Saturday, 16 July 2011

^ NISFU SYA'BAN - KEISTIMEWAAN BULAN SYA'BAN ^


Bulan Sya'ban mempunyai keistimewaan tersendiri dalam Islam sama seperti bulan lain yang turut mempunyai kelebihan sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu mereka yang suka beribadat sebagai salah satu jalan untuk mencari dan mendapat keredaan Allah.

Sya'ban adalah antara bulan paling dicintai Rasulullah SAW dan Baginda akan lebih banyak berpuasa pada bulan ini. Amalan Rasulullah SAW patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan ia juga latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan Ramadan.

Keistimewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan.

Antara amalan yang digalakkan pada bulan Sya'ban adalah memperbanyak puasa sunat, bertaubat dan beristiqhfar kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha.

Taubat nasuha akan berjaya dilakukan apabila kita menepati syaratnya. Jika dosa itu antara manusia dengan Tuhan, hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu, menyesali perbuatan maksiatnya serta berjanji untuk tidak akan mengulanginya.

Jika dosa itu berkaitan dengan hak orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan, memperbanyak zikir dan berdoa. Zikir ialah ucapan dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati membesar serta mengagungkan Allah.

Ini bersesuaian dengan janji Allah bahawa orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.

Selain itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan pada bulan Sya'ban sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bersembahyang sunat terutama pada waktu malam dan bersedekah.

Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada pada bulan Sya'ban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita.

Rasulullah SAW pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat pada bulan Sya'ban berbanding bulan lain? Baginda bersabda yang bermaksud: “Bulan itu (Sya'ban) yang berada antara Rejab dan Ramadan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadahku di angkat ketika aku berpuasa.” (Hadis riwayat an-Nasaie)

Sementara itu, kelebihan malam Nisfu Sya'ban disebut dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhluk-Nya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)

Malam Nisfu Sya'ban juga adalah antara malam yang dikabulkan doa. Memetik pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam hari raya Aidiladha, malam hari raya Aidilfitri, malam pertama pada bulan Rejab dan malam Nisfu Sya'ban.”

HADIS – HADIS YANG MENERANGKAN KELEBIHAN MALAM NISFU SYA’BAN

1.    Dari sayyidina Ali: Baginda Rasulullah SAW maksudnya: Apabila datang malam nisfu sya’ban maka beribadahlah di malamnya dan puasalah di siang harinya sesungguhnya Allah menurunkan rahmatNya dan para Malaikatnya pada malam itu dan berkata siapa yang minta rezeki ku beri, siapa meminta keselamatan aku pelihara, siapa yang hendak sesuatu maka akan ku kabulkan sampai terbit fajar.

2.  Dari Muaz bin jabal, Bersabda baginda RasulullahuSAW maksudnya: pada malam nisfu sya’ban menurunkan Allah akan RahmatNYA dan para malaikatnya maka mengampuni Allah akan Dosa-dosa hambanya.

   Di riwayatkan bahawa pemindahan semua perkara dari lauhil mahfuz pada malam nisfu sya’ban dan selesai pada malam lailatul Qadar Di serahkan urusan rezeki pada Malaikat Mikail urusan perang/gempa/bencana pada Malaikat Jibril , urusan amal pada Malaikat penghulu langit dunia dan urusan Musibah pada Malaikat maut.
  
3.      Daripada sayyidah Aisyah  berkata:
Malam nisfu sya’ban aku terbagun dan rasulullah tidak ada di sampingku maka aku cari dan ternyata baginda ada di pekuburan sambil memandang ke langit kemudian berkata sungguh Allah menurunkan rahmatNya dan MalaikatNya ke langit dunia pada malam nisfu sya’ban dan mengampuni dosa hambanya 

4.      Daripada Sayidah Aisyah berkata:
Rasulullah berdiri sembahyang dan kemudian sujud sangat lama sehingga aku menyangka beginda telah wafat. Was – was aku melihat sedemikian maka aku gerak-gerakan hujung kaki beliau maka bergeraklah.  Kemudian aku kembali ke rumah dan ketika beginda selesai dari sembahyang,  Baginda datang dan berkata: ” tahukah kamu malam apakah ini?
                  Berkata Aisyah: Allah dan Rasulnya yang lebih tahu
Berkata Baginda : Malam ini adalah malam Nisfu sya’ban sesungguhnya Allah Memandang dan mengampuni Hamba-hambanya pada malam ini.
  
5.     Dari Naufal al bakali bahwasanya sayidina Ali keluar rumah pada malam nisfu sya’ban dan memandang kelangit sambil berkata keluar pada malam nisfu sya’ban nabiullah Daud alaihissalam dan memandang kelangit dan berkata Ya Allah sesungguhnya malam ini adalah malam mustajab do’a tidak berdo’a seseorang melainkan engkau kabulkan.

6.      Diriwayatkan dari Ka’ab al ahbar berkata:
Sesungguhnya Allah Mengutus malaikat Jibril pada malam nisfu sya’ban ke syurga dan memerintahkan  dihiaskan syurga.  Allah melepaskan dari api neraka pada malam ini hambanya sebanyak bilangan bintang di langit, sebilangan hari dan malam di dunia, sebilangan daun-daun pepohonan, seberat gunung-gunung dan sebilangan pasir-pasir.

7.      Pada malam Nisfu Sya’ban Allah menambahkan air Zam Zam.
  
FAEDAH AMALAN PADA NISFU SYA'BANisfu Sya’ban
Disunatkan menghidupkan dan menghidupkan malam Nisfu sya’ban dengan beribadah seperti sembahyang sunat tasbih, Baca Alquran, Berzikir, Selawat, dan Berdoa dengan niat:
1.         Panjang umur sihat wal’afiat dalam taat dan ibadah kepada Allah.
2.         Selamat dari pada musibah, bala, penyakit, wabak penyakit.
3.         Minta rezeki yang halal dan kaya hati dari sekalian makhluk dan mati dalam keadaan husnul khatimah baik kesudahan.
4.         Dan sekurang-kurangnya pada malam Nisfu Sya’ban beribadah dengan mengerjakan Solat Isyak berjamaah dan Solat Subuh berjamaah.

Kita boleh menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.

Kesimpulannya, amalan berterusan ini membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta menyambut kedatangan Ramadan dengan hati bersih dan jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup.

No comments:

Post a Comment