Tuesday, 8 May 2012

^ WAHAI DIRI... REDHA DENGAN KETENTUAN TUHANMU... ^


REDHA DENGAN KETENTUAN ALLAH SWT 

Ketahuilah setiap sesuatu di dalam pemerhatian dan pengawasan Tuhanmu. Wahai diriku, ketahuilah bahawa semua perkara yang berlaku kepadamu berada di dalam pengetahuan Allah. Semuanya di dalam pemerhatian dan pengawasan-Nya. Sesungguhnya Allah mengetahui apa sahaja yang engkau alami. Dia amat mengetahui segala yang menimpa dirimu. Allah mengetahui penderitaan hamba-Nya. Engkau ditimpa susah dan sakit. Engkau menderita dan engkau sabar di dalam menanggung penderitaanmu itu. Kesabaranmu itu tidaklah sia-sia kerana ianya dinilai tinggi oleh Tuhanmu. 

Sebenarnya seluruh manusia tidak akan mampu untuk menolongmu, malah dirimu sendiri pun tidak akan berupaya untuk menolongmu kecuali apa yang diizinkan oleh Allah sahaja. Hanya kepada Tuhanmu sajalah tempat untuk engkau mengadu dan memohon. Redhalah dengan ketentuan-Nya. 

Sedarilah, sesungguhnya Allah mengetahui apa yang engkau alami dan engkau sentiasa berada di dalam pengawasan-Nya dan sesungguhnya engkau berada di sini hanyalah untuk diuji. 

Hendaklah engkau redha bahawa Allah adalah Tuhanmu dan redha juga dengan segala ketentuan-Nya. Wahai diriku, ketahuilah bahawa segala sesuatu itu berlaku dengan Iradat Allah. Tidak ada satu perkara pun yang akan berlaku jika bukan dengan kehendak Allah. Tidak ada sesuatu yang bergerak dan tidak ada yang diam melainkan semuanya dengan kehendak Allah jua. Tidak ada sesuatu yang berlaku pada dirimu di luar pengetahuan Allah. Tidak ada satu pun yang berlaku pada dirimu itu berlaku dengan sendirinya, itu adalah kehendak Tuhanmu. 

Sesiapa pun tidak akan mampu untuk menolak kehendak Allah. Semua perkara berlaku dengan Kudrat dan Iradat Ilahi. Terimalah dengan hati terbuka, berusahalah dan teruslah bertawakkal kepada-Nya. Redhalah dengan ketentuan Tuhan. Ketahui jugalah, Tuhan yang menimpakan ujian yang kau rasakan berat kepadamu itu adalah Tuhan yang sama yang memberi kemewahan dan rezeki kepada musuhmu, yang pada pandanganmu seorang yang ingkar. Adakah engkau redha dengan ketentuan-Nya?

Pada pandangan Allah, dunia dan segala isinya ini tidaklah lebih berharga berbanding sehelai sayap nyamuk. Ketahuilah, pemberian kemewahan dunia kepada hamba-Nya itu bukanlah bermakna keredhaan dari Allah. Sedarilah, hanya Allah Tuhan yang esa, tidak ada Tuhan selain-Nya. Oleh itu redhalah Dia sebagai Tuhanmu. Sebagaimana engkau rela menerima Allah sebagai Tuhanmu maka redhalah di dalam menerima ketentuan-Nya. 

‘Tidak ada daya dan upaya pada seluruh makhluk melainkan dengan izin dari Allah jua’. Wahai diriku, ketahuilah tidak ada yang akan terlepas dari kehendak Allah dan tidak ada yang dapat menahan ketentuan-Nya. 

Engkau harus berusaha dengan segala upayamu. Setelah itu bertawakkal dan berserahlah kepada-Nya dengan kesabaran. Ketahuilah, engkau hanyalah seorang yang lemah tidak berupaya kecuali dengan izin dari Tuhanmu, engkau hanyalah seorang hamba Allah. Segala apa yang ditakdirkan Allah pasti berlaku. Segalanya dari Allah S.W.T.

SELAMAT BERJUANG MELAMAR REDHA-NYA 

Takkan kau pernah rasa, 
Manisnya kata-kata itu andai disaluti dusta, 
Takkan kau rasa indahnya, 
Ukhwah itu andai ada khianat, 
Kerana segalanya… 
Dari hati yang ikhlas kerana-NYA 

Mengapa perlu dibelakang?? 
Jika kau mampu disisi.. 
Ayuh..!!! Bersama melangkah !! 
Andai ku rebah, 
Jangan kau hirau, 
Kerana akan ku berusaha sehabis daya, 
Untuk bangkit kembali.. bidznillah 

Jangan kau hirau dan khuatir, 
Jika kau tiada tempat bersandar!! 
Sandarkanlah hati dan dirimu pada-NYA!! 
Pasti kau bahagia di sini dan di sana, 
Dan pasti kau mampu tersenyum walau duka…

Monday, 7 May 2012

^ ANDA RASA ANDA AKAN BERUBAH..??? ^


ANDA RASA ANDA AKAN BERUBAH ???

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri." (Surah ar-Ra'd 13:11) 

Di sini, kita mengerti bahawa perubahan itu akan wujud melalui usaha daripada diri kita sendiri. Jikalau kita tidak memulakan langkah untuk berubah, maka kita akan selamanya berada di takuk yang lama. 

"Insya-Allah nanti bila sudah dapat hidayah saya akan pakai tudung." 

Ini hanya contoh jawapan yang 'cliche' bila ditanya mengenai pemakaian tudung. Ada banyak lagi ayat-ayat yang sering diungkapkan kita demi untuk menepis segala soalan masyarakat mengenai diri kita atau sikap kita.  

Walhal hidayah tidak datang kepada kita, kita yang sepatutnya mencari hidayah Allah! 

"Dah tua nanti aku berubah lah weh!" Ini lagi satu contoh. Kalau hati sendiri telah set kan bahawa anda memang tidak mahu berubah, bagilah seribu tahun pun kehidupan.. anda rasa anda akan berubah? Tidak sama sekali! 

Untuk berubah, individu tersebut perlukan keinginan, ketetapan dan keteguhan hati. 

Kenapa kita lihat banyak manusia yang mahu berubah ke arah kebaikan kecundang di tengah jalan transformasi? 

Ini berkemungkinan besar kerana mereka punyai keinginan untuk berubah tetapi hati mereka tidak cekal dan tidak tetap untuk berubah! 

Namun, jika hendak seribu daya jika tidak mahu seribu dalih. Hati itu asbab dan punca. Jika ia kuat maka akan kuatlah kita, jika tidak, kalahlah kita. 

Berubah itu kaitannya hati dan jika hati itu tidak kuat, punya nawaitu yang tidak tetap dan masih ada walau sekelumit keinginan untuk mengulangi sikap lampau kita, maka susahlah manusia itu untuk menetapkan diri pada perubahan. 

Hati itu juga berkait dengan anggota. Anggota itulah yang bakal meneguhkan hati. Demikian, apabila bertemu keinginan yang lama, mata tidak boleh memandang, kaki tidak boleh mengekori dan tangan tidak boleh beragak-agak untuk menyentuh atau melakukan. 

Sekali lagi marilah kita hayati akan maksud di sebalik Firman Allah ini:  "Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya ". [Surah ar-Ra'd :11] 

For each one are successive [angels] before and behind him who protect him by the decree of Allah . Indeed, Allah will not change the condition of a people until they change what is in themselves. And when Allah intends for a people ill, there is no repelling it. And there is not for them besides Him any patron. 

Sekiranya jalan yang kita lalui itu sukar ketika kita ingin berubah, maka sebenarnya itu lebih baik daripada anda kembali bergelumang dengan selut dan lumpur di jalan lama. Ingat, ini hanya dunia. Berubahlah ke arah kebaikan untuk Akhirat yang kekal abadi. Kitalah penentu nasib kita di sana! 

^ TEGURLAH DENGAN BERHEMAH BUKAN MENYINDIR ^


TEGURLAH DENGAN BERHEMAH BUKAN MENYINDIR 

Segala puji bagi Allah yang menggerakkan hati dan jiwa manusia menuntut ilmu yang akan menghampirkan diri seorang hamba yang hina kepada Zat Yang Menciptakannya. Selawat dan salam buat Rasul Muhammad ... berselawatlah ke atasnya... yang tidak pernah alpa dan putus asa membimbing ummah sehingga kini agar menuruti jejak ke redha Ilahi. Serta buat ahli keluarga baginda yang suci dan mulia dan para sahabat yang menjadi tokoh-tokoh agung dan pemugar semangat perjuangan Islam sehingga Kiamat. 

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan, "Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.” Tegurlah dengan Berhemah bukan menyindir ."

Ketika melewati satu blog rakan saya, terjumpa kisah ini...

Situasi di sebuah bus-stop tepi jalan. Hujan lebat. 4 orang di situ. Satu pasangan muda laki pompuan, dan 2 pemuda. Kelihatan si lelaki membuka payungnya lalu menggapai bahu si gadis, cuba untuk melintas jalan dalam hujan lebat... 

Pemuda 1 bercakap-cakap dengan Pemuda 2 sambil memandang ke tempat lain.

Pemuda 1: Tak payahlah nak payung-payung..kan? Kalau dah couple haram tu, payung macam mana pun tak boleh lari dari dapat murka Allah. Cubalah sediakan payung pada azab Allah kalau boleh.

Pemuda 2: Ha'ah la. Yang haram ni la rasa lazat dan nikmat semua. Rasa bahagia dapat payungkan pasangan. Rasa romantik, rasa bertanggungjawab la kononnya. Si pasangan pula berbunga-bunga rasa dapat dipayungkan. "Fuh, bestnya dapat pakwe camni!"

Tanpa disedari, perbualan didengari jelas oleh si lelaki dan si gadis.

Lelaki: Bro, kalau couple haram dapat dosa, mengata "baling batu sembunyi tangan" ni sama juga dapat dosa. Lebih kurang mengumpat wlpn depan2. Adakah bro-bro rasa ni nasihat sinis yang terbaik utk dakwah orang? Kalau nak nasihat, apa kata bro datang kat saya; beri salam elok2, then sembang ringkas dua tiga patah, tanya saya siapa, duk mana..taaruf ukhuwwah fillah ringkas2. Jalinkan kemesraan dengan muka manis. Kemudian tanyalah saya siapa orang sebelah saya ni. Kalau couple saya, nasihati dan doakanlah saya. "Oh..awek ke..kahwin cepat-cepat tau. Allah.. kahwin ni antara pintu2 utama rezeki. Best gile ah kahwin ni. Bro doakan korang dimurahkan rezeki dan dapat kahwin cepat-cepat. Biar lancar segala urusan. Makin cepat makin bagus kalau ikut Islam. Makin bertangguh, makin banyak dugaannya." Susah ke? Barulah sesuai dengan 3 metode anjuran al-Quran:

Satu, "Bil Hikmah" (dengan hikmah)
Dua, "Bil Maui'zatul Hasanah" (dengan nasihat yang baik)
Tiga, "Wajadilhum billati hiya ahsan" (berbahas dengan cara yang baik)

Gadis: Actually, ni husband sy. Baru je kahwin bulan lepas. Kahwin muda. Saya 18, husband 25. 

Lelaki: Maaf, kami minta diri dulu. Maaf andai terkasar bahasa. Assalamualaikum wbt.

Pemuda 1 dan pemuda 2 terkesima pening-pening lalat kena sedas-dua tazkirah dalam hujan lebat.

"Wahai orang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain kerana harus puak dicemuh itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan perempuan lain kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan buruk sesudah dia beriman dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang yang zalim.” [Surah Al-Hujuraat :11] 

^ BERSYUKUR DENGAN APA YANG DIMILIKI ^


BERSYUKUR DENGAN APA YANG DIMILIKI

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan. 

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa. 

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain. 

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita. 

Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya. 

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23) 

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu! Janganlah kau memandang orang yang tinggi darjatnya daripada kamu, tetapi pandanglah orang yang berada di bawah kamu. Ini bukan bermakna untuk menjadikan diri kita takbur, tetapi untuk mengajar diri kita bersyukur dengan apa yang kita miliki… Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita… ~

Sunday, 6 May 2012

^ DOA - KOMUNIKASI DENGAN ALLAH SWT ^


DOA - KOMUNIKASI DENGAN ALLAH 

Solat dan doa adalah antara cara kita berkomunikasi dengan Allah. Mengapa kita berdoa? 
Berdoa akan mewujudkan rasa penghambaan(ubudiyyah) kita kepada Allah. Kita sebagai hamba yang lemah dan tidak berdaya memohon kepada Pencipta kita, Yang Maha Kuasa terhadap segala sesuatu. 

Kunci Untuk Berdoa 
Kuncinya untuk berdoa adalah Y2K iaitu 
Y ialah YAKIN 
Kita perlu selalu bertanya kepada diri kita ketika berdoa, sejauh mana keyakinan kita setiap kali kita mengungkapkan doa kita itu? 

2K ialah yakin dengan dua perkara iaitu; 
1. Allah itu sentiasa mendengar doa kita kerana doa adalah komunikasi kita dengan Allah. 
2. Allah berjanji akan memperkenankan setiap doa hamba-hambanya. 

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu…”[Surah Al-Baqarah :186] 

Dan ditambah dengan KHUSYUK. 
Kita khusyuk dalam doa sama seperti khusyuk di dalam solat kita. Ia lahir apabila kita faham dan menghayati doa yang kita bacakan. Maka, jika hendak membaca doa di dalam bahasa Arab, cubalah cari makna dan maksud doa itu di dalam bahasa yang kita fahami. 

Perkara Tambahan Kunci Untuk Berdoa 
Antara perkara yang perlu dititik-beratkan ialah adab-adab berdoa seperti menghadap kiblat, berwuduk, mengangkat tangan dan suara sederhana. 

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”[Surah Al-'A'raf :55] 

Cara yang terbaik dalam berdoa adalah seperti yang Allah ajarkan kepada ahli syurga, 


“Doa ucapan mereka (di dalam Syurga) ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan. Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah Segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” [Surah Yunus :10] 

Berdoa Selain Kepada Allah 
Memohon atau meminta selain kepada Allah boleh menjerumuskan kita kepada syirik. Berharap kepada manusia samaada bomoh, pemimpin atau sesiapa sahaja yang sebenarnya bersifat lemah dan sementara adalah sangat perlu dielakkan. 

“Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarkanlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah sekali-kali tidak dapat menciptakan seekor lalatpun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, tiadalah mereka dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah (pulalah) yang disembah.” [Surah Al-Haj :73] 

Mengapa Doa Tidak Makbul? 
Penyebab utama doa tidak dimakbul ialah : 
1. Makanan haram 
2. Gopoh dalam berdoa 

Dalam koleksi Hadis 40 Imam Nawawi, hadis ke-10 menyebut : Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda : “Sesungguhnya Allah Ta’ala baik. Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta’ala berfirman: ‘Wahai para Rasul!Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh’. Dan Allah Ta’ala berfirman: ‘Wahai orang-orang yang beriman!Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu’. Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?” [Hadis Riwayat Muslim] 

Daripada hadis di atas, dapat dilihat bahawa bukti-bukti utama penghalang kepada doa ialah pemakanan yang haram. Yang dikatakan haram dalam konteks ini membawa kepada dua maksud : 
a) Makanan itu sendiri haram hukumnya seperti babi, arak dan lain-lain. 
b) Sumber makanan itu adalah haram seperti rasuah, harta pusaka atau harta anak yatim dan banyak lagi. 

Hadis tersebut menerangkan bagaimana seorang lelaki yang memenuhi kriteria orang yang akan dimakbulkan doanya seperti bermusafir, bersungguh-sungguh berdoa dengan mengangkat tangan ke langit serta berkali-kali menyebut Tuhan-nya. Namun, doanya ditolak kerana makan, minum dan pakaiannya haram. 

Gopoh dalam berdoa adalah kita mahu doa kita dimakbulkan serta-merta atau dalam masa terdekat. Doa kita insyaAllah akan dimakbulkan, cuma bila dan bagaimana doa itu dimakbulkan adalah kerja Allah yang kita perlu yakin bahawa Allah memberi yang terbaik kepada kita. 

“Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).” [Surah Al-An-Naml :62] 

Bilakah masa untuk berdoa? 
Kita boleh berdoa kepada Allah pada bila-bila masa sahaja. Namun, afdalnya sebahagian masa-masa berdoa menurut hadis antaranya adalah : 

1. Ketika dalam sujud 
Dari Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda:“Jarak yang paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia sedang sujud. Oleh itu , perbanyakkanlah membaca doa pada saat itu, kerana besar kemungkinan akan dimakbulkan.” [Hadis Riwayat Muslim] 

2. Sewaktu satu pertiga malam 
“Allah s.w.t. turun ke langit dunia apabila tinggal sepertiga malam yang terakhir dan berkata : ‘Ada sesiapa yang memohon kepada-Ku untuk Ku makbulkan, ada sesiapa yang meminta kepada-Ku untuk Kuberikan, ada sesiapa yang beristighfar memohon ampun untuk Ku ampunkan?” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim] 

3. Ketika hujan turun 
“Berdoalah pada waktu mustajab do’a iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun.” [Hadis Riwayat Abu Daud] 

4. Di antara waktu azan dan iqamah 
“Tidaklah ditolak do’a di antara azan dan iqamah.” [Hadis Riwayat Tirmizi] 

5. Ketika bermusafir dan teraniaya 
“Tiga bentuk do’a yang pasti dimakbulkan Allah, iaitu do’a orang yang teraniaya, do’a orang yang bermusafir dan do’a ibu bapa terhadap anaknya.” [Hadis Riwayat Abu Daud] 

6. Malam Jumaat, hari jumaat, waktu jemaah berdiri utk menunaikan solat kerana Jumaat penghulu segala hari. 
Sabda Rasulullah, ”Bahawasanya pada malam jumaat, ada suatu ketika yg mustajab doanya.” [Riwayat Tarmizi] 

Doa-Doa Yang Afdal 
Sebaik-baik doa adalah doa-doa daripada Al-Quran, kerana ayat-ayat Al-Quran itu sendiri adalah kalam Allah (kata-kata dari Allah). Contohnya, doa Nabi Ibrahim di dalam Surah 'Ibrahim : 35-41. 

Antara doa-doa di dalam Al-Quran 
Doa supaya tidak berputus asa [Surah Maryam:4] 
Doa dilapangkan dada dan dipermudahkan urusan [Surah Thaha:25-26] 
Doa mohon kurnia rahmat dan petunjuk yang lurus segala urusan [Surah Kahfi:10] 
Doa mohon keampunan atas kesalahan meminta sesuatuyang tidak diketahui hakikatnya [Surah Hud:47] 
Doa mohon diberi keputusan yang baik [Surah A’raaf:89] 
Doa mohon kasih sayang untuk ibu bapa [Surah Isra’:14] 
Doa mohon dihindarkan dari fitnah dan diselamatkan dari tipu daya orang kafir [Surah Yunus:85-86] 
Doa memohon kesejahteraan dunia dan akhirat [Surah Baqarah:201] 
Doa memohon keampunan dan rahmat [Surah A’raaf:23] 
Doa memohon agar diterima amalan [Surah Baqarah:127] 
Doa dicukupkan keperluan [Surah Taubah:129] 
Doa mohon agar mensyukuri nikmat Allah [Surah Ahqaf:15] 

Semoga kita memperbaiki cara berdoa dan berkomunikasi kepada Allah. Jangan kita menjadi seperti orang yang disebutkan dalam Surah Yunus, ayat ke-12, “Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.” [Surah Yunus :12] 

Monday, 30 April 2012

^ KEKURANGAN ITU SUATU KELEBIHAN ^


KEKURANGAN ITU SUATU KELEBIHAN 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras". [Surah ‘Ibrahim :7] 

And [remember] when your Lord proclaimed, 'If you are grateful, I will surely increase you [in favor]; but if you deny, indeed, My punishment is severe.' " 

Kebiasaannya, bila kita dikurniakan nikmat rezeki, kegembiraan mahupun kelebihan, apa yang kita akan lakukan? Bersyukur! ya, itulah yang seharusnya. Tetapi, bagaimana pula kalau kita diberikan kekurangan, kecacatan, kemiskinan, kedukaan dan ujian. Berapa ramai yang ingin bersyukur? Tepuk dada, tanya Iman. 

Saya pasti mungkin hanya segelintir di antara kita yang bersyukur apabila menerima ujian. Mungkin dalam 100% hanya 5% yang bersyukur dan berlapang dada apabila menerima ujian. Beruntunglah bagi mereka yang selalu bersyukur dan sabar. Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang bersyukur dan sabar dengan ujian yang diturunkan. 

Fiman Allah: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa. “ [Surah al-Baqarah : 177] 

Righteousness is not that you turn your faces toward the east or the west, but [true] righteousness is [in] one who believes in Allah , the Last Day, the angels, the Book, and the prophets and gives wealth, in spite of love for it, to relatives, orphans, the needy, the traveler, those who ask [for help], and for freeing slaves; [and who] establishes prayer and gives zakah; [those who] fulfill their promise when they promise; and [those who] are patient in poverty and hardship and during battle. Those are the ones who have been true, and it is those who are the righteous. 

Saya pasti sahabat semua pernah mendengar kata-kata ini: "After every storm there is a rainbow". Jadi, walau apa pun ujian yang diturunkan kuatkan semangat dan azamkan tekad. Yakinlah dengan janji Tuhan. Biar kita miskin, biar kita buruk, biar kita cacat asal hidup mendapat Berkat. 

Fikirkan, setiap kekurangan yang diberikan pasti ada kelebihan yang diberikan. Begitu juga sebaliknya. Setiap kelebihan itu pasti ada kekurangan kerana kita memang diciptakan lemah dan tidak sempurna. Jangan pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri, kerana percayalah, setiap yang Allah kurniakan mempunyai kelebihan dan kelebihan tertentu. 

Ingatlah, Tuhan menciptakan manusia dengan segala kelebihan dan kekurangan. Hikmahnya, agar manusia itu hidup bersama dan tidak mementingkan diri sendiri dengan cara saling lengkap melengkapi. Seperti yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit dan begitulah sebaliknya. 

Ingatlah langit tidak selalu cerah dan kita tidak selalu di atas. Janganlah kita mencaci kekurangan seseorang itu kerana mungkin suatu hari kita memerlukan sesuatu yang kita tidak ada daripada orang yang kita pernah hina dulu. 

Kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. Sebaliknya besyukurlah, kerana suatu saat nanti pasti akan datang seseorang melengkapi kekurangan kita dengan kelebihannya. Jangan pernah berputus harap dan teruskan berdoa. 

Dan ingatlah, setiap kekurangan yang kita miliki, merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Bukan semua orang dapat memiliki kekurangan yang kita ada. Bukankah kekurangan dan ujian itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah kepada kita? 

Jadikanlah kekurangan yang kita miliki itu sebagai sumber kekuatan, simbol kehebatan dan bukanlah sesuatu yang menghancurkan. Bersyukurlah dengan setiap kurniaannya. Kebaikan mahupun keburukan. 

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” [Surah Al Anfaal:46] 

And obey Allah and His Messenger, and do not dispute and [thus] lose courage and [then] your strength would depart; and be patient. Indeed, Allah is with the patient. 

Kesimpulannya, marilah kita memanjatkan rasa syukur dengan setiap kurniaan-Nya.

Saturday, 28 April 2012

^ ANDAI KU TAHU ^


ANDAI KU TAHU 

Andai ku tahu... 
Ini rasanya bila dikasihi, 
Ini rasanya menyayangi, 
Ini rasanya merindui, 
Pasti takkan ku biar masa lalu terbiar kosong, 
Disulam angan dan penantian tak pasti, 
Pasti ku sambut kasih dan sayang, 
Pasti ku jalin rindu di tangkai hati, 
Biar kukuh tersemat tidak lari. 

Andai ku tahu... 
Hebatnya kasih yang dikau dambakan, 
Takkan kubiar kau terus dalam penantian, 
Bersama kekeliruan tiada henti. 
Rindu yang hadir tak dapat ku usir jauh, 
Makin diusir.. kian hampir ia mendekat, 
Kadangku lelah menahan rindu. 

Tapi ku sedar... 
Manisnya rindu ini, 
Mana mungkin ku lepas ia berlalu, 
Kerana rindu ini, 
Hanya padamu.... ~