Monday 27 February 2012

^ MAAF ^


MAAF 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sesungguhnya, ikatan yang dibina di atas nama Allah. Tuhan yang menggenggam segala jiwa makhluk-Nya. Kita akan diuji dengan pelbagai bentuk ujian semata- mata untuk Allah melihat adakah ikatan itu dibina atas nama Dia atau di atas kepentingan diri atau makhluk-Nya.

Tidaklah seorang manusia itu sempurna dan tidaklah pula ia dapat memuaskan hati seluruh makhluk yang berada disekelilingnya. Itu tanda kebesaran Allah, tanda Kebesaran dan sifat kesempurnaan-Nya tidak dapat di atasi oleh mana-mana makhluk yang dimiliki-Nya.

Kadang-kadang , kita terkedu, terduduk seketika apabila tindakan kita disalah ertikan oleh orang di sekeliling. Kita mempunyai alasan bertindak demikian. Alasan yang mungkin sukar untuk diluahkan, namun itu adalah untuk kebaikan semua, demi persahabatan itu tetapi rupanya sudah ada insan yang tawar hati, meluat dan marah kerana tidak mengetahui hal yang sebenarnya. Tidak pula menyelidiki. Makin menjauh...

“Sahabat.. andainya kau mengerti dan mengetahui apa sebenarnya disebalik tindakan itu, mungkin juga kau akan terduduk, menangis bersamaku." Oh... beratnya ujian persahabatan. Kadang- kadang sukar untuk menerima. Namun, kita jangan lupa dalam kesukaran menerima seseorang, mungkin dia juga sebenarnya sukar untuk menerima kita, dalam perasaan dilukai dan mungkin kita melukai dia sebelum ini, dalam rasa meluat mungkin dia juga sedang menelan rasa meluat terhadap kita.

Dalam rasa hati yang semakin tawar, mungkin juga dia sudah lama tawar hati dengan sikap kita, dalam rasa sukar memaafkan... mungkin dia juga sukar untuk memaafkan kita.

Sahabat adalah cermin. Seandainya buruk engkau menilai sahabat, sebenarnya engkau buruk dalam menilai dirimu. Seandainya kejahatan sahaja yang engkau temui pada seseorang itu.... hakikatnya engkau sedang menilai kejahatan yang ada pada dirimu.

Namun, insan itu mudah lupa dan perlu untuk diingatkan. Kadang-kadang kita tidak tersedar rupanya kita yang merosakkan persahabatan... bukan orang lain. Muhasabah diri.. Renungan buat diri dan juga buat sesiapa sahaja yang membaca pesanan ini.. Maafkanlah... kerana memaafkan itu sebenarnya membunuh dendam. Maka... ubatkanlah hatimu.

===semoga Allah memeliharamu dalam sebaik-baik jagaanNya===

Rasullulah Saw memberikan bimbingan, “Carilah alasan untuk memaafkan saudaramu walau hingga 70 alasan.” Seorang murid bertanya kepada gurunya, Imam Hasan Al-Basri, “Mengapa Rasullah menyuruh kita mencari 70 alasan untuk memaafkan?”. Jawab Hasan Basri, “Itu menunjukkan pentingnya memaafkan. Sebelum kita sampai pada 70 alasan kita belum dapat memaafkan, kita harus bersedih kerana memiliki hati sekeras batu."

Tuesday 21 February 2012

^ RENDAH HATI... BERSYUKURLAH.. ^


RENDAH HATI.. BERSYUKURLAH...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Kadang-kadang ‘sepatah kata’ yang tak kena membuat kita sakit hati bertahun lamanya. Kegembiraan dan keceriaan yang dihimpun terhapus habis oleh ‘sepatah kata’.

Kalau orang bertanya kenapa? Kita akan menjawab.. '' kata-kata itu sungguh menyakitkan" atau mungkin juga "cara dia bercakap itu menyakitkan". Benarkah kata-kata itu begitu menyakitkan? Atau mungkin kita yang terlalu lemah?

Bukan... kita tidak lemah dan kata yang 'tidak kena' itu pun bukan apa-apa. Cuma HATI kita yang terlalu tinggi. Tinggi hati membuatkan harga diri, ego, keinginan dihormati, 
semua ikut sama menjadi tinggi. Tinggi hati membuat kita rasa diri terhormat, mulia, sempurna dan tak layak disakiti.

Sikap ini sebenarnya membuat kita sombong, tersinggung, mudah sakit hati dan berprasangka buruk. Tinggi hati buatkan kita lemah dan jiwa kita mudah rapuh.

Jika mahu jadi kuat, belajarlah banyakkan istigfar dan belajarlah rendahkan hati untuk syukur. Kerendahan hati sangat hebat dapat membuatkan hati kita tenang, hening namun tegar sehingga apa-apa kata yang 'tidak kena' jadi tak bererti.

Julangkan syukur tinggi melangit agar ego terbenam ke bumi. 

- Syukur dengan hati iaitu dengan menyedari dan menyakini bahwa semua nikmat dan kurnia yang diperoleh merupakan anugerah Allah dan berasal dari-Nya; 

- Syukur dengan lisan iaitu dengan memuji Allah sebanyak-banyaknya; dan 

- Syukur dengan perbuatan iaitu taat beribada kepada-Nya dan menggunakan kurnia itu untuk kebaikan.

^ PESANAN BUAT MUSLIMAH ^


Kepada Bakal Isteri... 

PESANAN BUAT MUSLIMAH 

Seandainya nanti engkau diijabkabulkan, 
Bakarlah bara-bara jihad di hati suamimu, 
Sepertimana ibu Rabiah berpesan kepada Furuq, 
Suaminya, puluhan tahun di medan jihad, 
“Jangan pulang kalau sebagai anjing mencawat ekor”… 

Kalau nanti kau dikurniai putera, 
Tiupkanlah semangat jihad di hatinya, 
Supaya zuriatmu nanti cinta mencari syahid, 
Seghairah Handzalah menggadai nyawanya. 

Latihkanlah puteramu nanti, 
Sebagai pengganti Ibnu Rawahah, 
Menjadi penyair penyeru jihad, 
Yang mementingkan taqwa daripada quwwah, 
Dendangkanlah cerita Abu Sulaiman pada puteramu, 
Agar ia kenal apa itu keberanian, 
Kelak nanti pedang Allah akan muncul semula, 
Di akhir zaman… 

Jadikanlah dirimu sebagai Asma’ puteri As-Siddiq, 
Moga-moga nanti lahirlah puteramu, 
Yang tiada gentar dan undur, 
Dalam perjuangan kerana Allah, 
Seperti diriwayatkan tentang putera Az-Zubair… 

Suburkanlah cinta puteramu nanti, 
Kepada Rasulullah, 
Agar ia sanggup berkorban, 
Kemewahan dan kemegahan, 
Kerana suamimu bangga kalau puteranya, 
Seperti Mush’ab… 

Bacakanlah sejarah sahabat-sahabat pada puteramu, 
Di waktu-waktu suami tiada di sampingmu, 
Kisah perjuangan dan pengorbanan mereka, 
Dan pesan-pesankanlah selalu, 
Di cuping telinganya nanti, 
“Berjuanglah wahai puteraku, 
Kerana lahirnya dikau di dalam Islam, 
Adalah hasil darah dan airmata mereka itu…”

Wahai seseorang yang kelak ditakdirkan untuk diriku,
Telah ku sematkan cintaku padamu berdasarkan cintaku pada Rabbku,
Telah ku yakinkan penantianku atas nama iman,
Agar keikhlasan dalam menunggumu menyatu juga di dalam jasadku,
Dengarkanlah...
Bahawa ssungguhnya cinta dalam keimanan itu,
Akan menghantarkan seseorang kepada kemuliaan ...

< setia menunggu dirimu.. hanya Allah yang lebih mengetahui siapakah dirimu... ^_^ >

Monday 20 February 2012

^ USAH MELAMPAUI BATAS ^

USAH MELAMPAUI BATAS

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Rasulullah SAW selalu berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Kamu daripada fitnah dunia dan aku berlindung dengan Kamu dari azab kubur”. (Sahih Bukhari: 2610)

Allah SWT tidak pernah melarang hamba-Nya untuk mencari harta kekayaan serta pangkat dan darjat… tetapi segala pencarian tersebut tidak boleh dilakukan dengan dorongan daripada sifat tamak haloba dalam diri… yang boleh menyebabkan kita tidak mahu memberi peluang kepada orang lain untuk melebihi kita… bersederhanalah…

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengharamkan apa yang baik yang telah dihalalkan Allah SWT kepadamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Al-maidah:5:87)

Berusahalah untuk memupuk sifat qana’ah. Sifat qana’ah yang berjaya dipupuk dalam diri akan menghindarkan diri daripada dikuasai sifat tamak. Kita kena sedar, biarpun segala ikhtiar dan doa telah kita tumpahkan, ketentuan mutlak yang akan menentukan berjaya atau tidak adalah hak Allah SWT. Oleh itu, redhalah dengan segala pemberian-Nya, walaupun yang diperolehi adalah kegagalan. Allah yang mencipta kita. Dia lagi tahu apa yang terbaik untuk kita.

Sebab sifat qana’ah perlu ada dalam diri:
1. Supaya umat Islam tergolong dalam golongan orang-orang yang berjaya dan cukup rezekinya.

2. Supaya umat Islam sentiasa bersemangat untuk mencari rezeki yang halal tanpa rasa ragu dengan kemampuan yang dmiliki.

3. Sifat qana’ah dapat mendidik diri supaya sentiasa bersyukur kepada nikmat Allah SWT.

4. Supaya dapat mengikis sifat tamak dan haloba dalam usaha mencari dan memiliki harta serta pemberian Allah SWT yang lainnya.

5. Menerbitkan sifat tawakkal kepada Allah SWT dalam setiap usaha dan tindakan.

Rasulullah SAW juga melarang umatnya daripada bersifat dengki dan irihari melalui sabdanya: “Jauhilah sifat dengki kerana dengki itu memakan segala amalan kebajikan seperti api yang memakan kayu bakar.” (Sunan Abi Daud: 4257(Doif))

Hal ini adalah kerana sifat tersebut tidak membawa sedikitpun kebaikan kepada kita melainkan keburukan sahaja. Pelbagai bentuk kejahatan akan berlaku berpunca daripada sifat dengki dan irihati. Seharusnya kita sebagai manusia yang teguh imannya, turut merasa gembira apabila melihat orang lain mendapat kurnian daripada Allah melalui saluran rezekinya.

Kebahagiaan yang hakiki adalah apabila hati sentiasa beroleh ketenangan… ketenangan hanya boleh dirasai oleh orang yang mendapat ketenangan… dan mereka ini akan sentiasa redha dengan apa sahaja yang berlaku dalam hidupnya. Kadang-kadang mungkin kita terfikir… susahnya untuk memperoleh kebahagiaan… susahnya untuk mendapatkan ketanangan hati… kenapa ek? Salah satu punca yang menggugat ketenangan hati adalah sifat mazmumah. Sifat ini bukan sahaja akan memberi kesan dalam diri malah individu yang berada disekeliling kita juga… biasanya orang yang memiliki sifat mazmumah akan dijauhi oleh orang sekelilingnya.

Antara sifat mazmumah yang selalu menguasai diri adalah:

1. Pemarah
Marah adalah sifat yang amat mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak dalam diri manusia. Pernah dengarkan ungkapan La Taghdhob… yang bererti jangan marah. Setiap manusia yang normal diciptakan oleh Allah dengan sifat ini. Cuma ia bergantung kepada kebijaksanaan seseorang untuk mengawal emosi masing-masing… ubat untuk sifat ini adalah sabar. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar. Memang payah untuk bersabar sebab itu orang yang bersabar dijanjikan anugerah yang besar oleh Allah. Maka beruntunglah mereka yang bersabar.

2. Pendendam
Dendam adalah ibarat api dalam sekam. Tersembunyi dalam diri seseorang. Dendam berlaku apabila tidak memaafkan. Ada orang kata.. ”saya tak berdendam dengan dia.. tapi susah untuk memaafkan apa yang dia dah buat pada saya”. Walaupun orang yang berkata menafikan, hakikatnya itulah dendam… bila tidak memaafkan. Apabila kita sukar untuk memaafkan… maknanya kita menolak fitrah manusia yang dilahirkan dengan penuh kelemahan dan kekurangan.

3. Hasad dengki
Sifat ini juga tidak layak dimiliki oleh insan yang bergelar hamba Allah SWT. Bilakah berlakunya hasad dengki? Sudah tentunya apabila kita tidak senang melihat kesenangan atau kelebihan yang diperolehi oleh insan lain. Orang yang memiliki sifat ini juga tidak senang apabila ada orang lain yang mampu mangatasinya dalam apa jua perkara.

4. Bakhil
Apabila kita ada perasaan terlalu sayang dengan apa yang dimiliki dan merasakan kerugian yang amat besar seandainya memberi atau berkongsi dengan orang lain. Maknanya sifat bakhil telah ada dalam diri. Ingatlah… segala apa yang dimiliki sekarang hanyalah pinjamam daripada Allah… kita hanya peminjam. Yang bagi pinjam boleh mengambil apa sahaja yang dipinjamkan bila-bila masa sahaja..

Firman Allah SWT: “Kamu sekali-kali tidak akan dapat mencapai(hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu membelanjakan sebahagian daripada apa-apa yang kamu sayangi.” (Ali-Imran:92)

5. Tamak
Berlaku apabila kita merasakan tidak berpuas hati dengan apa yang kita miliki. Orang yang memiliki sifat ini tidak pernah merasakan cukup dengan apa yang mereka ada.

6. Tidak sabar
Apabila kita mudah melatah dengan apa yang berlaku disekeliling kita.. yakni ujian dan dugaan. Maknanya kita adalah seseorang yang tidak sabar. Orang yang tidak sabar mudah marah, mudah kecewa. Apabila diuji dengan sesuatu… cubalah kita mendidik diri agar tidak mudah melatah.

7. Ego
Ego adalah ibu segala sifat mazmumah. Orang yang memiliki sifat ini pantang dicabar sama ada dari sudut zahir atau batin. Sifat ini boleh mengukur ketaatan, dan keredhaan iman kita terhadap Allah. Sejauh mana kita boleh tunduk kepada apa yang telah ditentukan oleh Allah… sejauh itulah kita dapat menundukkan ego kita.

8. Riak
Manusia dikatakan memiliki sifat riak apabila sentiasa mencari-cari peluang untuk disanjung, dipuji malahan untuk disebut-sebut namanya. Ibarat kata pepatah..”Ayam berkokok, sekampung tahu..”

9. Cinta dunia
Mereka yang cintakan dunia adalah mereka yang akan sanggup untuk melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa sahaja yang dicintai oleh mereka contohnya wanita, kereta mewah, pangkat, hobi dan apa-apa sahaja yang dapat memenuhi kehendaknya. Ingatlah.. dunia ini hanya persinggahan. Suatu masa nanti kita akan berangkat ke tempat yang kekal untuk didiami selamanya. Sama ada pada masa itu kita bersedia atau tidak.

Wallahu’alam…

^ SYURGA WANITA DI MANA?? ^


SYURGA WANITA DI MANA?? 

Ya Allah... Selawat dan salam ke atas penghulu cahaya bagi segala cahaya dan penghulu rahsia bagi segala rahsia, pembuka kunci bagi segala pintu kemudahan iaitu penghulu kami Muhammad Rasulullah SAW yang teristimewa dan keluarganya yang suci dan sahabat yang terbaik.. berbagai nikmat Allah dan semua pejuang-Nya.

Rumah adalah pusat kegiatan para wanita. Rumah adalah Syurga dan medan jihad serta gelanggang bagi kaum wanita menumpukan masa bagi menyelesaikan tugas dan tanggungjawab mereka yang telah digariskan oleh Allah dan Rasul.

Berbeza dengan kaum lelaki, gelanggang perjuangan mereka adalah diluar. Segala pahala mereka ada diluar rumah. Tetapi sebaliknya bagi kaum wanita mereka dengan mudah sahaja memperolehi pahala di dalam rumah dan di sekitar perkarangan rumah mereka sendiri.

Apabila seorang wanita telah berkahwin, ia tidak diwajibkan untuk bekerja dan menyara keluarga kerana tugas untuk memberi nafkah adalah tugas dan tanggungjawab suami, tetapi sekiranya ia redha untuk membantu suami dalam perbelanjaan keluarga tidaklah dilarang. Tetapi perlu diingatkan bahawa tugas asasi wanita adalah mentaati suami dan mendidik anak-anak tugas ini adalah tugas yang lebih utama daripada tugas yang lain.

Berdasarkan hadis dari Nabi SAW menyatakan bahawa keutamaan dan pahala kepada wanita yang bersembahyang di dalam bilik dan di dalam rumah melebihi daripada Masjid Nabawi. Sepertimana kita ketahui bahawa sembahyang di Masjid Nabawi pahalanya amat besar sehingga tidak terkira jumlahnya daripada bersembahyang di masjid-masjid lain di dunia ini.

Selain daripada itu banyak lagi keterangan tentang kelebihan dan gandaan pahala terhadap kaum wanita yang melakukan tugas mereka yang tugas itu berkait rapat dengan tugas sebagai isteri dan ibu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya)."

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud : "Mana-mana wanita yang melayani suaminya, meminyak rambut suaminya, menyikat janggutnya, mengunting misainya, mengerat kukunya, maka ia di akhirat ia diberi minum oleh Allah daripada air Syurga dan ia diringankan siksaan ketika sakaratulmaut (dekat hendak mati), di dalam kubur ia perolehi taman-taman seperti taman Syurga dan namanya tercatit sebagai orang yang lepas daripada siksaan Neraka dan selamat melintasi Titian Sirat tanpa menempuh kesusahan."

Saydatina Aisyah berkata, jika para wanita tahu akan betapa besarnya pahala memenuhi (melayan) hak suami, nescaya mereka sanggup mencuci debu-debu ditapak kaki suami mereka dengan muka mereka sendiri.

Tersebut di dalam kitab 'Uqud Al-Lujain' melarang wanita yang hendak ikut sama mengiringi mayat kerana hendakkan pahala, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :"Baiklah kamu tidak ziarah dan iringi mayat kerana ia tidak ada apa-apa pahala, lebih baik kamu tinggal di rumah dan berkhidmat kepada suami kamu, nescaya kamu akan perolehi pahala sama dengan pahala ibadah-ibadah orang lelaki."

Seorang ibu yang tahu akan kelebihan ganjaran pahala mengandung, melahirkan anak serta menyusu dan mengurus anak yang akan dibalasi oleh Allah di akhirat kelak nescaya ia tidak mahu menumpukan kepada kerja lain, kecuali kepada perkara-perkara yang boleh menguntungkannya di akhirat.

Dalam sebuah hadis dari Nabi SAW yang bermaksud ; "Seorang wanita yang redha mengandung bayi hasil perhubungan dengan suaminya yang sah dan suaminya redha pula kepadanya, maka Allah akan memberi ganjaran pahala sebagaimana pahala puasa fi sabilillah. Bila ia merasa sakit ketika akan melahirkan anak, maka Allah tambah lagi pahala yang tidak terkira oleh manusia oleh kerana terlalu banyaknya. Bila telah melahirkan anak dan ia menyusu dengan susunya sendiri, maka setiap seteguk (satu sedutan) Allah berikan satu kebajikan. Bila ia semalaman tidak tidur kerana mengawas (menjaga) anaknya (yang sekejap-sekejap menangis, sakit atau sebagainya), maka Allah beri lagi pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dalam fi sabilillah dengan ikhlas." (Hadis Riwayat al-Hassan bin Sofwan, at- TabraniIbnu Asakir dan Salama) 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud : " Wanita yang tinggal di rumah bersama-sama (mendidik dan mengurus) anaknya, ia di akhirat akan tinggal bersama-sama dengan aku (Rasulullah s.a.w.) di dalam Syurga."

Sabdanya lagi yang bermaksud : "Sukakah aku beritahu siapakah dan bagaimana sifat isterimu yang bakal di tempatkan di Syurga?. Jawab para sahabat ,'Bahkan kami suka.' Sabda Nabi SAW , 'Iaitu tiap-tiap isteri yang bersifat kasih sayang dan melahirkan banyak anak. Dan apabila ia dimarahi oleh suaminya, ia menyerah diri untuk di hukum sehingga suaminya redha (memaafkan kesalahannya)..."

Didalam sebuah kitab bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Apabila seorang wanita mengandung (janin) di dalam rahim, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah pun mencatit baginya 1000 kebajikan dan menghapuskan 1000 dosa. Apabila ia sakit hendak bersalin Allah mencatit lagi pahala kepadanya seimbang dengan pahala orang (lelaki) yang berjihad fi sabilillah. Apabila ia telah melahirkan anak, maka gugur segala dosanya dan jadilah ia bersih tanpa dosa sepertimana waktu ia mula-mula dilahirkan oleh ibunya dahulu (semasa ia masih bayi)."

Terdapat di dalam kitab 'Uqud Al-Lujan' bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya : Empat (4) wanita yang menjadi penghuni Syurga :

Pertama : Wanita yang menjaga dirinya daripada perkara yang haram dan ia tetap berbakti kepada Allah (mematuhi hukum Allah).

Kedua : Wanita yang banyak keturunan (melahirkan banyak anak ) lagi penyabar serta ia menerima sahaja pemberian Allah itu dan ia sabar dengan kehidupan yang serba kurang (qana'ah) dan apa sahaja yang diberikan suaminya.

Ketiga : Wanita yang bersifat pemalu. Apabila suaminya pergi (keluar menjalankan tugas) ia menjaga dirinya dan tetap beramanah dengan harta suaminya. Jika suaminya pulang ia menjaga mulutnya daripada berkata yang boleh menguriskan hati suaminya.

Keempat : Wanita yang kematian suami dan ia mempunyai anak, dan ia tetap menjaga diri dan terus menerus menjaga dan mendidik anaknya (yang yatim) dan ia tidak bersedia untuk berkahwin kerana takut anak-anaknya terbiar."

Demikianlah gambaran daripada hadis-hadis Nabi SAW tentang kelebihan darjat kaum wanita dan betapa mudahnya mereka mendapat darjat yang tinggi itu di sisi Allah serta betapa mudahnya jalan yang dibuka oleh Allah untuk memasuki Syurga.

^ RAHSIA SYAITAN ^


RAHSIA SYAITAN 

Seorang sahabat Nabi s.a.w bernama Anas b. Malik telah meriwayatkan satu hadis Nabi s.a.w yangg menceritakan mengenai pertanyaan-pertanyaan iblis kepada Allah s.w.t tentang banyak perkara. 

1. Iblis bertanya kepada Allah s.w.t: ” Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat tinggal, iaitu rumah untuk berzikir kepada-Mu. Tunjukkanlah kepadaku tempat kediamanku.” Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai iblis! Tempat kediamanmu ialah bilik air(tandas). “ 

2. Iblis berkata:”Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat mereka berkumpul (masjid dan surau) , dimanakah tempat bagiku berkumpul?.” Firman Allah s.w.t yg bermaksud: “Wahai iblis! Tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, tempat-tempat hiburan ( pusat membeli-belah, kelab malam, pesta-pesta, majlis maksiat) dan sebagainya.” 

3. Iblis berkata lagi:”Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka anak Adam itu kitab untuk mereka membacanya. Tunjukkanlah padaku apakah bahan bacaanku?” Firman Allah s.w.t yang bermaksud:” Wahai Iblis, Bahan bacaanmu ialah syair (sajak/lagu/ puisi yang melalaikan manusia dari mengingati Tuhan). 

4. Iblis berkata:”Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka cerita-cerita (kata-kata benar), apakah cerita-cerita bagiku?”. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ” Cerita-cerita bagimu adalah kata-kata dusta ( bohong atau yng berkaitan dengannya)” 

5. Iblis bertanya lagi: “Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan azan kepada anak Adam untuk mengajak atau mengumpulkan orang datang bersembahyang berjemaah, apakah azanku untuk mengumpul orang?”. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai iblis, azan untuk mu ialah seruling.” 

6. Tanya iblis lagi:”Ya Tuhanku! Engkau telah mengutus para utusanmu (para nabi dan rasul) kepada anak Adam, siapakah yang menjadi utusan bagiku?”. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:” Wahai iblis para utusanmu ialah terdiri dari dukun (peramal nasib), ataupun yang lebih kurang sama dengannya.” 

7. Kata iblis:”Ya Tuhanku! Engkau telah berikan kitab bertulis (ayat-ayat Al Quran)kepada anak Adam. Apakah tulisanbagiku? .” Firman Allah s.w.t yang bermaksud:”Wahai iblis, tulisanmu adalah tulisan gincu yang palsu dibadan, (seperti gincu, tatu, tahi lalat yang diada-adakan dan yang lebih kurang sama dengannya)" 

8. Kata iblis:”Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikankepada anak Adam itu perangkap-perangkap . Apakah perangkap bagiku?.” Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:”Wahai iblis, perangkap untukmu ialah wanita-wanita. “ 

9. Kata iblis:”Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan makanan kepada anak-anak Adam (yang disebutkan nama-Mu), apakah makanan untukku?.”Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai iblis, makanan untukmu ialah sesuatu yang tidak disebut nama Allah.” 

10. Kata iblis:”Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan minuman kepada anak-anak Adam, apakah minuman untukku?” Firman Allah s.w.t yang bermaksud:” Wahai iblis, minuman untukmu ialah sesuatu yang memabukkan dan yang tidak dimulakan dengan nama Allah.”

^ BAGAIMANA CARA SYAITAN MEMBUKA AURAT WANITA? ^


BAGAIMANA CARA SYAITAN MEMBUKA AURAT WANITA? 

Syaitan tidak akan berputus asa untuk menyesatkan manusia. Kali ni ketahui bagaimana syaitan membuka aurat wanita. Syaitan dalam menggoda manusia memiliki berbagai cara strategi, dan yang sering dipakai adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu, yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan (ammaratun bis su’). 

Syaitan seakan mengetahui kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah. 

Berikut adalah cara bertahap: 

1. MENGHILANGKAN DEFINISI HIJAB 
Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apa pun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar’i, pakaian dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian. 

Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian ikut ganti juga. Demikian pula ketika seseorang berpindah dari suatu negeri ke negeri yang lain, maka harus menyesuaikan diri dengan pakaian penduduknya, apa pun yang mereka pakai. Berbeza halnya jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar’i (identiti keislaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya (fesyen). Biarpun hidup bila saja dan di mana saja, maka hijab syar’i tetap dipertahankan. . 

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus. Caranya? 

1.1 Membuka Bahagian Tangan 
Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). “Ah tidak ! apa-apa, kan masih pakai tudung dan pakai baju panjang?”, begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik, “Itu tidak apa-apa kan?” 

1.2 Membuka Leher dan Dada 
Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi, “Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu. Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.” 

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf “V” yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya. 

1.3 Berpakaian Tapi Telanjang 
Syaitan berbisik lagi, “Pakaianmu hanya gitu-gitu saja, tak ‘cool’, carilah fesyen atau bahan lain yang lebih bagus!” “Tapi apa ye?” Si wanita berfikir. “Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih sedap dan cantik dipandang,” syaitan memberi idea baru. 

Maka tergodalah si wanita, dicarinya fesyen pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent. “Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin”, begitu syaitan menokok-nambah. Hasil pakaian tersebut akhirnya menjadi budaya di kalangan wanita muslimah, makin hari makin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat ‘ariyat (berpakaian tetapi telanjang). 

1.4 Agak di Buka Sedikit 
Setelah para wanita muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru yang sepertinya ‘cool’ dan ‘vogue’, yakni dibisikkan kepada wanita itu, “Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, apa lebih baik ia di belah hingga lutut atau mendekati paha? Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan bebas bergerak.” Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati peha ternyata membuat lebih selesa, terutama ketika akan duduk atau naik kenderaan. “Erm, tersingkap sedikit tak apa-apalah, yang penting enjoy,” katanya. 

Inilah tahap awal syaitan merosakkan kaum wanita, hingga tahap ini pakaian masih tetap utuh dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar’i yang sebenarnya. Maka kini mulailah syaitan pada tahap berikutnya. 

2. TERBUKA SEDIKIT DEMI SEDIKIT 
Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih ‘power’, tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya. 

2.1 Membuka Telapak Kaki dan Tumit 
Syaitan berbisik kepada para wanita, “Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang memadai, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki. Ini baru agak longgar. Oh, ada yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka tudung yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari tudung yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, orang tetap menamakannya dengan tudung.” 

Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang. 

2.2 Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis 
Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan kembali berbisik, “Ternyata kebanyakan manusia menyukai apa yang kamu lakukan, buktinya mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang selesa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya terlihat kira-kira sepuluh sentimeter saja. Nanti kalau sudah biasa, baru kamu cari fesyen baru yang terbuka hingga separuh betis.” 

Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi. 

2.3 Terbuka Seluruh Betis 
Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berhasil membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak bercanggah dengan para wanita di masa Nabi dahulu. Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, “Ah jelas tidak, kan sekarang zaman sudah berubah, kalau zaman dulu para lelaki mengangkat pakaiannya hingga setengah betis, maka wanitanya harus menyelisihi dengan menjulurkannya hingga menutup telapak kaki, tapi kini lain, sekarang banyak lelaki yang menurunkan pakaiannya hingga bawah mata kaki, maka wanitanya harus menyelisihi mereka iaitu dengan mengangkatnya hingga setengah betis atau kalau perlu lebih ke atas lagi, sehingga nampak seluruh betisnya.” 

“Tetapi apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki”, wanita bersungut. “Fitnah? Ah, itu kan zaman dulu, di masa itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ‘oh’ atau ‘wow’, bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama- sama suka? Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita maju di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita yang ketinggalan zaman.” 

Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita. 

3. SERBA MINI 
Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian sehari- harian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. “Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah.” 

Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah peha lalu dipakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian rasmi, pakaian malam, petang, musim panas, musim sejuk dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh peha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba. Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia. 

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang sering disebut dengan “bikini”. Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na’uzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, “Menelanjangi Kaum Wanita.” 
Kesimpulan 

Demikian halus cara yang digunakan syaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa. Maka hendaklah kita semua, terutama ibu bapa jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita kita sekecil apa pun, segera mengambil tindakan. Jangan biarkan berlarut-larutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka ia akan menjadi sesuatu yang sukar bagi kita untuk mengatasinya. Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.

^ SELAMAT TINGGAL CINTA ^


SELAMAT TINGGAL CINTA 

Cinta...
Ungkapan yang nampak cantik dan indah,
Madah yang diungkapkan...
Tatkala hati bersulam suka dan sayang,
Rijal dan nisa' berebut-rebut untuk mendapatkan cinta,
Yang kadang-kadang tak pasti akibatnya. 

Aku benci cinta...
Kerana cinta aku lalai, 
Kerana cinta aku leka,
Kerana cinta aku alpa dengan dunia,
Kerana cinta aku semakin jauh dengan Tuhan yang menciptakanku,
Kerana cinta aku hampir ke alam perzinaan,
Kerana cinta juga aku hampir tersungkur menyembah bumi,
Kerana cinta aku lupa Akhirat. 

Cinta...
Kau sangat merbahaya,
Membawa ke alam kemaksiatan,
Dunia yang penuh noda dan dosa. 

Kini aku menyesal,
Cinta yang ku cari selama ini ibarat bunga,
Yang akhirnya akan layu dan jatuh ke tanah jua,
Hanya cinta kepada Allah itu yang abadi selamanya. 

Cinta...
Selamat tinggal sebelum membina Baitul Muslim,
Selamat datang selepas membina rumahtangga,
Selamat tinggal cinta yang penuh noda,
Selamat tinggal...

^ WANITA YANG MENOLAK PERKAHWINAN ^


WANITA YANG MENOLAK PERKAHWINAN 

Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan negatif untuk melahirkan cahaya. 

Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa sepertimana di barat. Walaupun demikian, pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat. Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak. 

Amat mudah bagi kaum wanita untuk mendapat maqam solehah dan menjadi ahli syurga di akhirat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah: "Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki." 

Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha suami. 

Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah (berjuang di jalan Allah) di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suaminya akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus hal-hal berkaitan anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama Rasulullah saw di syurga kelak. Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid. 

Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malahan kedudukan mereka di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin. 

Sabda Rasulullah SAW: "Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan. "

Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau ia telah berkahwin?" Jawab baginda, "Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali)." Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi pahala yang banyak. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita solehah yang berada di bawah naungan suami.

Sunday 19 February 2012

^ CINTA & REDHA ILAHI ^


CINTA DAN REDHA ILAHI..

Wahai sahabat... katakan pada hati-hatimu... jangan pernah berhenti mencari cinta dan redha dari Ilahi. Kerana akan kamu dapati, di situ terdapat suatu sinar menjadi petunjuk menyuluh jalan kamu. Jika hati banyak bergelut dosa, diri terkunci dicelahan karat maksiat, tersumbat di lubang jahiliyyah, ayuh kembali sirami hati-hati kita ini dengan CINTA pada Allah, bajai hati dengan memperbanyakkan ZIKRULLAH agar tidak lagi berpaling tergapai-gapai dalam gelap jalan, pengubat saat terpatah dalam mujahadah. 

Wahai sahabat, terapkan dan lancarkan terlebih dahulu CINTA buat Allah. Supaya saat bertemu kesulitan di masa depan, hati kita cepat dilembutkan kerana sudah menggengam cinta yang agung buat Dia. Supaya dalam setiap nafas akan datang kita tidak pernah lelah lagi melakukan segala kerja bila Allah menjadi tujuan utama semata. kerana cinta itu sangat berkuasa yang dianugerah oleh YANG MAHA KUASA. 

Cinta pada Dia mampu mencairkan besi, menghancurkan batu, mengeluarkan segala isi bumi, membangunkan yang tidur supaya bangun, membangkitkan segala ruh dalam kehidupan..itulah luar biasanya CINTA BUAT DIA. 

Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada dalam tiap-tiap diri manusia. Ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnya lah yang berlainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah kedustaan,kehinaan dan lain-lain cela. tetapi jikan ia jatuh ke tanah yang subur, akan tumbuh disana kesucian hati, keikhlasan, budi pekerti dan lain-lain sifat terpuji. - Hamka

Lantas, semaikan juga rasa cinta buat kekasih Tuhan, Rasulullah. Sebagaimana tingginya rasa cinta sahabat-sahabat terdahulu mencintai baginda. Mungkin tidak pernah kita menatap wajah baginda, apatah lagi menghidu harum nafas hembusannya, tetapi kita bisa menghidupkan sunnahnya, dari yang kecil sehingga sunnah terbesar (dakwah). Tiada yang mustahil. Banyakkan selawat dalam dan luar doa, itu juga tanda cinta pada Rasulullah. 

"Ketika Rasulullah berada di hadapan, Ku pandangi pesonanya dari kaki hingga hujung kepala. Tahukah kalian apa yang terjelma? Cinta! - Abu Bakar As-Siddiq.

Marilah wahai sahabat, cintakan Allah dan Rasulullah seperti sungai yang sentiasa mengalir airnya bukan seperti cinta pada bunga yang akan layu dan mati. Basahkan cinta-cinta ini dengan air mata keinsafan agar ia kekal murni dan indah senantiasa, insyaAllah. 

Mungkin inilah caranya kita memperoleh redha dan rahmatnya. Jangan menuntut untuk kita dicintai tetapi mulailah dalam diri untuk mencurah dan memberi cinta itu pada Ilahi. Kerana suatu masa ketika kita sedang melalui jalan berduri dan berliku-liku, cinta itu akan datang menyentuh dan memeluk kita. pasti!

Tuhan ciptakan 100 bahagian kasih sayang, 99 disimpan disisinya, 1 diturunkan ke dunia, Dengan kasih sayang ini juga manusia berkasih sayang... sehingga kuda mengangkat kakinya kerana takut anaknya terpijak. 

Dari Rasulullah SAW, Allah berfirman: "Orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku, mereka mempunyai beberapa mimbar dari cahaya, para nabi dan syuhada menyukai mereka." -HR Tarmidzi.

^ ISTIHARKANLAH... ^


ISTIHARKANLAH... 

"Akan ada orang-orang yang pandai mengucap al-Quran di bibirnya, akan tetapi tidak sampai di hatinya. Mereka menuntut ilmu belajar al-Quran dan menamakan dirinya Qari, mungkin akan ada di antara anda hai sahabatku, maka awas-awaslah terhadap mereka itu kerana, akan melihat kelak bahawa mereka akibatnya akan masuk Neraka.." 

Al-Quran perlembagaan kami. Mungkin tidak pernah lekang bait-bait ini diperdengarkan serta dipantunkan. Tapi apakah cara dan usaha kita dalam merialisasikan slogan al-Quran sebagai panduan kami?? 

"Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong).. (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.." (Al-KAhfi 1& 2) 

Hendaklah kamu beriman dengan sepenuh hatimu berserta pengakuan penuh perasaan bahawa al-Quran adalah Kitab Allah yang diturunkan oleh Allah SWT de dalam hati Rasulullah SAW sebagai pembawa berita gembira dan amaran kepada seluruh alam.. 

Mungkin mudah jika tampak pada lisan.. Namun perbuatan serta hati bukanlah semudah apa yang ditampak pada kehalusan ukiran lisan.

Ketahuilah kau bahawa Allah mencabar orang kafir supaya mendatangkan sebuah kitab yang setanding denganya.. Sedar tidak sedar cabaran ini telah bereterusan semenjak ianya turun sehinggalah hari dimana Allah mewarisi bumi dan orang diatasnya iaini Qiamat. 

Katakanlah: "Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa al-Qur'an ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya (al-Qur’an), sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain". (Al-Israq 88) 

Umumkanlah pada dunia, Bahawa sesiapa yang mengikuti panduan petunjuk Al-Quran dan berjalan diatas perinsip-perinsipnya, maka merekalah orang yang berada di atas hidayah dan laluan yang paling betul serta jalan yang paling lurus.. 

"Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus." (al-Maidah 15 & 16) 

Terangkanlah kepada manusia bahawa al-Quran itu bukanlah khusus untuk sesuatu bangsa atau ajam. Tapi al-Quran itu milik Allah untuk semua umat dan setiap bangsa.

"Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqaan (al-Quran) kepada hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam." (al-Furqan 1) 

Serulah dengan sepenuh hati dan tenagamu bahawa sesiapa yang menetang al_quran dan berpaling dari jalanya mereka adalah orang yang paling bodoh, jahil dan zalim pada didri sendiri maka kelak butalah mata hatinya.. 

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?” Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”. (Ta -Ha 124, 125 &126) 

Istiharkanlah secara terang-terangan sehingga dapat mengetuk pendengaran mereka yang tidak mengerti.. Mereka yang tidak mengetahui bahawa al-quran itu adalah perlembagaan, Al-Quran itu lambang kebijaksanaan, al-Quran itu manual dalam kehidupan dan al-Quran itu pemandu pelancong bagi tujuan hidup yang mulia dan laluan kemenangan.

"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah. " (al-Maidah 49 & 50) 

Waallahu'alam..  
Jazakumullah khair...