Monday 2 July 2012

^ BUAT DOSA KERANA DOSA ^


BUAT DOSA KERANA DOSA 

Dosa yang kita lakukan saban hari boleh menjadi penghijab kepada Rahmat dan kasih sayang Allah, baik kecil mahupun besar. Dosa kecil jika diremehkan boleh menjadi besar dan dosa besar boleh terhapus dengan taubat nasuha. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada hamba-Nya. 

Tanpa kita sedari, banyaknya dosa yang kita lakukan sehari-hari telah menjadi penyebab kepada sempitnya jiwa dan tumpulnya akal. Kita berusaha sedaya upaya mencari seribu satu cara menajamkan akal dan menenangkan jiwa, namun kita mungkin buntu jika kita terus menerus berada dalam kemaksiatan kepada Allah. Akhirnya, kita bakal menyedari bahawa sebanyak mana kebaikan yang kita buat, kita masih tidak akan tenang selagi dosa dan maksiat tidak kita tinggalkan. 

Rasulullah SAW telah mengisyaratkan tentang perkara ini dalam sebuah hadith: Dari Nawas bin Saman RA. Rasululllah SAW bersabda: “Kebajikan itu adalah budi pekerti yang baik, dan dosa itu adalah segala sesuatu yang menggelisahkan perasaanmu dan yang engkau tidak suka bila dilihat orang lain.” (HR Muslim) 

JANGAN CAMPURKAN HAK DAN BATIL 

Makanlah sebanyak mana madu sebagai penawar, kita tidak mungkin sembuh selagi racun ditelan jua. Itulah ibarat kebaikan dan dosa yang dilakukan serentak. Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” 
[Surah Al-Baqarah :42] 

Satu ayat yang ringkas tetapi mengena buat jiwa-jiwa yang tulus dan sensitif. Hitam dan putih tidak mungkin sama. Apabila ia bercampur, tidak mungkin putih akan kekal suci, bahkan hitam jua mendominasi. 

Begitu juga jiwa, apabila kejahatan dan kebaikan dilakukan serentak, nafsu manusia itu lebih cenderung untuk memenangkan kejahatan. Oleh itu, kita perlu menyucikan jiwa daripada percampuran dua elemen berbeza ini. Jangan sampai kita dilihat orang seperti buah macang yang luarnya nampak menarik dan elok namun dalamnya penuh ulat dan tidak mungkin ditelan. 

Inti daripada ayat di atas adalah kita harus menyucikan segala perkara yang hak daripada kebatilan dengan tidak mencampuradukkannya sedikit pun. Kita harus mengisi jiwa dengan perkara kebajikan dengan tidak mencampuradukkan dengan kebatilan dan kemaksiatan. 

BUAT DOSA KERANA DOSA

Ada orang yang terus menerus melakukan dosa dan kemaksiatan dengan alasan kerana sebelumnya dia pernah melakukan dosa tersebut. Ibarat seorang pembunuh. Pertama kali dia melakukan pembunuhan, dia akan rasa bersalah. Namun, disebabkan pembunuhan pertama yang dilakukannya, dia terus lagi membunuh dan membunuh. Akhirnya dia buntu lantas berkata dengan keluhan “Aku tak mungkin keluar daripada jalan ini…” 

Tidak! Bahkan Allah itu Maha Besar Rahmat-Nya dan Maha Luas Ampunan-Nya. Lupakah kita akan sebuah hadith yang menceritakan kisah seorang pembunuh yang telah membunuh 99 orang dan dilengkapkan dengan 100 orang? 

Dalam perjalanannya untuk mencari ampunan Allah, dia mati lantas dia masih diampunkan oleh-Nya. Allahuakbar! Bagaimana kita begitu angkuh dengan Allah? 

Tatkala Allah menyediakan ruang untuk bertaubat, apakah pantas kita berputus asa dengan Rahmat Allah dan menolak tawaran ampunan Allah? 

Mungkin kita nampak seperti orang lemah yang tidak semangat lagi untuk hidup tetapi sebenarnya kita angkuh dengan Rahmat Allah! 

Terlalu besarkah kita untuk memutuskan bahawa kita itu selayaknya di neraka sedangkan Allah menjanjikan syurga bagi orang yang bertaubat? 

Adakah kita itu ‘Tuhan’ sehingga boleh menentukan bahawa sesuatu perbuatan itu tidak mungkin diampunkan sedangkan Allah menanti panggilan kita? 

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.” 
[Surah Al-Baqarah : 186] 

Dari Anas bin Malik RA berkata: Aku mendegar Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman, "Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku akan Aku ampuni apa yang telah kamu lakukan, Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepada-Ku akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada-Ku membawa kesalahan sebesar dunia kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” (HR Tirmidzi, Hasan Sahih) 

Ayat al-Quran dan Hadith di atas cukup bermakna jika kita cuba mengerti dan memahami. Subhanallah… 

TAUBAT MEMBUKA LEMBARAN BARU 

Ayuhlah kita bertaubat. Baik besar mahupun kecil dosa yang kita lakukan, impaknya dalam kehidupan sangat besar dan berbahaya. Jangan pula kita kerap kali mengulangi dosa dan berangan-angan bahawa Allah itu Maha Pengampun seolah-olah mempermainkan perkara ini. 

Ingatlah bahawa Allah mengetahui apa sahaja yang tersembunyi di dalam hati manusia. Kadang-kadang banyak dosa kecil yang kita lakukan tanpa kita sedari. Jadi, perbaharuilah taubat sentiasa agar kita bertemu dengan-Nya nanti dalam keadaan dosa kita terampun. Bahkan secara spiritualnya, taubat dapat mengembalikan ruh yang bertenaga dan bersemangat terutama bagi para Da’i ilallah. 

Moga kemenangan Islam itu tidak terhijab dek banyaknya dosa dan maksiat yang dilakukan bahkan oleh para Da’i yang mengaku beriman. 

Wahai sahabat ku, bukan Allah tidak mahu mengampuni kita, namun kita yang terlalu bongkak untuk meminta dan mengabdikan diri kepada-Nya. Ayuhlah kita sedar dan kembali kepada-Nya dengan hati yang terbuka. Mudah-mudahan kita akan lebih tenang menghadapi hidup ini. 

No comments:

Post a Comment