BERSABARLAH KERANA SETIAP KESUSAHAN AKAN ADA KEMUDAHAN DAN KEJAYAAN
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan" (Surah Alam Nasyrah ayat 5)
Dalam ayat ini Allah mengungkapkan bahwa sesungguhnya di dalam setiap kesempitan di situ terdapat kelapangan dan di dalam setiap kekurangan untuk mencapai suatu keinginan di situ pula terdapat jalan keluar, jika seseorang dalam menuntut sesuatu tetap berpegang pada kesabaran dan tawakal kepada Tuhannya. Ini adalah sifat Nabi SAW. baik sebelum baginda diangkat menjadi Rasul maupun sesudahnya, ketika baginda terdesak menghadapi tantangan kaumnya.
Walaupun demikian, baginda tidak pernah gelisah dan tidak pula mengubah tujuan tetapi baginda bersabar menghadapi kejahatan kaumnya dan terus menjalankan dakwah sambil berserah diri dengan tawakal kepada Allah SWT dan mengharap pahala daripada-Nya.
Begitulah keadaan Nabi SAW. sejak permulaan dakwahnya. Pada akhirnya Allah memberikan kepadanya pendukung-pendukung yang mencintai baginda sepenuh hati dan bertekad untuk menjaga diri pribadi baginda dan agama yang dibawanya, dengan keyakinan bahawa tidaklah sempurna hidup mereka kecuali dengan menghancurkan dan meleburkan segala sendi kemusyrikan dan kekafiran. Lalu mereka bersedia menebus pahala dan nikmat yang disediakan di sisi Allah bagi orang-orang yang berjihad pada jalan-Nya dengan jiwa dan harta dan semua yang mereka miliki. Maka dengan demikian mereka telah sanggup menghancurkan kubu-kubu pertahanan raja-raja Persia dan Romawi.
Ayat tersebut seakan-akan menyatakan bahawa bila keadaan telah terlalu genting maka dengan sendirinya kita ingin keluar dengan selamat dari kegentingan tersebut dengan melalui segala jalan yang dapat ditempuh, sambil bertawakal kepada Allah. maka dengan demikian tercapai kemenangan biar bagaimanapun hebatnya rintangan dan percubaan yang dihadapi.
Dengan ini pula Allah memberitahukan kepada Nabi Nya bahawa keadaannya akan berubah, dari miskin menjadi kaya, dari tidak mempunyai teman sampai mempunyai saudara yang banyak dan dari kebencian kaumnya kepada kecintaan yang tidak ada taranya.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan." (Surah Alam Nasyrah ayat 6)
Ayat ini adalah ulangan ayat sebelumnya untuk menguatkan maksud yang terkandung dalam ayat yang terdahulu; yakni bila kesusahan itu dihadapi dengan tekad yang sungguh-sungguh dan berusaha dengan sekuat tenaga dan fikiran untuk melepaskan diri daripadanya, tekun dan sabar serta tidak mengeluh atas kelambatan datangnya kemudahan, pasti kemudahan itu akan tiba.
Hasan al-Bashri r.a menegaskan bahawa kedua-dua ayat ini (ayat 5 dan 6) diturunkan berkenaan dengan kaum musyrik yang seringkali menghina kefakiran dan kemiskinan kaum muslimin. (Hadis Riwayat Ibnu Jarir)
Jika kita membaca ayat di atas, mengapa kita perlu merasa takut. Sebab jika kita mengalami kesusahan, insya Allah pasti akan datang pula kemudahan . Ayat ini sungguh memberikan inspirasi untuk kita yang sedang mengalami kesusahan atau dugaan, ayat yang memberikan dorongan kepada kita untuk tetap bertahan, tetap bersemangat dalam menghadapi hidup yang penuh kesusahan dan pancaroba.
Kemudahan, atau pertolongan Allah SWT, akan datang. Tenanglah! Seperti tenangnya Nabi Musa as. ketika tentera Firaun sudah menghampiri mereka , seperti diceritakan dengan indah dalam Al Quran yang maksudnya : "Lalu (Firaun dan bala tenteranya) dapat menyusul mereka pada waktu matahari terbit. Maka ketika kedua golongan itu saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa : 'Kita benar-benar akan tersusul'. Dia (Musa) menjawab, 'Sekali-kali tidak akan (tersusul) sesungguhnya Tuhanku bersamaku. Dia akan memberi petunjuk kepadaku'." (Surah Asy-Syuara' ayat 60-62)
Jika kita mengikut contoh Nabi Musa as., kita juga boleh mengatakan “Sesungguhnya Allah bersamaku, Dia akan memberikan petunjuk kepadaku”
Ketika kita ditimpa musibah atau menghadapi masalah hidup yang sukar seolah-olah tidak akan boleh di hadapi atau selesaikan, maka janganlah bersedih dan berputus asa, serahkanlah kepada Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Pasti setiap kesusahan itu akan ada kemudahan, pertolongan Allah SWT akan datang apabila hati mukmin yakin akan janji-janji Allah SWT, bahawa Dia tidak akan sia-siakan doa dan permohonan para hamba-Nya.
Tunggulah pertolongan tersebut, kerana ianya sudah dijamin oleh Allah SWT dalam Al- Quran .Tentu saja sambil mengharap pertolongan Allah SWT, kita perlu banyakkan sabar dan solat kerana dengan sabar dan solat akan memberi ketenangan di dalam jiwa, perasaan dan fikiran.
Allah SWT berfirman maksudnya : "Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.'' (Surah al-Baqarah ayat 153)
"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.'' (Surah al-Baqarah ayat 155)
Berdasarkan ayat-ayat di atas Allah SWT menyeru kepada orang-orang beriman supaya menjadikan sabar dan solat itu sebagai penolongnya. Para ahli tafsir menyatakan bahawa suruhan ini adalah wajib kerana berbentuk suruhan kepada orang-orang mukmin. Jika orang mukmin meninggalkan sifat sabar dan meninggalkan solat maka ianya berdosa.
Hari esok adalah dalam ilmu Allah SWT, kita tidak tahu apa yang akan terjadi esok, boleh sahaja esok datangnya kemudahan tersebut. Jadi selalulah hati dan jiwa kita meletakkan pengharapan mutlak kepada Allah SWT.
Kadangkala kesusahan yang kita alami ini ada sesuatu perkara baru yang ingin dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita yang mana perkara itu lebih baik daripada apa yang kita terima sebelumnya. Mungkin jika tidak digantikan dengan yang baru akan lebih mendatangkan mudarat kepada diri kita.
Mungkin ada dikalangan kita yang terpaksa berpisah sebagai suami isteri kerana tidak sehaluan dalam hidup atau krisis rumah tangga yang memuncak, kerana salah seorang pasangannya sudah tidak memiliki akhlak Islam, jika diteruskan akan mendatangkan musibah yang lebih besar, maka jalan terbaik adalah berpisah dengan cara hormat. Mungkin disini ada banyak hikmah yang akan dikurniakan oleh Allah SWT kepada pihak yang istiqamah dengan Islam.
Begitu juga dengan rezeki, mungkin kita diuji dengan kerugian dalam perniagaan atau di berhentikan kerja atau rezeki yang ada tidak cukup untuk menampung keperluan hidup yang semakin mendesak. Ketika berada di dalam keadaan kritikal seperti ini, jangan mudah putus asa dan menyalahkan takdir, kerana setiap kesusahan itu pasti ada kemudahan dan kebahagiaan. Teruskan berusaha, berdoa dan bertawakal maka disitu nantinya akan ada nur Ilahi , ketenangan dan jalan penyelesaian yang akan menunjukkan jalan yang lurus dan kebahagiaan yang abadi.
Allah sudah menyiapkan rezeki bagi kita, jadi meskipun semasa kita susah, sebenarnya sudah Allah SWT siapkan untuk kita. Kemudahan akan kita dapatkan setelah kesulitan ini.
Firman Allah SWT maksudnya : "Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezkinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Loh mahfuz)." (Surah Huud ayat 6).
Daripada tenggelam dengan kesedihan akibat kesusahan dan kesulitan, mengapa kita tidak berusaha mengambil hikmah dengan cara berprasangka baik kepada Allah SWT. Mungkin dengan datangnya kesusahan kepada kita akan memberi banyak kebaikan :
1. Memiliki hati yang lebih kuat, sebab kesusahan menguatkan hati kita.
2. Sadar dengan segala kekurangan dan kesalahan sehingga kita bertaubat dan dosa kita diampuni.
3. Bebas dari rasa ‘ujub, kesusahan adalah boleh mendidik kita supaya merendahkan diri.
4. Tidak lalai, sudah nyata kesusahan ada dihadapan kita.
5. Lebih banyak mengingat Allah SWT.
6. Lebih benyak bersabar dan mengerjakan solat, kerana mungkin sahaja dengan kesusahan ini akan melatih kita untuk lebih bersifat sabar.
Alhamdulillah...terima kasih di atas penulisan yang amat bermakna dalam hidup saya. semoga ALLAH SWT merahmati saudara dan saudara2 Islam yang lain.
ReplyDeleteAllahhuakhbar....