Saturday, 24 December 2011

^ TREND BERMEGAH-MEGAH DENGAN KECANTIKAN DI KALANGAN MUSLIMAH ^

Tudung baru ditempah disarungkan ke kepala. Badan dipakaikan dengan set baju kurung corak istimewa yang dibeli dari butik Muslimah tersohor. Muka disolek dengan 'make-up” yang tebal dan warna gincu yang menggoda. Beberapa 'pose' yang comel dan menawan diberikan kepada si pengambil photo. Akhirnya, sebuah imej Muslimah yang ayu dan anggun siap sedia diabadikan dalam bentuk gambar. Tidak puas untuk sekadar tatapan sendiri, gambar yang cantik berbusana itu dimuat-naik ke laman sosial dan blog sendiri agar dapat dilihat oleh rakan-rakan dan pelawat-pelawat. Pujian dan komen yang indah dari pelawat lantas membuatkan diri bangga di atas kecantikan yang dimilikinya. 


Semakin ghairah golongan Muslimah mempertontonkan kecantikan mereka, maka semakin hilanglah hikmah dan pesona kebaikan di sebalik tujuan sebenar menutup aurat ( Hijab ) yang sebenarnya sebagaimana yang diwar-warkan oleh Islam. 

Situasi bermegah-megah dengan kecantikan ini ditambah lagi dengan kemunculan kerjaya dan hobi yang berasaskan elemen kecantikan, dandanan dan paparan wajah yang dijalankan secara full-time ataupart-time, seperti model busana muslimah, jurumekap dan jurugambar ( photographer). Permintaan dari pasangan raja sehari untuk mengabadikan momen bersejarah dengan pelbagai aksi dan sisi juga tidak kurang hebatnya terutama ketika musim cuti sekolah di mana banyak majlis resepsi dan perkahwinan diadakan. Tidak mengapa andai ia sekadar untuk simpanan peribadi dan tatapan kaum keluarga semata-mata, akan tetapi bila ianya dikongsi untuk tatapan umum di laman maya, maka sudah pasti ada keburukan tanpa sedar tercipta darinya. 

Gambar Sekadar Hiasan

Perlu wanita-wanita Islam sedari bahawa Hijab itu adalah lambang kemuliaan. Ia bertindak sebagai benteng yang kukuh untuk menjauhkan seorang gadis dari maksiat, gangguan lelaki jahat dan seterusnya meninggikan darjat kemuliaannya di tengah-tengah masyarakat. Inilah yang membezakan darjat kemuliaan antara muslimat mukminat dan wanita-wanita JAHILiah kerana wanita JAHILiah, tatkala mereka keluar dari rumah, mereka ingin tampil berbeza dan lebih cantik dari wanita yang lain. Mengejar pujian dan sanjungan adalah matlamat utama terutama dari lelaki-lelaki yang tertarik dengan kejelitaan dan keindahan mereka. 

Gambar Sekadar Hiasan

Hijab itu adalah pesona kesucian hati. Peranan ini diiktiraf sendiri oleh ALLAH SWT kerana dengan ‘hijab’ yang benar, ia mampu melindungi pemakainya dari dilihat oleh lelaki secara tidak wajar seterusnya meleburkan keinginan-keinginan syahwat yang mungkin timbul dari pandangan mata tersebut. Dengan ini, mata yang ter’hijab’ dapat menjamin kesucian hati pemiliknya dan orang-orang yang berurusan bersama mereka. 

Tujuan memakai busana Muslimah (tudung, baju kurung, jubah) sudah lari dari tujuan asalnya. Tidak percaya ? Lihat sendiri di tempat kerja, majlis keraian dan kenduri kahwin. 

Gambar Sekadar Hiasan

Hari ini, kita dapat menyaksikan pelambakan fesyen baru tudung dan pakaian Muslimah serta kewujudan butik-butik Muslimah moden tumbuh pesat bagaikan cendawan. Adakah fenomena ini benar-benar berasaskan matlamat memelihara aurat dan melahirkan seorang Muslimah yang memiliki sifat malu, rendah diri dan penuh kesederhanaan ? ATAUPUN fenomena fesyen Muslimah sekarang ini lebih bersifat trend untuk kelihatan mempersona dan bergaya di hadapan masyarakat yang lebih berpaksikan amalan ingin menunjuk-nunjuk kecantikan ?

1 comment:

  1. Zaman skrg tiada lagi makna berhijap bagi kaum wanita..yg ada hanya semata2 mengejar tudung siapa lagi mahal..tudung siapa lagi berjenama dan up to date..dan lelaki2 miang semakin galak menganggu wanita bertudung skrg tiada lagi rasa hormat kpd wanita krn sikap wanita itu sendiri gemar menonjolkan mekap dan gaya tabaruj berlebihan..

    ReplyDelete