadikan nilai agama sebagai tunggak dalam perjodohan anaknya maka adalah wajar mendapatkan bantuan mereka yang membimbing dalam pendidikan Islamnya sebagai orang tengah. Melalui kaedah ini adalah lebih baik dan terpelihara dari unsur kerosakan akhlak seperti percintaan sebelum pernikahan yang mendekati zina (bertemu janji berdua-duaan sebelum pernikahan). 

Menurut al-Qur’an, wanita ideal mempunyai kriteria adalah seperti berikut : 
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “… Wanita yang baik (solehah)adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka.” (Surah An-Nisa’ ayat 34) 

Seorang Mukmin yang benar-benar taat pada Allah s.w.t. tidak akan mengambil mudah soal jodoh, dengan kata-kata ‘kita kawin dulu, nanti kita tarbiyyah kemudian’.Perlu diingat apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak kadangkala tidak ada masa untuk mendidik isteri,dan isteri pula enggan menghadiri majlis ilmu dan kemungkinan kemampuan suami pula tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk mentarbiyah isterinya, akhirnya hajat yang awal ingin membina rumah tangga Muslim kecundang ditengah jalan.Oleh itu pemilihan berdasarkan agama (wanita solehah) adalah amat penting, lebih penting dari kecantikannya, hartanya atau kerjayanya. 

Setiap wanita pula perlulah mempersiapkan diri mereka untuk menjadi wanita solehah samaada yang belum berkahwin atau yang telah bersuami. Kerana sesungguhnya sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah. Di akhirat nanti wanita yang solehah di dunia ini apabila ia dimasukkan ke dalam Syurga, kedudukannya lebih cantik dan mulia daripada bidadari Syurga. Seandainya kedua-duanya suami dan isteri yang soleh dan solehah, andainya mereka dapat memasuki Syurga mereka akan di nikahkan semula oleh Allah s.w.t. di Syurga dan ini adalah kenikmatan yang tidak ada tolok bandingnya.