Wednesday 15 August 2012

^ MUHASABAH RAMADHAN PENTING KETIKA INI... SALAM EIDULFITRI ^


SALAM EIDUL-FITRI MINAL AIDIL WAL FAIZEEN 

RAMADHAN terhimpun di dalamnya segala penawar untuk manusia, manusia yang hatinya sedang sakit. Alangkah malangnya jika kita gagal mendapat ubat tersebut buat bekalan hidup. Sesungguhnya tepat dan benar peringatan Rasul buat sahabatnya, supaya merebut peluang berada di bulan mulia ini. Persoalan yang patut kita umat bermuhasabah dan sejauh manakah tawaran ubat bagi segala penyakit yang melarat dalam jiwa manusia dipedulikan? Ada siapa yang peduli di kala Ramadhan berada di penghujung. Sedih untuk mengungkapkannya. 

Sahabat... sebenarnya saya malu pada Ramadhan untuk ucapkan selamat menyambut Hari Raya Eidil-fitri kerana saya seolah-olah melupai Ramadhan yang masih kita kecapi sekarang. Kerana saya juga sangat malu, apakah Ramadhan yang saya lalui ini adalah cukup sempurna? Kalau tidak apakah diri-ku berpeluang lagi ketemunya di tahun akan datang. Ampunilah hamba-Mu ini Ya Allah. 

Mampukah kita hadirkan rasa cinta beribadat sebulan di bulan Ramadhan, di kesebelas bulan di luar Ramadhan? Ketahuilah Allah SWT yang kita kenal di bulan Ramadhan adalah Tuhan yang sama kita berada di kesebelas bulan di luar Ramadhan. Mari kita nyahkan sikap itu dalam diri kita. 

Sahabat yang dikasihi kerana Allah… Ramadhan sudah sampai penghujungnya, bulan yang penuh keberkatan ini akan pergi meninggalkan kita. Bagi hati Mukmin, perginya Ramadhan membuat hati merasa sayu dan sedih, kerana kehadiran Ramadhan membawa seribu kebaikan dan kegembiraan iaitu mendapat rahmat Allah SWT, pengampunan dari segala dosa dan pembebasan dari siksaan api Neraka. Kelebihannya tidak ada pada bulan-bulan yang lain 

Sebulan kita menahan lapar. Ringan badan beribadah. Berlapar menutup pintu hasutan syaitan. Muslimin mengikis penyakit-penyakit hati seperti hasad, ego, ‘ujub, sum’ah, bakhil, buruk makan, cinta dunia dan panjang angan-angan. Membuang sifat malas dan berpoya, berpecah dan berseteru. 

Madrasah Ramadhan merupakan proses tarbiyyah dan tazkiyah pada hati, jiwa dan ruh kepada pembersihan sebenar yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Natijah dari segala proses di madrasah ini melahirkan hati yang bertaqwa kepada Allah SWT. Taqwa inilah merupakan pakaian orang Mukmin, pakaian inilah yang dipakainya untuk menghadapi sebelas bulan yang akan datang. 

Sahabat yang dimuliakan… Adakah Ramadhan kali ini, merupakan Ramadhan yang terbaik pernah sahabat rasai? Adakah segala amal ibadah, puasa, doa, munajat, tafakur, sedekah, bacaan al-Qur an yang sahabat laksanakan memberi kesan yang mendalam pada hati , jiwa dan perasaan dan benar-benar dapat merasai kemanisannya? Meningkat atau tidak meningkatnya tarbiyyah ruhiyah ini, berkesan atau tidak berkesannya proses tamrin ini bergantung pada peribadi masing-masing sejauhmana ia hayati Ramadhan. 

Berbahagialah sesiapa yang diubah perangainya oleh Ramadhan. Ia terlepas dari celaan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; " Terjauhlah (dari rahmat) sesiapa yang sempat bertemu dengan Ramadhan (tetapi tidak memperdulikannya) maka Allah tidak mengampunkannya. "
[Hadis Riwayat al-Hakim dari Kaab bin ‘Ujrah] 

Kita boleh muhasabah diri sendiri, kesan yang paling nyata adalah amal ibadah dan amal soleh yang kita laksanakan semasa Ramadhan akan dapat kita teruskan dan istiqamah pada bulan-bulan berikutnya , malah mungkin lebih baik lagi. Jika ini berlaku , ini bermakna ciri-ciri taqwa itu dapat kita perolehi. Taqwa itu ia tidak tersimpan didalam hati sahaja tetapi ia akan dilahirkan dalam berfikir, dalam tindakkan dan membuat keputusan, nampak jelas dalam peribadi, akhlak, tutur kata, pergaulan dan amalan hariannya. 

Apakah kita bertemu malam Lailatul Qadr? Yang pasti kita telah bertemu Lailatu Qadr hanya (insyaAllah) kita tidak mengetahui malam Ramadhan ke berapa dan bila saatnya berlaku! Maksud hadis Nabi SAW menyatakan bahawa sesiapa yang solat isyak dan subuh berjemaah disepanjang Ramadhan dia sebenarnya telah mendapat malam Lailatul Qadr. Dalam hadis yang lain menyatakan bahawa fadilat solat isyak berjemaah seolah-olah mendapat pahala mengerjakan solat separuh malam dan fadilat solat subuh berjemaah seolah-olah mendapat pahala mengerjakan solat sepanjang malam. Kita mohon kehadrat Allah SWT semoga keberkatan malam Lailatu Qadr tahun ini dapat memberi kesan pada hati, jiwa dan kehidupan kita yang lebih baik dan mendapat keredhan Allah SWT. 

Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut ketibaan bulan Syawal, hari kemenangan selepas sebulan berhempas pulas bermujahadah menundukkan hawa nafsu, di samping menahan diri dari lapar dan dahaga. 

Umpama kita berlayar di lautan luas, akan ada permulaan dan penamat. Tiada siapa menduga, antara perjalanan yang ditempuhi pelbagai bentuk ujian dan musibah perlu dihadapi. Kejayaan pelayaran tersebut bukan ditentukan pada permulaan seseorang tetapi di garisan penamat. Maka, selepas berjaya sampai sudah tentu ianya digambarkan suatu keindahan, kemanisan kerana walaupun sesulit mana rintangan, akhirnya berjaya melangkah ke destinasi utama. 

Begitu juga dengan penghidupan kita sebagai seorang hamba kepada Dzat Pencipta, Allah SWT. Kita bertatih daripada seorang kanak-kanak, seterusnya remaja aqel baligh, kemudian meniti ke usia dewasa, dan tua. Apakah kita yakin tua adalah penamatnya? Berbekalkan pendidikan, dan tarbiyah hidup dan penghidupan, maka kita faham serta mengimaninya bahawa alam kubur dan alam akhirat bakal berkunjung tiba. Justeru, amalan kita akan memilih satu antara dua, sama penamat di Syurga atau ke Neraka. 

Muhasabah Ramadhan penting ketika ini...

Dengan kedatangan Eidul Fitri ini bermakna hari kemenangan umat Islam, perlu disambut dengan rasa gembira dan bersyukur diatas kemenangan iman menakluki nafsu dalam bulan Ramadhan. Eid bermakna hari kejayaan dan Fitri bermakna fitrah iaitu nurani yang bersih. 

Kejayaan disambut pada Eidul Fitri, berkumandang takbir, tahmid dan tasbih. Hati Mukmin semakin akrab dan kasih terhadap Allah SWT, pancaran nur ibadah Ramadhan. Zakat fitrah dkeluarkan, tanda syukur menghabiskan Ramadhan dengan penuh adab. Berlapar sebulan menginsafkan ia tentang penderitaan orang miskin dan pelarian perang yang tertindas. Ia menunaikan solat sunat Eidul Fitri menyembah Zat Yang Agung, AllahSWT. Hari lebaran membuka ruang untuk bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, mengukuhkan persaudaraan dan persahabatan, kasih sayang dan berlemah lembut sesama Mukmin. Ia berkata didalam takbir, ‘ Tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Esa, yang benar pada janji-Nya, yang membantu hamba-Nya, yang memenangkan pejuang (agama-Nya) dan mengalahkan pakatan musuh-Nya, semua dengan sendiri-Nya. ’ 

Sahabat yang dihormati… Eidul Fitri disambut dengan sederhana. Sederhana dalam makanan dan perhiasan. Yang meriah ialah hati kerana iman yang diperolehi. Apa yang indah ialah kata-kata dan akhlak mulia yang dibina dalam Ramadhan, ucapan yang dianjurkan ialah : 

1. ‘Taqabbalallahu minkum ‘ bererti semoga Allah menerima amal kamu. 

2. ’Kullu ‘ammun wa antum bikhir’ bererti sepanjang tahun kamu dalam kebaikan. 

3. ’Minal ‘Aidin wal faizin. Bererti kamu tergolong di kalangan yang mulia dan berjaya. 

Tidak perlu bermuzik atau menonton filem yang menggiurkan syahwat. Sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud ; “ Perlakuan dosa pada hari Eid umpama membuat dosa pada Hari Mahsyar. " Ingatlah Eidul Fitri ialah satu ibadah bukan adat." 

Gemersikan suara merdu melantunkan utaian tasbeh, tahmed, dan takbirmengagungkan serta membesarkan Allah SWT. Petanda Syawal sudah melangkah mengambil posisi Ramadhan yang meninggalkan kita sebelum dipertamukan lagi pada masa akan datang... jaraknya yang jauh bukan satu alasan untuk bermalasan dalam mengandakan ibadat di bulan-bulan lain. Ibadat kita perlu diteruskan, amalan sunat perlu ditingkatkan. Apa salahnya, setiap hari kita mampu khatam satu juzu’ (bahagian) daripada al-Quran, kenapa tidak pada bulan lain. 

Hari Raya adalah Hari Kemenangan, Hari Kesyukuran dilipatan seni Ilahi. Raikan hari penuh mulia ini dengan kegembiraan, bukan kedukaan. Amalan yang paling dimuliakan, ringan tangan bukan sahaja dalam erti kata bantu membantu sesama muslim, pemurah, malah mampu melenturkan sikap ego dengan bermaaf-maafan. 

Rasullullah SAW bersabda: " Apabila dikumpulkan hamba-hamba (manusia) ketika (amalan mereka dihisab). Maka muncul lah suara yang menyeru : Bangkit dan dipersilakanlah masuk ke dalam syurga mereka yang mendapat ganjaran daripada Allah Taala... lantas ditanya siapakah mereka itu? Iaitu mereka yang pemaaf (sentiasa memaafkan kesalahan orang lain), maka mereka masuk ke dalam syurga tanpa hisab. "
[Hadith Riwayat at-Tabrani] 

Jadilah hamba kepada satu Tuhan Esa iaitu Allah SWT di ketika dan di mana kita berada, bukan kepada ‘tuhan-tuhan’ kecil yang membinasakan akhlak kita kerana tiada lagi sesuatu yang dibiasakan. Ramadhan biarlah datang menurut kefahaman kita bukan kerana sudah dibudayakan, manakala kita tetap sahaja berdaya-saing untuk terus bertaqwa di luar Ramadhan. 

Indahnya Ramadhan dapat berpuasa dengan penuh ketaatan... indahnya EidulFitri dapat saling memaafkan. Andai jari tak dapat bersentuh,tangan tak dapat bersalam, hendaknya batin kita tetap bertaut. Memohon keikhlasan untuk memaafkan semua salah, khilaf dan cela. 

Keindahan ramadhan tetap bersinar seiring datangnya hari yang fitri. Selamat Eidul Fitri 1433H Minal aidin wal faizin. Mohon maaf lahir dan batin terucap setulus hati untukmu sahabat.

TAQOBALALLAHU MINNA WA MINKUM, MINAL AIDIN WAL FAIDZINN.

No comments:

Post a Comment