Thursday, 24 May 2012

^ MUSIBAH AGAR LEBIH TABAH ^


MUSIBAH AGAR LEBIH TABAH 

Sungguh tidak berdaya sang semangat tatkala berdepan dengan ujian yang maha dahsyat, malahan bertubi-tubi datang seperti undangan yang telah lama tersimpan. Wahai sang hati, mampukah kamu menanggung segalanya? Air mata, mampukah menahan mutiaramu dari jatuh berguguran bagai kemboja di baham taufan? Subahanallah, hebat pergelutan perasaan ketika berdepan dengan situasi yang tidak pernah kita impikan. Perit. 

“Dijadikan mati dan hidup kepada kamu untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya.” [Surah al-Mulk: 3] 

“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?” [Surah al-Ankabut: 2]

Namun itulah yang biasanya terjadi, ujian untuk menguji tahap ketahanan dengan mengikut kemampuanmu sang hamba! Terimalah dengan hati yang terbuka, lapangkanlah dadamu, yakinlah Allah akan membelanya. Bukankah Allah itu cukup untuk menyakinkanmu terus gagah melangkah? 

Berbalik kepada dunia realiti, sama seperti manusia lain kita sebenarnya lemah. Dimana pun mesti ada khilafnya, anggaplah jua ujian itu untuk menghapuskan dosa-dosa mu yang kecil yakni kifarah. Orang lain tidak mampu untuk memahami permasalahan kita, kerana orang yang tepat berdepan dengan ujian itu adalah kita sendiri, jadi bangkitlah dan selalulah bersangka baik. Itulah ubat dan penawar bagi sang hati. 

Cerita perkongsian ujian yang melandaku waktu ini jua banyak merenggut kesabaranku, namun setelah mengamatinya barulah disedari rupanya hikmahnya indah dan lebih baik. Allah tidak pernah sesekali menganiayai hambanya malahan mengajar kita erti hidup dan kesabaran. Jika syurga adalah matlamat hidup kita, mengapa di endahkan lagi nikmat dunia yang sementara itu di tarik balik. Cubalah lagi! Berusaha lagi! Insha'Allah Dia pasti menolongmu. 

Coretan ini bukan sahaja peringatan pada diriku, malah untuk tatapan sahabat di luar sana yang sedang mengalami kekecewaan serta ujian yang terlalu berat dan terhimpun banyaknya. Jangan bersedih! mohon pertolongan Dia Yang Maha Mendengar,tapi ianya juga bukanlah tiket untuk memendam rasa dan tertekan, menangislah! Itulah tanda lemahnya kudrat sang hamba, merayu lah pada Allah Yang Tidak Pernah Tidur dan Maha Mengetahui.. 

Setelah habis segala usaha yang telah kita lakukan tawakkallah kepada-Nya, redha dengan apa yang telah terjadi. Berikanlah ketenangan buat hatimu. Segala musibah membuatkanmu lebih tabah! berterima kasihlah kepada Allah dengan ujian di beri, itulah tanda cinta dan kasih sayang-Nya buat hamba-hamba-Nya.

^ DALAM MENCARI REDHA-MU ^


DALAM MENCARI REDHA-MU 

Ya Rabb… 
Dalam mencari redha dan cinta-Mu, 
Seringkali aku tersasar dan tersalah langkah, 
Juga sering aku berfikir, 
Berapa besar khilaf yang telah ku lakukan. 

Aku hanyalah hamba-Mu, 
Insan yang lemah dan selalu alpa, 
Seringakali tertewas, 
Tertipu dek hawa nafsuku, 
Yang merosakkan diri, 
Yang mematikan hatiku. 

Tetapi aku yakin dengan fitrahku, 
Sebagai manusia yang dicipta oleh-Mu, 
Yang mana lumrah dan fitrah, 
Ingin mempercayai sesuatu.

Ya... aku punyai iman, 
InsyaAllah kau peliharalah hati ini ya Rabb, 
KAU berikanlah aku sedikit kekuatan, 
Bagi menempuhi hidup ini, 
Aku harus kuat dan tabah, 
Bagi menjaga sekelumit IMAN dalam hatiku, 
Aku khuatir andai tidak mampu, 
Tetapi aku percaya, 
Kau takkan biarkan hamba-Mu ini keseorangan, 
Serta kurniakanlah kepadaku, 
Cinta-Mu dan redha-Mu, 
Sesungguhnya aku percaya akan janji-Mu. 

Bukan mudah bernafas dalam jiwa hamba, 
Dan aku cuba menghindarkan pesona maya, 
Kerana tak upaya aku hadapinya, 
Andai murka-Nya menghukum leka. 

Diatas nama cinta pada yang selayaknya, 
Ku nafikan yang fana, 
Moga dalam hitungan setiap pengorbanan, 
Agar disuluh cahaya redha-Nya.

Wednesday, 23 May 2012

^ ALLAH MEMBERIKAN APA YANG KITA PERLU ^


ALLAH MEMBERIKAN APA YANG KITA PERLU 

Kita selalu fokus kepada apa yang kita mahu, dan berdoa kepada Allah agar diberikan apa yang kita inginkan. Apabila Allah belum makbulkan, yakinlah bahawa Dia lebih tahu. Sesungguhnya, Dia memberikan kepada kita apa yang kita perlukan, sekalipun kita sering meminta apa yang kita mahukan. 

Kita inginkan kesihatan yang berpanjangan. Namun, jika kesakitan itu lebih kita perlukan agar kita kembali ingat kepada Allah, maka Dia akan mendatangkan kesakitan. Kita mahukan kekayaan. Jika kekayaan itu buruk bagi kita dan membuatkan kita lupa kepada-Nya, maka Dia mendatangkan pula kesusahan. Sebagai seorang hamba, begitulah kita seharusnya menyikapi ketentuan Allah. 

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah, 2: 216) 

Betapapun anak kecil meraung-raung meminta agar ibu bapanya menunaikan sesuatu yang sangat dia inginkan, ibu bapa tidak akan menunaikannya jika ternyata perkara tersebut berbahaya dan tidak mendatangkan manfaat. Sebaliknya, ibu bapa akan memberikan kepada anak mereka apa yang dia perlukan. Apatah lagi kita sebagai hamba. Jauhnya kita daripada pengetahuan Allah tentang diri kita. Dia bahkan paling tahu apa yang kita perlukan, sekalipun kita merintih-rintih memohon kehendak kita ditunaikan.

Jika doa kita belum dimakbulkan, yakinlah bahawa Allah tidak akan menzalimi. Bahkan rasakanlah di dalam hati, bahawa Allah sangat mencintai melihat kita merintih kepada-Nya. Mungkin yang diperlukan oleh kita adalah saat-saat merintih tersebut, berbanding apa yang kita pohon dalam rintihan. Ketika kita merintih, kita begitu dekat dengan Dia. Mungkin tatkala Dia menunaikan apa yang kita pinta, kita semakin menjauh. Na'udzubillah.

Saya ingin mengajak kita berfikir tentang hadith ke 19 daripada kitab Hadith 40: "Jagalah Allah, Allah pasti menjaga kamu", begitulah pesan Rasulullah SAW, tunaikan hak Allah, pasti Allah menunaikan hakmu. "Apabila kamu memohon sesuatu, mohonlah kepada Allah, apabila kamu meminta tolong, minta tolonglah kepada Allah", demikian pesan Rasulullah lagi.

Tidak ada yang dapat menyempurnakan keperluan kita selain Allah. Dia lebih tahu tentang kita lebih daripada apa yang kita tahu tentang diri sendiri. Maka mengapa kita masih ragu-ragu akan apa yang Allah tetapkan untuk kita?

Bila Allah mencintai kita, Dia akan memberikan apa yang kita perlu. Boleh jadi apabila kita mendapatkan sesuatu yang kita minta, kita menjadi makhluk yang semakin sesat dan melupakan Allah. Bila Allah tidak memberikan apa yang kita minta, bersabarlah. Bahkan, bergembiralah kerana di sana ada CINTA-NYA!

Tuesday, 22 May 2012

^ MENCARI SEBUAH KESEMPURNAAN ^


MENCARI SEBUAH KESEMPURNAAN 

Tidak ada manusia yang sempurna. Kesempurnaan hanyalah milik Allah SWT. Kekurangan adalah sifat makhluk. Kitalah makhluk. Maka kita perlu menerima bahawa kita banyak kekurangan. Tidak mampu kita menjadi sempurna untuk orang lain dan kita juga tidak boleh mengharapkan kesempurnaan orang lain. Jika kita merasakan bahawa kita sudah sempurna, selamanya kita tidak akan pernah memperbaiki kekurangan sendiri atau menerima kekurangan orang lain.

Rasulullah SAW adalah makhluk terbaik yang Allah SWT ciptakan. Namun, baginda SAW sendiri tidak pernah merendahkan orang lain dan takabbur dengan kehebatan yang dianugerahkan Allah SWT.

Ya, sekali pandang kita rasa bahawa kita yang terbaik. Apabila kita mengubah sudut pandang, akan ternampaklah lompang-lompang yang terdapat pada diri kita.

Cahaya lampu nampak hebat tatkala ia menerangi kegelapan malam, namun menjadi tidak bernilai ketika mentari mula memberikan cahayanya. Pada malam hari ia diperlukan, pada siang hari ia tidak bermakna lagi.

Itulah sifat ciptaan. Seorang ahli agama boleh berbicara tentang ilmu keagamaan sehinggakan orang akan terpegun mendengarnya. Namun kehebatannya tidak sama apabila dia berbicara tentang bidang-bidang lain yang bukan kepakarannya.

Oleh itu, bersyukurlah dengan apa yang Allah SWT berikan kepada kita dan terimalah kekurangan orang lain. Berfikirlah untuk menampung kekurangan-kekurangan tersebut, bukan menidakkannya. Begitu juga keadaannya dalam mencari teman hidup. Jangan kita terlalu mengharapkan teman yang sempurna sedangkan kita sendiri banyak lompangnya.

Sebelum berumahtangga, kekurangannya kita buat-buat tidak nampak. Yang nampak hanya kecantikannya. Namun, segalanya berubah setelah berumahtangga. Kita mula merungut akan kekurangan-kekurangannya. Itulah akibat apabila kita mengidamkan kesempurnaan pada makhluk.

Ada sebuah kisah perumpamaan. 
Seorang guru memberi arahan mudah kepada muridnya ketika mereka sedang melalui sebuah lorong yang di sebelah kiri dan kanan lorong tersebut terdapat bunga-bunga indah.

“Sepanjang perjalanan kita ini, petiklah sekuntum bunga yang paling cantik dan memuaskan bagimu. Apabila kita sampai di hujung nanti, kita tidak boleh berpatah balik.”

Maka merekapun berjalan menyusuri lorong tersebut. Murid tersebut ternampak sekuntum bunga yang indah dan cantik, namun hatinya berbisik, “Di depan pasti ada yang lagi cantik.”

Lalu mereka terus berlalu. Beberapa bunga yang dilihatnya, tetap juga tidak dipetik.

“Ada kurang sikit lah pada bunga ni.”

Berjalan dan terus berjalan, akhirnya tidak satupun bunga dipetik ketika sampai di hujung lorong sedangkan dia tidak dapat berpatah balik.

Gurunya lantas berpesan, “Itulah ibaratnya jika mencari kesempurnaan pada makhluk.”

Mengakui kekurangan adalah langkah awal untuk memperbaikinya. Kita harus jujur dalam meneliti kekurangan-kekurangan yang ada pada diri. Orang yang hebat bukannya tidak punya kekurangan, tetapi mereka cepat sedar akan kekurangan-kekurangan tersebut dan berusaha memperbaikinya. Semakin banyak kekurangan, semakin banyak usaha memperbaiki. Maka merekapun menjadi semakin baik dari sehari ke sehari. Begitulah sifirnya.

Orang yang mencari kesempurnaan makhluk pasti akan selalu mengeluh, kerana kekurangan-kekurangan yang akan dia dapatkan. Mana tidaknya, kita mengharapkan sesuatu yang mustahil. Tentulah kita tidak akan berjumpa dan lebih banyak mengeluh.

Sebaliknya, orang yang mengakui kekurangan makhluk akan sentiasa bersangka baik dan tidak merendahkan orang lain. Dia juga sedar bahawa dirinya sendiri banyak kekurangan. Apabila kita melihat perbezaan ini, sedarlah kita akan bahaya mencari kesempurnaan makhluk.

Berusahalah menjadi lebih baik setakat batas kemampuan manusia. Insya-Allah, hati akan lebih tenang dan redha.

Monday, 14 May 2012

^ MENGEJAR PENGIKTIRAFAN MANUSIA ^


MENGEJAR PENGIKTIRAFAN MANUSIA 

Apabila kita melakukan kebaikan yang terlihat oleh orang lain, pasti akan ada yang mengatakan,“wah, baguslah!” “awak memang baik” “jarang jumpa orang macam awak” “Hebatnya!” "Wah, ramainya orang like status kau!". 

Paling tidak pun, akan ada yang tersenyum menandakan sebuah penghargaan diberikan kepada kita. Lantas kita menjadi termotivasi dan bersemangat untuk terus melakukan kebaikan. Kita merasakan ada nilainya kebaikan tersebut pada pandangan mata manusia. 

Bagaimanakah pula keadaannya apabila ada yang mengatakan “eleh, tu nak tunjuk baik la tu” “buang masa awak saja buat macam tu” “jangan buat macam tu lagi lain kali!”, apakah kesannya kepada diri kita? Adakah kita masih terus melakukan kebaikan tersebut atau kita meninggalkannya? Kesan yang berlaku atas diri kita daripada respons positif dan negatif orang lain ini menjadi indikator kepada keikhlasan kita dalam beramal.

Nilai sesebuah amal itu tidak ditentukan berdasarkan kepada pujian manusia. Apa yang lebih penting adalah nilai yang telah Allah SWT gariskan dalam al-Quran atau yang ditekankan oleh Rasulullah SAW dalam hadith baginda. Apabila telah ada saranan untuk melakukan sesebuah amal daripada Allah SWT dan Rasul SAW, maka amal tersebut tetap mempunyai nilai yang tinggi sama ada orang lain memuji atau mengeji. 

Dalam erti kata lain, orang yang ikhlas tidak akan berganjak sedikitpun daripada sebuah amal yang baik, bahkan dia sentiasa istiqamah dengan kebaikan. Tidak bertambah kerana pujian, atau berkurang kerana kejian. 

Berbeza dengan seseorang yang mengejar pengiktirafan manusia. Bila dipuji dia berbangga dan menambah lagi kebaikan, bila dikeji dia merasakan seolah-olah azab Allah SWT menimpanya lalu dia meninggalkan amal baik tersebut. Konsistensi amalannya bergantung kepada respons manusia terhadapnya.

Seseorang yang saya maksudkan tersebut boleh jadi kita sendiri, termasuk saya. Pernahkah kadang-kadang kita merasa kagum dengan mujahid Islam yang syahid lantas kita juga bercita-cita untuk syahid sepertinya? 

Namun jauh di sudut hati kecil kita bersuara, “tentu aku akan dikenang orang”. Pernahkah kita membaca karya agung para ulama silam lantas kita ingin berkarya seperti mereka? Hati kecil kita masih lagi bersuara, “tentu orang akan menyanjung aku” “tentu orang akan kenal aku”. 

Tatkala kita melayani perasaan tersebut dan berusaha mengejar pengiktirafan manusia, maka amal kita telah dicemari dan tidak lagi ikhlas. Namun kita tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perasaan tersebut daripada timbul sama sekali, apa yang boleh kita usahakan ialah menentangnya dan melawannya.

Oleh itu, matlamat yang jelas perlu ditentukan sejak kita berniat melakukan sesebuah amal sehinggalah kita habis melaksanakannya. Keikhlasan itu perlu dijaga sebelum, ketika dan setelah melakukan sesebuah amal. Susah memang susah, sebab itulah perlunya mujahadah. Sampai bila? Sampai kita bertemu Allah SWT.

Antara ‘keajaiban’ hati yang saya temui ialah mudahnya berganti atau berubah. Boleh jadi dalam 5 minit hati seseorang dapat berubah daripada cinta menjadi benci, atau sebaliknya daripada benci menjadi simpati. Maka barangsiapa yang tujuan dakwahnya selalu ingin mendapatkan hati (redha) manusia, maka dia telah memulakan pekerjaan yang melelahkan bagi jiwanya. 

Renungkanlah firman Allah SWT: 
“Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka.” [Al-Anfal : 63] 

Allah SWT telah menyatakan bahawa tidak mungkin untuk mendapatkan redha seluruh manusia. Maka janganlah membebani diri untuk selalu mengejarnya, bahkan menjadikannya dalam dakwah sebagai tujuan utama. Sungguh, mencari redha manusia adalah pekerjaan yang sia-sia. 

Imam asy-Syafi’e pernah berkata: “Keredhaan manusia adalah suatu yang sulit dicapai, maka hendaklah engkau memperbaiki dirimu dan kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh, kerana tiada jalan membuat seluruh manusia redha terhadapmu.” [Hilyatul Auliya': 9/122] 

“Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, maka Allah akan cukupkan baginya akan segala keperluannya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari redha manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya kepada manusia.” [HR Imam at-Tirmidzi] 

Kalam di atas menyeru supaya kita ikhlas melakukan sesebuah amal hanya untuk keredhaan Allah SWT dan hanya untuk mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Amal yang baik itu tidak akan sekali-kali disia-siakan oleh Allah SWT. Bahkan apa yang terdetik di sudut hati kita juga tidak pernah terlepas daripada pandangan Allah SWT. Biarlah Allah SWT yang menilai kebaikan kita dan memberikan ganjaran di akhirat. 

Firman Allah SWT : “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan, sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (At-Taubah: Ayat 16)

Saya pernah mendengar sebuah kata hikmah, “jika kamu tamakkan apa yang ada di sisi manusia, kamu akan dibenci Allah. Jika kamu tamakkan apa yang ada disisi Allah, kamu akan disanjung manusia”.

Bahkan dalam memuji juga kita harus berhati-hati. Boleh jadi pujian kita itu akan menghancurkan saudara seagama kita. Pujilah sekadar yang perlu dan kembalikanlah hak menilai itu kepada Allah SWT. 

Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW berpesan: Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya r.a. katanya,: Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi s.a.w., lalu Nabi s.a.w. berkata kepadanya: “Celaka kamu. Bererti kamu memenggal leher saudara kamu.” (Kata-kata itu diucapkan baginda berulang kali.) Apabila seorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata: “Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilainya selain Allah Ta'ala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu.” (HR Muslim) 

Sunday, 13 May 2012

^ SYUKUR PADA-MU YA ALLAH ^


SYUKUR PADA-MU YA ALLAH

Setiap hari kita ketawa. Setiap hari kita jumpa kawan. Setiap hari kita dapat apa yang kita nak. Tapi..kenapa hati kita tak gembira? 

Kita sembahyang setiap hari. Kita berdoa selalu pada Allah. Kita mintak sungguh-sungguh pada Allah. Tapi..kenapa susah sangat doa kita nak makbul? Sedangkan Allah ada berfirman. "Berdoalah pada Ku, nescaya akan Ku kabulkan...,"

Apa masalah kita?
Hati kita tak gembira sebab kita tak pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Kita tak pernah nak menghargai setiap nikmat yang kita dapat. Kita asyik memikirkan benda yang kita tak ada, sampai kita lupa melihat nikmat sekeliling kita.

Kita berdoa, tapi kenapa payah sangat doa kita Allah nak makbulkan?

Sebab kita asyik meminta pada Allah, tapi kita tak pernah mintak ampun pada Allah, sedangkan dosa-dosa kita terlampau banyak pada Allah. Alangkah tidak malunya kita. Kita merintih, kita merayu agar Allah makbulkan doa kita. Tapi, lepas kita dapat kesenangan kita lupa pada Allah, kita tak bersyukur pada Allah. Bila dah datang kesusahan, baru nak ingat Allah balik. Baru nak menangis, merintih... mintak Allah pandang kita. Macam mana Allah nak makbulkan doa kita?

Cuba kita renung diri kita. Cuba hitung, berapa kali kita sebut kalimah syukur dalam satu hari? Tak payah seminggu, cukuplah sehari sahaja. Berapa kali agaknya? Itupun kalau ada sebut la..

Pernah kita bangun malam, solat sunat...solat tahajud..solat taubat? Pernah? Ada...waktu zaman sekolah dulu. Itupun, lepas kene ketuk dengan warden, suruh bangun. Lepas tu...ada? Ada...time dah nak exam...waktu rasa result macam ada aura nak fail. Siap buat solat hajat lagi! Lepas dapat result tu, ada tak buat sujud syukur? Hmm...entah la, tak ingat pulak.

Hari-hari kita buat baik. Kita tolong orang. Kita sedekah dekat orang. Kita buat macam-macam. Tapi kenapa kita tak dapat nak rasa kemanisan setiap perbuatan yang kita lakukan tu? Hati kita tetap jugak tak tenang. Kenapa ye? Sebab dalam hati kita tak ada sifat ikhlas. Mulut cakap ikhlas, hati kata lain. Macam mana tu? Kita tolong orang sebab nak harapkan balasan. Nakkan pujian. Nakkan nama. Kita riak dengan setiap kebaikan yang kita buat. Macam mana hati nak tenang? Bila dapat kejayaan, kita bangga dengan apa yang kita ada. Mula nak menunjuk-nunjuk dekat orang. Sampai lupa siapa sebenarnya yang bagi kejayaan tu dekat kita.

Alangkah tidak malunya kita..., Allah ciptakan kita sebagai khalifah di bumi ni. Kitalah sebaik-baik kejadian yang Allah pernah ciptakan sehinggakan semua makhluk sujud pada bapa kita, Nabi Adam kecuali Iblis Laknatullah. Betapa Allah muliakan kejadian manusia. Tapi, kita sendiri tidak memelihara diri kita. Kita lupa tanggungjawab kita sebagai hamba. Kita lupa kepada yang mencipta diri kita. Bahkan, kita alpa dengan nikmat yang ada. Nabi Muhammad SAW, pada saat malaikat ingin mencabut nyawa Baginda, Baginda masih memikirkan umat-umatnya. Ummati! Ummati! Sampai begitu sekali sayang Rasulullah pada kita. Tapi kita....? Kita lupa pada Baginda Rasul. Berat benar lidah kita nak berselawat ke atas baginda. Macam mana hati kita nak tenang?

Lembutkanlah hati kita. Tundukkan lah diri kita pada Allah. Bersyukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan pada kita. Semua itu tidak akan kekal. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik semua itu. Ikhlas kan lah hati dalam setiap perkara yang kita buat.

Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang berkuasa menilai keikhlasan hati kita. Insya Allah, kita akan dapat merasai kelazatan halawatul iman itu sendiri. Tenanglah dikau wahai hati...

Thursday, 10 May 2012

^ KALAM ILAHI.. PENAWAR HATI ^


KALAM ILAHI... PENAWAR HATI

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." [Al-Ankabut, 29:2-3]

"Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al-Baqarah, 2:153) 

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." [Al-Imran, 3:139]

Hidup ini penuh dengan ujian. Memang perit dan pedih untuk menghadapinya. Tapi kita kena faham konsep “ujian” di dalam perspektif Islam. Kerana sekiranya kita tidak faham dengan jelas, kita akan cepat putus asa, kecewa dan lebih membahayakan apabila kita buruk sangka terhadap Allah SWT. Jadi, bagaimana ingin memujuk hati yg sedang berduka lara itu???

Pujuklah dengan berzikir dan mengingati Allah... dan bacalah Al Quran. Sesungguhnya, banyaklah sudah isi-isi yang tersingkap di dalamnya. Segala jawapan ada di dalamnya….