Sunday, 19 February 2012

^ SENYUMLAH.. DUNIA AKAN TERSENYUM PADAMU.. (^_^) ^


SENYUMLAH.. DUNIA AKAN TERSENYUM PADAMU.. (^_^) 

Tahukah kita apa beza senyum dan sengih? Ada orang kata senyum tak nampak gigi, sengih nampak gigi. Tapi sengih tu bukan tergolong dalam senyum? Senyum itu lukisan hati. Tak semestinya lihat orang senyum, kita akan sejuk hati sebab senyum ada banyak jenis. Ada senyum sindir, senyum tawar, senyum marah, senyum bahagia dan sebagainya...(”,) 

Benar. Kadang-kadang sukar untuk mengukir senyuman pada wajah ini, terutamanya taktala hebat di uji oleh Allah SWT. Namun ada juga kerana ego dalam diri ini tak mampu di tumpaskan oleh keimanan dalam diri, bisikan syaitan lebih ditaati dari bisikan suara hati dari dasar hati dan jiwa yang sentiasa merindukan redhaNya.

Entah mengapa bagi kita sesetangah manusia sahaja yang layak mendapat senyuman dari kita. Biasanya kita lebih peka dan memilih sahabat atau orang yang dikenali sahaja untuk diberikan senyuman. Sukarnya nak senyum, kadang-kadang kerana kecewa. Kecewa kerana dia yang diberi senyum tidak membalas senyuman. Kecewa kerana bukan sahaja tidak membalas senyuman, buat tak tahu pula. Aduh!!! Terguris juga. 

Macam-macam terlintas dalam hati (sombongnya! alah...senyumlah balik! Susah sangat ke nak senyum balik? Baik aku tak yah senyum kalau macam ni! Ingat dia tu baik sangat ka? Suka hati hanglah! Lain kali jangan harap aku nak tengok muka hang!). Istighfar kalau ada yang terfikir macam ni. Takdak ka? Alhamdulillah.. Syukur...hati masih bersih.

Kalau susah nak senyum, cuba tanya sama hati... Senyum untuk apa? Kalau senyum ikhlas kerana Allah, sudah tentunya kita tidak mengharapkan balasan daripada pihak yang kita beri senyuman. Hati yang bersih akan sentiasa bersangka-baik. Bila senyuman tidak dibalas, kita bersangka baik kepada Allah. Mungkin insan yang diberi senyuman itu sedang dilanda masalah atau tengah berfikir atau tak perasan yang kita senyum kat dia. 

Tips untuk mudah senyum, antaranya kita hendaklah sentiasa merasa rendah diri, lemah lembut dan sabar.

Firman Allah SWT:
”Dan tundukkanlah sayapmu – yakni bersikap merendahkan dirilah – terhadap kaum mu’minin,” (al-Hijr: 88) dan,  ” ...dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu..” (ali-Imran: 159) 

Lagi...kita ni kadang-kadang teringin dak menderma dan bersedekah tapi nak bagi sedekah. Macam mana nak sedekah kalau takdah harta??? Takdak harta bukan bermakna tak boleh bersedekah...Dari ’Adiy bin Hatim r.a, katanya: Rasulullah SAW bersabda: ” Takutlah engkau semua kepada neraka, sekalipun dengan jalan bersedekah dengan sepotong kurma, maka barangsiapa yang tidak dapat menemukan itu, maka hendaklah bersedekah dengan mengucapkan perkataan yang baik” (muttafaq ’alaih)

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW bersabda: ”Dan mengucapkan perkataan yang baik itu adalah merupakan sedekah.” (muttafaq ’alaih). Senangkan nak bersedekah. Mudahnya Islam...

Dari Abu Zar r.a., katanya: Rasulullah SAW bersabda kepada saya: ” Janganlah engkau menghinakan sesuatupun dari amal kebaikan – yakni sekalipun tampaknya kecil, janganlah tidak dilakukan, meskipun andaikata engkau bertemu saudarau dengan menunjukkan wajah yang manis,” – atau berseri-seri tanda bersuka cita ketika bertemu itu. (Riwayat Muslim)

Oleh itu marilah kita mulakanlah hari ini dengan senyuman. Mulakan persahabatan dengan senyuman. Senyumlah walaupun mereka tidak nampak senyuman kita sebab kita yang sentiasa tersenyum tahu... kita bahagia...(tapi janganlah dok jalan sorang-sorang pun tersenyum...dok baca buku pun tersenyum... sat lagi orang salah faham pula.. pandai-pandailah na). 

Jom kita tukar...jangan say cheese...tapi say sinn (س)! Sebab cara betul sebut sin adalah mulut mesti dalam keadaan tersenyum..tak caya? Cuba baca yaasiin.... atau bismillahirrahmanirrahim... mesti jadi tersenyum kan?

Friday, 17 February 2012

^ DOA PENGIRING KEBAHAGIAAN ^


DOA PENGIRING KEBAHAGIAAN 

Membina kebahagiaan dalam hidup bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi sebuah kebahagiaan adalah sesuatu yang amat didambakan oleh setiap insan dalam dunia ini. Untuk mengecapi erti kebahagiaan dalam hidup sudah pasti menuntut usaha dan pengorbanan yang amat tinggi. Andai kebahagiaan dikecapi atas nilai usaha dan pengorbanan ini, sudah pasti kehidupan dirasakan begitu bermakna. 

Kebahagiaan selalunya dikaitkan dengan kejayaan, sama ada kejayaan diri, kejayaan dalam kerjaya atau mungkin juga kejayaan dalam membina keluarga. 

Namun kebahagiaan selalunya tidak akan hadir sebegitu mudah. Seringkali ujian akan tiba untuk menguji kesabaran dan ketabahan di atas usaha yang dilakukan. Kerana kebahagiaan selepas ujian sudah pasti lebih manis daripada kebahagian yang dikecapi tanpa diuji. Oleh kerana itu, sesekali ada juga insan yang gagal di pertengahan usahanya. Menghadapi ujian sebegini memerlukan doa sebagai pengiring. Doa yang memberikan kekuatan dalam diri. DOA yang menjadi benteng tambahan dalam memberikan ketabahan dalam menghadapi ujian hidup. 

Manusia kadang-kadang menghadapi situasi yang sangat sukar dalam hidupnya hanya kerana betapa memikirkan bernilainya harga sebuah kebahagiaan. Dan kerana ini jugalah, doa amat diperlukan. Doa akan memberikan kuasa neutral dalam diri. Kuasa neutral yang akan mengimbangkan antasa usaha dan tawakal. Mintalah pada-Nya supaya Allah membantu kita membuka ruang yang seluas-luasnya dalam mengecapi kebahagiaan yang sama-sama kita inginkan.

Tuesday, 14 February 2012

^ MIND YOUR TONGUE.. SPEAK... ^


Speak the Truth – Al-Qur’an Surah ‘Āli `Imrān 3:17

“The patient, the true, the obedient, those who spend [in the way of Allah], and those who seek forgiveness before dawn.” 
“(Iaitu) orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur.”

Speak Straight – Al-Qur’an Surah Al-'Aĥzāb 33:70



“O you who have believed, fear Allah and speak words of appropriate justice.” 
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar.”

Speak Justice – Al-Qur’an Surah Al-'An`ām 6:152


“And do not approach the orphan’s property except in a way that is best until he reaches maturity. And give full measure and weight in justice. We do not charge any soul except [with that within] its capacity. And when you testify, be just, even if [it concerns] a near relative. And the covenant of Allah fulfill. This has He instructed you that you may remember.” 
“Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, sehingga ia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada sesorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, kendatipun ia adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat.”

Speak Kindly – Al-Qur’an Surah Al-Baqarah 2:83


“And [recall] when We took the covenant from the Children of Israel, [enjoining upon them], “Do not worship except Allah; and to parents do good and to relatives, orphans, and the needy. And speak to people good [words] and establish prayer and give zakah.” Then you turned away, except a few of you, and you were refusing.” 
“Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji dari Bani Israil (iaitu): Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Kemudian kamu tidak memenuhi janji itu, kecuali sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu selalu berpaling.”

Speak Politely – Al-Qur’an Surah Al-'Isrā' 17:53


“And tell My servants to say that which is best. Indeed, Satan induces [dissension] among them. Indeed Satan is ever, to mankind, a clear enemy.” 
“Dan katakanlah kepada hamha-hamba-Ku: “Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

Speak Fairly – Al-Qur’an Surah Al-'Isrā' 17:28


“And if you [must] turn away from the needy awaiting mercy from your Lord which you expect, then speak to them a fair word.” 
“Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk memperoleh rahmat dari Tuhanmu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka ucapan yang pantas (saksama).”

Speak Gently – Al-Qur’an Surah Ţāhā 20:44



“And speak to him with gentle speech that perhaps he may be reminded or fear [Allah].” 
“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Speak Graciously – Al-Qur’an Surah Al-'Isrā' 17:23


“And your Lord has decreed that you not worship except Him, and to parents, good treatment. Whether one or both of them reach old age [while] with you, say not to them [so much as], “uff,” and do not repel them but speak to them a noble word.” 
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “Ah,” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Speak Not in Vain – Al-Qur’an Surah Al-Mu'minūn 23:3



“And they who turn away from ill speech.” 
“Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna.”

Speak No Lie – Al-Qur’an Surah Al-Ĥaj 22:30



“That [has been commanded], and whoever honors the sacred ordinances of Allah – it is best for him in the sight of his Lord. And permitted to you are the grazing livestock, except what is recited to you. So avoid the uncleanliness of idols and avoid false statement.” 
“Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan apa-apa yang terhormat di sisi Allah maka itu adalah lebih baik baginya di sisi Tuhannya. Dan telah dihalalkan bagi kamu semua binatang ternak, terkecuali yang diterangkan kepadamu keharamannya, maka jauhilah olehmu berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan-perkataan dusta.” 

^ BICARA SOAL CINTA DIA ^


BICARA SOAL CINTA DIA

Bismillahirahmanirahim. Alhamdulillah nahmuduh wanastanginu wastaghfiru, wanauzubillahi minshariru anfusina wamin sayyiatina a'malina, asyhadu allailahailallah, wa asyhaduan namuhamad abduhuwarasuluh. 

Ya Allah,
Aku datang lagi berbicara soal cinta-Mu,
Cinta yang ingin ditiup,
Dengan angin sederhana,
Seperti kayu yang menjadi abu,
Namun dibakar api sayu-sayu.

Ya Allah,
Di dalam seratus doa,
Yang aku hantarkan pada-Mu,
Aku cuma ingin Kau bilaskan,
Keampunan dan terangi jalanku,
Agar hati bisa menyentuh,
Rasa nikmat dan rindu akan cinta-Mu.

Ya Allah,
Dalam kehinaan,
Aku datang menitiskan airmata,
Dalam sujud menghadap-Mu,
Aku berharap,
Agar Kau bukakan suatu jalan buatku,
Untuk mengarifi makna sebuah hidup,
Dalam menggenggam cinta buat-Mu.

Sabda Rasulullah :
"Tiada yang lebih aku suka dari dua titisan, iaitu titisan darah yang tumpah kerana jihad fisabilillah dan titisan air mata kerana takut dan rindu kepada Allah SWT."

Monday, 13 February 2012

^ MENYAMBUT HARI MEMPERINGATI KEKASIH (VALENTINE’S DAY).... HUKUMNYA HARAM DISISI ISLAM ^



Di dalam Islam terdapat perayaan yang disyariatkan oleh Allah S.W.T. iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Anas bin Malik r.a berkata: Nabi S.A.W. pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.”  (Hadis riwayat Nasaai) 

Selepas kurun ke 3 Hijrah, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulidur-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan lain-lain lagi.

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam malah ianya berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Hari Halloween dan juga Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) yang sedang kita perbincangkan ini.


Terdapat larangan daripada baginda S.A.W. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut. Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Barangsiapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Hadis Nabi S.A.W yang lain bermaksud : "Sesiapa yang reda dengan kufur maka diamenjadi kufur"

Tarikh 14hb Februari merupakan hari yang dianggap keramat oleh pasangan-pasangan yang sedang berkasih. Hari yang dikenali sebagai Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) dianggap sebagai satu masa untuk mengisytiharkan ketulusan cinta kepada pasangan masing-masing. Maka pada 14hb Februari pasangan-pasangan kekasih ini akan memakai pakaian-pakaian yang terbaik dan sebaiknya hendaklah ia berwarna merah, bertukar-tukar hadiah dan seeloknya adalah bunga ros berwarna merah. Pasangan-pasangan kekasih ini juga akan bercanda di merata-rata tempat sehingga terjadilah adengan-adengan maksiat yang bertentangan dengan syarak demi untuk membuktikan kasih dan sayang mereka yang tidak ternilai harganya.

Setiap tahun juga para ulamak mengingatkan kepada umat Islam agar menghindari menyambut Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) ini namun ianya tidak di hiraukan oleh golongan remaja dan muda-mudi umat Islam, mereka tetap menyambut dan meraikannya.

Oleh itu untuk menyedarkan umat Islam terutama mereka yang sedang bercinta sebenarnya hari tersebut mempunyai kaitan dengan sejarah agama Kristian, sejarah Rom Kuno dan sejarah mereka bergembira kerana kejatuhan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol . Hari Memperingati Kekasih tidak ada kena-mengena dengan umat Islam malah hukum menyambutnya adalah haram.



Terdapat 3 pendapat kenapa orang Kristian menyambut Hari Memperingati Kekasih (Valentine's Day) :

Pendapat Pertama : Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru itu Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

Pendapat Kedua : Mengaitkannya dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia. Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13hb hingga 18hb Februari. 

Pendapat Ketiga : Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan beliau itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Sambutan Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) ini merupakan satu upacara yang berhubung-kait dengan agama Kristian dan Rom Kuno sebagaimana yang telah penulis paparkan di atas. Justeru itu bagi mereka yang menyambut hari tersebut ditakuti dia tergolong dalam ke dua golongan tersebut sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. di atas. Apabila seseorang itu merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali peristiwa kematian St. Valentine dan menyambut peristiwa yang berlaku semasa Rom Kuno jelas akan menjejaskan akidah Islam, maka tidak disangsikan lagi bahawa perbuatan tersebut boleh menyebabkan pelakunya terkeluar dari agama Islam.

Sambutan Hari Memperingati Kekasih juga seolah-oleh kita reda dengan kegembiraan orang Kristian merayakan kemenangan mereka menjatuhkan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol yang mana sejarah terlah menceritakan ratusan ribu umat Islam disembelih, masjid ditukar menjadi gereja dan hukum-hukum Islam telah ditukar dengan hukum-hukum menurut agama meraka. Adalah sesuatu yang amat memalukan jika kita bersekongkol dengan orang kafir untuk meraikan hari tersebut. Jika ini berlaku maka kita telah mendedahkan diri kita untuk mendapat kemurkaaan Allah S.W.T kerana terang-terang perayaan tersebut menentang hukum-hukum Allah S.W.T.


Apabila dia tidak bermaksud sedemikian dan menyambut Hari Memperingati Kelasih (Valentine's day) sekadar untuk bersuka-ria maka dia sebenarnya telah melakukan suatu kemungkaran yang besar kerana sambutan hari tersebut menyerupai perbuatan golongan yang durhaka kepada Allah S.W.T.

Tambahan pula sambutan ini turut diikuti dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan, membuang masa dengan berpeleseran ke tempat-tempat yang tak tentu hala malah mencurigakan dan membazir wang dengan memberi hadiah yang mahal-mahal. 

Tentang hukum menyambut Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) , Syaikh al-‘Utsaimin berkata: “Maka bila dalam merayakan Hari Valentine tersebut bermaksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.” 

Tidak dapat dinafikan pergaulan bebas ketika sambutan hari tersebut ini membuka pintu perzinaan sedangkan Allah S.W.T. memerintahkan kita untuk menutup segala ruang yang boleh menyebabkan terjadinya perzinaan. Firman-Nya yang bermaksud : "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." ( Surah al-Israa’ ayat 32) 

Sebagaimana yang telah dilaporkan dalam akhbar arus perdana, Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahaya Mohamed Yusof telah menegaskan bahawa kes remaja hamil anak luar nikah meningkat pada akhir Februari dan awal Mac. Beliau berkata: “Sebahagian besar remaja yang ditempatkan di Kewaja mengadu mereka lupa diri ketika menyambut Hari Memperingati Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka keluar berpasangan dan berpesta sehingga larut malam, kemudian mengambil pil khayal hingga tidak sedar terlanjur lalu hamil.”

Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah S.W.T.. Firman-Nya yang bermaksud : "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar)". 
(Surah al-Baqarah ayat 120)

Oleh itu mereka mempopularkan sambutan Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) ini di negara-negara Islam dan menampakkan sambutannya sebagai satu perkara yang begitu romantis serta indah bagi pasangan-pasangan yang ingin membuktikan perasaan cinta mereka. Inilah sebenarnya sikap syaitan yang sentiasa berusaha untuk menyadur perbuatan maksiat agar kelihatan seperti satu perkara yang baik dan diamalkan oleh manusia tanpa rasa berdosa. Firman-Nya yang bermaksud : "Iblis berkata: 'Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik".(Surah al-Hijr ayat 39-40)

Bersandarkan kepada hujah-hujah di atas maka para ulamak telah merumuskan bahawa sambutan Hari Memperingati Kekasih (Valentine's day) adalah diharamkan bagi seluruh umat Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Memperingati Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”.

Oleh itu marilah sama-sama kita berkempen kepada semua umat Islam agar meninggalkan amalan songsang ini dan jangan sekali-kali merayakannya kerana dikhuatiri akan menjejaskan akidah kita sebagai umat Islam. Jika kita berdiam diri dan tidak memberi nasihat kepada umat Islam, remaja dan muda mudi kita akan bahaya perayaan tersebut ditakuti bala yang turun nanti bukan saja menimpa kepada orang yang melakukan maksiat tetapi kita juga akan turut mendapat kesannya. 

^ DIMANA HENDAK DIPEROLEHI TEMAN SEJATI??? ^


DIMANA HENDAK DIPEROLEHI TEMAN SEJATI??? 

ANTARA kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan. Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperoleh di dunia ini, sekalipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang sebenar. 

Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti berbohong apabila ujian datang melanda. Bahkan banyak persahabatan dalam dunia ini pun terjadi di atas kepentingan tertentu. Maka tidak hairan jika ia akan berakhir disebabkan kepentingan tertentu jua. Bahkan ada persahabatan yang diasaskan di atas kejujuran namun berakhir disebabkan kepentingan. 

Memiliki persahabatan yang jujur dalam erti kata sebenar adalah nikmat kehidupan. Namun ia sebenarnya sukar diperoleh secara meluas di alam maya ini melainkan dalam sejarah kehidupan golongan yang beriman dalam makna yang sebenar. Bahkan baginda Nabi s.a.w. menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai sahabat tanpa kepentingan melainkan kerana Allah semata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman. 

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah dan rasul-Nya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka "  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya dapat mengecapi kenikmatan dan kekhusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, baginda s.a.w. menyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham. Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana Allah semata? 

Pastilah hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredaan Allah. Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada Allah, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat berasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana Allah. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta. 

Hubungan persahabatan seperti itu tidak ada di alam gelora manusia yang berkawan dengan seseorang kerana kepentingan atau kedudukan atau harta. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatupadukan di antara jantung hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana" 

Ia hanya wujud dalam alam persahabatan yang dibina atas nama iman dan Islam. Maka kita akan lihat kesetiaan antara para pejuang Islam yang ikhlas sepanjang sejarah penuh dengan ajaiban. Mereka hapuskan dalam diari hidup perkataan khianat, kebencian dan permusuhan dari belakang, lalu digantikan dengan “aku kasihkan engkau kerana Allah.” Kasih itu berkekalan semasa sahabatnya di puncak atau berada di bawah. Sama ada sahabatnya masih hidup, atau setelah meninggalkan dunia ini. Ini kerana tempat rujuk kasih mereka Maha Tinggi Lagi Tiada Kesudahan bagi-Nya, iaitu Allah s.w.t. 

Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraisy yang menentang Nabi s.a.w. lalu dibawa untuk dibunuh dan Abu Sufyan – ketika itu belum menganut Islam- bertanya kepadanya: “Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah, tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu.” 

Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku.” 

Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad.” (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). 

Ya! Kasih yang mengharapkan hanya ganjaran Allah. Inilah kasih para pejuang yang sebenar antara mereka. 

Persahabatan kerana Allah, memberi tanpa minta diganti, menyokong tanpa minta disanjung, memuji tidak kerana budi, berkorban tanpa menuntut ganjaran. Namun semuanya hanya mengharapkan kurniaan Allah jua yang menjadi punca kecintaan dan kasih sayang itu mekar antara satu sama lain. Sudah pastilah persahabatan itu dibina atas kebenaran yang sentiasa tunduk dan patuh kepada titah Allah dan Rasul-Nya. Alangkah indahnya suasana ini. Justeru itu Allah memuji golongan Muhajirin dan Ansar lalu dirakam kasih sayang antara mereka dalam al-Quran. 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : "Bagi golongan fakir yang berhijrah, yang mereka diusir dari kampung halaman dan harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah dan keredaan-Nya. Mereka menolong (agama) Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Orang-orang yang telah mendiami kota (Madinah) dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka itu (Muhajirin), mereka mencintai orang berhijrah kepada mereka. Mereka tiada menaruh sebarang keinginan (balasan) dalam dada mereka terhadap apa- apa yang diberikan kepada Muhajirin. Mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang- orang yang beruntung. Adapun orang- orang yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: 'Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang'."  
(Surah al-Hasyar 8-10). 

Hanya insan-insan yang seperti ini sahaja yang akan berasa manisnya perjuangan yang mereka bawa. Ini kerana mereka jelas matlamat yang hendak dituju dan jalan yang hendaklah dilalui. Bebas dari kepentingan diri, yang tinggal hanya kepentingan cita-cita yang suci. Maka tidak ada cerita jatuh-menjatuh antara mereka kerana jawatan dan pangkat. Sebaliknya, sering ingin memberi kerana matlamat mereka adalah keredaan Allah. Ia tidak dicapai dengan tumpas-menumpas sesama pejuang yang betul niat dan tujuannya. Sebaliknya keredaan itu dicapai dengan sering tolong- menolong kerana Allah. Jika itu tidak ada, perjuangan itu untuk dunia semata dan pasti dalamnya penuh kepahitan walaupun pada zahir ada harta dan kemewahan. 

Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda maksudnya : "Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada hari kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?” Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta-mencintai dengan roh Allah, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita.” Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) 'Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita'."  (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani) 

Inilah golongan yang dilindungi Allah pada hari kiamat. Di dunia mereka mendapat kenikmatan persahabatan yang jujur dan ikhlas, di akhirat mereka dilindungi Allah. Nilai persahabatan bukan pada wang atau peluang yang diberi. Atau kedudukan dan kerusi yang disogokkan. Semua itu tiada erti, jika ‘ada udang di sebalik mi’. Sesungguhnya senyuman ikhlas seorang sahabat sejati, lebih bererti dari dunia dan segala isinya, sehingga Nabi s.a.w. menyebut: "Senyumanmu buat wajah saudaramu itu adalah sedekah" (Hadis riwayat al- Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani). 

Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Mendengarnya sahaja amat memeritkan, apatah lagi jiwa yang mengalaminya. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina di atas kepentingan diri masing-masing. Ditikam oleh musuh, tidak seperit pedihnya seperti ditikam oleh sahabat yang rapat. Dirompak oleh perompak tidak sekecewa ditipu oleh rakan yang dipercaya. Dijatuh oleh lawan tidak sedahsyat direbahkan oleh teman seperjuangan. 

Namun itu realiti dalam maya pada ini bagi hubungan sesama insan yang tidak dibina atas nama Tuhan. Jika ada pihak yang jujur dalam persahabatan, tetapi pengkhianatan berlaku bererti sama ada dia silap memilih teman, atau prinsip perjuangan. Maka dalam memilih sahabat, lihatlah hubungannya dengan Tuhan dan atas apa kita membina persahabatan dengannya. 

Saya rasa dalam dunia perniagaan dan politik, persahabatan sejati amat sukar dicari. Bukan perniagaan atau politik itu kotor; kedua-duanya termasuk dalam ajaran Islam. Namun kedua bidang itu apabila tidak berpandukan ajaran Allah dan Rasul-Nya maka akan menjadi sangat rakus, biadab, penuh kepura-puraan, tidak berprinsip, tidak menghargai rakan dan taulan, bicara dan bahasanya penuh kemunafikan. Kepentingan diri masing-masing kadangkala bagai Tuhan yang disembah. Sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan diri, apa yang dia tidak akan lakukan jika perintah oleh Tuhan yang sebenar pun. Banyak perintah agama dia kata tidak mampu, namun jika ada kepentingan politik atau urus niaga lebih daripada itu dia sanggup lakukan. 

Firman Allah dalam surah al-Jathiah, ayat 23: (maksudnya): "Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya Tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana pengetahuan-Nya (tentang kekufuran mereka), dan ditutup pula atas pendengarannya dan jantungnya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikannya berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak mengingati?." 

Betapa ramai orang politik yang dikelilingi para pengikutnya, lalu mereka hilang apabila kuasa tiada lagi. Pada hari dia berkuasa; semuanya menjerit dan memuja, seakan sanggup hidup dan mati bersama. Namun apabila dia tidak mampu lagi memberi harta, pangkat dan kedudukan, melintas pun belum tentu bersalaman. Telah banyak bukti hidup dan mati yang tidak dapat dihitung lagi. Bahkan ada yang sehingga mati tidak dikunjungi. Namun jika anda berharta, sehingga ke pusara ada yang masih tunjuk muka. Bukan kerana kenang jasa, tapi kenang apa yang boleh dipusaka. 

Tanpa iman, tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Belum tentu ianya ikhlas dari hati sanubari. Mungkin diri anda atau perkara yang sama jika anda lakukan pada hari anda tiada kuasa atau harta, orang sama akan mencebik dan menghina anda. Tetapi dek penangan kuasa dan harta; rupa anda yang ‘biasa-biasa’ dikatakan lawa, pidato anda yang tidak sedap dikatakan hebat, pendapat anda yang kolot dikatakan maju, idea yang lapuk dikatakan bernas, pandangan yang lemah dikatakan berhikmah, penampilan yang tidak bermaya dikatakan bercahaya. Semuanya kerana ingin mengampu kuasa dan harta. Jika anda hidup dalam iklim sedemikian, percayalah persahabatan dan pengikut yang mendakwa setia semuanya bohong belaka. Anda hidup dalam alam khayalan seperti berkhayalnya seorang mabuk yang melihat wanita tua bagaikan gadis yang cantik menawan. 

Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Carilah prinsip perjuangan yang Allah reda, kita akan bertemu di sana sahabat-sahabat yang setia kerana Allah. Jika anda pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, anda akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan. 

Lebih mendukacitakan Allah berfirman: (maksudnya) "Sahabat handai pada hari tersebut (kiamat) bermusuhan antara satu sama lain, kecuali golongan yang bertakwa."  (Surah al-Zukhruf: 67). 

Ya, seperti di dunia mereka melepaskan diri apabila hilang kepentingan yang dicari, di akhirat mereka bermusuhan apabila melihat azab Tuhan yang terhasil dari dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia. Oh! Di mana hendak dicari teman yang sejati? Ya! Carilah perjuangan yang berprinsip dan diredai Allah, di dataran itulah kalian akan temui teman sejati. 

Thursday, 9 February 2012

^ APAKAH PERASAAN BILA CINTA DITOLAK? DAN APA PERASAAN BILA CINTA BERBALAS? ^



APAKAH PERASAAN BILA CINTA DITOLAK? DAN APA PERASAAN BILA CINTA BERBALAS?

Disini nak kongsi tanda-tanda dilamun cinta dengan Yang Maha Pencipta: 
Suka untuk bertemu denganNya. Tak sabar untuk bertemu-Nya. Tak berjumpa sesaat seolah-olah jadi tak menentu. Persediaan dibuat setiap kali sebelum bertemu-Nya. 

1. Mendahulukan-Nya lebih dari yang lain. Segala kehendak-Nya diutamakan dan yang dilarang cepat-cepat dijauhkan. 

2. Gembira sangat-sangat bila bersama-Nya. Ingin sentiasa bersama walau dimana. Susun kata indah bila hendak bertemu. Ayat-ayat cinta kita luahkan pada-Nya sebagai pujian keatas-Nya. 

3. Tidak sedih kehilangan segalanya kerana cinta terhadap Allah melebihi segalanya. 

4. Nikmat melakukan ketaatan pada-Nya. Membela agama-Nya sudah cukup membuatkan kita terasa nikmat di dunia. 

5. Tegas terhadap mereka yang menghina Islam. 

'Terkadang dalam hidup ini kite perlu korbankan nikmat yang sedikit untuk mendapat yang lebih besar'. Itulah tanda-tanda kita dilamun cinta bersama-Nya. Adakah cinta kita berbalas???atau kita dalam dilema cinta si dia atau si "DIA"??? Moga kita semua mendapat cinta-Nya... ~