Saturday 30 June 2012

^ DAHI CECAH KE SEJADAH ^


DAHI CECAH KE SEJADAH 

Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan,
Berwudhu’lah kamu sebelum kamu diwudhu’kan,
Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan. 

Tutuplah ‘auratmu sebelum ‘auratmu ditutupkan,
Dengan kain kafan yang serba putih,
Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih,
Walaupun orang yang hadir itu merintih. 

Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai,
Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah,
Dengan empat kali takbir dan satu salam,
Berserta Fatihah, Selawat dan doa,
Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah,
Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus,
Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup? 


Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud,
Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian,
Justeru kumenyeru sekelian Muslimin dan Muslimat,
Sebelum kamu diusung ke liang lahad,
Menjadi makanan cacing dan makanan ulat,
Iringilah dirimu ke masjid,
Sebelum kamu diiringi ke Pusara. 


Tangisilah dosa-dosamu di dunia,
Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa’,
Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan,
Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan,
Dengan panggilan ‘Izrail yang menakutkan,
Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan,
Kerana ianya berguna untuk yang tinggal,
Bukan yang pergi, 

Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan,
Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan,
Ingatlah di mana saja kamu berada,
Kamu tetap memijak bumi Tuhan,
Dan dibumbungi dengan langit Tuhan,
Serta menikmati rezeki Tuhan. 

Justeru bila DIA menyeru, sambutlah seruan-NYA,
Sebelum DIA memanggilmu buat kali yang terakhirnya,
Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti,
Lalu menjadi segumpal darah,
Lalu menjadi seketul daging,
Lalu daging itu membaluti tulang,
Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti,
Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu,
Yang kalau jatuh ke tanah,
Ayam tak patok itik tak sudu,
Tapi ALLAH mengangkatmu ke suatu mercu,
Yang lebih agung dari malaikat. 

Lahirmu bukan untuk dunia,
Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat. 


Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alas Solaah’,
Dengan penuh rela dan bersedia,
Sambutlah seruan ‘Hayya ‘alal Falaah’,
Jalan kemenangan akhirat dan dunia. 

Ingatlah yang kekal ialah amal,
Menjadi bekal sepanjang jalan,
Menjadi teman di perjalanan,
Guna kembali ke pangkuan Tuhan,
Pada hari itu tiada berguna Harta, takhta dan putera,
Isteri, kad kredit dan kereta,
Kondominium, saham dan niaga,
Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia,
Justeru ku menyeru sekelian sahabat... muslimin dan muslimat,
USUNGLAH DIRIMU KE TIKAR SOLAT,
Sebelum kamu diusung ke liang lahad.

~selamat berjuang melamar redha-NYA!!~

Friday 29 June 2012

^ RAHMAT UJIAN ^

RAHMAT UJIAN 

Hidup ini adalah satu medan ujian. Dunia ini hanyalah sebuah persinggahan dan bukan destinasi. Sebuah perhentian dan bukan pengakhiran. Tanpa ujian, manusia takkan pernah terhantuk dan tengadah, bahkan akan terus lalai dengan dunianya sendiri yang penuh dengan angan-angan, hiasan syaitan. 

Ujian adalah satu bentuk interaksi antara Allah swt dan kita. Ujian membuatkan kita mendongak ke langit, menadah tangan memohon perhatian Tuhan. Kita selalu lupa, namun Allah swt tak pernah sekali-kali lalai daripada hamba-Nya. 

Dalam derita ada bahagia, 
Dalam gembira mungkin terselit duka,
Tak siapa tahu,
Tak siapa pinta ujian bertamu. 

Bibir mudah mengucap sabar,
Tapi hatilah yang remuk menderita,
Insan memandang,
Mempunyai berbagai tafsiran. 

Segala takdir, 
Terimalah dengan hati yang terbuka,
Walau terseksa ada hikmahnya. 

Harus ada rasa bersyukur,
Di setiap kali ujian menjelma,
Itu jelasnya membuktikan, 
Allah mengasihimu setiap masa. 

Diuji tahap keimanan,
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan,
Hanya yang terpilih sahaja,
Antara berjuta mendapat rahmat-Nya, 

Allah rindu mendengarkan,
Rintihanmu berpanjangan,
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi, 
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu… 

Ya Allah, Ya Tuhanku. 
Kau permudahkanlah segala urusan-urusanku, 
Kau berikanlah aku kekuatan dalam menghadapi ujian dan dugaan ini, 
Bantulah hamba-Mu ini Ya Allah, 
Kau bukakanlah hati-hati mereka yang aku sayangi, 
Lembutkanlah hati-hati mereka, 
Berikanlah kami petunjuk, 
Taufik hidayah-Mu Ya Allah. 

Ya Allah, ar-Rahman, ar-Rahim. 
Dengan rahmat-Mu aku bermohon, 
Bimbinglah aku dalam membuat keputusan yang tepat dalam hidup ini, 
Kepada-Mu sahaja aku berserah dan berharap, 
Sesungguhnya, 
Aku amat mendambakan kasih dan rahmat-Mu Ya Allah. 

Allah swt tidak pernah silap dalam menentukan takdir untuk hamba-hamba-Nya. 
Ya Allah… jadikanlah aku seorang hamba yang redha dengan ujian Mu ini... ~ 

Amiin Ya Rabbal ‘Alamiiin.

^ REDHA... ADAKAH AKU REDHA?? ^

REDHA... ADAKAH AKU REDHA?? 

Bukankah seorang yang menuntut kemuliaan dari Allah swt harus tidak tahu bersungut dan terlalu cerewet dengan takdir yang telah ditentukan kepadanya?? Dia harus menerimanya dengan hati yang tenang dan redha, tidak kira apa sahaja corak takdir yang menimpa. 

“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” 
[Surah An-Nisā' : 32] 

Alangkah sempitnya akal seseorang insan sehingga tidak memahami adanya hikmah dan rahmat kurnia Allah swt dalam setiap takdir yang Allah swt tentukan buat dirinya. Tentunya itu kerana lemah keimanan dan tidak ada baik sangka terhadap Allah swt yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. 

Astagfirullahaladzim.
Maafkanlah aku ya Allah. 
Ajarkanlah aku untuk redha dengan Mu. 

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” 
[Surah Al-'Aĥzāb : 36]

Hanya orang yang sabar dan redha dengan ujian dan ketentuan Allah swt sahajalah yang akan berjaya di dalam perjalanan ini. Mereka sering mendapat kelebihan kurnia dan kebesaran daripada Allah swt pada saat-saat itu, yang kadang-kadang tidak didapati dengan sembahyang dan puasa.

Ya ALLAH... 
Jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang bersyukur dan redha dengan segala ketentuan-Mu...

Thursday 28 June 2012

^ HIDAYAH ITU MILIK ALLAH ^


HIDAYAH ITU MILIK ALLAH... DIA beri pada sesiapa yang dikehendaki.

Segala puji bagi Allah yang menggerakkan hati dan jiwa manusia menuntut ilmu yang akan menghampirkan diri seorang hamba yang hina kepada Zat Yang Menciptakannya. Selawat dan salam buat Rasul Muhammad ... berselawatlah ke atasnya... yang tidak pernah alpa dan putus asa membimbing ummah sehingga kini agar menuruti jejak ke redha Ilahi. Serta buat ahli keluarga baginda yang suci dan mulia dan para sahabat yang menjadi tokoh-tokoh agung dan pemugar semangat perjuangan Islam sehingga Kiamat.

Hidayah, betapa mahalnya ia jika dibicarakan dalam rentang hidup anak manusia. Terlebih jika hidayah itu datang secara tiba-tiba, tanpa ada rencana dan tidak ada proses untuk mendapatkan yang direka. la begitu saja datang lalu tergetarlah episod hidup yang penuh dengan taburan cahaya. 

Hidayah Allah SWT itu tidak diberikan kepada manusia berdasarkan kedudukan, keluarga, pangkat, dan harta mereka. Melainkan hidayah dan cahaya Allah itu diberikan kepada orang yang dikehendaki oleh-Nya dan berhak untuk menerimanya. Hidayah Allah dikerahkan bagi orang yang memang ingin mencarinya dan gemar untuk mendapatkannya. 

Siapa saja yang ditunjukkan oleh Allah sebuah hidayah di dalam hatinya, kemudian dia berjuang dengan sungguh-sungguh di jalan Allah, dia rela Allah sebagai Tuhannya, dan menjadikan Allah sebagai tujuannya, maka keredhaan-Nya telah dipancarkan ke dalam matanya dan Allah memberikannya suatu petunjuk. 

Untuk mencapai hidayah itu bukan hanya dengan banyak beribadah, tetapi harus disertai dengan keimanan dalam hati. Bukanlah iman kalau hanya dengan menyendiri dan berangan-angan, tetapi iman adalah yang bersemayam di dalam hati dan direalisasikan dengan amal perbuatan. Kebanyakan orang yang ahli ibadah zaman sekarang ini salah persepsi ketika mereka mengira bahawa jalan untuk mencapai hidayah adalah dengan banyak beribadah. Sehingga, mereka mengada-adakan suatu ibadah yang tidak diajarkan oleh Allah dalam syari'atnya. 

Sesungguhnya Allah mengetahui bahawa di dalam hatimu ada keinginan untuk mendapatkan hidayah dan juga mengetahui apa yang tersembunyi di balik jiwamu bahawa kamu menginginkan-Nya. Kalau kamu bersungguh-sungguh mencari hidayah, pastilah Allah akan membukakan dan memberikan untukmu sesuatu yang tidak terlintas dalam hatimu. Janganlah di dalam kehidupan ini kamu kikir memberikan kemudahan, ilham, bimbingan, pemberian, cahaya dan keberkahan. Sesungguhnya Allah akan mendatangkan hidayah dari salah satunya. 

Inilah keinginan yang besar dan keinginan yang sesungguhnya, yang tidak akan dapat ditandingi oleh keinginan untuk mendapatkan kemewahan dunia. Sesungguhnya, semua keinginan itu akan terlihat murah kalau dihadapkan dengan keinginan yang mulia untuk mendapatkan hidayah. Dan hanya orang-orang rugi yang tidak ingin menggenggamnya erat-erat setelah mendapatkannya.... fikirkanlah! 

Allah sangat dekat dengan kita, 
Bahkan lebih dekat dengan urat leher kita. 

Adakah kau mengerti, 
Tiap desah nafas adalah kasih sayang-Nya. 

Dia telah memanggilmu, 
Menegurmu dengan sangat dekat, 
Memberimu surat cinta untuk dibaca. 

Jika selangkah saja kau dekat pada-Nya, 
Dia akan mendekatimu seribu langkah.... 

Segala yang baik datang dari Allah dan yang buruk adalah akibat kejahilan kita sendiri. 

CIRI-CIRI ORANG-ORANG YANG MENDAPAT PETUNJUK 

Sesungguhnya hidayah Islam dan hidayah taufik adalah kompas kehidupan yang paling berharga dalam hati seseorang yang beriman. 

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)." 
Surah Al-Qasas [28:56] 

Adapun ciri orang yang mendapatkan hidayah atau petunjuk dan bimbingan Allah adalah seperti berikut:

1. MERASAKAN KEMUDAHAN DALAM BERAMAL SOLEH/ MENDAPAT KEMANISAN BERIMAN. 
Orang yang telah mendapatkan hidayah akan merasa mudah atau ringan dalam melaksanakan amal soleh, rajin dan tekun dalam beribadah, serta sangat takut berbuat kedurhakaan. Solat dirasakan manis dan asyik. Terasa seolah-olah bertemu kekasih. Masa berlalu terlalu singkat. Manakala orang yang tidak mendapatkan hidayah ini akan merasa malas dalam beramal soleh dan tidak merasa bersalah kalau berbuat maksiat. Allah swt. berfirman, "Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman." 
Surah Al-'An`ām [ 6:125] 

Maksud "Dia melapangkan dadanya untuk Islam" ialah mereka yang mendapatkan hidayah akan merasa mudah melaksanakan ajaran-ajaran Allah, dadanya lapang tanpa beban. Manakala yang dimaksudkan dengan "nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit" ialah mereka yang tidak mendapatkan hidayah akan merasa malas dalam beramal soleh saat melaksanakan perintah dan maenjauhkan larangan Allah swt. 

Rasulullah SAW bersabda: "Perkara dunia yang aku suka ialah wanita, wangian dan aku jadikan solat sebagai buah hatiku." [H.R. Bukhari] 

2. MERASAKAN KERINDUAN KEPADA ALLAH. 
Orang yang mendapatkan hidayah, setiap ruang hatinya terisi dengan kerinduan kepada Allah SWT. Jika nama Allah SWT. disebut, akan bergetar hatinya; kalau dibacakan firman-Nya, akan bertambah imannya; ia bertawakal, mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat sebagai meluahkan rasa syukur atas nikmat yang diterimanya. 

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga)."
Surah Al-'Anfāl [8:2~4] 

3. KONSISTEN ATAU ISTIQAMAH 
Orang yang mendapatkan hidayah akan istiqamah atau konsisten dalam menjalankan perintah-perintah-Nya. Ia akan merasa nikmat saat beribadah kepada-Nya. Hal ini dijelaskan dalam ayat berikut, "Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad SAW)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)." 
Surah 'Āli `Imrān [3:101] 

Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah suka apabila seorang hamba mengerjakan suatu pekerjaan dan dia istiqamah melakukannya." (H.R. Baihaqi) 

Keteguhan mereka dalam memegang ajaran agama diumpamakan dalam Surah 'Ibrāhīm [14:24~25]. "Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)." 

4. BERSEMANGAT DALAM MEMPELAJARI DAN MEMAHAMI ILMU. 
Orang yang mendapatkan hidayah akan memiliki semangat untuk selalu menelaah ajaran-ajaran Allah. Islam itu agama yang harus difahami, bukan sekadar diyakini. Kefahaman dalam Islam amat penting untuk melahirkan amalan yang tepat. Ada orang yang boleh menghafal ilmu tetapi tidak memahaminya lalu jadi seperti burung kakak tua yang hanya tahu bertutur tetapi tidak memahami apa yang dituturkannya. Rasulullah SAW bersabda, "Apabila Allah akan memberikan kebaikan pada seseorang, Dia berikan kepadanya kefahaman dalam beragama." 

5. SABAR MENGHADAPI PELBAGAI UJIAN. 
Allah SWT memberikan kehidupan kepada manusia sebagai ujian. Siapakah di antara hamba-Nya yang paling baik amalnya. Kehidupan dunia merupakan ladang amal. "Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." 
Surah Al-Mulk [67:2] 

Orang-orang yang mendapatkan hidayah akan tahan menghadapi berbagai ujian kehidupan, sebagaimana dijelaskan dalam ayat berikut. "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya." 
Surah Al-Baqarah [2: 155~157] 

Pada akhir ayat di atas tertulis dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. Ini merupakan kunci kata ayat yang menegaskan bahwa orang-orang yang bersabar adalah orang-orang yang mendapatkan petunjuk atau hidayah-Nya. 

Ya Allah... Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.

Wednesday 27 June 2012

^ KEMANA KITA SELEPAS INI..?? ^


^ KEMANA KITA SELEPAS INI ^ 

Ke mana kita selepas ini?
Tergantung pada jawaban sendiri,
Ke jalan gemilang, 
Terpaut pada lambatnya waktu menipis,
Di bumi bertuah, 
Memandang jauh ke dalam malam gerhana,
Celapak-celepong menyeret langkah,
Tersayat mata yang meredup,
Lalu bertanya pada sebuah kelahiran dan sebuah cermin,
Musim berganti memasuki senja yang hamis, 
Dari lembah yang sepi, 
Mereka masih membentak suatu perjuangan,
Masih ada yang mengagih maut pada kekerasan terbentur,
Berpuak menjauh dari kasih yang terlucut dendam yang menghempas,
Ada yang mengupas hidup dan memaksakan mimpinya, 
Kemiskinan yang membuas, 
Melaham di malam berbintang,
Kelaparan runtuk memenjarakan sebuah harapan yang hanyut,

Mat Jenin...Si Luncai...Pak Kadok,
Masih tersenyum meskipun tersendat-sendat menghirup nafas,
Yang difikirkan dan tindakan tak terkumpul menjadi kekuatan,
Bila perang meletus ada mengira untung,
Sekurun dan turun-temurun,

Kalau ada peninggalan,
Masihkah kau ingat tasamuh pada sepohon kayu,
Pada sebuah tanah,
Sebuah kunci pada pintu....?
Masing masing pun punya cerita tentang kegemilangan malam kencana.

~ Nukilan : Atan Uwie ~

Tuesday 26 June 2012

^ DOA BUAT YANG LAIN ^


DOA BUAT YANG LAIN

Dalam sehari, berapa banyakkah kita berdoa? Berapa banyakkah pula kita mendoakan orang lain? Mungkin kita biasa mendoakan ibu bapa, adik beradik, datuk nenek dan keluarga kita. Namun pernah tak kita mendoakan orang lain seperti sahabat-sahabat dan umat islam yang lain?

Tentu kita biasa mendengar kata- kata yang berbunyi, ”Semakin banyak kita memberi tanpa mengharapkan balasan, maka akan banyak juga yang kita terima dalam jumlah yang tak disangka-sangka.”

Boleh jadi apa yang kita terima itu mungkin dalam bentuk ilmu, duit, pertolongan mahupun benda. Kita mudahkan urusan orang, Allah akan mudahkan urusan kita. Kita sukarkan hidup orang, Allah akan sukarkan urusan hidup kita.

Sabda Rasulullah SAW : Bila seseorang mendoakan bagi diri sahabatnya sedang ia tidak ada bersamanya maka Malaikat akan berkata : “Dan engkau juga akan menerima sepertinya.” 

Apa kata mulai hari ini, sama-sama kita latih diri kita mendoakan orang lain, sesiapa sahaja yang kita kenali. Tak kisah sama ada doa itu tentang kejayaannya, kesejahteraannya, keselamatannya atau kesihatannya. Lebih banyak kita mendoakan kejayaan orang lain, lebih banyak juga doa kejayaan yang kita dapat. Lakukannyalah dengan penuh keikhlasan.

Ya Allah... 
Panjangkanlah umur sahabatku. 
Kurniakanlah kesihatan yang baik padanya, 
Terangi hatinya dengan nur pancaran iman. 
Tetapkanlah hatinya, 
Perluaskanlah rezekinya, 
Dekatkanlah hatinya kepada kebaikan, 
Jauhkanlah hatinya pada kejahatan, 
Tunaikanlah hajatnya baik hajat dalam agama,dunia dan akhirat. 

Ya Muhaimin... 
Jika dia jatuh hati, 
Izinkanlah dia menyentuh hati seseorang, 
Yang hatinya tertaut pada-Mu, 
Agar tidak terjatuh dia dalam jurang cinta nafsu. 
Jagalah hatinya, 
Agar tidak berpaling daripada melabuhkan hatinya pada hati-Mu,
Jika dia rindu, 
Rindukanlah dia pada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu. 

Ya Allah ... 
Jangan biarkan sahabatku tertatih,
Dan terjatuh dalam perjalanan panjang, 
Menyeru manusia kejalan-Mu,
Jika kau halalkan aku merindui sahabatku, 
Janganlah aku melampaui batas,
Sehingga melupakan aku pada cinta hakiki, 
Rindu abadi dan kasih sejati hanya untuk-Mu. 

Ya Allah... 
Kurniakanlah sahabatku kesenangan, 
Ketenangan, 
Kecemerlangan dan hidayah dari-Mu,
Dalam menempuh cabaran,
Serta liku-liku hidup di dunia dan di akhirat kelak. 

Amin yarabbal'alamiin... Insya-Allah... ~

Thursday 21 June 2012

^ SUBURKAN CINTAKU PADA-MU ^


SUBURKAN CINTAKU PADA-MU 

Ya Allah... dengan izin-Mu, 
Telah banyak yang aku lalui, 
Hingga pernah resah jiwa ini, 
Hingga pernah gelisah hati ini, 
Cinta dunia pernah merantai hati, 
Walau tidak pernah kuzahiri, 
Dalam sederap langkah perjalanan hidupku. 

Jika dulu telah Engkau izinkan, 
Aku merasai kehangatan kasih dalam alpa, 
Jika dulu Engkau benarkan, 
Aku menikmati rindu adam kepada hawa, 
Jika dulu Engkau biarkan, 
Aku di dalam bahagia yang sementara, 

Cukuplah wahai tuhanku! 
Kerana di sebalik semua itu, 
Aku pernah kehilangan cinta-Mu, 
Pernah gersang jiwaku, 
Pernah tandus imanku, 
Derita itu merobek ketenanganku, 
Hatiku yang telah retak semakin retak, 
Solatku tiada lagi khusyuknya, 
Rukukku tiada lagi ikhlasnya, 
Sujudku bersama fikiran yang melayang entah ke mana, 
Tahajjudku sudah tiada serinya, 
Munajatku sudah hilang air matanya, 
Imanku longlai untuk berkata-kata. 

Ya Allah... setelah semua itu aku lalui, 
Dengan penuh susah, jerih dan payah, 
Aku gagahi jua langkah lemah ini, 
Berbekal harapan yang tidak pernah mati, 
Akhirnya kutemui cinta-Mu yang hakiki, 
Manisnya kurasai, 
Bahagia dan ketenangan abadi. 

Bersama setiap sedutan nafas, 
Beriramalah tasbih, tahmid dan takbir, 
Hati ini bahagia dengan mengingati-Mu 
Hati ini derita bila melupai-Mu, 
Engkaulah Kekasih dan cinta hatiku, 
Sekalipun tidak berasa kecewa kerana dikecewakan, 
Bahkan hati yang retak kembali pulih, 
Hati yang merana kembali damai, 
Hati yang sirna kembali menyinar. 

Syukurku pada-Mu Allah, 
Atas segala kurniaan, 
Nikmat rasa cinta yang cuma sedikit pada-Mu ini, 
Jangan Engkau lenyapkan, 
Jangan Engkau kuburkan, 
Tapi, suburkanlah cintaku pada-Mu Allah, 
Biarkan hati ini, 
Terus mengharap, berpaut dan bergantung pada-Mu, 
Kurniakan kepadaku, 
Sekeping hati yang kuat, 
Agar ia terus hidup di dalam cahaya-Mu, 
Selamanya... ~

^ WANITA IMPIAN ^

WANITA IMPIAN 

Wanita yang ku impi, 
Adalah yang mempunyai budi pekerti, 
Hidupnya adalah hanya untuk Ilahi, 
Kata bicaranya datang dari nurani, 
Ikhlas, benar dan suci, 
Yang boleh mendamaikan hati, 
Sewaktu ujian dan dugaan silih berganti, 
Namun dia masih mampu berdiri. 

Wanita yang ku inginkan, 
Adalah yang hidupnya kesederhanaan, 
Namun dia punya keimanan, 
Bagi menghadapi sebarang cubaan, 
Berbekalkan tingginya ketaqwaan, 
Pengharapan dan kepasrahan pada tuhan. 

Wanita yang ku impikan, 
Adalah dapat menunjukkan jalan, 
Sewaktu aku tersasar kesesatan, 
Yang dapat menghampirkan aku pada tuhan, 
Tatkala aku kejauhan, 
Dilambai ulit keduniaan. 

Wanita yang ku harapkan, 
Padanya sifat kewanitaan, 
Bersama sikap keibuan, 
Yang boleh menyejukkan tatkala kepanasan, 
Sentiasa tunduk ketaatan, 
Sujud dan rukuk walaupun kesejukan, 
Pada kegelapan malam yang kedinginan. 

Wanita yang ku doakan, 
Nilai maruahnya tiada tandingan, 
Zikirnya bagai nyanyian, 
Doanya adalah hiburan, 
Bicaranya lambang keikhlasan, 
Senyumnya pengubat kedukaan, 
Dan air matanya tanda sebuah kecintaan, 
Bersalut kerinduan dan keredhaan Tuhan, 
Bagi aku orang yang mengharapkan.

Wednesday 20 June 2012

^ JANGAN DITANGISI APA YANG BUKAN MILIKMU ^


JANGAN DITANGISI APA YANG BUKAN MILIKMU 

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai, kenyataan yang tidak sesuai harapan. Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melakukan sesuatu yang mendorong kepada ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar berbagai keinginan. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak, mempunyai keinginan. Tetapi tidak setiap yang kita inginkan bisa terbukti, tidak setiap yang kita mahu bisa tercapai.Dan tidak mudah menyedari bahwa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahwa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahwa sejatinya itu semua pemberian Allah hingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenang. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan benar. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, ia tidak akan kita bisa miliki. Meski ia nyaris menghampiri kita, meski kita mati-matian mengusahakannya. 

"Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." 
[Surah Al-Ĥadīd 57 : 22] 

No disaster strikes upon the earth or among yourselves except that it is in a register before We bring it into being - indeed that, for Allah , is easy – 

"(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." 
[Surah Al-Ĥadīd 57 : 23] 

In order that you not despair over what has eluded you and not exult [in pride] over what He has given you. And Allah does not like everyone self-deluded and boastful -

Demikian juga bagi yang sedang galau terhadap jodoh. Kadang kita tak sedar ketentuan Allah tentang jodoh kita, bukannya meminta yang terbaik dalam istikharah kita tetapi benar-benar ketentuan Allah: "yang pentingnya harus dia Ya Allah! Harus dia, kerana aku sangat mencintainya." Seakan kita jadi yang menentukan segalanya, kita meminta dengan paksa. Dan akhirnya kalau pun Allah memberikannya maka tak selalu itu yang terbaik. Boleh jadi Allah tak mengulurkannya tidak dengan kelembutan, tapi melemparkannya dengan marah kerana niat kita yang terkotor.

Maka wahai jiwa yang sedang gundah, dengarkan ini dari Allah:
"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
[Surah Al-Baqarah 2:216] 

Fighting has been enjoined upon you while it is hateful to you. But perhaps you hate a thing and it is good for you; and perhaps you love a thing and it is bad for you. And Allah Knows, while you know not.

Maka setelah ini wahai jiwa, jangan kau hanyut dalam nestapa jiwa berkepanjangan terhadap apa-apa yang luput darimu. Setelah ini harus benar-benar difikirkan bahwa apa-apa yang kita rasa perlu di dunia ini harus benar-benar perlu, bila ada relevansinya dengan harapan kita akan bahagia di akhirat. Kerana seorang Mu'min tidak hidup untuk dunia, tetapi menjadikan dunia untuk mencari hidup yang sesungguhnya: hidup di akhirat kelak. 

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!!!! Kerana tidak akan sekali kali kau akan kehilangan sesuatu yang sememangnya tidak pernah menjadi milikmu... ~

^ USAH LEKA.... JAGALAH IMAN ^

^ USAH LEKA..... JAGALAH IMAN ^ 

APABILA iman lemah, maka mudah sekali melakukan dosa dan maksiat. Apabila maksiat meningkat, bantuan Allah untuk dipelihara daripada syaitan berkurang dan tiada. 

Rasulullah SAW sendiri sering berdoa: “Wahai Allah yang boleh membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas jalan agama-Mu”. Baginda juga memohon Allah memelihara hala tuju perasaannya supaya tidak menyimpang dari hala tuju yang ditentukan Allah menuju kepada yang tertinggi. 

Doa baginda: “Wahai Allah yang menguruskan hati, uruskanlah hati kami di atas ketaatan kepada-Mu”. Rasulullah SAW juga berdoa pada siang dan malam di dalam zikirnya: “Wahai Allah, sesungguhnya saya berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran”

Adakah kita mengetahui bahawa Umar al-Khattab yang memisahkan imannya antara yang hak dan batil, syaitan cabut lari daripada menghampirinya dan terdapat garisan hitam di wajahnya lantaran banyak menangis kerana takutkan Allah? 

Adakah kita mengetahui bahawa beliau pernah mengecam dirinya kerana kekurangan iman? Maka terdedah kepada dosa yang lebih besar. 

Tanda-tanda berkurangnya iman supaya kita lebih bersungguh menjaga iman sebagaimana nabi dan sahabat antaranya ialah: 

1. Terus menerus melakukan dosa dan tidak berasa bersalah. 

2. Berhati keras dan tidak berminat untuk membaca al-Quran. 

3. Lambat melakukan kebaikan, seperti terlambat untuk melakukan solat. 

4. Meninggalkan sunnah, sunat dan wajib 

5. Memiliki suasana hati yang gelisah seperti bosan dalam kebaikan. 

6. Tidak berasakan apapun ketika mendengarkan ayat al-Quran dibacakan seperti ketika Allah mengingatkan tentang hukuman dan janji-Nya tentang khabar baik dan akibat berbuat jahat. 

7. Berat dalam mengingat Allah. 

8. Tidak berasa risau ketika keadaan berjalan bertentangan dengan syari’ah. 

9. Terlalu bersemangat dengan kedudukan dan bimbang kehilangan jawatan. 

10. Kedekut dan bakhil, tidak mahu membahagikan rezeki yang dikurniakan Allah. 

11. Memerintahkan orang lain untuk berbuat kebaikan sementara dirinya sendiri tidak melakukannya. 

12. Berasa senang di atas kegagalan orang lain 

13. Hanya memperhatikan yang halal dan haram, dan tidak menghindari yang makruh. 

14. Mempermainkan orang yang berbuat kebaikan kecil. 

15. Tidak mahu memperhatikan keadaan dan musibah yang ditanggung kaum muslimin. 

16. Tidak berasa bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu demi kemajuan Islam. 

17. Tidak mampu menerima musibah yang menimpanya malah menyalahkan takdir, hanya boleh terima takdir baik sahaja. 

18. Suka membantah, hanya untuk berbantah-bantahan, tanpa memiliki bukti. 

19. Hanya bersemangat untuk pekerjaan duniawi sebaliknya tidak bersemangat perkara ukhrawi. 

20. Berasa bangga dengan kebaikan sendiri, sombong dan bongkak dengan kedudukan, malah banyak lagi. 

Beberapa cara untuk meningkatkan keimanan kita: 

1. Tilawah Al-Quran dan mentadabburi maknanya, hening dan dengan suara yang lembut tidak tinggi, maka insya-Allah hati kita akan lembut. Yakinkan bahawa Allah sedang berbicara dengan kita. 

2. Menyedari keagungan Allah. Segala sesuatu berada dalam kekuasaannya. Banyak hal di sekitar kita yang kita lihat yang menunjukkan keagungan-Nya kepada kita. 

3. Segala sesuatu terjadi sesuai dengan kehendak-Nya. Allah maha menjaga dan memperhatikan segala sesuatu, bahkan seekor semut hitam yang bersembunyi di balik batu hitam dalam kepekatan malam sekalipun. 

4. Berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan setidaknya hal-hal dasar yang dilakukan dalam kehidupan seharian seperti cara solat dan berwuduk dengan betul, mengetahui erti daripada nama dan sifat-Nya. Orang yang bertakwa adalah mereka yang berilmu. 

5. Menghadiri majlis zikir yang mengingat Allah. Malaikat mengelilingi majlis seperti itu. 

6. Selalu menambah perbuatan baik lainnya. Allah akan memudahkan jalan bagi seseorang yang bersedekah dan memudahkan jalan bagi orang yang berbuat kebaikan. Amal kebaikan harus dilakukan secara berterusan. 

7. Berasa takut kepada akhir hayat yang buruk. Mengingat kematian akan mengingatkan kita daripada terlena terhadap kesenangan dunia. 

8. Mengingat tahap kehidupan akhirat, peringkat ketika kita diletakkan dalam kubur ketika kita diadili ketika kita dihadapkan pada dua kemungkinan, akan berakhir di syurga atau neraka. 

9. Berdoa, menyedari bahawa kita memerlukan Allah. Berasa kecil di hadapan Allah. 

10. Cinta kita kepada Allah harus kita tunjukkan dalam tindakan. Kita penuh berharap semoga Allah berkenan menerima solat kita dan senantiasa berasa takut akan melakukan kesalahan. 

11. Malam hari sebelum tidur sepatutnya kita bermuhasabah memperhitungkan perbuatan kita sepanjang hari itu. 

12. Menyedari akibat daripada berbuat dosa dan pelanggaran. Iman seseorang akan bertambah dengan melakukan kebaikan dan menurun dengan melakukan perbuatan buruk. 

13. Semua yang terjadi adalah kerana Allah menghendaki hal itu terjadi. Ketika musibah menimpa kita, itupun daripada Allah.