Thursday 27 September 2012

^ ANDAI KU PERGI ^


ANDAI KU PERGI

Cerita hidup kian berlalu,
Membawaku ke penghujung,
Kaku langkah kian lemah,
Kelu lidah untuk bicara,
Langit jingga warna senja,
Desir bayu membisik duka,
Kealpaan nan semalam,
Inginku lepas luka silam,
Bersama rayu doa,
Damba keampunan-Nya.

Andai diriku pergi,
Tinggalkan mu sendiri,
Usah kau sedih,
Usah kau tangisi dugaan dari Ilahi,

Andaiku pergi dulu,
Tiba tika dan waktu,
Telah tertulis takdir untukku,
Perjanjian yang Maha Agung,
Rasa gentar rasa rindu,
Bertarung di fikiranku,
Wajah ceria, senyum manja,
Kisah kita menghapus resah,
Maafkan diriku kasih,
Kerana buat kau menangis,
Restuiku dengan cinta,
Jangan kau titiskan air mata,
Pintaku redhailah,
Terima kasih atas segalanya.

Hidup ini sementara,
Ujian pasti setia hati,
Pada-Mu kekasih,
Moga rahmat hidayah-Mu,
Mengiringiku, menemaniku,
Saat akhir waktu,
Bersaksi diriku,
Tiada yang lain hanya Kau yang satu,
Memiliki cintaku,
Ku serah segalanya kepada-Mu... Ya Allah.

Sunday 9 September 2012

^ BILA KITA MENULIS ^


BILA KITA MENULIS... 

Bila kita menulis tentang cinta,
Tak semestinya kitalah yang paling arif tentang cinta,
Atau yang paling asyik dilamun cinta,
Terkadang itu cuma ekspresi rasa, sebuah catatan tanpa makna, siapa tahu? 

Bila kita menulis tentang kesedihan,
Bukanlah kita yang paling derita, dan paling kecewa.
Terkadang itu cuma catatan rasa yang berlebihan, melampaui apa yang dirasai,
Rintihan sekeping hati yang mungkin terlalu rapuh,
Tanpa ilmu, tanpa iman. 

Bila kita menulis tentang harapan dan impian,
Terkadang, bukanlah kerana kita tak pernah putus harapan dan kehilangan impian,
Tapi kerana kita mahu terus berharap yang baik, dan mengimpikan sebuah bahagia. 

Dan bila kita menulis tentang sebuah ketabahan,
Bukanlah bermakna kita yang paling tabah,
Itu cuma antara cara,
Memujuk hati dan diri sendiri. 

Maka,
Hakikat sebenar dibalik sebuah penulisan itu,
Mungkin sukar difahami.
Mungkin kerana ia lebih mudah diselami,
Dari ditafsir dan dibuat andaian yang kita sendiri tak pasti.

Wednesday 5 September 2012

^ BIBIR MUDAH BERKATA-KATA... ^


BIBIR MUDAH BERKATA-KATA... 

Bibir mudah mengucapkan SABAR,
Namun hatilah yang remuk menderita,
Tiada siapa mengetahui melainkan Allah SWT.
Dan tiada siapa yang meminta ujian bertamu. 

Allah SWT pernah berfirman :

[Surah 'Āli `Imrān (3):142]

yang bermaksud : " Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? "
[Surah 'Āli `Imrān (3):142] 

Dipujuk-Nya kita lagi dengan : 

[Surah Al-Mu'minūn (23) : 9~11]

yang bermaksud : " Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi – Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. "
[Surah Al-Mu'minūn (23) : 9~11] 

Maka sabarlah duhai hati. Apabila telah kau rasakan manisnya ujian dari sang Pencipta, maka tak perlu lagi kau kejar habuan duniawi yang rata-ratanya berlandaskan nafsu semata. Bila telah kau tetapkan hati untuk meraih redha Tuhan sekalian alam, maka itulah sebenar-benarnya hasil kejiwaan yang sejati.

Dan dalam perjalanan menelusuri denai kehidupan terhadap-Nya yang sudah pasti disaluti onak dan duri, akan didatangkan syaitan yang turut sama menggodamu dalam mendekati-Nya.

Sebagai ujian dan yang akan menyempurnakan sebahagian daripada imanmu. Yang padanya ada ketenangan dan kebahagiaan berpaksikan Tuhan yang Maha Satu jika kau bersangka baik.

Maka sabarlah duhai hati.

Saturday 1 September 2012

^ BERDAKWAH - UJUB, RIAK DAN TAKABBUR ^


BERDAKWAH - UJUB, RIAK DAN TAKABBUR  

Syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat-Nya masih lagi kita dalam Islam dan Iman, insyaAllah dan selawat dan Salam keatas junjungan besar kita, pentarbiyah ulung, Nabi Muhammad SAW dan para pendukung Islam sekalian.... moga-moga Allah SWT menetapkan hati-hati kita dalam Islam dan Iman, dua nikmat terbesar yang tidak terhingga. 

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : " Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka, dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak kejalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka." 

Dakwah bermaksud mengajak kepada makruf dan mencegah mungkar dan ia tidak dapat dipisahkan daripada taqwa. Secara dasarnya, Islam tidak diturunkan bagi melahirkan golongan yang asyik bertapa dan bermeditasi sahaja tanpa menghiraukan masyarakat sekeliling. Sebaliknya, Islam mahu umatnya membersihkan diri dan pada masa sama berperanan memperbaiki masyarakat berlandaskan Quran dan sunah. Sebahagian daripada umat Islam enggan melaksanakan tuntutan dakwah kerana merasakan diri mereka belum sempurna. Ini adalah pendirian yang salah dan berkaitan dengan isu ini Imam Said bin Jubair berkata, "Jika seseorang tidak mahu mengajakkepada makruf dan mencegah kemungkaran sehingga keadaanya menjadi sempurna tidak akan ada sesiapa pun yang akan mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran akhirnya." Apa-apa pun, usaha dakwah memerlukan persiapan diri. Antaranya ilmu yang mantap, ikhlas, sabar, kasih sayang dan amalam. Ia membantu usaha ke arah memantapkan taqwa. 

UJUB, RIAK DAN TAKABBUR
Kita selalu dengar tentang ujub. Ujub adalah suatu penyakit hati yang bermaksud takjub dengan diri sendiri. Ujub merupakan titik tolak kepada penyakit hati yang lebih besar seperti riak (menunjuk-nunjuk) dan takabbur (membesarkan diri sendiri). Sifat-sifat ini tidak layak ada pada manusia. 

Hanya Allah SWT sahaja yang layak memiliki sifat ini kerana Allah-lah yang mencipta sekalian alam dan pemilik segala kekuatan. Maka, tidak salah bagi Allah SWT untuk merasakan diri-Nya hebat, menunjuk-nunjuk kehebatan-Nya, dan mengagungkan diri-Nya. 

Manusia yang ujub merasakan dirinya hebat. Contohnya, seseorang itu berasa ujub apabila dia berdoa lebih lama daripada orang lain, berasa ujub apabila sujud lebih lama daripada orang lain, berasa ujub apabila sedekahnya lebih banyak daripada orang lain. Mudah cerita, bisikan yang terlintas di hati berbunyi seperti "Uishh... aku sujud lebih lama daripada dia...". 

Perkembangan pesat teknologi di zaman ini menjadikan penyebab penyakit hati juga turut maju selaras dengan perkembangan semasa. Penyakit hati ini akan meresap bersama-sama pesakit dan mengikuti perkembangan dunia. Berikut merupakan sedikit sebanyak contoh-contoh ujub atau riak yang telah wujud di zaman moden. 

1. Blog dan "Followers"
Kebiasaannya perkara ini hanya menimpa dikalangan "blogger". Mereka berisiko untuk merasa diri hebat apabila ramai peminat ataupun "followers" yang mengikuti blog mereka. Ribuan atau ratusan "followers" menyebabkan diri terasa hebat dan dikenali ramai. Tidak salah untuk kita berasa seronok dengan ramainya "followers". Tetapi seronok atas dasar apa? Seronok kerana dapat mencurahkan ilmu kepada ribuan atau ratusan "followers" atau seronok kerana melihat JUMLAH "followers" yang banyak? 

2. "Like" di Facebook
Post "status" di laman sosial facebook. Ramai pula yang tekan "like". Apabila ramai yang "like", mulalah rasa diri mendapat perhatian ramai. Setiap cetusan minda yang terpapar di laman Facebook dihargai dan rasa bangga dengan apa yang telah dihasilkan. Awas! Tidak salah untuk merasa gembira apabila orang lain suka apa yang kita lakukan, tapi janganlah sampai merasa riak dan berbangga dengan diri sendiri. 

3. Komen di Facebook
Mungkin juga kita akan rasa teruja apabila ramai yang memberikan tindakbalas yang memberangsangkan pada "post" kita di Facebook. Apabila ramai sangat, mungkin bibit-bibit perasaan ujub akan mula lahir. 

4. Komen Gambar di Facebook
Perkara ni mungkin berlaku pada lelaki yang kacak dan perempuan yang cun sahaja. Apabila cun atau kacak, ramailah yang komen. Tidak kurang juga yang memuji. Apabila banyak sangat terima pujian, mulalah rasa semacam dan seronok dengan pujian itu. Maka, perasaan ujub pun senang-senang boleh diterbitkan. 

6. Ramainya Kawan atau Peminat di Facebook
Jumlah sekali lagi memainkan peranan penting bagi syaitan untuk menghasut manusia untuk berasa riak. Ramai bilangan rakan maya di facebook juga membolehkan perasaan ujub diterbitkan. Itu baru kawan, apatah lagi peminat artis yang mencecah jumlah ratusan ribu, malahan jutaan orang. Apabila ramai orang yang meminati artis tersebut, mungkin perasaan ujub akan muncul. Hati-hati! 

7. Berdakwah di Facebook
Mungkin ramai kawan kita yang merapu di Facebook. Sebagai orang yang merasa dirinya wajib untuk berdakwah, maka Facebook dijadikan medan untuk berdakwah di tengah-tengah rakan Facebook yang banyak merapu. Maka, jadilah kita orang yang terpencil kerana tidak merapu sedangkan yang lain banyak yang merapu. 

Apa yang dibimbangkan di sini, apabila kita berdakwah, kita turut akan berbangga dengan apa yang kita lakukan. Awas, wahai para sahabat!!! 

Jadi, berhati-hatilah dengan hati! Semoga kita dilindungi Allah daripada penyakit-penyakit hati ini. Jangan ingat minum tonik hati al jabbar boleh settle penyakit hati ini. Ingatlah bahawa, setiap apa kebaikan yang kita lakukan semuanya adalah daripada Allah jua. Kita tiada hak untuk merasa ujub kerana tanpa izin-Nya ia tidak mungkin akan berlaku. Kembalilah apa jua pujian itu kepada Allah. 

Elakkan diri daripadanya, Lindungi diri dari kemurkaan Allah.. Nampak simple, tapi ibadah jadi debu gitu je..... Na'udzubillahi Min Zalik... 

Ya Allah, kurniakan kami kecintaan kepada-Mu, rasul-Mu dan kekasih-kekasih-Mu. Kurniakanlah juga kepada kami kecintaan kepada mereka yang berjuang untuk memenangkan Agama-Mu. Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki hati-hati ini. Amin. 

Moga bermanfaat 
May ALLAH bless you!! 

^ BAHTERA HAMBA ^


BAHTERA HAMBA 

Sukar berlabuh sebuah bahtera keinsafan,
Memberanikan aku sebagai nakhoda,
Di laut yang luas gelombang yang datang,
Menghanyutkan segala kemudi ke dasar dosa.

Ku cekalkan diriku bergapaian air mata,
Meluncur bahtera ke pulau redha,
Kupasrahkan hatiku meredah gelombang cinta,
Yang buar menggunung menghempas dosa.

Kalau tiba ke pantai putih hamparan pasir permaidani,
Terbentang luas rahmat dan kasih sayang-Mu.

Kembali bertawajuh di pulau yang redha ini,
Kuhindarkan naluri segala mazmumah diri,
Kealunan lautan bertiup bayu kesempurnaan,
Di taman itu jiwa bersemadi.

Jernih danau nurani bersih,
berwudhu'air mata yang gugur,
Menyerah diri kepada Allah,
Mendamba kasih menghina diri,
Syukur hamba dengan keinsafan,
Telah menghijrah akan diriku,
Di bawah naungan keampunan,
Hidup matiku hanya untuk-Mu...

^ SURAH AL-IKHLAS... ALLAH TEMPAT BERGANTUNG ^

[Surah Al-Ikhlas (112) : 2]

AL-IKHLAS... ALLAH TEMPAT BERGANTUNG 

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 
1. Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; 
2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; 
3. "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; 
4. "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya". 

Salah satu nama Allah dalam Asma’ul Husna adalah Ash Shamad. Kata ini ada dalam Al- Quran surah Al-Ikhlas, dan memang kata Ash Shamad hanya disebut satu kali dalam Al-Quran. Ash Shamad dapat diertikan sebagai Allah Yang Maha Diperlukankan. 

Allah adalah tempat bergantung segala sesuatu, maka kita harus bergantung sepenuhnya hanya pada Allah. Dan apabila kita telah benar-benar hanya bergantung kepada Allah, maka bererti kita tidak akan pernah meminta sedikit pun kepada selain Allah. Kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui semua keperluan kita. Dan yang sesungguhnya adalah, tidak ada siapapun dan apapun yang dapat menolong kita, selain Allah dan atas keizinan Allah. 

Dalam kehidupan kita di dunia, khususnya dalam memenuhi apa yang menjadi hajat keperluan hidup kita, masih ada dari kita yang kadang-kadang bergantung dan berharap pada mahluk, kerana itu sebahagian dari kita sering berusaha sekuat tenaga untuk mendapat simpati dari mahluk. Ini adalah kekeliruan yang sangat besar, kerana menggantungkan harapan pada makhluk hanya akan menimbulkan kekecewaan saja. 

Kerana pada dasarnya, mahluk yang kita jadikan tumpuan harapan, sebenarnya tidak punya kuasa apapun untuk dapat memenuhi harapan kita, tanpa izin dari Allah. Kerana hanya Allah lah yang dapat membuat segalanya terjadi. Allah jugalah yang mengatur senario dibalik segala peristiwa. Tidak ada satupun yang terjadi di dunia ini, yang lepas dari pengawasan dan pemantauan-Nya. Jadi seharusnya kita hanya menggantungkan segala harapan hanya kepada Allah SWT, yang mana jiwa kita ini ada dalam genggamannya-Nya. 

Jangan pernah berharap dan atau meminta pertolongan kepada mahluk, seberapa hebat pun ia dimata kita. Kerana, sehebat apapun, yang namanya mahluk, tidak akan pernah dapat memberikan pertolongan apapun kepada kita tanpa izin Allah. Dan pada dasarnya, semua mahluk sama dengan kita, iaitu selalu berhajat memohon bantuan pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, makhluk itu sangat lemah dan tidak memiliki daya serta kekuatan apapun selain dari yang diberikan oleh Allah. 

Kerana itu, jika kita hendak meminta pertolongan dan perlindungan, maka mintalah pertolongan dan perlindungan hanya kepada Allah, Yang Maha Kuat, Maha Perkasa dan Maha Melindungi. Kerana itu, kita harus melatih diri untuk tidak bergantung pada makhluk, termasuk pada harta, pasangan hidup, dan pertolongan manusia atau mahluk. 

Perhatikan doa Rasulullah SAW berikut seperti yang disampaikan oleh Abdullah bin Umar RA. Ia mengatakan bahwa Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan untaian doa ini ketika pagi dan petang : " Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah aku memohon kepada-Mu ampunan dan keselamatan dalam agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah, tutuplah auratku. Lindungilah ketakutanku. Ya Allah peliharalah aku dari hadapanku, dari belakangku, dari sisi kananku, dari sisi kiriku, dari atasku. Aku berlindung dengan keagungan-Mu diserang dari bawahku." 
[Hadith Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah] 

Seperti itulah doa yang dimohon Rasulullah SAW. Mohon agar perlindungan dari Allah SAW selalu menyertainya dari semua sudut, dari semua sisi, tanpa celah dan lubang yang tersisa dan disetiap waktu. Meminta agar Allah SWT tak pernah membiarkannya menjadi sasaran dan korban semua kejahatan dari makhluk-makhluk-Nya. Sungguh-sungguh memohon harapan agar Allah SWT menyelamatkan agama, dunia dan akhiratnya, menutupi kekurangannya, membentengi ketakutannya. 

Perhatikan juga doa yang diucapkan Amirul Mukminin Umar bin Khattab RA, yang meminta perlindungan kepada Allah SWT dari segala sisi. Memohon semua kebaikan dan menolak semua kejahatan. " Ya Allah, peliharalah aku dengan Islam ketika aku berdiri. Peliharalah aku dengan Islam ketika aku duduk. Peliharalah aku dengan Islam ketika aku terbaring. Jangan gembirakan orang yang memusuhiku dan yang menyimpan dengki kepadaku. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua simpanan kebaikan yang ada di Tangan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu dari seluruh simpanan kejahatan yang ada di Tangan-Mu. "
[Hadith Riwayat Al Hakim dalam Al Mustadrak, I/525] 

Hasbunallahu wa ni’mal wakiil, ni’mal maulaa wa ni’man nashiir. Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung. Dia adalah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. 

Pengharapan seluruh pada Allah adalah amalan batin. Kita harus pantas dalam bertindak, jangan sampai kita salah mengertikan " bergantung sepenuhnya kepada Allah " menyebabkan kewajiban kita sebagai manusia, iaitu beikhtiar dan berusaha tidak kita jalankan. Perhatikan firman Allah SWT berikut ini: 

[Surah Ar-Ra’d (13) : 11]

" Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. " 
[Surah Ar-Ra’d (13) : 11] 


Jadi jangan salah persepsi, kerana bergantung pada Allah, bukan bererti menidakkan usaha dan ikhtiar untuk mencari penghidupan. Kita harus tetap berusaha dan beikhtiar mencari penghidupan. Namun dalam mencarinya kita tidak boleh bergantung dan bersandar pada mahluk dan atau pada usaha yang kita lakukan. Kita harus tetap sepenuh hati menggantungkan segala hasil usaha atau ikhtiar yang kita lakukan pada Allah Yang Maha Menentukan. 

Bila bila kita telah benar-benar hanya bergantung kepada Allah. Kita akan menyedari, bahawa Allah SWT lah Yang Lebih Berkuasa dari segala mahluk yang berkuasa. Kekuasaan Allah meliputi kekuasaan orang-orang yang berkuasa. Allah lah yang menggenggam jiwa orang-orang yang berkuasa. Allah lah yang menggenggam dunia dan akhirat. Jadi bila kita telah menyedari dan menerapkan keyakinan itu dalam hidup kita, percayalah, Allah SWT akan memberikan pertolongan dan perlindungan pada kita. Kekuatan Allah lah yang akan menolong kita, kerana Allah Maha Mengetahui, Maha Kuasa atas segala sesuatu. Hidup kita, pekerjaan kita, lingkungan di sekitar kita, semua berada dalam pantauan Allah, dan Allah tidak akan pernah mensia-siakan keyakinan hamba-Nya yang besandar pada-Nya.

^ AKU CEMBURU ^


AKU CEMBURU 

Ya Allah...
Aku cemburu,
Aku cemburu pada perasaanku sendiri,
Aku cemburu pada perasaan mereka pada-Mu. 

Ya Allah...
Aku cemburu,
Aku cemburu pada mereka yang seringkali teringat pada-Mu,
Aku cemburu pada mereka yang seringkali menyebut nama-Mu. 

Ya Allah...
Aku cemburu,
Aku cemburu pada mereka yangselalu mendekat kepada-Mu, 
Aku cemburu pada mereka yang selalu menjaga cinta kepada-Mu. 

Ya Allah...
Aku cemburu,
Aku cemburu pada mereka yang santun bicaranya,
Aku cemburu pada mereka yang lembut tingkah lakunya,
Aku cemburu pada mereka yang diam-diam mendoakan saudaranya,
Aku cemburu saat mereka ceritakan semua itu kerana-Mu. 

Ya Allah...
Aku cemburu,
Aku cemburu kerana aku mencintai-Mu.. ~