FIKIR ZIKIR
Segala puji bagi Allah yang menggerakkan hati dan jiwa manusia menuntut ilmu yang akan menghampirkan diri seorang hamba yang hina kepada Zat Yang Menciptakannya. Selawat dan salam buat Rasul Muhammad ... berselawatlah ke atasnya... yang tidak pernah alpa dan putus asa membimbing ummah sehingga kini agar menuruti jejak ke redha Ilahi. Serta buat ahli keluarga baginda yang suci dan mulia dan para sahabat yang menjadi tokoh-tokoh agung dan pemugar semangat perjuangan Islam sehingga Kiamat.
Segala puji bagi Allah, Tuhan Yang Esa dan selawat serta salam ke atas Nabi yang tidak ada lagi nabi selepasnya. Hati yang selalu mengingati tuhan, Lidah yang basah sentiasa berzikir. Fikiran yang sentiasa berpasak pada keagungan tuhan, indahnya.
" Jika kita hendak mengukur cinta Allah pada kita, ukurlah betapa dalam cinta kita pada Allah."
Segala-galanya terletak pada diri kita sendiri. Di mana Dia dihatiku??
Allahu rabbi...
Seringkali kita berzikir, terfikir pula, benar-benar khusyukkah kita? Benar-benar ingatkah kita pada Dia Yang Maha Agung? Benar-benar sungguhkah kita memanggil Dia Raja segala Raja atau sekadar ucapan basi?? Astaghfirullahalazim...
Lantas, bagaimanakah hendak berzikir dengan khusyuk dan tenang? Sehingga kita benar-benar dapat menghayati alunan zikir kita?
Ikhlas
Pastikan hati kita benar-benar ikhlas dalam beribadat walaupun ianya semudah zikir. Janganlah kita terikut-ikut rentak orang yang berzikir laju, bernada tinggi dan keras sebaliknya lembutkanlah alunan zikir kita, biar ia menyentuh hati, menggetarkan gegendang telinga dan didengari minda.yakni, kita tahu apa yang kita sebut dan zikir itu hanyalah untuk Allah bukan untuk pujian manusia.
Kenali dan hayati sifat-sifat Allah
Zikir bererti kita memanggil-manggil Allah. Siapakah yang kita panggil itu? Kenalilah Allah, Dialah Yang Khalik, Yang Maha Agung, Yang Kudus... Apabila berzikir, hayati nama-nama tersebut, biar kehebatan-Nya dapat dirasai dan menggetarkan hati kita.
Pilih waktu yang tenang
Carilah waktu yang kita dapat bersendirian dengan Tuhan, tidak diasak dengan urusan dunia dan amukan fikiran yang bercelaru, seperti bangun di tengah malam. Mudah-mudahan hati kita tenang dengan berzikir.
Mengingati dosa-dosa lalu
Memohon ampun pada Allah dengan bersungguh-sungguh apabila mengenang dosa-dosa kita yang lalu. Kenang juga akan hakikat kita sebagai hamba yang hanya mengemis dan mengharap kasih tuhan. Kenang juga akan segala nikmat yang Allah telah curahkan pada kita.
Menangis
Hati yang keras kerana dosa pasti akan susah mengalirkan air mata. Menangislah dalam zikir kita. Mudah-mudahan Allah sudi memandang dan menyahut panggilan kita.
Ketahui fadhilat
Setiap kalimah ada kelebihannya tersendiri. Dengan mengetahui kelebihan mengamalkan ayat-ayat tertentu, dapat menambahkan keyakinan dan meneguhkan lagi amalan kita. Contohnya, memulakan setiap pekerjaan dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim itu dapat mengundang keberkatan dalam pekerjaan tersebut. Mudah-mudahan dipermudahkan urusan.
Yakin
Yakin, bahawa Allah sedang melihat dan mendengar kita. Jika kita berzikir sambil lewa, Allah juga akan melayan panggilan kita sambil lewa.
Astaghfirullahalazim... peringatan untuk diri ini juga yang sering leka dalam mengingati Allah... ~
kita nk Allah cintakan kita , tp kita sndiri kdg2 terlupa pd-Nya . sma2 berubah kearah lebih baik ;)
ReplyDeleteterima kasih eyja.. tegurlah saya saat saya mulai merubah sikap ini..
Delete