BERSEDERHANA ITU KEKAYAAN YANG NYATA
Mereka yang bersifat kesederhanaan dalam semua hal tidak akan menjadi miskin.
Jika perlu MARAH, marahlah...tetapi usah terlupa dengan perkataan SABAR.
Jika perlu MENANGIS, menangislah... tetapi usah terlupa dengan perkataan TENANG.
Jika perlu PATUH, patuhlah... tetapi jangan sampai hilang KEMERDEKAAN.
Jika mahu MISKIN, miskinlah... tetapi jangan terlalu miskin, nanti mudah menjadi KUFUR.
Jika mahu KAYA, kayalah... tetapi jangan terlalu kaya sampai terlupa perkataan SEDEKAH.
Jika mahu menjadi WARAK, lakukanlah ibadah sebanyak-banyaknya tetapi jangan terlupa keperluan DUNIA.
Kalau mahu sebuah KERETA MEWAH, belilah... selagi mampu dan menepati keperluan SEMASA .
Kalau mahu DUA BUAH RUMAH, belilah... asalkan jangan sampai tak tahu perkataan PUAS .
Kalau mahu MENIMBUN HARTA, bekerja-keraslah... asalkan jangan sampai terlupa BERIBADAH .
Kalau mahu BERHIBUR, berhiburlah... asal tidak SAKAN dan MENYALAHI SYARIAT .
Kalau mahu memPERKATAKAN HAL ORANG, berkatalah… asalkan jangan sampai MENGUMPAT .
Kalau mahu CEMBURU dengan kejayaan orang, cemburulah... asalkan anda pun BERUSAHA KUAT sepertinya .
Hidup sederhana akan memastikan anda tidak akan miskin selama-lamanya. Bersederhanalah… dalam segala hal adalah titik kejayaan dalam semua perkara. Orang yang terlalu pandai kadang-kadang apabila bodoh... terus sasau. Orang yang terlalu kuat... kadang- kadang apabila lemah terus tidak berdaya.
Binalah harta sebanyak-banyaknya tetapi jangan sampai anda menjadi hamba kepada harta. Binalah ibadah banyak-banyak, tetapi jangan sampai terlupa soal-soal dunia. Binalah kedudukan ditengah manusia, tetapi jangan sampai hilang kepercayaan orang dan tercalar maruah diri . Bukanlah seorang yang baik kalau beribadah sepanjang masa sedangkan untuk makan dan minumnya terpaksa meminta-minta.
Seeloknya-eloknya... bersederhanalah dalam beribadah lantaran bekerja itu pun ibadah, membuang halangan dijalanan juga ibadah, menasihati orang juga ibadah . Orang yang bersederhana sentiasa dipandang dimata dunia. Dia tidak akan hina oleh kemelaratan dan tidak terlalu tersohor oleh kepopularitian. Dia terpandang sepanjang masa baik oleh orang yang hina mahupun orang yang mulia.
Berkuasanya bersederhana bagaikan pakaian yang menjadi penebat pada rasa dingin dan panas yang membakar. Sayidina Ali RA berkata, " Berkhairatlah mengikut kemampuan dan janganlah menjadi keluargamu hina dalam kemiskinan. " Hendaklah bersedekah, jangan sampai jatuh miskin, menyimpan harta jangan sampai digelar Si Bakhil, beribadahlah jangan sampai semakin jahil.
Kata Sayidina Ali RA lagi, " Insan tidak akan melihat kesalahan seseorang yang bersifat tawaduk dan lemah lembut. " Tawaduk dan lemah lembut adalah kesederhanaan yang nyata, membangkitkan kasih sayang dan menumbuhkan cinta tulus. Jika anda impikan penghormatan manusia, maka bersederhanalah dalam berbicara, berbatas-batas tatkala bergurau-senda dan menyimpan sebahagian kesukaan ketika terlalu gembira.
Bersederhanalah... adalah jawapan kepada segala-galanya.
No comments:
Post a Comment