Fitrah manusia menyukai kecantikan dan inginkan kecantikan. Cantik itu adalah anugerah. Namun, percaya atau tidak, cantik itu juga sebenarnya merupakan satu ujian. Tetapi perlu diingat bahawa cantik itu adalah amat subjektif.
Barangkali ada yang memiliki wajah cerah dan licin tetapi tidak nampak seri, barangkali ada pula yang gelap dan biasa sahaja tetapi begitu manis dipandang.
CANTIK SEBAGAI ANUGERAH
1. Meningkatkan rasa syukur.
2. Keyakinan diri tinggi.
3. Sedap mata memandang.
4. Maintanance rendah (sepatutnya).
5. Apabila dikecapi apabila sebelumnya biasa-biasa.
Si cantik yang mempunyai wajah licin bersih, pastinya akan bersyukur kerana tidak perlu berat kepala memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah kulit sekaligus mengurangkan kos perawatan muka dan sebagainya. Begitu juga akan membolehkan si cantik yakin melangkah.
Dan paling boleh dianggap sebagai anugerah sekiranya mereka yang boleh dianggap biasa sahaja sebelum ini, kini dianugerahkan dengan rupa paras menarik. Pasti ramai yang mula tertarik.
CANTIK SEBAGAI UJIAN
1. Dijadikan bahan komersial.
2. Disayangi hanya kerana rupa.
3. Menimbulkan riak dalam hati.
4. Apabila nikmat cantik ditarik sekelip mata.
Si cantik biasanya menjadi pilihan untuk melariskan pelbagai produk di pasaran. Tidak kira bagi pengiklanan produk kecantikan, produk kesihatan hatta produk deodorant lelaki pun menggunakan si cantik sebagai pelaris, tidak semena-mena sahaja deodorant itu perlu diedarkan oleh si cantik sebelum sampai ke tangan si lelaki pemakainya.
Pakaian? Peluk cium usah kira, penambah saham dosa. Oh, tiada kerja!
Si cantik juga seringkali menjadi mangsa jerat cinta si jejaka yang mementingkan rupa semata-mata. Apabila cantik itu hilang, maka hilanglah cinta Sang Pencinta juga. Bukankah itu juga satu ujian? Lebih baiklah mereka yang sederhana paras rupa, yang diyakini disayangi bukan kerana rupa semata-mata.
Riak pula? Seringkali wujud rasa iri hati di kalangan sesetengah individu yang berasa kurang senang dengan kecantikan yang dimiliki orang lain, dan seringkali juga wujud segelintir si cantik rupa yang memandang rendah pada yang lain hanya kerana mereka memiliki aset wajah menarik.
Apa pun, ujian terbesar ialah apabila kecantikan itu ditarik dan hilang sekelip mata. Hilanglah keyakinan diri, hilanglah semangat, dan tidak mustahil hilanglah sebahagian besar mereka yang seringkali menjadi pendamping selama ini.
Kesimpulannya, bersyukurlah dengan apa yang ada kerana semuanya tidak kekal selamanya.
Jadi bunga seindah mawar berduri,
Yang menjadi impian setiap Muslimah
Yang indahnya bukan untuk lelaki,
Tetapi untuk permata yang bernama ”SUAMI”
No comments:
Post a Comment