Tuesday 31 January 2012

^ HATI WANITA ^


HATI WANITA

Hati wanita,
Hatinya begitu lembut,
Namun agak sukar untuk disentuh,
Bila sudah disentuh jangan sesekali melukainya.

Hati wanita,
Bila sudah ditawan dia bagai layang-layang yang memerlukan tali,
Semakin kuat tali semakin kuat kebahgiannya,
Ketenangan hatinya akan kekal selagi mana tali itu tidak dikasari oleh orang lain.

Hati wanita,
Lembutnya bagaikan kapas dan embunan salju di Turkey,
Sekali digapai dia akan tetap dalam genggaman,
Apabila dilepaskan ia akan cair dan mengalir ke tanah,
Namun dia tetap akan mengingati siapa yang menggenggamnya pada awal penurunannya.

Hati wanita,
Kelembutannya itu tersirat pada batinnya,
Luarannya terkadang seperti kerasnya batu di Bukit Fraser,
Bila tiba waktu kekerasannya menonjol, biarkan lah dia untuk seketika,
Kerana kelembutannya akan terserlah selepas matahari senja terbenam.

Hati wanita,
Cemburumu membuktikan kasih sayangmu tidak terperi,
Kasih sayang terpancar dengan segala ragam kemarahanmu,
Cemburumu itu kadang-kadang tidak difahami oleh mereka yang bergelar lelaki,
Namun jauh di sudut hati mereka, sangat menyayangimu.

Hati wanita,
Ku mohon kemaafan pada hati yang telah terluka,
Bukan niatku untuk melakukannya,
Namun terkadang aku terleka dengan ujian dunia,
Menjadikan aku alpa pada PENCIPTA.

Hati wanita,
Biarpun hatimu itu telah terluka,
Kesalahanku tidak mendapat kemaafan,
Kau biarkan diri ini menanggung derita,
Hidup dalam rasa bersalah menjadikan diriku tidak keruan,
Namun percayalah tidak pernah terlintas untuk menyakitinya.

Hati wanita,
Bila disentuh ia akan bergoncang,
Bergoncang seperti mana gempa bumi di Medan,
Jangan dikotori kesuciannya,
Lupakan kisah lama,
Semailah ia dengan roh KEIMANAN,
Agar segala luka dan lara dapat diubati sebaiknya.

"MAAFKKAN DIRI INI"

**** terima kasih untuk princess_ sakuraz@yahoo.com

^ SAYA JATUH CINTA DISEBABKAN SYAITAN... ^


SAYA JATUH CINTA DISEBABKAN SYAITAN 

Tersebutlah kisah, seorang “lelaki A” datang berjumpa dengan seorang perempuan. Perempuan ini adalah yang paling ‘hot’ di kampusnya, kerana memiliki rupa paras yang cantik dan menawan. Sifat pada perempuan ni yang paling orang suka adalah kerana dia ni seksi dan berada. 

Mari lihat dialog yang berlaku antara lelaki A dan perempuan tersebut. Lelaki A merupakan anak seorang Dato’ yang sememangnya kaya, kacak dan bergaya. Nak pergi kampus pon pakai kereta mewah, kemudian ada driver pula. Awek mana tengok mesti melopong biji mata. 

Alice : Apasal awak datang nak jumpa saya?

Lelaki A : Saya dah jatuh cinta kat awak.

Alice : (memandang lelaki itu dengan sinis) sebab?

Lelaki A : Kerana awak cantik. Sesiapa yang memandang awak sekilas pasti tak puas. Sudikah awak jadi gf saya?

Alice : Tapi..

Lelaki A : Jangan risau Alice. Saya ada segala-galanya. Harta..kebahagiaan..dan apa je awak mintak, saya boleh bagi.

Alice : Maafkan saya, saya ada kuliah. (perempuan itu sengaja membuat dalih) 

Seminggu kemudian, perempuan ‘hot’ ni didatangi seorang lelaki lagi, kita namakan lelaki ni “lelaki B”. Penampilan lelaki B ni agak islamik. Pakai baju Melayu siap bersongkok pula tu. Tapi, hati dia hanya tuhan sahaja yang tahu. Apa-apa pun, kenalah bersangka baik. 

Alice : Ha, ada apa erk?

Lelaki B : Assalamualaikum. (ucap lelaki tu lembut)

Alice : (agak terkedu seketika) Waalaikumsalam. Kenapa awak datang nak jumpa saya?

Lelaki B : Saya…saya

Alice : Kenapa? cakaplah..

Lelaki B : Saya jatuh cinta kat awak..

Alice : Sebab?

Lelaki B : Perlukah bersebab?

Alice : Ya. Sebab saya tak pernah kenal awak, tau2 awak dah jatuh cinta..

Lelaki B : Baiklah, saya cintakan awak kerana Allah telah ciptakan perasaan cinta dalam hati saya untuk awak.

Alice : Owh. (Perempuan itu melihat jam tangannya) Maaflah, saya ada study group. Lain kali kita borak lagi. 

Maka tertinggallah lelaki B keseorangan tanpa sebarang jawapan dari sang gadis itu. 

Seminggu yang seterusnya, perempuan itu didatangi oleh seorang lagi lelaki iaitu “lelaki C”. Kali ini, lelaki C berpenampilan biasa dan sederhana saja. Wajahnya juga tidaklah sekacak mana namun ada sesuatu pada wajah itu. Entahlah apa. Perempuan itu mengukir senyuman manis untuk lelaki itu kerana dia pasti bahawa lelaki ini pasti akan bercakap benda yang sama. 

Alice : Saya tau kenapa awak datang nak jumpa saya..

Lelaki C : (Termangu seketika) Awak dah tau?

Alice : Why not? Awak cintakan saya?

Lelaki C : Ya, saya menyintai awak.

Alice : (tersenyum sinis) Well, kenapa pulak? Sebab Allah telah menghadirkan perasaan cinta kat dalam hati awak untuk saya?

Lelaki C : (hanya mampu tunduk)

Alice : Kenapa diam? atau..awak jatuh cinta di sebabkan rupa saya..atau saya ni seksi..atau..saya ni anak orang berada..

Lelaki C : Demi Allah, semua itu tak betul. (Lelaki C berubah menjadi tegas). Ya, memang benar saya jatuh cinta kat awak tetapi bukan kerana Allah atau kerana kecantikan awak,
harta awak.. saya jatuh cinta disebabkan Syaitan Durjana . Syaitan yang mendorong saya untuk mengejar awak. Kemana saja awak jalan, mata saya akan mengekori awak. Tatkala rambut ikal awak terbang ditiup angin,s aya rasa perasaan saya kacau. Wajah cantik awak sentiasa datang bermain di jiwa saya pada hal saya tak menginginkannya. Saya rasa rimas dengan perasaan saya. Saya semakin hanyut. Semakin terleka.

Alice : (terkedu) Apa awak nak?

Lelaki C : Saya tak mahukan apa-apa. Mungkin hanya sekelumit simpati. Hanya kalau awak sudi. Maafkan saya, saya mohon untuk berlalu.

Alice : Nanti dulu, siapa nama awak? Macam mana saya nak tolong awak?

Lelaki C : Nama saya, ah, tak layak saya nak beritahunya kat awak. Sesungguhnya nama yang saya pinjam ini sungguh mulia. Saya pasti awak tau apa nak dibuat. Maafkan saya, saya tak sanggup nak berlama-lama di sini. Syaitan itu sentiasa membisikkan perkara yang jahat ke telinga manusia. Assalamu’alaikum. 

Alice hanya melihat langkah lelaki itu tanpa sepatah kata. 

Dua tahun kemudian… 

Akif merehatkan dirinya di pelantar rumah sambil menghirup udara segar pagi. Tiba-tiba dia disapa oleh ibunya. 

Ibu : Akif, ibu teringin nak tengok Akif berumah tangga. Akif tak de ke pilihan hati Akif sendiri?

Akif : Entahlah ibu. Susah kita nak mencari pasangan yang betul2 berdiri di atas landasan yang teguh.

Ibu : Akif, ibu faham. Memang susah nak cari orang yang seperti itu, kalau ada pun, nisbahnya kecil. Manusia makin hanyut ditelan arus dunia. Semakin moden, semakin lupa tanggungjawab kita sebagai muslim. Tapi Akif, kita juga boleh menjadi pengubah.

Akif : Ibu.. Akif faham. Insya Allah ibu, Akif akan cari seorang perempuan..jika dia tak seperti yang Akif harapkan, Akif yang akan membentuk dia, mengubah dia.
Akif akan cuba laksanakan permintaan ibu.

Ibu : (tersenyum) Akif, ibu rasa, ibu sudah berkenan dengan seorang gadis ini. Dia baik dan manis juga orangnya. Pekerjaannya juga mulia. Dia bekerja sebagai seorang guru di sekolah menengah agama. Ibu dah berbual-bual dengan ibu bapanya. Baik sungguh mereka itu.

Akif : Siapa dia ibu? siapa nama dia?

Ibu : Nur Alissa Zakiyyah… 

Seminggu sebelum hari pertunangan. Waktu itu, Akif berada di rumah Nur Alissa Zakiyyah. Baru kali pertama Akif ke sana. Rumah yang dijejakinya ini sungguh besar dan luas. Halamannya juga menarik bersama landskap yang begitu teratur. Bunga-bungaannya memukau mata. Suasana agak hingar-bingar. Ibu Akif berada di dalam rumah mungkin sedang sibuk membantu mereka yang lain menyiapkan juadah makan tengah hari bersama. 

Akif berjalan menuju ke suatu sudut di halaman itu namun langkahnya terhenti apabila terlihat seorang gadis bertudung hijau lembut sambil mengenakan pakaian baju kurung..
entahlah baju kurung jenis apa yang penting ianya gubahan moden seiring mengikut zaman.
Gadis itu seperti pernah dilihatnya di dalam sekeping gambar. Gambar yang diberi ibunya. Mungkinkah itu bakal tunangnya? 

Akif memberanikan diri untuk menyapa gadis itu. 

Akif : Assalamu’alaikum.

Alissa : Wa’alaikumsalam. (Alissa tersenyum lantas membelakangi Akif)

Akif : Awakkah Nur Alissa Zakiyyah??

Alissa : Dan awak pula Akif Rahmankan?(soal Alissa tanpa menjawab pertanyaan Akif terlebih dahulu)

Akif : Ya. Akif Rahman Bin Razaq. Awak belum jawab soalan saya..

Alissa : Hum.. akhirnya…

Akif : (Akif hairan) Kenapa? Pernahkah kita bertemu atau berkenal?

Alissa : Ya.

Akif : Siapakah awak? (tanya Akif penuh kehairanan)

Alissa : Nama saya Nur Alissa Zakiyyah binti Aziz. Sayalah Alice.

Akif : (terkesima) Subhanallah. Awak dah berubah, saya langsung tak cam awak. Macam mana awak boleh jadi macam ni?

Alissa : Bukankah awak yang meminta sekelumit simpati dari saya?

Akif : Alice…(terharu..)

Alissa : Akif, saya dah jatuh cinta kat awak. Dah lama..

Akif : Sebab?

Alissa : Saya mencintai awak kerana agama yang ada pada awak… 

Akif hanya tersenyum..

Setiap yang baik itu adalah daripada Allah dan yang buruk itu daripada kita sendiri. Jikalau kita lupa Allah dalam melakukan sesuatu perbuatan itu, maka itu adalah perbuatan kita sendiri. Oleh yang demikian kita jatuh dalam hukum: “buat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas jahat.” ... Kejahatan, pendertitaan dan sebagainya itu adalah kerana penyalahgunaan kuasa oleh kita sendiri, kita berbuat sesuatu kerana diri sendiri bukan kerana Allah. WAT TATAFARAKU ILLA BIIZNILLAH ... tiada bergerak sebesar zarah melainkan pegerakan Allah... ~ 

Saturday 28 January 2012

^ BERSABAR DAN SYUKUR SIFAT ORANG MUKMIN ^


BERSABAR DAN SYUKUR SIFAT ORANG MUKMIN

Selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, kaum keluarga dan para sahabat-sahabat baginda.

Sabar

Dalam kesibukan diri melayari bahtera kehidupan ini, banyak dugaan dan cabaran yang kita temui, mungkin ada cabaran yang berjaya kita harungi, dan ada yang sebaliknya. Cuma hakikatnya, kita sebagai manusia memang tidak lepas dari menghadapi dugaan ini. 

Para ulama dan ahli ibadah zaman dahulu mengklasifikasikan ujian yang diterima oleh seseorang itu adalah mahar yang akan dijadikan saksi ketika hari yang tiada saksi melainkan amalan yang soleh, ia juga dianggap sebagai sebuah nikmat kerana bagi mereka Allah S.W.T. masih menerima amalan dan masih melihat mereka. 
Bagaimana keadaan ini boleh berlaku? 

Sifat Syukur 
Syukur adalah satu sifat yang sangat penting di dalam diri seseorang. Tanpa syukur, seorang manusia itu akan lupa daratan dan sentiasa merasakan diri merekalah yang sebenarnya sempurna dan berkuasa. 

Lihat sahaja kepada contoh golongan yang tidak bersyukur yang telah dinukilkan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran sebagai iktibar kepada hamba-Nya. 

Firaun Dan Pengikutnya 
Firaun adalah seorang raja yang telah diberikan keistimewaan oleh Allah S.W.T dengan tidak pernah jatuh sakit sepanjang hidupnya. Di samping itu juga, dia diberikan sebuah kerajaan yang sagat besar dan kuat iaitu kerajaan Mesir ketika itu. 

Tetapi malangnya, firaun menjadi sombong dan lupa diri. Oleh kerana keistimewaanya itu, dia merasakan dirinya adalah tuhan yang patut disembah - dia menyuruh seluruh rakyatnya menyembah dirinya. 

Sehinggakan Allah S.W.T mengutuskan Nabi Musa a.s. untuk menjadi petunjuk ke atas rakyat yang telah di zalimi tadi. Allah S.W.T juga memberi balasan yang setimpal ke atas perbuatan angkuh firaun itu dengan menenggelamkan dia di laut merah sewaktu cuba membunuh Nabi Musa a.s. dan Bani Israil. 

Begitu juga yang terjadi ke atas Haman; perdana menteri yang dilantik ketika pemerintahan firaun. Dia banyak menghabiskan duit rakyat dan sentiasa mengampu firaun dengan kata-kata manis untuk mengekalkan kedudukannya selaku perdana menteri; orang yang kedua tertinggi dalam kerajaan firaun laknatullah. 

Kisah Raja Namrud 
Raja Namrud juga salah satu contoh manusia yang tidak bersyukur atas pemberian Ilahi, bukan sahaja bersifat angkuh tetapi dia mahu membakarnya hidup-hidup Nabi Ibrahim a.s. yang diutuskan oleh Allah S.W.T. ke atas kaum mereka. Namun dengan sifat kasih sayang Allah S.W.T, api yang sepatutnya bersifat panas dan membakar menjadi dingin dan selamat untuk Nabi Ibrahim a.s. dan Namrud pula akhirnya dimusnahkan oleh Allah S.W.T. dengan dihantar seekor nyamuk yang masuk ke dalam kepalanya untuk memakan otaknya. 

Manusia Yang Paling Sabar 
Nabi Ayub a.s. dikurniakan kesempurnaan kehidupan oleh Allah S.W.T. Baginda dikurniakan harta yang banyak dan keluarga yang bahagia, tetapi kuasa Allah S.W.T lebih hebat apabila Dia menguji baginda dengan menarik sedikit demi sedikit nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada Nabi Ayub a.s.. Ia bermula dengan harta yang semakin berkurangan, anak-anak yang meninggal dunia dan seterusnya dengan penyakit sopak yang menjijikkan. 

Mengenai pelbagai ujian itu Allah S.W.T berfirman, maksudnya: "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157). 

Walaupun diuji dangan begitu hebat sekali, baginda masih tetap percaya Allah S.W.T ada menyelitkan hikmah disebalik kedukaan ujian yang melandanya. Akhirnya dengan sifat kesempurnaan Allah S.W.T, segala ujian yang diberikan digantikan semula dengan kegembiraan dan Nabi Ayub a.s. dinaikkan darjat sebagai orang yang bersabar di atas ujian yang menimpa dirinya. 

Bersabar dan Bersyukurlah 
Majulah dalam menempuh ujian hidup ini kerana ada sesuatu yang manis sedang menunggu kita. Ingatkan teman yang lain dan ingatkan diri kita sendiri. Moga Allah S.W.T. memberi taufiq ke atas diri kita dan dikurniakan kejayaan diatas amalan yang dilakukan. Walaupun berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya, sesungguhnya Allah mengetahui tahap kesanggupan setiap hamba-hambanya. 

"Ya Allah jangan Kau uji kami dangan ujian yang tidak tertanggung oleh kami, sesungguhnya kami hambaMu yang daif dan lemah." 

"Tanpa keberanian, mimpi takkan bermakna." 

"Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Kamu tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kamu sampai kamu melupakan kegagalan kamu dan rasa sakit hati." 

Balasan Syurga Pada Yang Sabar
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda di dalam Hadis Qudsi: Allah s.w.t berfirman yang maksudnya : "Tidak ada balasan kecuali Syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). " (Hadis Riwayat Imam Bukhari). 

Kesimpulan Hadis: 
1- Tabah dan sabar menghadapi musibah adalah merupakan tanda-tanda kesempurnaan iman manakala keluh-kesah dan bimbang adalah merupakan tanda-tanda kelemahan iman. 

2- Keagungan ganjaran tabah menghadapi musibah.

^ KESABARAN... DALAM MENAHAN GELORA NAFSU ^


KESABARAN... DALAM MENAHAN GELORA NAFSU

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Setiap manusia yang sempurna sifatnya telah diciptakan oleh Allah SWT dengan diberikan-Nya akal dan nafsu. Akal akan berfikir dan menilai segala kebenaran yang di turunkan oleh Allah SWT melalui ar-RasulMuhammad SAW lalu mengimani dan meyakini di dalam hatinya. Manakala nafsu yang suka mendorong kepada keburukan perlu diawasi dan ditundukkan dibawah telunjuk iman dan akal fikiran yang waras. 

Bersabar di dalam konteks amalan hati ialah menahan nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan hati atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau memberontak, resah gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada pengalaman kesusahan, ketidak selesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau diingini. Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan iaitu : 

1. Tabah dan tekun di dalam melakukan taat
2. Menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran
3. Memelihara diri dari godaan dunia, nafsu dan syaitan.
4. Tenang atau teguh hati menghadapi cobaan musibah

Sabar adalah satu tuntutan agama dan satu perisai untuk menahan diri daripada fitnah nafsu yang bergelora. Orang yang gagal bersabar akan gagal di dalam hidup dan akan rugi di dunia dan akhirat. Antara tujuan kita di suruh bersabar itu ialah:

1. Supaya dapat mengerjakan ibadah dengan tenteram dan dapat kesempurnaan dan seterusnya mencapai matlamatnya.

2. Untuk kita berfikir dengan lebih matang. Apabila nafsu telah menguasai akal, akal tidak dapat berfikir secara rasional di dalam menghadapi tindakan yang akan dilakukan. Segala yang dilakukan itu hanya betul mengikut ukuran nafsu. Akibatnya apabila terjadi kerusakan atau kecelakaan disebabkan tindakan itu, diri manusia sudah tidak dapat mengelak, jadilah manusia itu terbelenggu disebabkan perbuatannya sendiri. Kerana itu di dalam menangani nafsu yang bergelora, sabar itu sangat perlu. Di samping kita disuruh untuk bermujahadah (berperang) dengan nafsu yang jahat.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : "Sejahat-jahat musuh kamu iaitu nafsu yang di antara dua lambungmu." (Hadis Riwayat Tarmidzi)

Selain daripada itu, sifat takwa perlu diusahakan dengan menanamkan iman di dalam diri. Untuk mendapatkan sifat takwa, kelemahan diri perlu diperbaiki. Bagi mereka yang berusaha memperbaiki dirinya, hati mereka akan sentiasa tenang dan bahagia. Bukan kerana kaya atau berada, tetapi kerana puas kepada apa yang ada.

“Dari Anas bin Malik RA, bersabda Rasulullah SAW: “Tiga perkara apabila terdapat pada diri seseorang, ia merasai kemanisan iman: Siapa yang cintanya kepada Allah dan Rasul lebih dari cintanya kepada yang lain; siapa yang cintanya kepada orang lain hanya kerana Allah (dan bukan kerana suatu tujuan duniawi); dan ia membenci kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya (dari kekufuran), sebagaimana bencinya akan dicampakkan ke dalam api.”(Hadis Riwayat Muslim) 

Di samping itu apabila orang yang memiliki iman, sembahyangnya akan kusyuk, mereka menyempurnakan puasa dan menunaikan pembayaran zakat dengan segala adab dan tuntutannya, menunaikan Haji dengan memahami segala tujuan dan tuntutannya, menjauhkan diri dari maksiat dan dosa, menjauhi perbuatan zina dan perkara yang menghampirinya, tidak mengumpat, mengadu domba, menfitnah, tidak hasad dengki, tidak sombong, tidak ujub dan sum'ah (mencari nama dan pangkat), tidak pendendam dan lain-lain.

Bila dapat kemanisan iman. penderitaan menjadi kecil dan dunia tiada ruang di dalam hatinya. Hatinya akan asyik dengan Allah. Ini berlaku pada sahabat-sahabat Rasulullah SAW contoh Sayyidina Bilal apabila dijemur di tengah panas serta diazab untuk dipaksa kembali kepada kekufuran, dengan tenang dia menjawab, "Ahad, Ahad." Azab sengsara, tidak terasa dan mampu dihadapinya dengan tenang.

Ini juga berlaku kepada seorang sahabat Nabi SAW yang dicuri untanya ketika sedang bersembahyang, dia tidak menghentikan sembahyangnya itu. Kerana terasa kemanisan sembahyang dan tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Banyak lagi hal-hal yang sedemikian yang boleh kita baca di dalam sejarah kehidupan para sahabat RasulullahSAW.

Kerana itu kita perlu melakukan Mujahadatun Nafs (melawan hawa nafsu) dan membersihkan diri kita daripada sifat-sifat mazmumah ( yang tercela ) seperti iri hati, dengki, dendam, buruk sangka, mementingkan diri, gila pangkat, gila puji, gila dunia, bakhil, sombong dan sebagainya.

Langkah pertama untuk mendapatkan iman ini, maka seseorang itu perlu mempunyai :

Pertama : Ilmu Islam .
Perlu memiliki ilmu Islam yang sempurna dan tepat agar segala tindakan dapat diselaraskan dengan syariat dan kehendak Allah melalui hukum-hukum yang telah ditetapkannya. Firman Allah SWT maksudnya : “………Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat……..”. (Surah al-Mujadillah ayat 11). 

Kedua : Mempunyai keyakinan.
Keyakinan adalah perlu dan penting. Oleh itu wajiblah kita belajar dan berusaha menyuburkan keyakinan kita. Jangan biarkan keyakinan dicelahi oleh keraguan walaupun sedikit. Keraguan mesti dilawan dengan ilmu pengetahuan, bukan dengan akal semata-mata.

Syaitan dan nafsu sentiasa menyuruh dan mempengaruhi akal untuk ragu-ragu dan mewas-waskan kita. Tanpa ilmu yang benar dan menyeluruh, kita akan terperangkap di dalam perangkap syaitan. Jikalau kita terperangkap di dalam jerat syaitan bagi soal-soal keyakinan, maka hapuslah segala pahala amal dan hapuslah iman. Jikalau terjadi demikian, maka matilah kita sebagai orang yang tidak beriman dan kekal di dalam neraka.

Ketiga : Beramal dengan ilmu yang telah difahami dan diyakini.
Firman Allah SWT. dalam surah Ash-Shaff, ayat 2 – 3 yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya."

Keempat : Bermujahadah.
Bermujahadah melawan nafsu yang mendorong ke arah kejahatan dan menghalang diri dari melakukan maksiat lahir dan batin. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan (fujur) dan jalan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya." (Surah As-Syams ayat 7-10)

Dan Ibnu Abbas berkata “ Takwa itu ialah bermudjahadah pada jalan Allah dengan benar-benar jihad, dan tidak dipengaruhi pada jalan Allah oleh celaan para pencela, dan menegakkan keadilan kerana Allah, walaupun terhadap diri sendiri, ibu dan bapak."

Kelima : Istiqamah beramal.
Istiqamah untuk melakukan amalan ketaatan dan ibadah serta menjauhi kemungkaran secara berterusan. Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya: "Istiqamahlah kamu semua, dan beruntunglah jika kamu istiqamah." (Hadis Riwayat Ibnu Majah) 

Sayyidina Ali bin Abu Talib k.w. berkata: "Istiqamah adalah melaksanakan kewajiban-kewajiban."

Keenam : Mempunyai guru yang Mursyid yang dapat memimpin dan mendidik diri agar sentiasa taat kepada Allah.

Ketujuh : Selalu berdoa kepada Allah.
Doa adalah senjata orang mukmin kerana jikalau hanya usaha lahir saja dilakukan tanpa mengharapkan bantuan dari Allah, maka ia amat mustahil untuk membuang nafsu yang jahat di dalam jiwa manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Apabila hamba-Ku bertanya kepada engkau tentang hal-Ku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku perkenankan do’a orang yang meminta, bila ia meminta kepada-Ku, tetapi hendaklah ia mengikut perintah-Ku, serta beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.” (Surah Al-Baqarah ayat 186)

3. Kita disuruh bersabar adalah untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Firman Allah : " Dan Allah mencintai orang-orang yang sabar." - (Surah Ali Imran ayat 146)

" Hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan pahalanya tanpa batas " (Surah az Zumar ayat 10)

Marilah sama-sama kita bersabar dalam menahan gelora nafsu amarah kerana hanya dengan bersabar akan menjadi ubat yang pahit tetapi mujarab di dalam menahan diri daripada nafsu dan godaan dunia. Yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita, sekaligus menolak kemudaratan kepada kita. Sebagai ubat 'kepahitan' hanya sesaat, akan tetapi 'kemanisannya' akan berpanjangan iaitu mendapat balasan syurga.

^ BERSABARLAH KERANA SETIAP KESUSAHAN AKAN ADA KEMUDAHAN DAN KEJAYAAN ^


BERSABARLAH KERANA SETIAP KESUSAHAN AKAN ADA KEMUDAHAN DAN KEJAYAAN

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan" (Surah Alam Nasyrah ayat 5) 

Dalam ayat ini Allah mengungkapkan bahwa sesungguhnya di dalam setiap kesempitan di situ terdapat kelapangan dan di dalam setiap kekurangan untuk mencapai suatu keinginan di situ pula terdapat jalan keluar, jika seseorang dalam menuntut sesuatu tetap berpegang pada kesabaran dan tawakal kepada Tuhannya. Ini adalah sifat Nabi SAW. baik sebelum baginda diangkat menjadi Rasul maupun sesudahnya, ketika baginda terdesak menghadapi tantangan kaumnya. 

Walaupun demikian, baginda tidak pernah gelisah dan tidak pula mengubah tujuan tetapi baginda bersabar menghadapi kejahatan kaumnya dan terus menjalankan dakwah sambil berserah diri dengan tawakal kepada Allah SWT dan mengharap pahala daripada-Nya. 

Begitulah keadaan Nabi SAW. sejak permulaan dakwahnya. Pada akhirnya Allah memberikan kepadanya pendukung-pendukung yang mencintai baginda sepenuh hati dan bertekad untuk menjaga diri pribadi baginda dan agama yang dibawanya, dengan keyakinan bahawa tidaklah sempurna hidup mereka kecuali dengan menghancurkan dan meleburkan segala sendi kemusyrikan dan kekafiran. Lalu mereka bersedia menebus pahala dan nikmat yang disediakan di sisi Allah bagi orang-orang yang berjihad pada jalan-Nya dengan jiwa dan harta dan semua yang mereka miliki. Maka dengan demikian mereka telah sanggup menghancurkan kubu-kubu pertahanan raja-raja Persia dan Romawi. 

Ayat tersebut seakan-akan menyatakan bahawa bila keadaan telah terlalu genting maka dengan sendirinya kita ingin keluar dengan selamat dari kegentingan tersebut dengan melalui segala jalan yang dapat ditempuh, sambil bertawakal kepada Allah. maka dengan demikian tercapai kemenangan biar bagaimanapun hebatnya rintangan dan percubaan yang dihadapi.

Dengan ini pula Allah memberitahukan kepada Nabi Nya bahawa keadaannya akan berubah, dari miskin menjadi kaya, dari tidak mempunyai teman sampai mempunyai saudara yang banyak dan dari kebencian kaumnya kepada kecintaan yang tidak ada taranya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan." (Surah Alam Nasyrah ayat 6) 

Ayat ini adalah ulangan ayat sebelumnya untuk menguatkan maksud yang terkandung dalam ayat yang terdahulu; yakni bila kesusahan itu dihadapi dengan tekad yang sungguh-sungguh dan berusaha dengan sekuat tenaga dan fikiran untuk melepaskan diri daripadanya, tekun dan sabar serta tidak mengeluh atas kelambatan datangnya kemudahan, pasti kemudahan itu akan tiba. 

Hasan al-Bashri r.a menegaskan bahawa kedua-dua ayat ini (ayat 5 dan 6) diturunkan berkenaan dengan kaum musyrik yang seringkali menghina kefakiran dan kemiskinan kaum muslimin. (Hadis Riwayat Ibnu Jarir) 

Jika kita membaca ayat di atas, mengapa kita perlu merasa takut. Sebab jika kita mengalami kesusahan, insya Allah pasti akan datang pula kemudahan . Ayat ini sungguh memberikan inspirasi untuk kita yang sedang mengalami kesusahan atau dugaan, ayat yang memberikan dorongan kepada kita untuk tetap bertahan, tetap bersemangat dalam menghadapi hidup yang penuh kesusahan dan pancaroba.

Kemudahan, atau pertolongan Allah SWT, akan datang. Tenanglah! Seperti tenangnya Nabi Musa as. ketika tentera Firaun sudah menghampiri mereka , seperti diceritakan dengan indah dalam Al Quran yang maksudnya : "Lalu (Firaun dan bala tenteranya) dapat menyusul mereka pada waktu matahari terbit. Maka ketika kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa : 'Kita benar-benar akan tersusul'. Dia (Musa) menjawab, 'Sekali-kali tidak akan (tersusul) sesungguhnya Tuhanku bersamaku. Dia akan memberi petunjuk kepadaku'." (Surah Asy-Syuara' ayat 60-62)

Jika kita mengikut contoh Nabi Musa as., kita juga boleh mengatakan “Sesungguhnya Allah bersamaku, Dia akan memberikan petunjuk kepadaku”

Ketika kita ditimpa musibah atau menghadapi masalah hidup yang sukar seolah-olah tidak akan boleh di hadapi atau selesaikan, maka janganlah bersedih dan berputus asa, serahkanlah kepada Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Pasti setiap kesusahan itu akan ada kemudahan, pertolongan Allah SWT akan datang apabila hati mukmin yakin akan janji-janji Allah SWT, bahawa Dia tidak akan sia-siakan doa dan permohonan para hamba-Nya.

Tunggulah pertolongan tersebut, kerana ianya sudah dijamin oleh Allah SWT dalam Al- Quran .Tentu saja sambil mengharap pertolongan Allah SWT, kita perlu banyakkan sabar dan solat kerana dengan sabar dan solat akan memberi ketenangan di dalam jiwa, perasaan dan fikiran.

Allah SWT berfirman maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.'' (Surah al-Baqarah ayat 153)

"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.'' (Surah al-Baqarah ayat 155) 

Berdasarkan ayat-ayat di atas Allah SWT menyeru kepada orang-orang beriman supaya menjadikan sabar dan solat itu sebagai penolongnya. Para ahli tafsir menyatakan bahawa suruhan ini adalah wajib kerana berbentuk suruhan kepada orang-orang mukmin. Jika orang mukmin meninggalkan sifat sabar dan meninggalkan solat maka ianya berdosa. 

Hari esok adalah dalam ilmu Allah SWT, kita tidak tahu apa yang akan terjadi esok, boleh sahaja esok datangnya kemudahan tersebut. Jadi selalulah hati dan jiwa kita meletakkan pengharapan mutlak kepada Allah SWT.

Kadangkala kesusahan yang kita alami ini ada sesuatu perkara baru yang ingin dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita yang mana perkara itu lebih baik daripada apa yang kita terima sebelumnya. Mungkin jika tidak digantikan dengan yang baru akan lebih mendatangkan mudarat kepada diri kita.

Mungkin ada dikalangan kita yang terpaksa berpisah sebagai suami isteri kerana tidak sehaluan dalam hidup atau krisis rumah tangga yang memuncak, kerana salah seorang pasangannya sudah tidak memiliki akhlak Islam, jika diteruskan akan mendatangkan musibah yang lebih besar, maka jalan terbaik adalah berpisah dengan cara hormat. Mungkin disini ada banyak hikmah yang akan dikurniakan oleh Allah SWT kepada pihak yang istiqamah dengan Islam. 

Begitu juga dengan rezeki, mungkin kita diuji dengan kerugian dalam perniagaan atau di berhentikan kerja atau rezeki yang ada tidak cukup untuk menampung keperluan hidup yang semakin mendesak. Ketika berada di dalam keadaan kritikal seperti ini, jangan mudah putus asa dan menyalahkan takdir, kerana setiap kesusahan itu pasti ada kemudahan dan kebahagiaan. Teruskan berusaha, berdoa dan bertawakal maka disitu nantinya akan ada nur Ilahi , ketenangan dan jalan penyelesaian yang akan menunjukkan jalan yang lurus dan kebahagiaan yang abadi. 

Allah sudah menyiapkan rezeki bagi kita, jadi meskipun semasa kita susah, sebenarnya sudah Allah SWT siapkan untuk kita. Kemudahan akan kita dapatkan setelah kesulitan ini.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezkinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Loh mahfuz)." (Surah Huud ayat 6).

Daripada tenggelam dengan kesedihan akibat kesusahan dan kesulitan, mengapa kita tidak berusaha mengambil hikmah dengan cara berprasangka baik kepada Allah SWT. Mungkin dengan datangnya kesusahan kepada kita akan memberi banyak kebaikan : 

1. Memiliki hati yang lebih kuat, sebab kesusahan menguatkan hati kita.

2. Sadar dengan segala kekurangan dan kesalahan sehingga kita bertaubat dan dosa kita diampuni.

3. Bebas dari rasa ‘ujub, kesusahan adalah boleh mendidik kita supaya merendahkan diri.

4. Tidak lalai, sudah nyata kesusahan ada dihadapan kita.

5. Lebih banyak mengingat Allah SWT.

6. Lebih benyak bersabar dan mengerjakan solat, kerana mungkin sahaja dengan kesusahan ini akan melatih kita untuk lebih bersifat sabar.

^ ALLAH BERJANJI AKAN MEMBERI PAHALA DAN BALASAN YANG LEBIH BAIK UNTUK ORANG YANG SABAR ^


ALLAH BERJANJI AKAN MEMBERI PAHALA DAN BALASAN YANG LEBIH BAIK UNTUK ORANG YANG SABAR

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sabar menurut pengertian bahasa ialah menahan atau bertahan. Sabar secara umumnya pula bermaksud tahan mencabar suatu yang sukar. Sabar terbahagi kepada tiga :

Pertama, sabar dalam ketaatan kepada Allah. 
Kedua, sabar dari kederhakaan kepada Allah seperti sabar mengelak dari melakukan maksiat, dan 
Ketiga, sabar atas segala ujian dan ketetapan yang telah ditentukan Allah.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Yahya (Syuhaib) bin Sinan r.a. bahawa Nabi S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud : "Sungguh mengagumkan keadaan seorang mukmin, disebabkan segala keadaannya untuk urusan ia sangat baik. Dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: Jika mendapat nikmat, dia bersyukur. Maka bersyukur itu adalah lebih baik bagi dirinya. Dan jika menderita kesusahan, dia bersabar. Maka kesabaran itu lebih baik buat dirinya."

Pada kisah perjalanan dakwah Nabi Muhammad S.A.W. ke kota Ta’if, baginda menghadapi pelbagai dugaan yang sangat hebat dan begitu menyakitkan. Nabi S.A.W. telah diejek oleh bangsa-bangsa kaya Ta’if, kemudian dipulaukan oleh masyarakat kota Ta’if, seterusnya dilempari batu-batu sehingga menyebabkan dirinya dan Zaid bin Haritsah mendapat cedera parah berupa luka-luka di kepala, kaki dan anggota-anggota lainnya.

Namun begitu, baginda tidak berpaling dari apa yang pernah disabdakan ia agar selayaknya bagi setiap mukmin itu dikala menimpa kesusahan agar tetap dengan kesabaran, kerana kesabaran itu adalah sangat baik buat dirinya. Apakah yang membuktikan kesabaran itu sangat baik? Adakah sekadar kata-kata kosong semata-mata? Sedang kita sudah kenali bahawa baginda bukanlah seorang yang berkata-kata mengikut hawa nafsunya.

Bukti yang menunjukkan kesabaran itu merupakan suatu hal yang sangat baik ialah apabila kita merujuk kepada fadilatnya yang amat banyak, antaranya:

i. Pahala yang sangat baik. 
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada disisi Allah adalah kekal.Dan Kami pasti akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan." (Surah an-Nahl ayat 96)

ii. Orang yang sabar diberi balasan tanpa batas.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala buat mereka tanpa batas." (Surah az-Zumar ayat 10) .

iii. Jaminan pertolongan Allah S.W.T. bagi orang-orang yang bersabar.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Ya (cukup), jika kamu semua bersabar dan bertakwa. Dan (seandainya) mereka menyerang kamu semua seketika itu juga, niscaya Allah akan menolong kalian dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda." (Surah Ali-Imran ayat 125).

Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bersabar. Setiap dugaan dan halangan hidup seharian perlu ditempuhi dengan reda dan penuh keinsafan. Umpamanya apabila ditimpa kemalangan atau musibah, hendaklah menyerahkan diri dan bertawakal kepada Allah. Sikap sabar akan memberi ganjaran kepada manusia baik di dunia atau akhirat.

Ini dijelaskan dalam al-Quran bahawa setiap kebaikan itu walaupun sebesar zarah akan mendapat balasan dan ganjaran baik. Begitu jugalah ganjaran terhadap sifat sabar kerana mengharapkan keredaan Allah dan membuat kebajikan. Allah menjanjikan balasan yang baik dan kemenangan yang menggembirakan.

Sabar adalah antara sifat golongan beriman dan menjadi salah satu amal soleh. Orang yang melakukannya akan mendapat ganjaran pahala besar.

Ini seperti firman Allah bermaksud: “Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau wanita sedang dia orang beriman, maka mereka itu masuk syurga dan mereka tidak pula dianiaya sedikit pun...” – (Surah an-Nisa, ayat 124).

Justeru, hendaklah kita berlumba-lumba membuat kebaikan seperti bersedekah, menolong orang yang menghadapi kesempitan dalam hidup, bersungguh-sungguh dalam mengerjakan amal ibadat. Begitu juga dalam hal berkaitan sifat sabar, terutama ketika berhadapan dengan masalah seharian. Pergaulan dengan jiran, rakan dan saudara mara perlu dijaga dengan baik. 

Jika sekiranya menghadapi masaalah rumah tangga, suami dan isteri perlulah banyakkan bersabar, jangan diikut nafsu marah dan mudah mencari kesalahan orang lain. Lihatlah diri sendiri dimana kekuranga diri kita dan insaflah bahawa tidak ada manusia yang sempurna, kerana yang sempurna adalah Allah S.W.T. Bermaaf-maafanlah kerana sifat pemaaf adalah sifat orang mukmin dan sifat ahli syurga.

Sekiranya timbul perbalahan perlu ditangani dengan adil, saksama dan penuh kesabaran. Kehilangan sifat sabar hanya akan mengeruhkan keadaan, bukan menyelesaikan masalah. Sifat sabar membuktikan kewibawaan, peribadi dan ciri mukmin sejati serta mulia. Belajarlah menghormati jika kita mahu diri dihormati dan disegani orang lain.

Ganjaran sabar di dunia ialah mendapat kemenangan dan kejayaan hidup dalam menegakkan kebenaran Allah. Firman Allah bermaksud : “Ya, cukuplah jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka akan datang menyerang kamu seketika itu juga, niscaya Allah akan menolong kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda.” (Surah Ali Imran, ayat 125).

Orang bersabar dengan ujian Allah dan sebarang kesusahan dalam mempertahankan keimanan amat dikasihi Allah serta diberikan kurnia yang banyak. Tentunya hidup kita akan dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan sepanjang masa. Firman Allah S.W.T. bermaksud: “Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan kepada mereka...” (Surah Ali Imran, ayat 170)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Barang siapa yang membawa amal yang baik maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya...” (Surah al-Anam, ayat 160).

Oleh itu marilah kita bermuhasabah diri kita adakah sifat sabar ini ada pada diri kita? Adakah sifat sabar ini hanya setakat ucapan di bibir saja atau kita benar-benar menghayatinya dalam kehidupan kita setiap hari? Jika kita ingin dikasihi Allah S.W.T. dan mengharapkan pahala dan balasan yang lebih baik di dunia dan akhirat maka jangan ditinggalkan sifat ini jadikan ia sebagai pakaian dan amalan dalam kehidupan kita. 

^ SEPULUH (10) KEBAIKAN MENANTI ORANG MUKMIN YANG BERSIFAT SABAR ^


SEPULUH (10) KEBAIKAN MENANTI ORANG MUKMIN YANG BERSIFAT SABAR
 
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sekiranya kita diuji dengan fitnah daripada orang yang iri hati diatas kejayaan kita , diuji dengan kemiskinan, diuji dengan keretakan rumah tangga hingga berlaku perceraian sebagai suami-isteri, diuji dengan penyakit dan mendapat kemalangan, diuji dengan kematian insan yang dikasihi atau diuji dengan kerugiaan dalam perniagaan maka bersabarlah ini semuanya ada hikmah yang baik untuk diri kita sendiri sedangkan kita tidak mengetahui hikmah Allah berikan ujian tersebut . Ianya mungkin kafarah atau penghapusan dosa-dosa kita yang pernah kita lakukan kepada Allah SWT atau ianya sebagai satu cara Allah SWT ingin meningkatkan iman dan takwa kita kepada-Nya dan Dia mengasihi kita supaya dapat memasuki syurga-Nya nanti kerana salah satu jalan seseorang dimasukkan kedalam syurga kerana adanya kerana sifat sabar semasa di dunia.

Terdapat sepuluh kebaikan-kebaikan yang akan Allah SWT kurniakan pada hamba-hamba-Nya yang sabar. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Di ampunkan dosa untuknya. Dalam hadis qudsi berkata Syaddad bin Aus r.a. bahwasanya Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Allah telah berfirman: 'Sekiranya Aku uji salah seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku seraya bersabar atas (penderitaan) apa yang Aku mengujinya. Maka ia akan bangun dari tempat pembaringannya, bagaikan anak yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih dari dosa. Lantas Tuhan akan memerintahkan malaikat Pencatat Amal: Sesungguhnya Aku telah menahan hamba-Ku ini dan Aku telah mengujinya, maka kini catatkanlah baginya apa yang kamu selalu catatkan sebelum itu dari pahala-pahala amalannya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedua : Allah SWT merasa malu kepadanya semasa di neraca timbangan dan membuka buku catatannya diakhirat. Berkata Anas ra. bahawasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman:'Jika Aku menimpakan suatu mushibah ke atas salah seorang hamba-Ku pada badannya, atau hartanya, atau anaknya, lalu dia menerima mushibah itu dengan penuh kesabaran, nescaya di hari kiamat Aku malu akan menegakkan baginya neraca timbangan atau membuka buku catatan amalnya.” (Hadis riwayat Qudha’i, Dailami, Hakim dan Tirmidzi) - hadis qudsi.

Ketiga : Allah SWT ingin mendengar sendiri ucapan hamba yang diuji-Nya . (mukmin tersebut sentiasa memuji-muji kebesaran Allah SWT dengan dia bersabar dan tidak mengeluh). Berkata Abu Umamah ra. bahwasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman: 'Wahai malaikat-ku. Pergilah kepada hamba-Ku, dan timpakan ke atasnya bala'. Maka para malaikat pun menimpakan bala ke atasnya dan orang itu memuji Allah. Para malaikat lalu kembali mengatakan, 'Wahai Tuhan kami ! Kami telah menimpakan atasnya sebagaimana yang Engkau perintahkan'. Berfirman Tuhan: 'Kembali semula kepadanya, Aku ingin mendengar apa katanya'.” (Hadis riwayat Thabarani) - hadis qudsi.

Keempat : Di bebaskan daripada seksaan api neraka. Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya ia bersama dengan Rasulullah SAW menjenguk orang yang sakit kerana demam, lalu Rasulullah SAW. bersabda maksuanya : “Bergembiralah, kerana Allah telah berfirman: 'Itu adalah api-Ku, yang Aku kuasakan terhadap hamba-Ku yang mukmin di dunia agar menduduki (sebagai pengganti) bagian apinya di akhirat'.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) - hadis qudsi.

Kelima : Di berikan kesihatan yang lebih baik daripada sebelumnya. Dari Abu Hurayrah r.a., bahwasanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Berfirman Allah Ta’ala: 'Apabila Aku menimpakan bala ke atas hamba-Ku yang mukmin, lalu ia bersabar (atas penderitaan itu), tiada ia mengadu atau mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya, nescaya akan Aku lepaskan dia dari tahanan-Ku (penderitaan itu), kemudian Aku tukarkan dagingnya dengan daging yang lebih baik, dan darahnya dengan darah yang lebih baik, sehingga ia dapat bekerja semula (yakni: setelah semua dosa dan kesalahan yang lalu Allah ampunkan semuanya)'.” (Hadis riwayat Hakim)

Keenam : Di berikan ganjaran pahala tanpa batas. Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab (tanpa batas)   (Surah az-Zumar ayat 10).

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah SAW. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah SWT dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat."

Ketujuh : Mendapat selawat dan rahmat daripada Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Kelapan : Mendapat balasan syurga. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda didalam Hadis Qudsi: Allah SWT berfirman yang maksudnya :"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). " (Hadis riwayat Bukhari).

Kesembilan : Jaminan mendapat pertolongan Allah SWT. Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Ya (cukup), jika kamu semua bersabar dan bertakwa. Dan (seandainya) mereka menyerang kamu semua seketika itu juga, nescaya Allah akan menolong kalian dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda." (Surah Ali-Imran ayat 125).

Kesepuluh : Di berikan oleh Allah SWT sifat penyabar. Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Alangkah beruntungnya seseorang mukmin yang memiliki sifat sabar dan dia praktikan kesabarannya tanpa mengeluh dan bersikap negatif . Sentiasa reda dengan ketentuan Allah SWT dan berbaik sangka dengan Allah SWT. Sifat orang fasik dan munafik akan cepat marah dan putus asa dengan rahmat Allah, tidak reda dengan musibah yang menimpa dirinya dan mudah menyalahkan orang lain. Jika kalian berhajat untuk menjadi hamba-hamba Allah SWT yang mendapat reda dan rahmat-Nya maka kalian perlulah sentiasa bersabar, tenang dan berfikiran positif dan meyakini setiap sesuatu perkara itu mengandungi 1000 hikmah kebaikan di sisi Allah SWT.

^ HIASILAH DIRI DENGAN SIFAT SABAR ^


HIASILAH DIRI DENGAN SIFAT SABAR 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sabar,adalah kalimat yang mudah diucapkan. Namun berapa ramai antara kita yang bersabar dalam apa jua suasana dan ketika. Adakah sabar itu ada batasnya?, Sabar yang bagaimana sehingga ia diiktiraf sebagai sebahagian dari iman? Adakah kita tergolong dalam golongan orang yang sabar lalu kita terpilih menjadi kesayangan Allah s.w.t.?

Sifat sabar adalah salah satu sifat mahmudah, seorang Mukmin akan menghiasi akhlaknya dengan sifat sabar dan sentiasa tenang menghadapi dugaan dan musibah.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar"
(Surah al-Baqarah ayat 153)

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira" (Surah az-Zumar, ayat10).

Seterusnya Allah s.w.t. juga berfirman: "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud : "Menakjubkan perihal orang yang beriman. Sesungguhnya setiap perkara dalam urusannya (orang Mukmin ) semuanya adalah baik baginya dan tidak berlaku hal yang demikian melainkan ke atas mereka yang beriman. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar maka yang demikian adalah baik baginya dan jika dia didatangkan kemudahan dia bersyukur maka yang demikian adalah baik baginya." (Hadis Riwayatkan Muslim)

Untuk menjadikan diri kita memiliki sifat sabar sebenarnya mestilah merangkumi empat perkara iaitu :

Pertama : Sabar, tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah s.w.t. Ketaatan boleh kita lihat dalam mendidik jiwa untuk rajin dan tabah mengerjakan amal ibadat. Solat yang fardhu dan sunnah, sedekah yang fardhu dan sunnah, begitu juga puasa, haji, wirid harian, dan lain-lain amalan ketaatan kepada Allah baik yang khas mahupun yang am, memerlukan kesabaran dalam diri untuk melakukannya. Sabar untuk mentaati kedua ibu-bapa, berbuat baik dengan jiran tetanga, menghormati tetamu dan sabar ketika mendidik isteri dan anak-anak dengan didikan Islam.

Termasuk dalam ketaatan kepada Allah adalah sabar ketika mengerjakan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah untuk mengajak masyarakat kepada akhlak Islam dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

Namun begitu, bagi mereka yang telah sampai ke maqam Al-'Arif,segala ibadat tidak dirasakan melainkan perasaan yang lazat dan ketenangan. Al-Imam Al-Haddad ada menyebut: Sesiapa yang melazimi sifat sabar, akan sampai ke maqam Al-Qurb (hampir dgn Allah), dan disana dia akan mendapati pada amal ibadatnya, kemanisan, kelazatan dan ketenangan yang tidak tergambar.

Kedua : Sabar untuk menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran. Kesabaran diperingkat ini perlu kepada iman dan kekuatan dalaman. Seseorang yang mampu menahan dirinya daripada melakukan maksiat, kemungkaran dan dosa adalah ciri-ciri orang beriman. Iman itu bukan angan-angan tetapi iman itu apa yang tertanam dihati dan dapat dizahirkan dengan perbuatan dan amalan.

Diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudrir.a., sabda Rasululah s.a.w. yang bermaksud; "Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu ) adalah sedaif-daif iman." (Hadis Riwayat Muslim)

Sifat orang yang sabar apabila dia melihat sesuatu kemungkaran dia akan cegah dengan tangan (kuasa) dan jika tak mampu dicegah dengan lidah (nasihat) dan jika tidak mampu dia akan cegah dengan hatinya (benci dalam hati )ini adalah selemah-lemah iman dan tidak ada iman lagi selepas ini.

Ketiga : Sabar untuk memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan. Hawa nafsu mendorong manusia larut dalam kemewahan, terpedaya dalam kerehatan dan hiburan, mengejar kuasa, pengaruh dan kedudukan, wanita dan kecantikan, emas perhiasan dan pelbagai kilauan dunia yang sementara.

Kehidupan di dunia ini penuh tarikan dan menyeronokkan. Dari dorongan nafsu dan hasutan syaitan manusia boleh leka dan hanyut dibawa arus maksiat dan kemungkaran.Tetapi bagi jiwa orang Mukmin yang telah menjalani proses tarbiyah imaniah, da nmenganggap dunia ini adalah persingahan sementara dan akhirat adalah tempat yang kekal abadi maka dengan kesabaran yang tinggi segala tarikan dunia, godaan hawa nafsu dan hasutan syaitan dapat diatasi dengan mudah. Sebaliknya jika manusia menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan dan syaitan sebagai teman setia maka manusia akan menjadi tamak dan kemaruk dengan harta dunia. Di dunia dia sesat dan menyesatkan orang lain.

Keempat : Sabar dan sentiasa bertenang dan teguh hati ketika menghadapi cubaan atau musibah. Agaknya yang paling sukar ialah sabar dalam menerima sesuatu yang mendukacitakan, baik ia merupakan kematian orang yang disayangi, penyakit, kehilangan harta benda atau kesukaran dalam kehidupan.Kesabaran amat penting agar sifat tabah, mencari penyelesaian dan menenangkan diri dapat dilakukan tanpa keluhan, rungutan, teriakan dan apa-apa lain yang sinonim dengan akhlak yang buruk.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda didalam Hadis Qudsi: Allah s.w.t berfirman yang maksudnya : "Tidak ada balasan kecuali Syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). " (Hadis Riwayat Imam Bukhari).

Rasulullah s.a.w.bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum,maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah." (Hadis riwayat Tirmidzi)

Sabda Rasulullah lagi yang maksudnya: "Setiap sesuatu itu mempunyai hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah kepadanya."

Kitab Risalatul Mu'awanah oleh Al-Imam Abdullah Al-Haddad telah menerangkan bahawa sesungguhnya mereka yang menerima ujian pada zaman ini terbahagi kepada tiga golongan :
1. Golongan yang redha dan bertenang menghadapi ujian. Ganjaran untuk mereka adalah diangkat darjat mereka.

2. Golongan yang gelisah menghadapi ujian tetapi tidak membantahnya. Ganjaran untuk mereka pula adalah dihapuskan dosa.

3. Golongan yang gelisah dan membantah pula ujian yang dihadapi. Mereka akan mendapat kemurkaan dan balasan yang buruk.

Marilah sama-sama kita menghiasi akhlak kita dengan sifat sabar dan memenuhi keempat-empat ciri seperti yang dinyatakan di atas. Tidak ada balasan yang setimpal untuk mereka yang bersabar melainkan Syurga Allah s.w.t. Oleh kerana Allah s.w.t. bersifat sabar kepada makhluk-Nya maka sifat yang mulia ini amat disukai oleh Allah s.w.t jika dimiliki dan diamalkan oleh para hamba-Nya ketika hidup di dunia ini.