REDHA DENGAN KETENTUAN ALLAH SWT
Ketahuilah setiap sesuatu di dalam pemerhatian dan pengawasan Tuhanmu. Wahai diriku, ketahuilah bahawa semua perkara yang berlaku kepadamu berada di dalam pengetahuan Allah. Semuanya di dalam pemerhatian dan pengawasan-Nya. Sesungguhnya Allah mengetahui apa sahaja yang engkau alami. Dia amat mengetahui segala yang menimpa dirimu. Allah mengetahui penderitaan hamba-Nya. Engkau ditimpa susah dan sakit. Engkau menderita dan engkau sabar di dalam menanggung penderitaanmu itu. Kesabaranmu itu tidaklah sia-sia kerana ianya dinilai tinggi oleh Tuhanmu.
Sebenarnya seluruh manusia tidak akan mampu untuk menolongmu, malah dirimu sendiri pun tidak akan berupaya untuk menolongmu kecuali apa yang diizinkan oleh Allah sahaja. Hanya kepada Tuhanmu sajalah tempat untuk engkau mengadu dan memohon. Redhalah dengan ketentuan-Nya.
Sedarilah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang engkau alami dan engkau sentiasa berada di dalam pengawasan-Nya dan sesungguhnya engkau berada di sini hanyalah untuk diuji.
Hendaklah engkau redha bahawa Allah adalah Tuhanmu dan redha juga dengan segala ketentuan-Nya. Wahai diriku, ketahuilah bahawa segala sesuatu itu berlaku dengan Iradat Allah. Tidak ada satu perkara pun yang akan berlaku jika bukan dengan kehendak Allah. Tidak ada sesuatu yang bergerak dan tidak ada yang diam melainkan semuanya dengan kehendak Allah jua. Tidak ada sesuatu yang berlaku pada dirimu di luar pengetahuan Allah. Tidak ada satu pun yang berlaku pada dirimu itu berlaku dengan sendirinya, itu adalah kehendak Tuhanmu.
Sesiapa pun tidak akan mampu untuk menolak kehendak Allah. Semua perkara berlaku dengan Kudrat dan Iradat Ilahi. Terimalah dengan hati terbuka, berusahalah dan teruslah bertawakkal kepada-Nya. Redhalah dengan ketentuan Tuhan. Ketahui jugalah, Tuhan yang menimpakan ujian yang kau rasakan berat kepadamu itu adalah Tuhan yang sama yang memberi kemewahan dan rezeki kepada musuhmu, yang pada pandanganmu seorang yang ingkar. Adakah engkau redha dengan ketentuan-Nya?
Pada pandangan Allah, dunia dan segala isinya ini tidaklah lebih berharga berbanding sehelai sayap nyamuk. Ketahuilah, pemberian kemewahan dunia kepada hamba-Nya itu bukanlah bermakna keredhaan dari Allah. Sedarilah, hanya Allah Tuhan yang esa, tidak ada Tuhan selain-Nya. Oleh itu redhalah Dia sebagai Tuhanmu. Sebagaimana engkau rela menerima Allah sebagai Tuhanmu maka redhalah di dalam menerima ketentuan-Nya.
‘Tidak ada daya dan upaya pada seluruh makhluk melainkan dengan izin dari Allah jua’. Wahai diriku, ketahuilah tidak ada yang akan terlepas dari kehendak Allah dan tidak ada yang dapat menahan ketentuan-Nya.
Engkau harus berusaha dengan segala upayamu. Setelah itu bertawakkal dan berserahlah kepada-Nya dengan kesabaran. Ketahuilah, engkau hanyalah seorang yang lemah tidak berupaya kecuali dengan izin dari Tuhanmu, engkau hanyalah seorang hamba Allah. Segala apa yang ditakdirkan Allah pasti berlaku. Segalanya dari Allah S.W.T.
SELAMAT BERJUANG MELAMAR REDHA-NYA
Takkan kau pernah rasa,
Manisnya kata-kata itu andai disaluti dusta,
Takkan kau rasa indahnya,
Ukhwah itu andai ada khianat,
Kerana segalanya…
Dari hati yang ikhlas kerana-NYA
Mengapa perlu dibelakang??
Jika kau mampu disisi..
Ayuh..!!! Bersama melangkah !!
Andai ku rebah,
Jangan kau hirau,
Kerana akan ku berusaha sehabis daya,
Untuk bangkit kembali.. bidznillah
Jangan kau hirau dan khuatir,
Jika kau tiada tempat bersandar!!
Sandarkanlah hati dan dirimu pada-NYA!!
Pasti kau bahagia di sini dan di sana,
Dan pasti kau mampu tersenyum walau duka…
No comments:
Post a Comment