Tuesday, 16 October 2012

^ ZIKRUL MAUT ^


ZIKRUL MAUT

Ya ALLAH....
Jika hatiku tidak ikhlas melakukan amal ibadah,
Jika hatiku riak terhadap kelebihan yang Kau berikan,
Ingatkanlah aku bahawa Kau telah memberikanku pilihan,
Destinasi abadi antara syurga atau neraka.

Ya ALLAH...
Ingatkanlah aku bahawa dunia ini medan ujian, 

Ingatkanlah aku bahawa akhirat itu tempat menuai hasilnya,
Bimbangkanlah aku bahawa hari esok belum pasti menjadi milikku,
Kerana mungkin aku tidak akan terjaga lagi,
Ingatkanlah aku bahawa kain putih itu pakaian terakhirku,
Sedarkanlah aku bahawa akulah bakal penghuni kubur,
Yang bakal disoal Munkar dan Nakir,
Sedarkanlah aku bahawa azab kubur itu dahsyat,
Agar aku terjaga daripada lamunan dan ketawaku,
Menangis menyesali dosa-dosa lalu..

Ya ALLAH...
Jangan biarkan cintaku kepada keluargaku, 
Jangan biarkan cintaku kepada sahabat-sahabatku, 
Jangan biarkan cintaku kepada kenikmatan duniawi,
Lebih aku cintai daripada cintaku kepada-Mu,
Tetapi Ya Allah...
Cintakanlah aku kepada kematian,
Kerana hanya itu yang dapat membawaku,
Lebih dekat kepada-Mu...

Ya ALLAH...
Ighfir dzunuubi... Ighfir dzunuubana...

Friday, 5 October 2012

^ EPILOG SILAM ^


EPILOG SILAM 

Dalam mengenang kisah hidup silam,
Ku sedar dari kesilapan lalu,
Tuhan beratnya dosa-dosaku,
Masihkah ada ampunan buatku. 

Ya Allah… 
Dalam menempuh hidup ini,
Banyaknya dugaan datang menguji.

Ya Allah… 
Ada yang dapatku gagahi,
Dan ada yang gagal ku hindari. 

Ya Allah… 
Dosaku menggunung tinggi,
Tapi taubatku tak ku tepati.

Ya Allah… 
Rahmat-Mu melangit luas,
Terlalu sedikit ku bersyukur. 

Kini ku kembali pada-Mu
Mengharap maghfirah dari-Mu
Mogakan terampunlah dosa-dosaku
Biarpun ujian melanda
Ku tetap berkasih pada-Mu
Kerana ku yakin kasih-Mu
Kekal tiada sudahnya…

Tuesday, 2 October 2012

^ TERSENYUMLAH... ^


TERSENYUMLAH...

Tersenyumlah...
Hati yang remuk,
Teruntuk insan yang hatinya sedang diremukkan,
Sapu air matamu yang mengalir deras,
Redam bara emosi yang bergejolak memanas,
Engkau tercipta bukan untuk menangisi zaman.

Ataupun menyesali duka lara,
Usah tenggelam dalam kubangan nestapa,
Jika cintamu mengalami kegagalan,
Jika ta’arufmu kandas di jalan.

Tersenyumlah...
Awan hitam selalu menyimpan pelangi,
Begitupun Sang Penggenggam nyawa,
Dia selalu punya rahasia dan bijaksana,
Untuk membuat dewasa makhluk-Nya.

Cinta suci sedang menunggumu,
Tetapi engkau harus sabar menantikan,
Cinta itu akan menjemputmu,
Di masa yang telah Dia rencanakan.

Teruntuk yang hatinya sedang diremukkan,
Jangan berikan celah pada syaitan,
Yang membuat semangatmu terlemahkan,
Perihnya duka bukanlah isyarat runtuhnya langit,
Ataupun robeknya kulit bumi.

Allah menempa peribadi tangguhmu,
Dalam butiran air matamu,
Dalam jeritan derita batinmu,
Dalam rintihan sesaknya nafasmu.

Teruntuk yang hatinya sedang diremukkan,
Pasang surut laut adalah kepastian,
Tawa dan tangis adalah kewajaran,
Takdir-Nya menjadikan makhluk berpasangan.

Sebuah ketetapan Sang Penguasa,
Jika engkau tak dapatkan pasangan di dunia,
Bukan berErti Allah memberimu petaka,
Tapi Dia sedang menyiapkan makhluk terindah,
Yang menantimu di Jannah,
Yang akan menemani jiwamu yang resah.

Tersenyumlah...
Dalam kesabaran munajad panjangmu,
Meski tajamnya duri mencabik-cabik lukamu,
Meski remuk redam menyerang hatimu.

Thursday, 27 September 2012

^ ANDAI KU PERGI ^


ANDAI KU PERGI

Cerita hidup kian berlalu,
Membawaku ke penghujung,
Kaku langkah kian lemah,
Kelu lidah untuk bicara,
Langit jingga warna senja,
Desir bayu membisik duka,
Kealpaan nan semalam,
Inginku lepas luka silam,
Bersama rayu doa,
Damba keampunan-Nya.

Andai diriku pergi,
Tinggalkan mu sendiri,
Usah kau sedih,
Usah kau tangisi dugaan dari Ilahi,

Andaiku pergi dulu,
Tiba tika dan waktu,
Telah tertulis takdir untukku,
Perjanjian yang Maha Agung,
Rasa gentar rasa rindu,
Bertarung di fikiranku,
Wajah ceria, senyum manja,
Kisah kita menghapus resah,
Maafkan diriku kasih,
Kerana buat kau menangis,
Restuiku dengan cinta,
Jangan kau titiskan air mata,
Pintaku redhailah,
Terima kasih atas segalanya.

Hidup ini sementara,
Ujian pasti setia hati,
Pada-Mu kekasih,
Moga rahmat hidayah-Mu,
Mengiringiku, menemaniku,
Saat akhir waktu,
Bersaksi diriku,
Tiada yang lain hanya Kau yang satu,
Memiliki cintaku,
Ku serah segalanya kepada-Mu... Ya Allah.

Sunday, 9 September 2012

^ BILA KITA MENULIS ^


BILA KITA MENULIS... 

Bila kita menulis tentang cinta,
Tak semestinya kitalah yang paling arif tentang cinta,
Atau yang paling asyik dilamun cinta,
Terkadang itu cuma ekspresi rasa, sebuah catatan tanpa makna, siapa tahu? 

Bila kita menulis tentang kesedihan,
Bukanlah kita yang paling derita, dan paling kecewa.
Terkadang itu cuma catatan rasa yang berlebihan, melampaui apa yang dirasai,
Rintihan sekeping hati yang mungkin terlalu rapuh,
Tanpa ilmu, tanpa iman. 

Bila kita menulis tentang harapan dan impian,
Terkadang, bukanlah kerana kita tak pernah putus harapan dan kehilangan impian,
Tapi kerana kita mahu terus berharap yang baik, dan mengimpikan sebuah bahagia. 

Dan bila kita menulis tentang sebuah ketabahan,
Bukanlah bermakna kita yang paling tabah,
Itu cuma antara cara,
Memujuk hati dan diri sendiri. 

Maka,
Hakikat sebenar dibalik sebuah penulisan itu,
Mungkin sukar difahami.
Mungkin kerana ia lebih mudah diselami,
Dari ditafsir dan dibuat andaian yang kita sendiri tak pasti.

Wednesday, 5 September 2012

^ BIBIR MUDAH BERKATA-KATA... ^


BIBIR MUDAH BERKATA-KATA... 

Bibir mudah mengucapkan SABAR,
Namun hatilah yang remuk menderita,
Tiada siapa mengetahui melainkan Allah SWT.
Dan tiada siapa yang meminta ujian bertamu. 

Allah SWT pernah berfirman :

[Surah 'Āli `Imrān (3):142]

yang bermaksud : " Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? "
[Surah 'Āli `Imrān (3):142] 

Dipujuk-Nya kita lagi dengan : 

[Surah Al-Mu'minūn (23) : 9~11]

yang bermaksud : " Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi – Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya. "
[Surah Al-Mu'minūn (23) : 9~11] 

Maka sabarlah duhai hati. Apabila telah kau rasakan manisnya ujian dari sang Pencipta, maka tak perlu lagi kau kejar habuan duniawi yang rata-ratanya berlandaskan nafsu semata. Bila telah kau tetapkan hati untuk meraih redha Tuhan sekalian alam, maka itulah sebenar-benarnya hasil kejiwaan yang sejati.

Dan dalam perjalanan menelusuri denai kehidupan terhadap-Nya yang sudah pasti disaluti onak dan duri, akan didatangkan syaitan yang turut sama menggodamu dalam mendekati-Nya.

Sebagai ujian dan yang akan menyempurnakan sebahagian daripada imanmu. Yang padanya ada ketenangan dan kebahagiaan berpaksikan Tuhan yang Maha Satu jika kau bersangka baik.

Maka sabarlah duhai hati.

Saturday, 1 September 2012

^ BERDAKWAH - UJUB, RIAK DAN TAKABBUR ^


BERDAKWAH - UJUB, RIAK DAN TAKABBUR  

Syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat-Nya masih lagi kita dalam Islam dan Iman, insyaAllah dan selawat dan Salam keatas junjungan besar kita, pentarbiyah ulung, Nabi Muhammad SAW dan para pendukung Islam sekalian.... moga-moga Allah SWT menetapkan hati-hati kita dalam Islam dan Iman, dua nikmat terbesar yang tidak terhingga. 

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : " Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka, dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak kejalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka." 

Dakwah bermaksud mengajak kepada makruf dan mencegah mungkar dan ia tidak dapat dipisahkan daripada taqwa. Secara dasarnya, Islam tidak diturunkan bagi melahirkan golongan yang asyik bertapa dan bermeditasi sahaja tanpa menghiraukan masyarakat sekeliling. Sebaliknya, Islam mahu umatnya membersihkan diri dan pada masa sama berperanan memperbaiki masyarakat berlandaskan Quran dan sunah. Sebahagian daripada umat Islam enggan melaksanakan tuntutan dakwah kerana merasakan diri mereka belum sempurna. Ini adalah pendirian yang salah dan berkaitan dengan isu ini Imam Said bin Jubair berkata, "Jika seseorang tidak mahu mengajakkepada makruf dan mencegah kemungkaran sehingga keadaanya menjadi sempurna tidak akan ada sesiapa pun yang akan mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran akhirnya." Apa-apa pun, usaha dakwah memerlukan persiapan diri. Antaranya ilmu yang mantap, ikhlas, sabar, kasih sayang dan amalam. Ia membantu usaha ke arah memantapkan taqwa. 

UJUB, RIAK DAN TAKABBUR
Kita selalu dengar tentang ujub. Ujub adalah suatu penyakit hati yang bermaksud takjub dengan diri sendiri. Ujub merupakan titik tolak kepada penyakit hati yang lebih besar seperti riak (menunjuk-nunjuk) dan takabbur (membesarkan diri sendiri). Sifat-sifat ini tidak layak ada pada manusia. 

Hanya Allah SWT sahaja yang layak memiliki sifat ini kerana Allah-lah yang mencipta sekalian alam dan pemilik segala kekuatan. Maka, tidak salah bagi Allah SWT untuk merasakan diri-Nya hebat, menunjuk-nunjuk kehebatan-Nya, dan mengagungkan diri-Nya. 

Manusia yang ujub merasakan dirinya hebat. Contohnya, seseorang itu berasa ujub apabila dia berdoa lebih lama daripada orang lain, berasa ujub apabila sujud lebih lama daripada orang lain, berasa ujub apabila sedekahnya lebih banyak daripada orang lain. Mudah cerita, bisikan yang terlintas di hati berbunyi seperti "Uishh... aku sujud lebih lama daripada dia...". 

Perkembangan pesat teknologi di zaman ini menjadikan penyebab penyakit hati juga turut maju selaras dengan perkembangan semasa. Penyakit hati ini akan meresap bersama-sama pesakit dan mengikuti perkembangan dunia. Berikut merupakan sedikit sebanyak contoh-contoh ujub atau riak yang telah wujud di zaman moden. 

1. Blog dan "Followers"
Kebiasaannya perkara ini hanya menimpa dikalangan "blogger". Mereka berisiko untuk merasa diri hebat apabila ramai peminat ataupun "followers" yang mengikuti blog mereka. Ribuan atau ratusan "followers" menyebabkan diri terasa hebat dan dikenali ramai. Tidak salah untuk kita berasa seronok dengan ramainya "followers". Tetapi seronok atas dasar apa? Seronok kerana dapat mencurahkan ilmu kepada ribuan atau ratusan "followers" atau seronok kerana melihat JUMLAH "followers" yang banyak? 

2. "Like" di Facebook
Post "status" di laman sosial facebook. Ramai pula yang tekan "like". Apabila ramai yang "like", mulalah rasa diri mendapat perhatian ramai. Setiap cetusan minda yang terpapar di laman Facebook dihargai dan rasa bangga dengan apa yang telah dihasilkan. Awas! Tidak salah untuk merasa gembira apabila orang lain suka apa yang kita lakukan, tapi janganlah sampai merasa riak dan berbangga dengan diri sendiri. 

3. Komen di Facebook
Mungkin juga kita akan rasa teruja apabila ramai yang memberikan tindakbalas yang memberangsangkan pada "post" kita di Facebook. Apabila ramai sangat, mungkin bibit-bibit perasaan ujub akan mula lahir. 

4. Komen Gambar di Facebook
Perkara ni mungkin berlaku pada lelaki yang kacak dan perempuan yang cun sahaja. Apabila cun atau kacak, ramailah yang komen. Tidak kurang juga yang memuji. Apabila banyak sangat terima pujian, mulalah rasa semacam dan seronok dengan pujian itu. Maka, perasaan ujub pun senang-senang boleh diterbitkan. 

6. Ramainya Kawan atau Peminat di Facebook
Jumlah sekali lagi memainkan peranan penting bagi syaitan untuk menghasut manusia untuk berasa riak. Ramai bilangan rakan maya di facebook juga membolehkan perasaan ujub diterbitkan. Itu baru kawan, apatah lagi peminat artis yang mencecah jumlah ratusan ribu, malahan jutaan orang. Apabila ramai orang yang meminati artis tersebut, mungkin perasaan ujub akan muncul. Hati-hati! 

7. Berdakwah di Facebook
Mungkin ramai kawan kita yang merapu di Facebook. Sebagai orang yang merasa dirinya wajib untuk berdakwah, maka Facebook dijadikan medan untuk berdakwah di tengah-tengah rakan Facebook yang banyak merapu. Maka, jadilah kita orang yang terpencil kerana tidak merapu sedangkan yang lain banyak yang merapu. 

Apa yang dibimbangkan di sini, apabila kita berdakwah, kita turut akan berbangga dengan apa yang kita lakukan. Awas, wahai para sahabat!!! 

Jadi, berhati-hatilah dengan hati! Semoga kita dilindungi Allah daripada penyakit-penyakit hati ini. Jangan ingat minum tonik hati al jabbar boleh settle penyakit hati ini. Ingatlah bahawa, setiap apa kebaikan yang kita lakukan semuanya adalah daripada Allah jua. Kita tiada hak untuk merasa ujub kerana tanpa izin-Nya ia tidak mungkin akan berlaku. Kembalilah apa jua pujian itu kepada Allah. 

Elakkan diri daripadanya, Lindungi diri dari kemurkaan Allah.. Nampak simple, tapi ibadah jadi debu gitu je..... Na'udzubillahi Min Zalik... 

Ya Allah, kurniakan kami kecintaan kepada-Mu, rasul-Mu dan kekasih-kekasih-Mu. Kurniakanlah juga kepada kami kecintaan kepada mereka yang berjuang untuk memenangkan Agama-Mu. Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki hati-hati ini. Amin. 

Moga bermanfaat 
May ALLAH bless you!!