Monday, 31 October 2011

^ AKU MASIH DISINI ^


AKU MASIH DISINI

Aku masih disini menanti hadirmu,
Mengotakan janji tersungkur kehausan,
Berpaut pada madah yang dulu kau ungkapkan...

Aku disini.. Dahagakan cintamu,
Di persisiran tandus seakan tiada erti,
Yang hanya berteman,
Hembusan bayu menyusup ke hati,
Seakan suara mu membisikan harapan..

Bayu meniup mengoncang pepohonan,
Dedaun berguguran di sulami nestapa,
Wajah yang sepi di silang air mata,
Membasahi bumi merawat hati luka..

Disini aku,
Masih aku,
Sang pengemis cintamu,
Sang penagih janjimu..
Sang pendamba kasihmu,

Akan ku terus menanti hadirmu
Walau diranap waktu..
Walau di hempas ombak,
Gelora di hatimu..

Dan biarkan aku disini,
Sehingga berpusara..
Mendambakan cintamu,
Hingga ke hujung waktu...

^ SEBUAH HARAPAN DAN SATU KENANGAN ^


SEBUAH HARAPAN DAN SATU KENANGAN

Kalau saja ada yang lebih indah dari cinta,
Hanya kepadamu aku persembahkan.
Andai lembayung sutera dapat ku gapai dan ku bawa,
Hanya untukmu aku berikan.

Bagai meniti langkah disenja hari,
Seakan diri tiada erti,
Takut akan datangnya malam,
Seperti apa diri di esok pagi.

Lihat bintang diatas sana,
Tak mungkin indah bila sendiri,
Hati ini begitu adanya,
Berharap kau faham dan mengerti.

Cuba kau dengar gemercik air,
Riaknya seakan saling berbisik,
Terdengar lembut menyebut namamu,
Lambat tapi terdengar syahdu.

Dan aku pun mulai tersenyum,
Ketika semua dapat ku rasa,
Indah dan begitu indah ku rasa,
Dan sungguh itu yang ku rasa.

Kini semua telah terjadi,
Telah ku takluki satu hati,
Yang tak mungkin aku tinggal pergi,
Walau belum ada kata pasti.

... andai dia disini,
... andai dia mengerti.

^ ISLAM MEMULIAKAN WANITA ^

Terkadang, saya sangat kasihan pada lelaki yang terpaksa mujahadah sekeras-kerasnya apabila berhadapan dengan wanita. Apabila longgokan masalah sosial berlaku, semua wanita yang menjadi mangsa lelaki akan menyalahkan lelaki yang bermata keranjang, lidah bercabang, kuda belang harimau bintang semua keluar... 

Tetapi, yang menjadi kelakarnya kenapa tidak menyalahkan diri sendiri yang membuka seluas-luasnya kekeranjangan mata sang lelaki dengan pakaian ketat dan sendat, baju adik-adik tu tak perlulah nak pakai lagi. Malu pada adik yang kecil tengok kakak pakai baju adik. Kelakar bila perempuan marah-marah menyampah apabila lelaki melihatnya sedangkan dia sendiri yang menyembur haruman sehingga bermeter pun boleh bau. 

Kalau nak berhias, memakai haruman dan berfesyen mengikut peredaran zaman tidak salah bahkan saya sangat setuju tetapi cukuplah di hadapan suami. Nak pakai baju terdedah di dada, skirt singkat nampak punggung sekalipun tidak mengapa tetapi cukuplah di hadapan suami. Kalau tak nak pakai apa-apa sekalipun tak apa tetapi hanya di hadapan suami. Fuhhh... Ada berani? 

Malu itu sebahagian dari iman jadi kalau tidak malu mempamerkan aurat itu tandanya imannya sakit, malaikat pun bertempiaran bila wanita mendedahkan aurat maka apabila kalian membuka aurat ia adalah galakan dan suntikan untuk mengatakan 'syaitan, mari.. mari dekatku!' dan apabila diganggu lelaki berperangai syaitan usahlah terpekik merasa pelik dengan tingkahlaku lelaki begitu!

Di hadapan lelaki, wanita dihias-hias oleh syaitan dan nampak begitu cantik. Jadi, usahlah menambah 'perisa' dalam adunan yang telah diadun oleh syaitan sebaliknya bentengkan perisai diri dengan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna supaya setiap langkah kaki di luar rumah dijaga oleh malaikat. Insya Allah.

Wanita dan kecantikan, wanita dan perhiasan adalah lumrah. Fitrah yang disuburkan ke dalam diri wanita tetapi letakkan fitrah itu sesuai pada tempatnya. Jangan sehingga fitrah menjadi fitnah, bimbang musnah kecantikan dan perhiasan sejati iaitu al-haya' (malu) yang senada dalam diri wanita. 

Islam memuliakan wanita dan sangat menjaga wanita supaya tidak menjadi tatapan lelaki kerana wanita itu terlalu istimewa."

^ DUHAI WANITA ^


Jika anda wanita sejati, anda patut berasa rugi kerana ketahuilah lelaki tidak akan kehilangan apa-apa biar seramai manapun perempuan yang berada di sekelilingnya, tetapi anda sebagai wanita pasti rugi setiap kali ada tangan-tangan yang tidak berhak hinggap di tubuh anda.

Sanggupkah anda membiarkan diri anda disentuh sehingga tiada mahalnya lagi diri anda dan digelar perempuan murahan? Apa untungnya digilai dan diminati, kemudian berkorban sesuatu yang ditagih atau diragut dengan kasar,kemudian anda ditinggalkan pergi. Di manakah nilai anda setelah jatuh ke tanah dan kedua-dua sayap anda telah tiada? 

Wahai wanita.. kasihanilah diri kita dengan menjadikan diri ini berharga. Nilai kita terletak pada harga diri yang sanggup dibayar oleh seorang lelaki dengan harga kejujuran. Apalah erti digilai jika yang menggilai itu hanyalah lelaki yang tidak tahu diri. Kita sama sekali tidak berharga biarpun tinggi nilainya di mata lelaki yang tahu nilainya melihat anda sebagai 'alat'. tapi anda ibarat mutiara di dasar lautan di mata seorang lelaki yang jujur. 

Biar bersikap memilih (yang sewajarnya) daripada tersalah pilih. Biar hidup sendiri dan selesa membina pahala daripada berdua tetapi menjadi pencetus dosa ke neraka. Biar hidup sendiri dan masih kekal serinya daripada dikelilingi lelaki tetapi telah hilang maruah diri. Biar menjadi rama-rama dengan sayapnya yang terang dan indah daripada sang kelkatu yang menerjah api. 

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang terzahir daripadanya." (An-Nur : 31) 

Terkadang kita tercari-cari di mana matahari buat kita, disusuli pula guruh, petir, kilat buat kita. Tetapi percayalah selepas hujan, Allah telah menyediakan pelangi buat kita… renungkanlah…

Jangan asyik menyalahkan kumbang kalau bunga layu ditangkainya... tapi tengok-tengoklah baja yang digunakan...

^ LELAKI...!!! USAH DIBUANG CEMBURUMU ^


Seorang lelaki diciptakan mempunyai emosi yang tidak selemah wanita, zahirnya gagah kerana Allah menciptakan lelaki untuk menjadi pemberi nafkah kepada wanita, penjaga wanita dalam segala hal ehwal dunia dan akhirat. Allah juga mentakdirkan seorang lelaki lebih baik dalam urusan mengawal emosi berbanding wanita, tetapi tidak dinafikan apabila rohani dibiarkan sepi maka emosi lelaki juga sukar untuk dikawal maka lahirlah lelaki yang berwatak bengis (dan sifat mazmumah lain). 

Perasaan cemburu selalunya lahir apabila kita menyayangi seseorang. Apabila kita menyayangi isteri/suami maka kita akan cemburu melihat ada insan lain yang menyaingi kasih sayang kita terhadap insan yang kita kasihi. Kita cemburu apabila melihat adik-beradik yang lain mendapat perhatian lebih dari ibubapa. Kita cemburu melihat kejayaan rakan-rakan yang berada di sekitar. Kita cemburu melihat nikmat yang dimiliki oleh orang lain tetapi tidak kita merasai nikmat tersebut. 

Cemburu itu perlu di dalam diri manusia tetapi tidak perlu diletakkan pada semua tempat. Cemburu harus bertempat. Ada tempat (masa dan ketika) kita perlu merasa cemburu bahkan wajib untuk menjadi cemburu, ada pula suasana kita tidak perlu merangsang perasaan cemburu dan semestinya kita perlu membuang perasaan cemburu buta. 

Buat para lelaki... Sebagai seorang ayah, suami, abang mahupun adik... Seharusnya perasaan cemburu tidak dibuang atau dikuburkan sedikit demi sedikit yang mana akhirnya semuanya hilang dimakan usia dan yang tinggal hanyalah perasaan kasih tetapi tanpa adanya cemburu apabila melihat insan yang dikasihi 'dizalimi' tanpa pembelaan. 

Di dalam al-Quran, Allah ingatkan para lelaki bahawa isteri dan anak-anak adalah ujian kepada kalian. Ujian dalam mendidik untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa, ujian dalam mencari nafkah yang halal dan barakah, ujian dalam membentuk keluarga sakinah, dan macam-macam ujian yang sudah Allah beritakan kepada kalian namun jarang sekali yang ambil iktibar.

Bila melihat para wanita tidak memakai pakaian mengikut syara' secara peribadinya diri sendiri yang malu kerana setiap wanita itu tidak banyak bezanya. Apa yang ada pada wanita di luar, itu jugalah ada pada wanita ini... Kerana itu, Rasulullah pernah menasihatkan apabila seorang suami yang melihat wanita dan berkeinginan terhadap wanita tersebut maka dia perlu segera bertemu dengan isterinya kerana apa yang ada pada wanita tersebut, ada pada isterinya.

Namun, para lelaki kini sudah semakin terhakis perasaan cemburu terhadap insan yang dikasihi. Tiada lagi rasa cemburu apabila isteri/anak/kakak/adik mempamerkan perhiasan (yakni tidak menutup aurat dengan sempurna) malah merasa bangga apabila susuk montok dan jalan penuh lenggok wanita dibawah jagaannya menjadi perhatian ramai. 

Tiada lagi rasa cemburu apabila wanita di bawah jagaannya tidak melaksanakan syariat Allah, tiada rasa kasih pada mereka yang tidak melaksanakan solat, tidak berpuasa... Semuanya bagaikan kasih tanpa rasa, seolah-olah hanya kasih kepada nafsu sendiri. 

Pernahkah terlintas atau tertanya: 
"Aku ni tak cemburu ke bila lelaki lain melihat perhiasan (yakni fizikal) isteri atau anak-anak?"

Pernahkah para wanita tertanya :
"Ayah ku/suami ku/abang ku/ adik (lelaki) ku, tidakkah terbit rasa cemburu apabila aku mempamerkan auratku di hadapan orang lain?"

Mungkin kalian terlupa...

"Bila kita sayangkan seseorang, kita nak sama-sama masuk ke Syurga dengannya atau setidak-tidaknya kita tidak menjadi penyebab dia terjerumus ke dalam Neraka." 

Wahai lelaki budiman yang beriman, usah dibuang cemburumu...!

Wallahua'lam

^ MUKADIMAH HIDUP ^

MUKADIMAH HIDUP

... Berikan sepenuh kasih sayang kepada ibu bapa, kerana mereka adalah pemegang tali penghubung nyawa ketika kamu meningkat dewasa; kasih mereka terhadap anak adalah kasih dari titisan air mata dan titik peluh yang tak mungkin terbalas.

... Kepada guru, hendaklah ingat akan jasa jasanya kerana dia adalah satu satunya pemegang pelita yang menerangi kegelapan hidup kita; kerana hidup tanpa ilmu adalah hidup yang sia-sia.... 

... Kasihi akan keluargamu, kerana mereka adalah insan yang terdekat sekali di dalam hidup kita dan tidak mungkin dipisahkan dengnan apa jua pun, bagai air yang dicincang tak akan putus,

... Berbudi luhur dan beramah mesra dengan jiran tetangga, kerana mereka adalah sebahagian daripada keluarga kita. 

... Kepada sahabat, hendaklah berlaku jujur dan hormat menghormati dalam memupuk pergailan yang abadi; kerana sahabat yang sejati ibarat bintang yang menghiasi malam. 

... Dalam kebahagian dan kesusahan putaran hidup ini terdapat sekuntum hati yang sama merasai; adalah teman hidup. Tatangilah perkongsian hidup yang suci ibarat menatang mutiara yang tiada ternilai harganya; kerana satu satunya jiwa yang boleh memberikan ketenangan dan kemanisan hidup dalam dunia yang penuh kepahitan.

... Jika kita bandingkan hidup yang singkat di dunia ini dengan hidup yang abadi di alam akhirat, maka hidup ini adalah mimpi belaka.

... Oleh itu sayangilah dirimu, cintailah Allah, kasihi akan rasul-Nya, kerana tidak dijadikan kekasih-Nya, Muhammad, melainkan menjadi rahmat semesta alam.

^ NASIHAT UTK ORANG YANG BERCINTA ^


NASIHAT UTK ORANG YANG BERCINTA

1.   Janganlah kau membiarkan kemanisan bercinta dihirup sebelum engkau berkahwin
      dengan ‘si dia’. 

2.   Bercintalah kau dengannya sekadar sahaja. Kelak mungkin ‘si dia’ bukan jodoh untukmu. 

3.   Jika kau ingin berbahagia seumur hidup, tahanlah dirimu untuk berbahagia sebelum
       engkau berhak menjadi milik ‘si dia’. 

4.   Jika engkau menyintainya, binalah asas perkahwinan dengan tidak melanggar syariat-
       Nya. 

5.   Kebahagiaan yang kau lihat sebelum berkahwin hanya palsu, yang hakikatnya adalah
       selepas kau diijabkabulkan. 

6.   Jikalau engkau inginkan pasangan hidupmu yang terbaik dalam untukmu, maka
       engkaulah yang patut menjadi yang terbaik dahulu. 

7.   Membina keserasian sebelum berkahwin bukanlah dengan cara berdating, cukuplah
       sekadar engkau tahu apa yang perlu kau tahu. 

8.   Bercintalah untuk mencapai cinta-Nya. 

9.   Jika engkau masih belum bercinta, tahanlah dirimu untuk bercinta sehingga yakin cinta
       tersebut membawamu ke gerbang perkahwinan. 

10. Jangan biarkan nafsumu dengan cinta yang tidak diterima di sisi Allah, kelak Allah akan
       tarik kebahagiaan darimu. 

✿~ Selamat Bercinta Sampai ke SYURGA ~✿