Tak pernahkah kita terpikir akan hakikat hidup ini, susah senang kita bernafas di muka bumi Allah ini, semuanya ujian kepada kita. Apabila kita senang, kita mudah lupa siapa diri kita, kita lupa untuk bersyukur kepada yang Maha Berkuasa, kerana diselimuti kesenangan yang bakal ditarik bila-bila masa saja. Kita alpa akan kesusahan orang lain yang memerlukan bantuan kita.
Kesenangan dan kesusahan yang Allah berikan kepada kita sebenarnya ujian buat hambaNya. DIA mahu melihat sejauh manakah kita bersyukur akan rezeki yang diberikan.
Mungkin dah biasa kita dengan ungkapan sebegini agaknya, kaya tapi hati tak tenang, orang yang tak berduit pun boleh hidup senang lenang, tak dibelenggu masalah. Agaknya bagaimana hal ini boleh berlaku? Mungkinkah kerana orang miskin itu tidak memerlukan duit? tidak perlu bersusah payah untuk memikirkan makan pakai mereka dan anak-anak mereka? DAN adakah golongan berharta pula perlu memikirkan segala hal, pelbagai masalah, dek kerana bingung menguruskan harta yang mereka ada?
Orang yang kurang berharta juga sama kehidupannya dengan golongan yang banyak hartanya. Mereka memerlukan makanan, pakaian, tempat berlindung, pendidikan yang sempurna, pekerjaan yang baik dan sebagainya. Walaupun mereka kurang dari segi kewangan namun hati mereka tenang. Itulah kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada hambaNya yang sentiasa bersyukur dengan rezeki dikurniakan. Mereka tidak pernah lupa untuk sentiasa bersujud mengingati Ilahi. Redha akan segala ujian yang diberikan. Allah itu Maha Besar, inilah yang dikatakan ujian buat hambanya. Miskin harta namun hati mereka tenang, kerana Allah maha adil, tentunya rezeki mereka tidak pernah putus, sentiasa ada walau kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Walaupun mereka kekurangan, namun doa kepada DIA tidak pernah padam, tanda syukur kepada Ilahi.
Apa jadi dengan mereka yang serba serbi lebih, ada segalanya, makan pakai serba mewah. Kereta besar, rumah besar dan segala-galanya besar. Tetapi hati mereka tak pernah senang, agaknya terlalu memikirkan akan harta mereka, takut di rompak, dicuri atau sebagainya. Sebenarnya, hati mereka tidak tenang kerana itu lah ujian yang Allah berikan kepada mereka. Rezeki mereka melimpah ruah namun seandainya mereka lupa akan kepada yang SATU, sesungguhnya itulah natijahnya. Allah berikan mereka kesenangan dunia, ingin menguji sejauhmana keimanan mereka, adakah mereka akan ingat kepada yang telah memberikan mereka rezeki yang banyak itu, atau adakah sebaliknya.
Marilah sama-sama kita renungkan akan hakikat ujian Allah tidak mengenal sesiapa. Kita sebagai hambaNya harus bersyukur di atas segala yang dikurniakan kepada kita. Allah Maha Adil, Dia tidak akan menguji hambanya seandainya mereka tidak berdaya. Sesungguhnya ujian itu mengikut kemampuan kita sebagai hambaNya.
"Ya Allah Ya tuhanku, sesungguhnya hamba Mu ini terlalu lemah untuk menghadapi ujian Mu, Kau bantulah daku menghadapi segala-galanya. Permudahkanlah segala urusan ku, tabahkanlah hatiku dan ampukanlah segala dosa-dosaku..Amin"
No comments:
Post a Comment