Sunday, 5 August 2012

^ SALAM NUZUL AL-QURAN ^


NUZUL AL-QURAN

Segala puji bagi Allah yang menggerakkan hati dan jiwa manusia menuntut ilmu yang akan menghampirkan diri seorang hamba yang hina kepada Zat Yang Menciptakannya. Selawat dan salam buat Rasul Muhammad SAW ... berselawatlah ke atasnya... yang tidak pernah alpa dan putus asa membimbing ummah sehingga kini agar menuruti jejak ke redha Ilahi. Serta buat ahli keluarga baginda yang suci dan mulia dan para sahabat yang menjadi tokoh-tokoh agung dan pemugar semangat perjuangan Islam sehingga Kiamat.

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran. 

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. 

[Al-An’am : 38] 

Firman Allah: " Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). "
[Al-An’am : 38] 

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan. 

[Surat Al-`Alaq : 1~5] 

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq maksudnya: " Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, - Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. "
[Surat Al-`Alaq : 1~5] 

Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan melalui Nabi Muhammad SAW, pembawa amanat yang jujur dan tanggungjawab. Al-Quran yang dibawanya mengandungi undang-undang dan petunjuk bagi umat Islam dalam mengatur tujuan hidup dan kehidupan sejagat. 

[Surah Al-Baqarah ; 185]

Firman Allah bermaksud: " (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. "
[Surah Al-Baqarah ; 185] 

Apakah al-Quran? ‘Quran’ menurut pendapat yang paling kuat seperti dikemukakan Dr Subhi Al Salih bererti ‘bacaan’, asal kata qara’a. Kata al-Qur’an berbentuk masdar dengan erti isim maf’ul iatu maqru’ (dibaca). 

Dalam al-Quran ada pemakaian kata ‘Quran’ seperti ayat 17 dan 18 surah al-Qiyaamah. Firman Allah bermaksud: " Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; "

[Surah Al-Qiyāmah : 17 & 18] 

Kemudian dipakai kata ‘Quran’ untuk al-Quran yang dikenal sekarang ini. Adapun definisi al-Quran ialah: " Kalam Allah yang juga mukjizat yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad SAW dan yang ditulis di mushaf dan diriwayatkan dengan mutawatir serta membacanya adalah ibadah."  

Dengan definisi ini, kalam Allah yang diturunkan kepada nabi selain Nabi Muhammad SAW tidak dinamakan al-Quran seperti Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa dan Injil (Nabi Isa). Dengan demikian pula Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad yang membacanya tidak dianggap sebagai ibadah seperti hadis Qudsi, tidak pula dinamakan al-Quran. 

Bagaimanakah al-Quran diwahyukan? Nabi menerima wahyu mengalami pelbagai cara dan keadaan, antaranya: 

Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. 
Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia sudah berada dalam kalbunya. (Surah Asy Syuura, ayat 51). 

[Surah Ash-Shūraá : 51] 

" Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Bijaksana. "
[Surah Ash-Shūraá : 51] 

Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi berupa seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal kata-kata itu. 

Wahyu datang kepadanya seperti gemerincingnya loceng. 
Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi. Kadang-kadang pada keningnya keluar peluh walaupun ketika wahyu itu turun pada musim sejuk yang teruk. Ada kalanya, unta yang Baginda tunggangi terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun. 

Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi, tidak berupa seorang lelaki seperti keadaan di atas, tetapi benar-benar seperti rupanya yang asli. Hal ini disebut dalam ayat 13 dan 14 surah An-Najm. 

[Surah an-Najm : 13~14] 

" Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi "Sidratul-Muntaha; " 
[Surah an-Najm : 13~14] 

Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu ialah: 

1. Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya ia diturunkan sekali gus secara banyak. Hal ini disebutkan oleh Bukhari dan riwayat Aisyah. 

2. Antara ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan permasalahan pada waktu itu. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh). 

3. Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku akan lebih mengesankan dan berpengaruh di hati. 

4. Memudahkan penghafalan. 

Orang musyrik bertanya mengapakah Al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam al-Quran ayat 32, surah al-Furqan. " Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus? " Dijawab dalam ayat itu sendiri: " Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu." 

[Surah Al-Furan : 32 ]

Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan. Ini sebagaimana dikatakan oleh lbnu ‘Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana kalau al-Quran diturunkan sekali gus. 

Ditinjau dari segi masa turunnya, maka al-Quran itu dibahagi kepada dua iaitu ayat Makkiyyah dan Madaniyyah. Ayat yang diturunkan di Makkah atau sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah dinamakan ayat Makkiyyah. 

Ayat yang diturunkan di Madinah atau selepas Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah pula dinamakan ayat Madaniyyah. 

Ayat Makkiyyah meliputi 19/30 daripada isi al-Quran terdiri atas 86 surah, sedangkan ayat Madaniyyah meliputi 11/30 daripada isi al-Quran terdiri atas 28 surah. Perbezaan ayat Makkiyyah dengan ayat Madaniyyah ialah ayat Makkiyyah pada umumnya pendek, sedangkan ayat Madaniyyah panjang. Ayat Madaniyyah berjumlah 1,456 dan ayat Makkiyyah 4,780 ayat. Dalam ayat Madaniyyah ada perkataan " Ya ayyuhalladzi na aamanu " dan sedikit sekali perkataan " Yaa ayyuhannaas "’, sedangkan dalam ayat ayat Makkiyyah adalah sebaliknya. 

Ayat Makkiyyah pada umumnya mengandungi hal berhubung keimanan, ancaman dan pahala, kisah umat terdahulu yang mengandung pengajaran dan budi pekerti. Ayat Madaniyyah mengandung hukum, baik yang berhubungan dengan hukum adat atau duniawi seperti hukum kemasyarakatan, ketatanegaraan, perang, antarabangsa dan antara agama.

Sempena peristiwa Nuzul Al Quran dan bulan Ramadhan yang mulia, marilah kita bersama-sama memperbanyakkan bacaan Al Quran dan menghayati isi kandungannya. Di harapkan, kita semua beroleh pahala yang besar dan diampunkan dosa-dosa yang silam. Akhir sekali, ayuh bersama-sama kita merebut peluang yang masih berbaki di bulan ini agar taqwa yang dicari sejak awal bulan lagi dikurniakan oleh Allah kepada kita semua. Semoga kita semua sentiasa di bawah rahmat Allah. Aamiin

No comments:

Post a Comment