MENCARI BAHAGIA
Alhamdulillah, syukur pada Mu Ya Allah.. kerana masih mengizinkan diri ini terus mengecap nikmatMu yang melimpah ruah, yang tak terhitung dan tak terbalas oleh hambaMu yang dhoif ini.. Moga Engkau sentiasa mengurniakan keampunan buat hambaMu ini...
KITA patut bertanya kepada diri kita sendiri, adakah kita ini di antara orang yang bahagia?
Mungkin ada di antara kita pada ketika ini memiliki harta yang melimpah ruah, tetapi tidak merasa bahagia. Ada pula yang memiliki kemasyhuran dan kedudukan yang tinggi, namun tidak pernah merasa bahagia. Ada juga di antara kita yang amat terhormat pada mata masyarakat dan menjadi tokoh terkemuka, tetapi itu pun tidak membuatnya bahagia. Ada juga yang cuba melancong ke luar negeri mengunjungi tempat-tempat yang indah tetapi nyata kebahagiaan itu tidak juga menggamitnya.
Kalau begitu, ternyata ukuran bahagia itu tidak terletak pada banyaknya harta, bukannya pada jawatan dan kedudukan, bukan juga pada ketokohan seseorang dan juga bukan dengan peluang melancong ke merata tempat. Lalu, di manakah kebahagiaan itu, dan bagaimana pula kita dapat mengecapinya ?
Sebenarnya, kebahagiaan adalah bila seseorang mampu melakukan sesuatu yang bermakna dan murni. Ia merupakan kekuatan batin yang memancarkan ketenangan dan kedamaian, merupakan kurniaan Allah s.w.t yang membuat jiwa lapang dan bergembira. Bahagia adalah kejernihan hati, kebersihan amal perbuatan dan keelokan ruhani. Hal itu merupakan kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada siapa saja yang melakukan perbuatan terpuji.
Bahagia adalah rasa redha yang mendalam dan sikap qana’ah. Ia bukan barang dagangan yang mampu dibeli di pasar walau sekaya mana pun kita, tetapi merupakan kurniaan Allah s.w.t yang dianugerahkan kepada jiwa-jiwa yang terpilih.
Kebahagiaan itu adalah kelapangan jiwa; bahagia itu tatkala anda mampu membuat orang lain senang hati, menguntumkan senyum di wajah, dan anda merasa gembira bila dapat berbuat baik kepada sesama manusia dan merasa nikmat ketika anda mampu bersikap baik kepada mereka.
Kebahagiaan adalah membuang jauh segala fikiran dan pandangan negatif dan mengisinya dengan fikiran dan pandangan yang positif. Ia merupakan sebuah kekuatan yang mampu menghadapi berbagai tekanan dan mampu memecah kebuntuan tanpa diperkuda emosi.
Kebahagian itu ada pada ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh, ada dalam meninggalkan kebencian, kedengkian dan sikap tamak terhadap apa yang dimiliki orang lain. Bahagia itu terdapat dalam zikir dan ingat kepada Allah s.w.t., syukur kepada-Nya dan memperelokkan ibadah kepada-Nya. Dan kebahagiaan hakiki adalah mendapat syurga dan terselamat dari api neraka.
Catatan-catatan ringkas tentang kebahagiaan:-
Orang yang berbahagia adalah orang yang mengambil pelajaran dari orang lain dan orang yang celaka adalah orang yang dijadikan pelajaran oleh orang lain.
Bahagia adalah jika anda senang untuk berbuat kebaikan, bukan dengan berbuat apa saja yang anda senang.
Orang bahagia adalah orang yang mengambil pelajaran dari masa lalu dan berhati-hati terhadap dirinya. Orang celaka adalah orang yang mengumpulkan harta untuk orang lain dan bakhil untuk memberikan kebaikan walaupun kepada dirinya sendiri.
Orang bahagia ialah yang mendapat pengajaran dari pengalaman lalu, bersemangat pada hari ini dan optimis tentang masa depan.
Kebahagiaan itu diperolehi dengan menjaga lisan.
Seseorang tidak akan mencapai kebahagiaan kecuali jika dia hidup merdeka, terbebas dari kongkongan syahwatnya serta mampu menahan hawa nafsunya.
Kesungguhan anda dalam mencintai ketaatan, hati yang selalu anda hadapkan ke hadirat Allah s.w.t , dan hadirnya hati ketika sedang beribadah adalah tanda kebahagiaan.
Kebahagiaan itu tidak boleh dibeli dengan harta walaupun ia sering dijual.
Petunjuk Kebahagiaan :-
Kebahagiaan memiliki tanda-tanda, sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah. Beliau menyebutkan tiga perkara iaitu:
Jika mendapat nikmat, dia bersyukur.
Jika mendapat ujian, dia bersabar.
Jika berbuat dosa, dia beristighfar.
Semoga kita bersama-sama mengecapi kebahagiaan yang hakiki... InsyaAllah...
No comments:
Post a Comment