SEMUANYA HANYA MAMPU DIJAWAB OLEH DIRI ANDA SENDIRI.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Ekoran isu artis berkemban, Fasha Sanda berbikini, nama artis wanita seperti Lisa Surihani dan lain-lain menduduki tempat pertama dalam carian google Malaysia, saya merasa terpanggil untuk menulis buat semua gadis yang dikasihi kerana Allah semata-mata.
Sepanjang menjadi pengguna internet dan selepas membuka akaun Facebook, antara perkara ketara yang dapat dilihat ialah perlumbaan dari para gadis dan wanita menonjolkan kecantikan masing-masing kepada umum.
Jika yang bertudung tetapi berwajah jelita, maka wajahnya itulah yang menjadi taruhan. Entah kepada siapa mahu dihidangkan kejelitaan masing-masing itu dan kepada siapa sebenarnya senyuman dilemparkan… ??? Biarlah persoalan ini dijawab sendiri oleh empunya diri.
Jika yang kurang jelita, zaman sekarang banyak alat make upnya dan foto juga boleh diedit untuk kelihatan cantik. Wajah berjerawat tampak licin dalam gambar. Jeragat dan parut jerawat boleh disembunyikan. Yang gelap nampak putih melepak. Bab-bab make up ini, bukan lagi menjadi tabiat para wanita, bahkan para jejaka juga tidak ketinggalan bermake up untuk kelihatan menarik semasa bergambar. Akhirnya semuanya tampak serba sempurna. Foto-foto yang sudah mengalami pengubah suaian inilah yang diup-load ke dalam akaun-akaun Facebook.
Itu belum diambil kira soal gaya semasa bergambar. Perhatian siapa yang diraih sebenarnya? Hanya empunya diri yang lebih mengetahui jawapannya.
Hari ini, melalui medium internet, para gadis dan wanita menjadi bertambah murah. Jika dahulu, bukan main susah para jejaka yang meminati seseorang mahu mendapatkan walau sekeping foto gadis tersebut, hari ini, klik mouse dan copy paste sahaja… sudah selesai. Selepas itu bolehlah dibesarkan kepada saiz berapa pun dan print sahaja…siap!
Selepas itu, bergantunglah kepada tahap keimanan masing-masing… mahu simpan di dalam dompet, tampal dalam almari, ‘hadiah’ kepada bomoh, edit semula dan gabungkan dengan tubuh bogel orang lain kemudian disebarkan kepada umum dan pelbagai ragam lagi.
Memang begitukah sifat dan fitrah wanita? Suka dirinya menjadi bahan tatapan ramai lelaki dan dirinya dipergunakan dengan sewenang-wenangnya??? Jawablah sendiri… kerana anda lebih mengenali diri sendiri.
Berada di dunia yang menghampiri kiamat yang mana jumlah lelaki fasik lebih ramai dari lelaki beriman ini, sikap murahan ramai gadis-gadis hari ini lebih mengundang penyakit kepada diri sendiri. Penyakit itu bukan sekadar menimpa individu, bahkan menjadi virus kepada masalah sosial masyarakat dan negara.
Kesan sikap suka menonjol tidak bertempat ini juga mengakibatkan tempias fitnahnya mengenai hati-hati lelaki yang mahu menjaga imannya. Contoh menonjol yang bertempat ialah sebagaimana watak Anna Althafunnisa’ dalam novel Ketika Cinta Bertasbih. Bukan itu sahaja, melihat usikan-usikan kepada isteri-isteri orang yang berwajah jelita di akaun Facebook juga adalah satu perkara biasa. Di balas mesra pula oleh empunya diri. Entahlah, belum cukup lagikah perhatian suami yang sah anugerah Allah itu?
Mungkin juga silap suami, kedekut pujian kepada isteri sendiri… akhirnya isteri merasa suka dipuji oleh lelaki lain.
Memang ‘confirm’… dan 2 x 5… dalam ramainya gadis dan wanita bertambah murah… lelaki pula ramai bertambah dayus. Membiarkan aurat anak gadis, adik beradik perempuan dan isteri terdedah secara percuma kepada lelaki ajnabi. Biar pun lelaki itu tunggang terbalik menghabiskan masanya di masjid, atau hafal 30 juzuk al-Quran, atau janggut panjang hingga ke lutut, atau sijil agamanya berjela-jela sampai master atau PhD… namun tiada ertinya semua itu jika tidak mampu bertegas dengan ahli keluarga. Yang mana dibimbangi ahli keluarga perempuan yang tidak diajak sama menyintai Allah dan RasulNya itu akan lebih kuat tarikannya menuju ke neraka… na’uzubillah. Jika itu menjadi pilihan hati… apa yang boleh diperkatakan lagi…
Nasib baiklah para Ummahatul Mukminin dan para tokoh mukminah solehah tidak mempunyai walau sekeping gambar untuk dilihat generasi selepasnya. Maka sejarah mereka hanya diperkatakan tentang mantapnya aqidah mereka, mulianya akhlak mereka, hebatnya ibadah mereka dan sumbangan mereka terhadap Deenul Islam. Walaupun sebahagian mereka disifatkan sebagai jelita, namun tiada gambaran fizikal diberikan; hidung mancung bak seludang, pipi bagai pauh dilayang, bibir bak delima merkah dan sebagainya lagi… sama sekali tidak ada!!!
Wajah-wajah mereka juga selamat dari teknik ‘super impose’ dan pelbagai lagi unsur khianat yang mungkin boleh dilakukan oleh para musuh Islam. Ia bukan objektif wanita dijadikan… untuk dipuja kecantikan lahiriah semata… Sebaliknya untuk menjadi pasangan yang halal kepada lelaki, memberikan ketenangan di dalam rumahtangga serta melahirkan zuriat yang soleh.
Apabila para gadis atau wanita kembali memenuhi peranan mereka sesuai dengan objektif mereka dicipta, jadilah harga diri mereka mahal bahkan lebih mahal lagi dari nilai bidadari syurga.
Saya bukan mahu membahaskan hukum boleh bergambar atau tidak di sini. Jika ia foto yang tidak menutup aurat, sudah jelaslah hukumnya jika dipaparkan kepada umum. Bukan juga mahu membicarakan harus atau tidak memaparkan foto masing-masing di khalayak ramai. Jika foto mendedah aurat dan pose menggoda, maka jelaslah haramnya.
Persoalan yang perlu dijawab kepada diri sendiri ialah sejauh mana keperluan berbuat demikian? Apakah manfaatnya lebih besar atau mudaratnya mengatasi manfaatnya?
Bukan itu sahaja, paling penting sejauh mana ia mampu membersihkan hati dari mazmumah dan memenuhi hati dengan mahmudah? Kerana hati inilah yang akan dibawa menemui Allah SWT. Apakah jiwa merasa tenang semasa melakukannya atau merasa tidak sedap hati atau merasa was-was, betul atau tidak cara dan tujuannya?
Semuanya hanya mampu dijawab oleh diri anda sendiri... ~
No comments:
Post a Comment