Saturday, 28 January 2012

^ BERSABAR..... DENGAN UJIAN ALLAH ^


BERSABAR..... DENGAN UJIAN ALLAH

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Hidup kita di dunia yang sementara ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Anggaplah pengalaman lama sebagai iktibar dan kita harus bersyukur kerana kita masih hidup dalam keadaan beriman. Kita diberikan Allah kesihatan tubuh badan dan memiliki rezeki yang tidak putus-putus. Masih mampu berfikir dan masih mampu melaksanakan kewajipan kita kepada Allah s.w.t. Maka tanda kita bersyukur dan meredhai Allah s.w.t maka kita perlulah baik sangka dengan Allah dan menganggap qadha' dan qadar yang telah berlaku itu yang paling baik Allah tetapkan untuk kita. Dengan keyakinan ini akan hilang perasaan kecewa, putus asa, forbia, truma, takut, bimbang, risau, gelisah dan ragu-ragu. 

Hati orang Mukmin tidak pernah takut apa yang akan ditetapkan Allah s.w.t. untuk masa depannya. Kekasih kita yang Maha Berkuasa akan beri dan pilih sesuatu yang baik dan Dia akan menambahkan lagi rezeki dan akan sentiasa menjaga kita dari bala dan bencana dan sentiasa mendorong kita melakukan kebaikan dan amal-amal soleh. 

Sekiranya kita diuji dengan penyakit maka bersabarlah ini semuanya ada hikmah yang baik untuk kita sedangkan kita tidak mengetahui hikmah Allah berikan penyakit itu pada diri kita. Ianya mungkin kafarah atau penghapusan dosa-dosa kita yang pernah kita lakukan kepada Allah s.w.t. 

Kifarah adalah balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh seorang hambanya, juga ujian-ujian Allah itu boleh berlaku, yang mungkin melibatkan kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda ataupun penyakit, tidak kira sama ada penyakit tersebut berlaku dalam tempoh masa yang lama ataupun sekejap bergantung kepada ketentuan (qadha’) Ilahi atau buat selama-lamanya sehingga mati. 

Selagi ketentuan (qadha’) bagi sakit itu belum menepati qadha’ Allah, maka sakit (kifarah) tadi tidak akan sembuh biarpun pelbagai usaha dilakukan oleh manusia jelas disini membuktikan bahawa ada di antara penyakit itu akan sembuh dengan sendiri biarpun tanpa usaha manusia untuk mendapatkan kesembuhan ataupun tidak akan sembuh biarpun banyak usaha untuk menyembuhkannya telah dilakukan. 

Sesungguhnya, apabila Allah s.w.t. itu mengaishi seseorang hamba Ia akan mengujinya. Dan apabila Ia mengujinya, sama ada dengan menurunkan penyakit dan sebagainya, Allah akan memberikan kesabaran. Dalam menghadapi cubaan seperti ini, kesabaran adalah paling utama. 

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"  (Surah az-Zumar: 10). 

Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Allah tidak menurunkan penyakit melainkan pasti menurunkan ubatnya.”  (Hadis riwayat Al Bukhari) 

Selain ubat, do'a juga penting untuk cepat menyembuhkan penyakit. Berdo'a bererti memohon kepada Allah yang Maha Mengetahui penyakit yang kita deritai dan Dia yang Maha Berkuasa dapat menyembuhkannya. Bersungguh-sungguhlah berdoa kepada Allah. 

Firman Allah dalam al-Quran surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Aku, maka sesungguhnya Aku ini dekat. Aku mengabulkan permintaan orang yang berdoa, jika ia benar-benar memohon pada-Ku.” 

Allah s.w.t. menetapkan martabat seseorang pada maqam-maqam tertentu. Namun amalan-amalan yang dilakukan olehnya tidak membolehkannya mencapai martabat yang ditetapkan. Untuk membolehkan hamba berkenaan mencapai martabat tadi, Allah akan mengujinya, mungkin dengan menurunkan bala ke atasnya, seperti sakit, kemalangan jalan raya, kehilangan pancaindera dan sebagainya. Apabila diberi ujian maka Allah akan memberi kesabaran. Dengan ini hamba berkenaan akan mencapai martabat tersebut. Demikianlah kehendak Allah terhadap hambanya yang dikasihi. 

Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa." (Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah s.w.t. dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat." 

Tidak dinafikan bahawa setiap sesuatu itu berlaku, mempunyai sebab musabab,dan boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia, namun pada hakikatnya di sebalik fakta-fakta yang dapat diterima akal rasionalnya, qadha’ dan qadar Ilahi itu mengandungi rahsia-rahsia Ilahiyah yang tidak difahami oleh manusia. 

Marilah sama-sama bersyukur, bersabar dan bertawakkal kepada Allah. Hati dan jiwa orang Mukmin akan sentiasa tenang dan damai apabila Allah s.w.t menjadi rujukannya. Segala permohonan, permintaan dan rintihan hanya ditujukan kepada Allah. Apa yang berlaku pada dirinya atau pada keluarganya semuanya baik belaka kerana dia yakin Allah tidak akan meningalkan dirinya keseorangan. Hatinya sentiasa mengingati Allah dan lidahnya sentiasa berzikir memuji keagongan-Nya. Dia mengharap redha Allah samaada di dunia dan hari akhirat.

No comments:

Post a Comment