Friday, 6 April 2012

^ FIKIR BAIK... SANGKA POSITIF ^


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Ketika terjah ke blog kawan saya.. saya terbaca satu artikel ini. Walla.. banyak blog juga tulis tentang artikel ini.. Mungkin juga sahabat-sahabat juga pernah membaca mengenai artikel ini iaitu... “Manusia hari ini SUKA bersangka-sangka.. “

Ada sangkaan BAIK dan ada sangkaan BURUK.. 

Orang beribadah disangka riak.
Orang yang “relax” disangka malas.
Orang yang pakai baju baru disangka menunjuk.
Orang yang pakai baju buruk disangka zuhud.
Orang makan banyak disangka pelahap.
Orang makan sikit disangka “diet”.
Orang baik disangka buruk.

Orang buruk disangka baik.
Orang senyum disangka mengejek.
Orang masam disangka merajuk.
Orang bermuzakarah disangka mengumpat.
Orang diam disangka menyendiri.
Orang menawan disangka pakai susuk.
Orang nampak ceria disangka membela.

Mana tahu... Yang diam itu kerana berzikir kepada Allah.
Mana tahu... Yang senyum itu kerana bersedekah.
Mana tahu... Yang masam itu kerana mengenangkan dosa-dosanya.
Mana tahu... Yang menawan itu kerana bersih hati dan mindanya.
Mana tahu... Yang ceria itu kerana cergas fikirannya dan sentiasa mengingati Allah. 

Satu benda yang kita lihat, macam-macam kesimpulan yang boleh kita buat.

Apabila memandang keluar tingkap,
Ada orang melihat pokok,
Ada orang melihat awan,
Ada orang melihat jalan,
Ada orang melihat burung berterbangan dan macam-macam lagi.. sedangkan semua orang melihat melalui tingkap yang sama.

Kesimpulannya... semuanya bergantung bagaimana kita melihatnya. Positif yang dilihat, maka positif yang kita dapat. Sebaliknya, kalau negatif yang ditengok, maka negatif lah jadinya. Mari kita sama-sama betulkan penglihatan kita. Berbaik sangkalah dengan sesama kita.

Biar saya tambah sikit untuk lebih lanjut (dari segi pemahaman saya pulak).. 

Buruk sangka adalah satu dari PENYAKIT HATI yang amat kronik. Ia bukan sahaja menjarah dengan parah hati dan jiwa pengidapnya, tetapi turut memusnah individu lain sebagai mangsanya. Buruk sangka juga tidak lahir tersendiri, malah ia lahir bersama dengan sifat-sifat mazmumah yang lain sebagai pakej pelengkap, seperti hasad, dengki, marah, sombong, bongkak, dendam, zalim dan sebagainya. 

Apabila sifat-sifat tersebut meneraju dan memacu kehidupan seseorang insan, ia akan menjadi manusia yang sentiasa resah, gelisah dan tidak tenteram, kerana sentiasa sibuk mencari keaiban dan kelemahan orang lain, tidak punya masa untuk mengingati Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "Zikirullah". Ketahuilah!, dengan "Zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia".  [Ar-Ra'd ayat 28]

Buruk sangka yang dimaksudkan disini ialah buruk sangka yang tidak baik. Ia mengheret sifat-sifat Mazmumah yang lain bersarang dihati, yang akan mempengaruhi anggota-anggota badan yang lain supaya mengikut kehendaknya. Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadisnya menyatakan: "... ketahuilah bahawa didalam badan ada seketul daging,apabila ia baik,baiklah badan seluruhnya, dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya, ketahuilah itulah yang dikatakan HATI". Riwayat Al-Bahari Muslim 

Buruk sangka dibahagikan kepada dua jenis:

1- Buruk sangka yang bertujuan baik, seperti untuk menyedar dan memperbaiki seseorang yang dikatakan melakukan kejahatan.

2- Buruk sangka yang bertujuan jahat demi untuk menjatuhkan maruah kedudukan seseorang.

Walau apa pun tujuannya, buruk sangka tetap memberi infak yang sangat negatif, jarang ada manusia yang terselamat dari terkena bahana prasangka. Dengan sebab itulah,Islam sangat melarang dari berprasangka. 

Sangka buruk boleh terjadi dengan berbagai sebab antaranya:

1- Godaan dan tipu helah syaitan atau iblis:

Buruk sangka adalah jalan terbaik bagi syaitan merangsang manusia untuk bergaduh, mengumpat, melempar tohmahan, membuat pakatan jahat, berpecah belah dan sebagainya.

2- Kelemahan jiwa:

Jiwa yang lemah akan mendorong seseorang mudah terikut dengan pemikiran yang negatif dan buruk terhadap orang lain.

3- Perasaan sombong dan bongkak:

Perasaan ini menyebabkan seseorang itu merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Ia merasa dengki kalau ada orang lain mendahului dalam mengecapi sesuatu kejayaan atau membuat sesuatu kebaikan atau pun mendengar orang memuji musuhnya dihadapannya.

4- Keburukan batinnya:

Seseorang yang biasa membuat tipu helah dan penipuan akan merasakan orang lain juga sama sepertinya.

Tiada penawar mahu pun yang berasaskan sainstifik atau tradisional yang mampu mengubati dan menyembuhkan penyakit buruk sangka ini. Namun para ulamak dan cendiakawan islam ada menyarankan beberapa cara . Antaranya:

1- Buruk sangka terhadap diri sendiri, tetapi jangan mencari kekurangan orang lain, tetapi bergaullah dengan orang yang diburuk sangka terhadapnya itu dengan lebih rapat dan berdoalah untuk kebaikkan baginya.

2- Bermuhasabah diri setiap hari, jadikanlah diri kita seorang yang dapat menguasai was-was, bukan orang yang dikuasai was-was.

3- Perbaikilah diri kita dan bersihkanlah ia dari sifat buruk, kerana disebalik buruk sangka akan mengundang sifat-sifat keji yang lain.

4- Ingatlah selalu, bahawa buruk sangka boleh merosakkan diri kita. Kita akan kehilangan rakan, kekasih dan saudara-mara. 

KITA tidak boleh mengawal hati orang lain. Apa yang hendak mereka kata dan fikir semuanya di luar jangkaan kita. Ilmu dan kehendak mereka yang akan melantunkan tindakan serta perangai. Jika baik hati mereka, baiklah cakap, layanan dan sangkaan mereka tetapi jika hati mereka kotor, maka tindakan akan menterjemahkan segala hitam yang bersarang di kotak hati itu. 

Kadangkala, kita sudah lakukan yang terbaik tetapi mereka kata kita main-main. Kita sudah berubah menjadi baik, mereka kata hendak menunjuk-nunjuk. Kita lakukan dengan ikhlas, mereka kata ada ‘udang di sebalik batu’. Rasanya kita sudah boleh agak apa perasaan jika berada dalam situasi begitu. 

Tentu marah bukan? Justeru, kita perlu banyakkan bersabar dan bertenang kerana yang mengukur baik dan buruk bukannya manusia. Yang memberi kehidupan bukannya mereka kerana manusia tidak ada kuasa. 

Hanya Allah s.w.t yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita. Dialah yang ukur kebaikan kita, memberi rezeki dan memberi kehidupan kepada kita. Allah yang Maha Kuasa jugalah yang melarang buruk sangka (suu’ zann). 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Jauhilah kamu daripada buruk sangka kerana buruk sangka ialah seburuk-buruk berita.” 

Manusia memang suka bersangka-sangka. Apa lagi sangkaan yang buruk. Hati, akal dan mata selalunya tidak seiring. Mata melihat, otak memproses manakala hati mentafsir. Jika hati yang berbaur dosa dan dengki mentafsir kecantikan seseorang, dia akan kata perempuan ini mesti pakai susuk. Jika ada yang berpakaian cantik dikatanya ini mesti hendak menunjuk-nunjuk. 

Tetapi jika pakai selekeh pula dikatanya ‘memang selekeh betul.’ Jika ada yang pakai barang kemas dikatanya ‘sengajalah tu hendak tunjuk kaya.’ Jika tidak ada apa-apa pada tangan dikata pula sebagai orang miskin. Demikian juga apabila bercakap banyak dikata hendak tunjuk pandai. Apabila diam tidak bercakap pula dikatanya sombong. Memang manusia punya hak untuk bersangka. 

Jika yang baik punya sangka empunya diri yang untung. Hati tenang, minda damai, jiwa harmonis, disenangi dan mudah dapat kawan. Jika sangkaan buruk, jiwa sendiri yang sengsara. Hati sakit saja. Banyak fikir mengenai orang, darah pun naik. Pendek kata, semua tidak kena. Sebab semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir, sedangkan diri sendiri tidak difikirkan. 

Tabiat sangka buruk terkena kepada semua golongan. Yang tua dengan cara dan kepakarannya manakala yang muda dengan kehangatannya. Jika kita hendak layan semua sangka buruk orang dan semua hati kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita. 

Lihat sejarah Luqman al-Hakim dengan anaknya menaiki seekor keldai. Dalam perjalanan orang kata: “Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian keldai tu.” Selepas itu. Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik dari bawah. Orang kata juga: “Ada ke patut bapa biarkan anaknya menarik dari bawah.” Tukar posisi pula, anak naik keldai manakala Luqman pula yang tarik dari bawah. Orang kata juga, "anak apa itu buat ayah dia macam hamba".

Justeru, cara terbaik ialah merawat penyakit buruk sangka ini. Di sini disarankan beberapa cadangan antaranya: 

1- Berbaik sangka dengan semua orang. Tafsirkan segala yang kita lihat dengan positif. 

2- Tanamkan rasa takut pada kemurkaan dan ancaman azab Allah dengan buruk sangka. 

3- Sucikan hati dengan memperbanyakkan zikir. 

4- Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. 

5- Melakukan muhasabah diri. 

Marilah kita fikir baik.. sangka positif. 

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment