Thursday, 15 March 2012

^ SEUNTAI DOA BUAT DIRI INI ^


SEUNTAI DOA BUAT DIRI INI 

Bismillahirrahmanirrahim...

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Terima kasih Ya Allah untuk usia yang telah Engkau berikan, 
Terima kasih juga untuk setiap rezki yang Engkau kurniakan, 
Terima kasih untuk setiap cubaan yang Engkau turunkan, 
Terima kasih untuk bakat dan ilham yang Engkau anugerahkan, 
Sesungguhnya terlalu banyak yang telah Engkau berikan kepadaku... 
Dan terlalu sedikit pengabdianku terhadap-Mu,
Engkau tetap menerima walau terkadang aku alpa. 

Aku lupa.. aku tersilap, 
Dan khilaf menafsir makna setiap kurniaan dan dugaan, 
Namun begitu besar kasih-Mu, 
Engkau tetap melindungi aku, 
Walaupun terkadang aku kalut merungut, 
Ketika saat-saat lemahku datang, 
Aku tidak pernah menafikan hak-Mu sebagai Khaliq, 
Walaupun terkadang aku terbuai, 
Dengan kesedihan dan kesakitan yang amat pedih.

Ampunkan aku Ya Allah, 
Apabila aku merintih nasibku di hadapan-Mu, 
Kalau bukan kepada-Mu, 
Kepada siapa lagi harus ku mengadu? 
Aku tidak pernah menyesali kewujudanku ini Ya Allah, 
Namun aku hanyalah hamba-Mu yg dhaif dan lemah, 
Adakalanya aku kurang kesabaran, 
Ada masanya aku goyah keimanan, 
Ada masanya aku hampir terikut bisikan syaitan, 
Namun dengan limpahan kasih sayang-Mu, 
Engkau menarikku kembali jauh daripada kesesatan.

Dalam usia begini, 
Aku ingin menjadi lebih dekat pada-Mu Ya Rahman. 
Dalam usia yang makin jauh ini, 
Aku ingin lebih merindui-Mu Ya Rahiim. 
Dalam usia meniti senja ini, 
Aku ingin lagi menyambut panggilan Kaabah-Mu Ya Al Malik, 
Dalam usia ubanan ini, 
Yang ku inginkan hanyalah ketenangan, 
Kekusyukan beribadah, 
Segala kesederhanaan, 
Dan kerendahan hati tanpa berhenti menghulur kasih pada yang sudi.

Ya Muhaimin, 
Pimpinlah tangan hamba-Mu ini, 
Pimpinlah hati hamba-Mu ini, 
Pimpinlah langkah hamba-Mu ini, 
Akan sentiasa berpijak di atas jalan kebenaran. 

Ya Al Quddus, 
Sebagai hambaMu yang hina dina, 
Aku takkan mungkin mencapai sempurna, 
Tapi kasihanilah aku, 
Bimbinglah aku sentiasa agar aku mampu meniti, 
Titian siratulmustakimMu dengan tenang dan mudah tanpa cela. 

Ya Allah, 
Aku juga ingin memohon kepada-Mu 
Agar Kau kurniakanlah aku kekuatan, 
Untuk menempuhi hari-hari yang mendatang, 
Aku tak mengharap agar kau kurangkan beban ujianku, 
Kerana aku tahu, 
Kau takkan menguji hambamu di luar batasan kemampuannya, 
Jadi aku hanya memohon agar ditetapkan iman di jalan-Mu. 

Ya Rabbi, 
Sesungguhnya kau maha mengetahui, 
Apa yang terbaik untuk diri ini,. 
Andai hidup adalah yang terabaik buatku, 
Kau peliharalah diri ini agar sentiasa dalam redha dan maghfirah-Mu, 
Dan andai mati adalah yang terbaik buatku, 
Kau matikanlah diri ini dalam kalimah 
LAILAHAILLALLAHUMUHAMMADARRASULULLAH.. 

Amin ya rabbal’alamin.... ~

No comments:

Post a Comment