Friday, 6 January 2012

^ BENARKAH KAU CINTA... ???


BENARKAH KAU CINTA..???

Benarkah kau cinta???
Pada Sang Pencipta,
Yang mencipta dirimu dengan segala keelokan,
Yang mencukupkan dari segala kekurangan.

Sedang dirimu masih lalai menunaikan amanah,
Pancainderamu kurang digerakkan ke arah redha-Nya,
Bibirmu masih berat mengucapkan kalimah-kalimah zikrullah,
Sebagai bukti rasa cinta seorang hamba.

Benarkah kau cinta???
Pada susuk tubuh mulia bergelar utusan Allah,
Penyampai risalah agung,
Pembawa rahmat sekelian alam,
Tika sunnah hidup Baginda masih jauh dari pengamalan,
Selawat dan salam tiada kedengaran,
Begitukah pameran cinta seorang umat.

Benarkah kau cinta???
Pada dua insan yang melahirkanmu,
Menjaga dan mendidikmu sehingga mengenali diri,
Tetapi kau masih tak mengerti,
Bagaimana membalas jasa suci,
Membiar diri hanyut dalam fana duniawi.

Benarkah kau cinta???
Pada sahabat yang sentiasa menjadi pendampingmu,
Bersama berkongsi rasa suka dan duka hidupmu,
Tetapi ma'ruf jarang sekali kau ajaki,
Perkara mungkar susah sekali ditegahi,
Beginikah luahan cinta seorang sahabat sejati???

Fahamilah makna cinta,
Jangan kau kelam dengan kalimahnya,
Agar Iman tidak terus dirosak munafik ,
Carilah jawapan dalam kembara hidup ini,
Kepada sebuah persoalan...

Benarkah kau cinta... ???

Thursday, 5 January 2012

^ IZINKAN DIA PERGI ^


IZINKAN DIA PERGI

Izinkan dia pergi,
Walau ngilu rasa di hati,
Kelak kan datang pengganti,
Sesempurna idaman di hati.

Izinkan dia pergi,
Walau kering tandus airmatamu,
Kelak kan muncul pengganti,
Bakal mengisi tahta di sisi.

Izinkan dia pergi,
Walau sedih meragut sanubari,
Kelak kan hadir pengganti,
Semulia iman di hati.

Izinkan dia pergi,
Walau seolah tiada pengganti,
Kelak kan dibuka pintu hati,
Meneman sepi selama ini.

Izinkan dia pergi,
Walau goyah rasanya diri,
Kelak kan timbul penyeri,
Merembes resah yang memagari.

Izinkan dia pergi,
Walau remuk rasanya di hati,
Kelak kan muncul matahari,
Bakal menyinar dinihari.

Izinkan dia pergi,
Walau pasrah tidak berganti,
Kelak kan tiba yang dinanti,
Sebagaimana yang dijanji Ilahi...

^ RAHMAT UJIAN ^


RAHMAT UJIAN

Kau mengujiku,
Pasti dengan sesuatu yang ku mampu,
Kerana Kau Maha Tahu apa yang terbaik untukku.

Kau memberi atau mengambil kembali,
Agar terhapus dariku rasa memiliki,
Dan kembali menyedari bahawa pada-Mu akan ku kembali.

Kau mendatangkan gembira atau memberikan duka,
Agar hatiku tidak kotor dek rasa bangga,
Dan tunduk merendah pada-Mu dalam semua perkara.

Kau mendugaku dengan ujian,
Agar diriku lebih teguh beriman,
Dan lebih kerap menadah tangan,
Memohon pada-Mu wahai Tuhan.

Kau sahaja yang Maha Bijaksana,
Mengatur hidupku dengan sempurna,
Meski diriku kerap terlupa,
Namun kasih-Mu tak pernah sirna.

Ya Tuhanku...
Akulah pengembara menuju cinta-Mu,
Tanpa ragu dan jemu,
Akan ku ketuk pintu rahsia-Mu,
Agar tenggelam diriku di lautan Wajah-Mu,
Yang Maha Indah.

Ya Tuhanku...
Akulah pengemis setiap masa,
Berdiri dengan penuh harapan di pintu rahmat-Mu,
Perjalanan yang panjang ini,
Adalah suatu ujian padaku,
Sama ada langkahku pincang,
Atau langkahku terisi,
Dengan cinta Ilahi.

Alangkah sukarnya dan berliku,
Perjalanan mencari hakikat diri,
Nafsu dan syaitan,
Akan berhemah berjuang,
Merosakkan dan melalaikan,
Daripada sampai ke penghujung...

^ WAHAI DIRI ^


WAHAI DIRI....

Wahai diri...
Ingatlah setiap masa pada Allah,
Hingga terasa manis kalimah itu,
Apabila berdenyut di hati sanubarimu.

Wahai diri...
Janganlah engkau lupa,
Setiap masa dan ketika dirimu akan dikembalikan ke hadrat TuhanMu,
Sama ada engkau redha atapun engkau tidak bersedia.

Wahai diri,
Zahirkan syukurmu dengan hati,
Dengan merasa qana’ah pada yang diberi-Nya,
Baik ia menepati keinginanmu atau tidak,
Dengan merasai kehebatan kasih-Nya dalam setiap yang kau lalui,
Dengan tidak mempersekutukan-Nya dengan apa pun.

Wahai diri,
Zahirkan syukurmu dengan lidah,
Dengan hamdalah dan tasbih memuji nama-Nya,
Dengan berkata baik sesama saudaramu,
Dengan menahan lidahmu dari mengeji manusia,
Dengan menyampaikan nasihat dan kata dorongan pada saudaramu.

Wahai diri,
Zahirkan syukurmu dengan anggota,
Dengan menggunakannya untuk beribadat khusus pada-Nya,
Dengan membantu saudaramu yang memerlukan,
Dengan menjadikan dunia penuh dengan kebaikan,
Dengan mengisi harimu untuk perjuangan.

Wahai diri, sedarlah....

Perbetulkan akal dan hatimu,
Kehidupan adalah persediaan,
Untuk menuju kematian,
Janganlah tertipu dengan dunia...

^ PERNAHKAH??? ^


PERNAHKAH... ?????

Wahai diri....

Pernahkah kau menyedari betapa beruntungnya dirimu jika kau mengetahui hakikat kehidupanmu dan menelusi limpahan kasih Tuhan buatmu???

Pernahkah kau menyedari betapa banyak kebaikan dan keajaiban yang berlaku dalam hidup-Mu sedangkan tak pernah kau meminta dari-Nya dalam doamu???

Pernahkah kau menyedari betapa banyaknya harapan jua permintaanmu yang kau lafazkan atau yang terpendam di hatimu diperkenankan oleh Nya tanpa syarat???

Pernahkah kau menyedari biarpun doamu tidak terjawab seperti yang kau minta dan rayu, Dia telah menggantikanya dengan sesuatu yang lebih baik dari itu untukmu???

Pernahkah kau menyedari akan besarnya limpahan kebaikan yang menyelimuti hidupmu atas sifat Kasih-Nya, sedang terlalu sedikit kesyukuran yang kau sembahkan pada-Nya???

Pernahkah kau menyedari betapa sedikitnya kesulitan yang kau rasai berbanding lautan kesenangan yang kau kecapi dan kau masih merungut dan tidak sabar menghadapinya???

Pernahkah kau menyedari akan seringnya kesulitanmu yang sedikit itu digantinya dengan kesenangan yang kau raikan dan kau masih selalu melupai-Nya???

Pernahkah kau menyedari betapa sedikit zikirmu, syukurmu, amalanmu yang kau hamparkan buat-Nya sedangkan Dia masih setia memberi dan memberi padamu???

Pernahkah ada sesiapa yang mengasihimu sehebat kasih-Nya, menjagamu seperti penjagaan-Nya, bersabar denganmu seperti sabarnya Dia???

Wednesday, 4 January 2012

^ MENCARI BAHAGIA.... ^


MENCARI BAHAGIA 

Alhamdulillah, syukur pada Mu Ya Allah.. kerana masih mengizinkan diri ini terus mengecap nikmatMu yang melimpah ruah, yang tak terhitung dan tak terbalas oleh hambaMu yang dhoif ini.. Moga Engkau sentiasa mengurniakan keampunan buat hambaMu ini... 

KITA patut bertanya kepada diri kita sendiri, adakah kita ini di antara orang yang bahagia?
Mungkin ada di antara kita pada ketika ini memiliki harta yang melimpah ruah, tetapi tidak merasa bahagia. Ada pula yang memiliki kemasyhuran dan kedudukan yang tinggi, namun tidak pernah merasa bahagia. Ada juga di antara kita yang amat terhormat pada mata masyarakat dan menjadi tokoh terkemuka, tetapi itu pun tidak membuatnya bahagia. Ada juga yang cuba melancong ke luar negeri mengunjungi tempat-tempat yang indah tetapi nyata kebahagiaan itu tidak juga menggamitnya. 

Kalau begitu, ternyata ukuran bahagia itu tidak terletak pada banyaknya harta, bukannya pada jawatan dan kedudukan, bukan juga pada ketokohan seseorang dan juga bukan dengan peluang melancong ke merata tempat. Lalu, di manakah kebahagiaan itu, dan bagaimana pula kita dapat mengecapinya ? 

Sebenarnya, kebahagiaan adalah bila seseorang mampu melakukan sesuatu yang bermakna dan murni. Ia merupakan kekuatan batin yang memancarkan ketenangan dan kedamaian, merupakan kurniaan Allah s.w.t yang membuat jiwa lapang dan bergembira. Bahagia adalah kejernihan hati, kebersihan amal perbuatan dan keelokan ruhani. Hal itu merupakan kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada siapa saja yang melakukan perbuatan terpuji. 

Bahagia adalah rasa redha yang mendalam dan sikap qana’ah. Ia bukan barang dagangan yang mampu dibeli di pasar walau sekaya mana pun kita, tetapi merupakan kurniaan Allah s.w.t yang dianugerahkan kepada jiwa-jiwa yang terpilih. 

Kebahagiaan itu adalah kelapangan jiwa; bahagia itu tatkala anda mampu membuat orang lain senang hati, menguntumkan senyum di wajah, dan anda merasa gembira bila dapat berbuat baik kepada sesama manusia dan merasa nikmat ketika anda mampu bersikap baik kepada mereka. 

Kebahagiaan adalah membuang jauh segala fikiran dan pandangan negatif dan mengisinya dengan fikiran dan pandangan yang positif. Ia merupakan sebuah kekuatan yang mampu menghadapi berbagai tekanan dan mampu memecah kebuntuan tanpa diperkuda emosi. 

Kebahagian itu ada pada ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh, ada dalam meninggalkan kebencian, kedengkian dan sikap tamak terhadap apa yang dimiliki orang lain. Bahagia itu terdapat dalam zikir dan ingat kepada Allah s.w.t., syukur kepada-Nya dan memperelokkan ibadah kepada-Nya. Dan kebahagiaan hakiki adalah mendapat syurga dan terselamat dari api neraka. 

Catatan-catatan ringkas tentang kebahagiaan:- 

Orang yang berbahagia adalah orang yang mengambil pelajaran dari orang lain dan orang yang celaka adalah orang yang dijadikan pelajaran oleh orang lain.

Bahagia adalah jika anda senang untuk berbuat kebaikan, bukan dengan berbuat apa saja yang anda senang.

Orang bahagia adalah orang yang mengambil pelajaran dari masa lalu dan berhati-hati terhadap dirinya. Orang celaka adalah orang yang mengumpulkan harta untuk orang lain dan bakhil untuk memberikan kebaikan walaupun kepada dirinya sendiri.

Orang bahagia ialah yang mendapat pengajaran dari pengalaman lalu, bersemangat pada hari ini dan optimis tentang masa depan.

Kebahagiaan itu diperolehi dengan menjaga lisan.

Seseorang tidak akan mencapai kebahagiaan kecuali jika dia hidup merdeka, terbebas dari kongkongan syahwatnya serta mampu menahan hawa nafsunya.

Kesungguhan anda dalam mencintai ketaatan, hati yang selalu anda hadapkan ke hadirat Allah s.w.t , dan hadirnya hati ketika sedang beribadah adalah tanda kebahagiaan.

Kebahagiaan itu tidak boleh dibeli dengan harta walaupun ia sering dijual. 

Petunjuk Kebahagiaan :-

Kebahagiaan memiliki tanda-tanda, sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah. Beliau menyebutkan tiga perkara iaitu: 

Jika mendapat nikmat, dia bersyukur.
Jika mendapat ujian, dia bersabar.
Jika berbuat dosa, dia beristighfar. 

Semoga kita bersama-sama mengecapi kebahagiaan yang hakiki... InsyaAllah...

^ HANYA KERANA DIA ^


HANYA KERANA DIA 

Hadirnya aku hanya kerana Dia,
Bernafasnya aku hanya kerana izin-Nya,
Mata ini salah satu bukti wujudnya Dia,
Bibir ini ku kumat-kamitkan untuk menyebut khalimah-Nya,
Tubuhku ini anugerah terindah dari Dia.

Hanya kerana Dia,
Aku dapat menikmati keindahan dunia,
Hanya kerana Dia,
Perjalanan sejauh ini tertempa,
Hanya kerana Dia,
Aku terlalu redha dengan semuanya,
Dan hanya kerana Dia,
Aku sanggup kehilangan segalanya...
Tetapi aku tidak pula sanggup kehilangan cinta dari-Nya,
Kerana hanya cinta dari-Nya yang aku dambakan.

Aku bersujud hanya kerana Dia,
Aku berdoa hanya kerana Dia,
Ibadatku juga hanyalah kerana Dia,
Semuanya hanya kerana Dia...