Wednesday, 24 August 2011

^ CINTA-MU ^


CINTA-MU

Aku ingin cinta-Mu,
Aku mendambakan cinta-Mu,
Aku hidup kerana cinta-Mu,
Dan hatiku selalu tertuju pada cinta-Mu.

Ku tahu cinta-Mu teramat besar untukku,
Ku tahu cinta-Mu memberikan erti untukku,
Dan ku tahu kasih dan cinta-Mu,
Takkan pernah berakhir.

Ku ingin berlindung kepada-Mu,
Ku ingin meraih-Mu,
Ku ingin mendakap-Mu,
Dan ku ingin memandang-Mu dalam cahaya-Mu.

Terkadang aku juga melupa-Mu,
Mengabaikan-Mu dan memancing kemarahan-Mu.
Maafkan aku... yang selama ini menjauhkan-Mu,
Maafkan aku... telah memilih cinta yang lain,

Cinta yang memberikan kebahagiaan sesaat,
Cinta yang membuat sakit hati dalam kekecewaan.

Aku bersyukur menemukan-Mu,
Aku bersyukur memilih-Mu,
Dan aku bersyukur mencintai-Mu.
Cinta yang takkan pernah pudar,
Cinta yang takkan termakan oleh waktu,
Dan cinta yang kan bersujud syukur memandang-Mu
Menuju langit ke tujuh.

Monday, 22 August 2011

^ PERGILAH AIR MATA ^




PERGILAH AIR MATA

Aku menangis,
Bukan kerana aku memerlukanmu,
Bukan juga kerana aku ingin kau kembali padaku,
Tapi kerana aku akhirnya menyedari,
Aku terpaksa belajar melepaskan kau pergi.

Aku akhirnya dapat belajar,
Dan menerima perpisahan kita,
Dan benar-benar percaya,
Bahawa aku boleh hidup tanpamu,
Aku akhirnya dapat menerima tragedi cinta kita,
Kemudian kau tersenyum pada ku,
Dan merosakkan segala-galanya,
Aku tewas kerana jatuh cinta padamu!

Soal hati tiada undang-undang,
Apatah lagi dengan paksaan,
Tiada kasih yang lebih manis dari kasihnya cinta,
Tiada kasih yang lebih perit,
Serta pahit dari putusnya cinta dalam derita.

Cinta sejati adalah apabila kita masih mampu tersenyum,
Sambil mendoakan kebahagiaan untuknya,
Walaupun kita tahu hakikatnya,
Kita terpaksa melepaskannya pergi.

Jiwa yang putus cinta selalunya,
Diiringin dengan air mata,
Cinta tak berbalas,
Bagaikan layang-layang yang putus talinya,
Soal cinta adalah soal hati,
Dia juga adalah soal jodoh,
Kita hanya merancang,
Tuhan yang menentukan,
Segalanya siapa jodoh kita.

Sejauh mana dan sedalam mana pun,
Cinta kita namun tidak berbalas,
Sukar untuk mengakhirinya,
Dengan menuju gerbang perkahwinan.
Cinta tidak selalu bersama jodoh,
Tapi jodoh akan selalu bersama cinta.

Kahwinilah pada orang yang lebih mencintai kita,
Dari kita terlalu mencintai diri orang lain,
Itu lebih baik dari mengahwini orang yang kita cintai,
Tetapi tidak mencintai diri kita,
Kerana adalah lebih mudah mengubah pendirian diri kita sendiri,
Daripada mengubah pendirian orang lain.

Melupakan seseorang yang amat disayangi amat sukar,
Cinta akan hidup bersama dengan waktu,
Apabila waktu itu mati,
Maka matilah cinta itu.

Saturday, 20 August 2011

^ BICARA BUAT ISTERI ^



BICARA BUAT ISTERI

Bermusim ku tinggalkan pelabuhan sepi,
Bersama sebuah sinar harapan,
Hadirmu bagai seraut pelangi,
Menerangi kelam di hati ini.

Tiada kata secantik bahasa,
Untuk ku madahkan buatmu,
Untuk ku pamer rasa hati....

Aku bukan seorang pujangga,
Yang pandai bermain kata-kata,
Aku bukan seorang pelukis,
Yang pandai melukis warna cintaku...



Sayang....
Andai dapat ku petik bintang dilangit,
Akan ku untai menjadi kerongsang untukmu,
Andai dapat ku kutip buih dilaut,
Akan ku anyam menjadi selendangmu.

Tapi aku hanyalah aku,
Tiada apa melainkan seraut cinta,
Yang ku semai hanya untukmu,
Yang ku bajai hanya untukmu....

Sayang.....
Cerah langit tidak ke petang,
Ribut melanda di tengahari,
Namun aku tetap berdiri,
Dan aku tetap begini,
Sejuta onar pasti mendatang,
Segunung ombak pasti menghempas....

Namun andai setia dijiwa,
Bersama kita ke penghujung senja,
Hari ini... esok... dan selamanya,

Hanya engkau sinar mentari,
Hanya engkau kembang ditaman hati,
Hanya engkau ku gelar isteri.... 

^ YANG BERGELAR WANITA ^


Kamu yang berasal dari tulang rusuk dada,
Hadirmu lemah tapi bermakna,
Ditentukan Tuhan Azzawajalla,
Untuk dilindungi dan dibelai mesra....


Perwatakan mu halus belaka,
Sukar diramal penuh rahsia,
Mudah tertipu dan terpedaya,
Pandangan mu hanya sampai kelihatan saja...


Kaulah yang hidup bagai bintang dan pelita,
Tanpa kau disisi siapalah kita,
Kau yang mempunyai senjata berbisa,
Kaulah yang bergelar gadis, isteri dan bonda...


Kau umpama mekar segar ditaman,
Melemahkan setiap kita yang berpandangan,
Kau mampu memenggal leher kita dengan kejelitaan,
Terkulai layu pada setiap kata yang diucapkan....

Ingatlah wahai wanita yang diciptakan,
Kecantikkan mu tak bererti tanpa ada sifat kemuliaan,
Peliharalah akhlak dan kesucian,
Kau diharapkan menjadi penyelamat umat...
Dari dihina dan dicincang lumat....

Tidak mungkin kita bahagia tanpanya,
Menerangi setiap ruang dikamar gelita,
Mengisi kekosongan di dada,
Kebijaksanaan mu menajamkan minda,
Ketaatanmu dan kesetiaanmu membawa ke syurga....


Usahlah kau calarkan kita dengan kemungkaran,
Jangan kau tangiskan kita dengan kecurangan,
Jangan kau hancurkan sebuah harapan,
Memiliki isteri solehah sebagai impian....

Kau yang cukup menderita,
Berkorban keringat dan nyawa,
Mengandung, menjaga walau diri terseksa,
Membesarkan dan mendidik dengan sempurna...

Kau pembentuk umat sepanjang zaman,
Kau yang melahirkan para nabi, khalifah dan pahlawan,
Hanya air mata teman bicara,
Kau yang disanjung.... Kaulah bonda....


Wahai yang bergelar wanita...
Kau sangat dipandang mulia,
Dari kalamullah hingga hadis rasulullah,
Peliharalah keharumanmu sebagai wanita solehah,
Walau dimana jua kamu berada,
Kaulah srikandi kita...........



^ PUISI AIDILFITRI ^

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI...
MAAF ZAHIR & BATIN


PUISI AIDILFITRI

Selamat hari raya…
Setulus rasa cinta
Di hari mulia ku pohonkan
Ampunilah diriku

Hanya padaMu Tuhan
Aku mampu berserah
Segala dugaan yang diberi
Terangilah diriku

Dosa bukannya aku yang pinta
Nasibku takdir suratan
Tidakku sesalkan segalanya
Aku redha semua

Perjalanan hidup yang telah ku tempuhi
Berhamparkan kepuraan
Berwarnakan
Kekotoran
Kemana hilangnya
Cinta dimanakah dan erti kejujuran

Selamat hari raya
Aku masih di sini
Menantikan hidayatMu
Ampuilah diriku
Hanya kepadaMu oh Tuhan ku
Kupohonkan kebenaran 

Ku pohonkan keadilan


Hanyalah padaMu aku pinta 
Terimalah doaku...
Hanyalah... kepadaMu
Ku berserah
Ku pasti
Tak ku ragu...

Thursday, 18 August 2011

^ MEREKA BERKATA.... AKU BERKATA.. ^


MEREKA BERKATA... AKU BERKATA.....

Pernah mereka berkata-kata,
Cinta mereka kerana rupa,
Namun ianya tidak kemana,
Kerana rupa kan dimakan usia....

Pernah meraka berkata-kata,
Cinta mereka kerana harta,
Namun ianya tidak kemana,
Kerana harta kan kehabisan jua...

Pernah mereka berkata-kata,
Cinta mereka kerana kuasa,
Namun ianya tidak kemana,
Kerana kuasa tak kekal lama...


Kini aku berkata-kata,
Cinta itu untuk apa???
Ingin dimiliki namun tak daya,
Kerana manusia pandai berdusta,
Kata cinta dalam berpura...

Kini aku berkata-kata,
Cinta itu tetap ada,
Namun tak semestinya jadi empunya,
Pada cinta yang tiada pastinya...

Kini aku berkata-kata,
Biarlah menyinta kerana Yang Esa,
Kerana kita tetap milik-Nya,
Cinta abadi hanya untuk-Nya.....


^ BIAR PUN RAMADHAN AKAN BERLALU ^


BIAR PUN RAMADHAN AKAN BERLALU

Ya Allah...
Telah ku sering terdengar,
Tentang kebesaran bulan Ramadhan,
Didalam Al-Quran dan sabda junjungan,
Hanya aku yg sering melupakannya.

Dibulan yg mulia ini,
Laut pengampunan-Mu tiada bertepi,
Rahmat dan nikmat-Mu tiada terbilang,
Syurga terbuka dengan seluasnya.

Ya Allah...
Aku sedari akan kelemahan diri ini,
Yang tidak istiqomah dalam beribadah,
Ramadhan akan berlalu,

Ibadah pun berkurangan,
Begitulah diriku yang sering kelalaian,
Semoga di Ramadhan kali ini,
Dapat ku perbaiki kelemahan diri,
Akan ku cuba mendidik nafsuku,
Agar subur kehambaanku terhadap-Mu

Lailatul Qadar pasti menjelma,
Buat mereka yang menunggunya,
Para malaikat merendahkan sayapnya,
Meratakan rezeki untuk semua.

Bimbinglah aku menuju jalan-Mu
Tingkatkan iman dan ketaqwaanku.....
Agar baktiku tetap pada-Mu,
Biar pun Ramadhan telah berlalu...